Sesetengah orang menganggap bahawa golongan Deva (Devata) sukar mencapai Arahant kerana melekat dengan kebahagiaan yang melampau. Anggapan ini tidak benar kerana terdapat golongan Deva yang berkemampuan mencapai Arahant. Golongan Deva yang manakah yang dimaksudkan? Golongan Deva yang masa jadi manusia pernah mengamalkan dhamma-vinaya Buddha.
Bhikkhu yang baik akan mendalami dhamma-vinaya yang diajarkan oleh Buddha dengan tekun, memahaminya dengan jelas dan mengamalkannya dengan sepenuh hati. Malangnya pada hari tua, fikiran beliau terganggu, daya ingatan beliau terjejas menyebabkan beliau tidak sempat mencapai Arahant. Apabila meninggal dunia, beliau dilahirkan di alam Deva. Beliau boleh mencapai Arahant melalui 3 cara.
1. Kesedaran sendiri
Sewaktu beliau menikmati kebahagiaan di alam Deva, beliau teringat kembali dhamma-vinaya yang pernah dipelajari dan diamalkan sewaktu jadi manusia. Maka beliau pun menyambung amalan dhamma-vinaya tersebut sehinggalah mencapai Nirvana.
2. Ceramah Bhikkhu
Bhikkhu yang mempunyai kuasa luar biasa mampu memberi ceramah dhamma kepada golongan Deva. Deva yang pernah mengamalkan dhamma-vinaya semasa jadi manusia apabila mendengar ceramah dhamma daripada bhikkhu akan membuatkan beliau teringat kembali dhamma-vinaya yang pernah diamalkannya. Akhirnya, dengan daya ingatan yang kuat, Deva tersebut mampu mencapai Nirvana.
3. Ceramah Deva
Sesetengah Deva mempunyai keupayaan mengajar dhamma Buddha kepada golongan Deva. Deva yang semasa jadi manusia pernah mengamalkan dhamma-vinaya apabila mendengar ajaran Buddha daripada Deva yang lain, membuatkan beliau teringat kembali kehidupan lampau dan amalan-amalan mulianya. Maka dengan kebanggaan terhadap ajaran Buddha, beliau mengamalkan ajaran tersebut sehingga mencapai Nirvana.
Daripada keterangan di atas, jelaslah bahawa Deva yang boleh mencapai Nirvana ialah Deva yang sewaktu jadi manusia pernah mengamalkan dhamma-vinaya (ariya). Oleh itu, bagi sesiapa yang tekun mengamalkan dhamma-vinaya, tidak sempat mencapai Nirvana kerana usia sudah tua dan meninggal dunia, tidak perlu risau. Apabila dilahirkan di alam Deva, amalan dhamma-vinaya boleh diteruskan sehingga mencapai Nirvana.
0 comments:
Post a Comment