Tanha merupakan punca kepada dukkha kerana tanha penyambung kitaran kesengsaraan. Oleh itu, dalam Dhamma Buddha, kita selalu dinasihatkan agar mengawal tanha atau memadamkan tanha. Apabila tanha dipadamkan, kitaran kesengsaraan juga akan padam.
Bagi Luang Phor Buddadasa, tanha yang berbahaya dan menyumbang kepada kesengsaraan ialah tanha yang disertai avijja (kejahilan). Maksudnya tanha yang disertai panya (kebijaksanaan) tidak berbahaya.
Terdapat pihak yang mendakwa bahawa keinginan terhadap Nirvana juga merupakan sejenis tanha; bahkan tanha ini menjadi pendorong yang kuat kepada pengamal Dhamma yang mahu mencapai pembebasan mutlak tersebut. Mungkin inilah yang dikatakan "menggunakan tanha untuk menghapuskan tanha" sebagaimana perubatan moden menggunakan bisa ular untuk mengubati patukan ular.
Dalam Tipitaka, Phra Anon (Ananda) pernah berkata: "Tubuh ini (manusia) lahir melalui tanha, terpelihara oleh tanha dan akhirnya berusaha meninggalkan tanha." Apakah yang dimaksudkan oleh beliau?
Beliau menerangkan perkara ini secara perumpamaan. Beliau mengatakan bahawa apabila perkhabaran seorang Bhikkhu yang telah berjaya mencapai pembebasan melalui Ceto Vimutti (pembebasan melalui kekuatan hati) dan Panya Vimutti (pembebasan melalui kekuatan fikiran) tersebar, ada individu akan berfikir dengan keinginan yang kuat (tanha): "Bilakah saya akan jadi seperti Bhikkhu tersebut, mencapai pembebasan Ceto Vimutti dan Panya Vimutti. Pada hari seterusnya, berbekalkan tanha (tanha yang disertai panya), dia mengamalkan Dhamma bagi menghapuskan tanha (tanha yang disertai avijja).
0 comments:
Post a Comment