Sunday, February 8, 2009

Dhamma Sempena Hari Magha Puja

Magha Puja - hari penting dalam agama Buddha. Pada hari tersebut, sejumlah 1250 Arahant berjumpa dan berkumpul di Veruvana Vihara, di Bandar Rajgarh secara "kebetulan" iaitu tanpa diadakan temu janji terlebih dahulu. Kesemua Arahant itu adalah yang ditasbihkan oleh Buddha sendiri. Hari ini juga dipanggil Jaturongkasannibath di mana Buddha telah menyampaikan Ovadha Patimokha, dhamma penting kepada pengikutnya iaitu: (1) meninggalkan segala kejahatan, (2) membuat segala kebaikan; dan (3) membersihkan hati/minda. Ketiga-tiga dhamma ini boleh dikatakan "teras" kepada ajaran Buddha. (You tube Magha Puja, klik di sini)

Dalam kehidupan manusia yang menginginkan kebahagiaan dunia yang sementara mahupun kebahagiaan Nirvana yang berkekalan, meninggalkan kejahatan, membuat kebaikan, dan membersihkan hati merupakan perkara yang wajib diamalkan.

Membuat kebaikan walaupun seribu kali tanpa meninggalkan kejahatan, kita tidak mungkin dapat mengecapi kebahagiaan kerana karma kejahatan akan memberikan hasilnya cepat atau lambat. Karma kejahatan yang kita buat akan datang membawa kesengsaraan hidup kepada kita. Orang tua-tua selalu menggunakan bidalan "membubuh ubat di atas nanah" untuk merujuk kepada "membuat kebaikan tanpa meninggalkan kejahatan. Ubat luka yang dibubuh di atas nanah tidak akan mujarab - luka tidak akan baik.

Begitu juga dengan orang yang membuat kebaikan tetapi dalam masa yang sama dia tetap membuat kejahatan, karmanya tidak akan bertambah baik, malah semakin teruk. Ibarat orang yang bekerja keras tetapi suka berjudi. Duit pendapatan daripada pekerjaannya dihabiskan dalam perjudian. Sampai ke tua pun kekayaan dia tidak akan bertambah, malah silap-silap dia terpaksa berhutang dan hidup sebagai penghutang yang penuh sengsara. Orang yang sedang mengubati penyakit jantung juga harus berhenti merokok dan minum minuman beralkohol.

Dalam masyarakat kita, iaitu masyarakat Buddhis, sering kita lihat ramai yang membuat kebaikan tetapi mereka tidak meninggalkan kejahatan. Ramai yang pergi membuat derma di wat atau vihara sempena hari kebesaran, tetapi mereka masih melakukan kejahatan seperti berbohong, fitnah, curi, atau zina. Ramai yang berkata "metta karuna (kasih sayang) dapat menyelamatkan dunia" tetapi pada masa yang sama mereka masih membunuh haiwan, menganiaya sesama insan, menidakkan hak individu tertentu dan sebagainya.

Sewaktu terdapat upacara keagamaan tertentu di wat/vihara, para Buddhis akan memulakan upacara dengan "meminta dan menerima" Sila 5 atau Sila 8. Malangnya Sila itu hanya menjadi ungkapan tradisi yang tidak dipatuhi sepenuhnya. Mungkin kita tidak sedar bahawa "meminta" Sila tanpa memegangnya merupakan perbuatan menghina kepada agama sendiri. Kenapa kita harus minta kalau kita tidak mahu mengamalkannya? Perbuatan kita bukan sekadar menghina Bhikkhu yang "memberi" Sila kepada kita, bahkan menghina Buddha, Dhamma dan Sangha kerana kita "meminta" Sila (aradana Sila) atas nama kesucian Buddha, Dhamma dan Sangha.

Oleh itu, dalam keikhlasan hati membuat kebaikan, kita juga mesti meninggalkan kejahatan yang barangkali telah sebati dengan kehidupan kita. Sila 5, Sila 8 dan hukum moral yang lain mesti dipegang dengan kemas di samping melakukan kebaikan. Sila sangat penting bagi seorang Buddhis kerana hanya Sila yang menentukan sama ada kita seorang Buddhis atau tidak. Buddhis bukan terletak pada lafaz "Buddhang Saranang Gaccami, Dhammang Saranang Gaccami, Sanghang Saranang Gaccami" tetapi terletak pada Sila yang diamalkan. Seseorang yang tidak mempunyai Sila 5 tidak boleh dikatakan seorang Buddhis yang tulen. Upasaka dan Upasika (Ubasok dan Ubasika) mesti ada Sila 5 sebagai rutin kehidupan. umat Buddhis terbahagi kepada 4 golongan iaitu Bhikkhu, Bhikkhuni, Upasaka dan Upasika. Sila 5 merupakan hukum moral yang asas bagi penganut agama Buddha.

Namun, membuat kebaikan dan meninggalkan kejahatan belum memadai. Kita mesti membersihkan hati daripada kotoran (kilesa). Hati yang kotor tidak menjamin seseorang akan kekal baik. Kotoran di jiwa atau yang dinamakan kilesa atau asava pada bila-bila masa dapat menjerumuskan seseorang ke lembah kejahatan. Kilesa umpama "punca api" yang terpendam di jiwa apabila ada "bahan bakar" dari luar mendekatinya pasti menyala menjadi api yang marak. Api di jiwa ini mesti dibersihkan agar tidak menyambar bahan api, kemudian membakar seluruh jiwa raga. Misalnya, orang yang menyimpan dendam di hatinya, akan menjadi marah apabila terjumpa dengan musuh lama. Maka pergaduhan baru akan bermula lagi. Oleh itu, "dendam" di hati mesti dihapuskan agar pergaduhan tidak tercetus setiap kali berjumpa musuh lama.

Oleh demikian, Buddha mengajar kita agar membuat kebaikan (kusala-karma), meninggalkan kejahatan (akusala-karma) dan membersihkan hati.

Pada peringkat asas, 10 kebaikan (Kusala-Karma) yang mesti dibuat ialah:

1. mempunyai kasih sayang, belas kasihan kepada haiwan, manusia (tidak membunuh segala kehidupan)

2. mengambil barang orang lain dengan izin (tidak mencuri, merompak atau menyamun)

3. menghormati "penghormatan" orang lain (tidak berzina atau seks terlarang)

4. bercakap benar (tidak berbohong)

5. bercakap jujur (tidak melaga-lagakan orang, fitnah)

6. bercakap lembut, sopan dan santun (tidak bercakap kasar)

7. bercakap perkara yang benar, ada bukti, ada sandaran dan berfaedah (tidak bercakap tanpa bukti, tanpa faedah)

8. bermurah hati dan selalu membuat derma (tidak tamah terhadap barang orang lain)

9. menjalin persahabatan, kemesraan dan baik sangka dengan orang lain (tidak mengacau, menyusahkan orang lain)

10. mengamalkan amalan yang betul (mempercayai kepercayaan yang benar)

***********

Manakala 10 kejahatan (Akusala-Karma) yang harus ditinggalkan ialah:

1. membunuh (segala kehidupan)

2. mencuri, merompak, merampas hak orang lain

3. berzina, kesalahan seks

4.berbohong

5. bercakap untuk melaga-lagakan orang

6. bercakap kasar, menengking, menjerit, menjerkah

7. bercakap tanpa fakta, tanpa alasan yang rasional

8. tamak terhadap harta/hak orang lain

9. melakukan kejahatan ke atas orang lain

10. mengikut kepercayaan yang salah

*********

Membersihkan Hati

Kita boleh membersihkan hati melalui amalan Sila (moral), Samadhi (meditasi) dan Panna (kebijaksanaan). Amalan Samadhi (Samatha-Kammathana dan Vipassana-Kammathana) berjaya membersihkan hati seseorang sehinggalah membawa orang tersebut mencapai kesucian sempurna.

Sempena Hari Mulia - Magha Puja - marilah kita mengamalkan amalan mulia seperti yang dituliskan di atas - membuat kebaikan, meninggalkan kejahatan dan membersihkan hati sebagai penghormatan kepada Buddha. Buddha memuji dan mengakui umat terhadap individu yang mengamalkan ajaran beliau bukan individu "burung kakak tua" yang melafazkan puji-pujian ke atas Buddha, Dhamma dan Sangha tanpa mengerti maksud sebenarnya.

1 comments:

thamma chon said...

Saya baru mengikuti blog saudara, boleh ceritakan serba sedikit tentang diri saudara..asal,taraf pendidikan agama buddha.Harap maaf klu keterlaluan, terima kaseh.