Friday, May 9, 2008

Selamat Hari Wesak




Hari Wesak merupakan hari yang penting kepada penganut agama Buddha seluruh dunia kerana pada hari ini berlakunya tiga peristiwa penting, iaitu kelahiran Buddha(Putera Siddharta), Buddha mendapat Pencerahan Sempurna (Samma Sambodhi) dan Buddha meninggal dunia (Parinibbana). Kepentingan Hari Wesak menjadi semakin bermakna apabila Pertubuhan Bangsa Bersatu memberi penghormatan dengan mengiktiraf Hari Wesak sebagai hari penting (kategori keamanan)kepada dunia dan akan diperingati oleh badan dunia itu.

Apakah yang harus dilakukan oleh penganut Buddha pada Hari Wesak? Banyak aktiviti keagamaan yang boleh dilakukan, termasuklah pergi membuat pahala (Thai:tam bun), mendengar ceramah dhamma, menderma duit, menderma darah, menolong aktiviti di wat atau vihara dan sebagainya dengan ikhlas hati.

Pada hari yang mulia itu penganut Buddha mesti memulakan hari baru dengan sembahyang (chanting), menjaga Sila (rukun moraliti)dan membuat sedekah makanan kepada Sangha (Sanghadana).

Pada sebelah malam, penganut Buddha akan melakukan upacara perarakan mengelilingi ubosatha (Thai:vian tian)sebanyak tiga keliling untuk memperingati kebesaran Buddha, dhamma dan Sangha. Di Kuala Lumpur diadakan perarakan kereta berhias, mengelilingi bandar. Perarakan itu akan lebih bermakna sekiranya semua orang yang menyertainya memahami maksud perarakan tersebut. Setakat ikut suka-suka, hoha-hoha, dan jerit-jerit lebih baik tidur di rumah. Jangan menambahkan dosa tidak tentu pasal.

Pada hari yang mulia itu, penganut agama Buddha harus pergi ke wat atau vihara dengan berpakaian bersih (seelok-eloknya pakaian putih). Pakaian compang-camping mesti dielakkan. Pakaian yang seksi dengan pendedahan tubuh yang melampau juga tidak boleh kerana tidak manis dan dianggap tidak menghormati Bhikkhu. Mereka juga mesti menjaga rukun moraliti (Sila 5 atau Sila 8) dengan sempurna. Sopan santun harus diutamakan. Sekiranya mereka melanggar rukun moraliti pada hari mulia ini, bererti mereka memandang rendah pada agama sendiri. Oleh itu, percakapan, perbuatan, dan pemikiran mesti diawasi. Percakapan mesti berlapik, terkawal dan seboleh-bolehnya bercakap perkara yang berfaedah sahaja. Perbuatan juga mesti dijaga agar tidak melakukan perkara terlarang yang menyalahi moral, peraturan, adat serta undang-undang. Fikiran juga harus dikawal dengan baik kerana fikiran akan mempengaruhi percakapan dan perbuatan.

Apabila Pertubuhan Bangsa Bersatu mengiktiraf Hari Wesak sebagai hari penting kepada dunia, kita selaku pengikut Buddha tentulah berasa bangga. Kebanggaan kita mesti dibuktikan dengan perlakuan yang baik. Sekiranya kita melanggar rukun moraliti (Sila) pada hari itu, misalnya membunuh binatang, mencuri, berzina, berbohong dan minum arak, adakah kita tidak berasa malu kepada diri sendiri. Orang lain sanggup mengiktiraf agama kita sebagai pendukung keamanan, sebaliknya kita pula tidak menghargainya. Layakkah kita bergelar penganut agama Buddha?

Pada Hari Wesak, terutama di ibu kota, saya dapati terdapat segelintir penganut agama Buddha yang tidak peka terhadap kemuliaan hari tersebut. Mereka sengaja melanggar rukun moraliti secara terang-terangan di wat atau di vihara. Hari Wesak bukan hak kita seorang, tetapi hak semua penganut agama Buddha di seluruh dunia. Tidak ada sesiapa boleh memaksa kita menghormatinya sekiranya kita tidak rela. Kita ada hak untuk tidak memandang mulia hari kebesaran itu, tetapi kalau kita hendak berpesta, buatlah di rumah, di tempat tertutup. Tidak usah berpesta di pusat keagamaan kerana akan memalukan agama sendiri.

Sekiranya pada Hari Wesak kita pun tidak mampu menjaga rukun moraliti, hari lain usahlah dicerita. Nampaknya matlamat hidup kita tiada lain kecuali neraka jahanam (avici). Atau kita mahu menunggu hari tua ketika sebelah tangan sudah memegang keranda baru kta hendak berbuat baik. Sayang sekali dilahirkan sebagai penganut agama Buddha tetapi, minda sangat teruk, hati tertutup rapat sehingga tidak nampak walaupun setitik cahaya kebenaran (sacca).

Selain melanggar Sila, penganut agama Buddha, terutama wanita suka benar berkumpul pada hari suci ini untuk menjaga tepi kain orang lain. Sambil menolong aktiviti di wat atau vihara, mereka menabur percakapan buruk (vaci kamma) di merata-rata sudut. Kadang-kadang perkara yang tidak patut dicakapkan, diceritakan juga pada hari istimewa ini. Insaflah, Hari wesak bukan hari kebebasan bersuara tetapi hari mengawal mulut.

Ada juga sesetengah orang menjadikan Hari Wesak sebagai hari cari makan. Bukan yang menjual colok, bunga, minuman atau buah-buahan di pintu masuk wat, tetapi yang duduk bersila di dalam wat, vihara atau samnakh. Mereka ini pintar bersembunyi di sebalik agama untuk kepentingan diri. Setiap tahun, mereka dapat mencari ribuan ringgit. Hidup mereka mewah. Rasa-rasa selepas mati, ke mana mereka ini pergi? Mintalah pada kelahiran semula jangan diketemukan lagi serangga perosak ini dengan agama Buddha.

Bagi sesetengah Ahli Jawatan Kuasa Persatuan Agama Buddha, Persatuan Wat atau Persatuan Vihata, inilah hari yang dinanti-nanti untuk melempiaskan ketamakan. Masakan tidaknya kerana penganut agama Buddha begitu bermurah hati. Mereka datang sembahyang di wat sambil menderma duit ke dalam donation box yang disediakan hampir sama banyak dengan jumlah pengunjung. Masa membuka donation box, AJK menjilat bibir melihat duit bertimbun. Ketika inilah perasaan tamak dan sikap jujur berperang di dada. Ketelusan yang terhad sewaktu membuka kotak keramat ini, mengira duit dan bank-in akan mengundang cakap-cakap yang tidak seharusnya berlaku pada institusi agama.

Hari Wesak bukan hari untuk kita berpesta,atau berseronok tetapi hari untuk kita membicarakan(manasikara)kebenaran yang dibawa oleh Buddha. Luangkan sedikit masa untuk bermeditasi, merenung diri, menumpukan hati, menyatukan minda melihat Buddha, Dhamma dan Sangha dalam pengertian yang hakiki. Sekiranya selama ini kita mempunyai pandangan yang salah(micca siddhi), pendirian atau pegangan degil yang sukar dilepaskan (upadana) dan ketamakan (lobha), kemarahan (dosa), kesesatan (moha), maka inilah harinya kita melakukan menghayatan diri untuk membebaskan minda (citta) daripada segala kilesa yang disebutkan tadi.

Maksud Buddha, Dhamma dan Sangha mesti difahami betul-betul. Seandainya kita gagal memahaminya, kita tidak akan dapat menjadi penganut agama Buddha yang baik. Sekurang-kurangnya kita mesti melepaskan sebahagian pegangan (upadana) yang kita ada. Apa-apa sahaja yang kita pegang yang sudah tidak relevan lagi dengan zaman, lepaskan sahaja. Melepaskan pegangan akan membantu kita meringankan bebanan minda. Tamak, marah dan sesat yang merupakan akar kepada segala kejahatan, mesti dilepaskan sedaya yang boleh. Perasaan dendam, dengki, benci dan buruk sangka jangan dibiarkan bersarang di hati. Memberi kemaafan adalah kemuliaan hati yang tiada bandingannya.

Akhir sekali, Hari Wesak ialah hari mulia yang mesti dijaga kemuliaannya agar terus dihormati dan diperingati oleh seantero dunia. Kesucian dan keharmonian Hari Wesak bergantung kepada kita semua selaku pewaris Buddha.

Sadhu! Sadhu! Sadhu!

Tuesday, May 6, 2008

Sukhothai Kota Lama





sumber: thailandmagic.com/sukhothai

Saturday, May 3, 2008

Buddha, Oh Buddha!

"Siapa nampak Dhamma, maka dia nampak Buddha."

"Siapa tak nampak Dhamma, maka dia tak nampak Buddha, tak nampak Sangha."

"Sebesar mana imej Buddha, itu bukan Dhamma, bukan Buddha, melainkan material yang diberikan nama Buddha."



The mountain is a Buddha, the Buddha is a mountain.


Monday, 2 April, 2001, 22:05 GMT 23:05 UK
China's giant Buddha gets makeover



Buddha statue under wraps during clean-up

China has launched a major renovation of the world's largest Buddha statue, in the southwestern province of Sichuan.
The sitting Buddha, just outside the city of Leshan, is carved into a river bluff.

At 72 metres high, the statue is 18 metres taller than the biggest Buddha destroyed by the Taleban authorities at Bamiyan in Afghanistan last month.

Repair work is already under way


Carving of the Leshan Buddha dates back to the Tang dynasty. Work started on the statue in 713 AD and was completed in 803.

The body of the Buddha has a hidden water drainage system to prevent erosion. Repair work will be undertaken on the drainage system as well as the exterior of the figure.

The current renovation project will cost an estimated $30m, with $2m in World Bank loans.

The statue was included on the United Nations World Cultural Heritage list in 1996.



The Buddha statue will stand forever, through concerted protective efforts by all the Chinese people.

Mayor Huang Leshan, Mayor Huang Mingquan said the city government would take measures to improve the air and water quality in the area where the Buddha statue is located. Acid rain is a key factor in the damage to the carving.

"The Buddha statue, which represents ancient China's high sculpturing standard, will stand forever in Leshan City, through concerted protective efforts by all the Chinese people," Huang said.

Search BBC News Online

Gharavas (4): Kebahagiaan Gharavas





Apabila bercakap tentang kebahagiaan gharavas, persoalannya ialah gharavas golongan mana? Kalau diambil makna tersurat, ia membawa satu pengertian. Kalau diambil makna tersirat, ia membawa pengertian yang lebih luas. Kalau diambil makna mengikut hakikat yang sebenar, amat sukar dijelaskan. Jadi, dalam bahasa Thai, gharavas itu golongan mana sebenarnya? Mungkin anda tidak pernah berfikir tentang perkara ini. Tetapi saya mesti memikirkannya untuk mengamalkan dhamma atau mengajar dhamma.

Anda cuba perhatikan bahawa orang yang menjadi gharavas, bukan banpachit ada pelbagai jenis; orang jahat juga gharavas; orang baik juga gharavas; para bijak pandai, ahli falsafah juga gharavas; Phra Sodaban, Phra Sakadagami, Phra Anagami pun ada yang menjadi gharavas. Anda barangkali kurang arif kerana belum membaca perkara berkenaannya. Maha Upasika Visakha atau Anatapintika-Setthi merupakan Phra Sodaban atau Ariya Bukkhon (Ariya Puggala), tetapi kedua-duanya gharavas; tinggal di rumah, ada anak, ada isteri dan suami, tinggal dengan anak, cucu dan cicit. Malah terdapat ribuan gharavas yang menjadi Phra Sodaban atau Phra Sakadagami pada waktu itu.

Gharavas yang bernama Ghatikaputra merupakan Phra Anagami yang menyara hidup kedua-dua ibu bapa yang buta dengan menjual periuk tembikar. Dalam Pali (Kitab Tipitaka) ada menceritakan bahawa beliau mengambil tanah tanpa perlu digali. Beliau mengambil tanah yang dikorek keluar oleh binatang untuk membuat periuk atau barang tembikar untuk dijual. Masih terdapat ramai lagi Phra Anagami lain, termasuklah ayahanda kepada Buddha.

Pengertian gharavas sebenarnya bagaimana? Gharavas jenis Phra Sodaban tidak sukar difahami kerana masih tinggal bersama anak, isteri atau suami. Tetapi gharavas jenis Phra Anagami tidak berumah tangga, maksudnya tiada anak, tiada isteri atau suami, tetapi tinggal di rumah bukan di wat. Pakaian Phra Anagami seperti pakaian orang biasa, tetapi beliau tiada perlakuan berkaitan jantina, dan mempunyai minda yang tinggi sehingga tidak tahu marah. Kalau mengikut pengertian biasa bahasa Thai, beliau ialah gharavas kerana tinggal di rumah dan berpakaian seperti orang biasa. Anda cuba perhatikan dari orang jahat, orang biasa, orang baik, para bijak pandai sehinggalah Phra Sodaban, Phra Sakadagami dan Phra Anagami yang mana gharavas, dan yang mana bukan gharavas?

Kalau mengikut pengertian biasa semuanya merupakan gharavas kerana semuanya tinggal di rumah. Persoalannya timbul apabila ditanya bagaimana kebahagiaan gharavas? Susah hendak dijawab kerana semuanya tidak sama - malah berbeza bagaikan langit dengan bumi. Bagaimana kebahagiaan Gharavas yang menjadi Phra Anagami yang menjual periuk tembikar untuk menyara kedua-dua ibu bapa yang buta? Isteri tak ada. Harta benda tak ada, kecuali periuk tanah liat yang dibuat dan dijual untuk hidup hari-hari.

Sekiranya anda membuka buku agama, misalnya buku Navakovas, ada dhamma yang menerangkan tentang kebahagiaan gharavas, iaitu;

(1) Kebahagiaan lahir kerana ada harta,

(2) Kebahagiaan lahir daripada menggunakan atau membelanjakan harta,

(3) Kebahagiaan lahir kerana tiada hutang,

(4) Kebahagiaan lahir daripada pekerjaan yang halal.

Kebanyakan gharavas yang baik memang pandai mencari harta, menggunakan harta, hidup senang kerana tiada hutang dan pekerjaan pula tidak menyalahai undang-undang yang boleh menyebabkan terpaksa masuk penjara atau lokap. Tetapi kebahagiaan ini merupakan kebahagiaan asas. Gharavas mungkin dapat mencari kebahagiaan yang lebih baik daripada ini.

Seperti yang telah kita perjelaskan bahawa gharavas peringkat rendah, mengamalkan perkara yang berkaitan dengan sara hidup. Gharavas peringkat menengah mengamalkan puñña-pisanda- jalan menjadi Phra Sodaban. Manakala gharavas peringkat tinggi mengamalkan sunyata, dhamma yang diperkenalkan oleh Buddha kepada gharavas; ini merupakan peringkat tinggi sehingga dapat mengecapi rasa nibbana sekali-sekala, atau menghapuskan kesusahan hati. Adakah ini tidak dianggap sebagai kebahagiaan gharavas?

Kesimpulanya, kebahagiaan gharavas berbeza-beza mengikut tahap minda masing-masing. Kebahagiaan gharavas seperti yang tertulis di dalam buku agama; kebahagiaan kerana ada harta, membelanjakan harta, tiada hutang dan pekerjaan tidak menyalahi undang-undang hanya kebahagiaan biasa yang merupakan asas kepada kebahagiaan gharavas sahaja.


Gharavas Mempunyai Tahap Minda (Citta) Yang Berbeza

Oleh sebab gharavas terbahagi kepada 3 peringkat, iaitu peringkat rendah, menengah dan tinggi, kebahagiaan gharavas juga berbeza. Untuk melihat kebahagiaan gharavas secara terperinci, kita mesti melihat tahap minda. Tahap minda manusia terbahagi kepada 4 tahap, iaitu kâma-vacara, rupa-vacara, arupa-vacara dan lokuttara.

Kâma-vacara bererti minda yang masih bersiar-siar di dalam kâma.

Rupa-vacara bererti minda yang bersiar-siar di dalam rupa semata-mata tiada kaitan dengan kâma.

Arupa-vacara bererti minda yang bersiar-siar di dalam arupa sahaja, tiada rupa dan kâma.

Lokuttara bererti minda yang berada di atas dunia.

3 tahap pertama berada di tahap dunia, iaitu dunia kâma, dunia rupa dan dunia arupa. Tahap ke-4 berada di atas dunia. Hanya satu tahap sahaja. Manakala yang berada di tahap dunia ada 3 tahap iaitu kâma-vacara, rupa-vacara dan arupa-vacara.

Saya tidak percaya pembahagian tahap minda ini adalah ajaran daripada Buddha. Tetapi golongan Abidhamma mengatakan ajaran daripada Buddha, tetapi saya tetap tak percaya. Mungkin perkara ini ditetapkan kemudian sahaja. Atau barangkali sudah ada sebelum zaman Buddha kerana orang sebelumnya (Brahmana) pun tahu tentang kâma, rupa dan arupa. Manakala lokuttara, mungkin satu perkara yang diimpikan. Walaupun tidak mencapainya, mereka barangkali pernah mengimpikan perkara yang “melepasi” dunia.

Persoalan timbul daripada pembahagian tahap minda begini. Dalam kitab, dibahagikan lokuttara kepada 4 iaitu Phra Sodaban, Phra Sakadagami, Phra Anagami, dan Phra Arahan. Setiap satu terbahagi kepada 2 iaitu Sodapatti-mark dan Sodapatti-phon; Sakadagami-mark dan Sakadagami-phon; Anagami-mark dan Anagami-phon; Arahatta-mark dan Arahatta-phon. Semuanya lapan. Tambah Nibbana 1 menjadi 9 dipanggil “Lokuttara-Dhamma” iaitu dhamma yang berada “di atas” dunia. Sodaban dan Sakadagami yang jadi orang biasa, tinggal di rumah dengan anak isteri atau suami pun ada. Mereka ini masih jadi gharavas tetapi berada di tahap lokuttara. Bagaimana pula dengan kebahagiaan mereka?

Kâma-vacara bermaksud minda masih melekat kepada perkara yang menjadi “keghairahan atau kenikmatan” yang dinamakan kâma atau kâmarom. Rupa-vacara bermaksud minda yang sudah bosan dengan perkara berkaitan kâma, tetapi berminat dengan rupa (benda) misalnya, keseniaan, keindahan alam, haiwan peliharaan, pokok hiasan dan sebagainya yang bebas daripada “keghairahan atau kenikmatan”. Arupa-cavara bermaksud berminat dengan perkara yang “bukan rupa” (bukan benda), misalnya perkara berkaitan udara, vinyan, perkara yang “tiada apa-apa” langsung. Berminat dengan udara kerana keadaanya yang “kosong”. Berminat dengan vinyan dan mental kerana ia “halus”. Berminat dengan perkara yang “tiada apa-apa” langsung untuk dijadikan “bahan tumpuan” minda agar minda mendapat kebahagiaan daripada keadaan yang “tiada apa-apa” langsung.

Ketiga-tiga tahap minda ini masih berada di tahap loka (dunia) dan sentiasa berubah-ubah. Loka bermaksud perkara yang tidak kekal; atau dipanggil lokiya kerana ia bersifat loka. Manakala Lokuttara-Bhumi merupakan tahap minda yang menghala ke arah pemikiran “tiada diri” atau “tiada aku” atau “tiada benda milik aku” sehinggalah betul-betul mencapai tahap “tiada diri” (anatta) yang sebenar.

Minda Berada Di Mana, Dunia Berada Di Situ

Perkara berkaitan “tahap minda” ini berada di dalam minda. Minda berada di mana, dunia berada di situ; bagaimana keadaan minda, begitulah keadaan dunia. Oleh itu, di dunia ini, dunia yang dihuni manusia terdapat semua “bhumi” dan “bhava”. (Bhumi ialah tahap minda. Bhava ialah tempat tinggal minda). Semuanya terpulang kepada minda. Sekiranya, minda seseorang itu melekat dengan kamarom, dunia ini menjadi kama-vacara-bhava bagi orang tersebut. Begitu juga dengan minda tahap rupa-vacara dan arupa-vacara. Dalam sehari, minda seseorang itu akan berubah-ubah dari satu tahap ke satu tahap. Mungkin ada ketikanya melekat dengan perkara yang berkaitan perasaan. Ada ketikanya berminat dengan pemandangan atau pada ketika lain amat menyukai ketenangan jenis tiada sebarang gangguan. Minda tidak pernah berhenti daripada berlegar-legar dari satu tempat ke satu tempat.

Encik A merupakan seorang yang berpendidikan tinggi dan mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat. Usia sudah meningkat tua. Pada sebelah pagi barangkali beliau berminat dengan perkara-perkara yang mengghairahkan yang pernah dialami sebelum ini, misalnya perkara berkaitan jantina. Pada waktu petang, minat beliau beralih kepada benda-benda kesenian, binatang peliharaan atau pokok bunga. Kadang-kadang beliau berasa bosan dengan perkara yang mengghairahkan atau benda-benda lain. Sebaliknya, beliau berminat pula dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan pahala, akhirat, kehormatan, kebaikan, atau kedudukan. Pada waktu yang lain, beliau berminat pula kepada ketenangan jenis tiada sebarang gangguan - hati lapang. Tambah lagi sekiranya beliau pernah menjalani latihan meditasi, beliau mungkin dapat mencapai kelapangan dan ketenteraman hati.

Di sini kita dapati bahawa Encik A mempunyai 4 tahap minda yang berbeza tetapi semuanya tidak kekal - berubah-ubah dari satu tahap ke satu tahap. Sekiranya terlalai, minda seseorang mungkin terjerumus ke tahap yang lebih rendah, misalnya melakukan kesalahan sehingga menerima padah yang “panas” umpama terjatuh ke neraka. Orang memang begitu. Kadang-kadang sanggup melakukan perkara yang “membakar” hati sendiri seperti terjatuh ke dalam “abai” walaupun masih tinggal di dunia ini. Badan berada di dunia tetapi hati berada di dalam “abai” atau dinamakan kama-vacara-bhumi jenis akusala (tidak baik).

Oleh demikian, seseorang itu boleh menjadi binatang, asurakai (asura), prêt (peta), manusia, dewa atau Phrom. Mungkin boleh menjadi Phra Ariya (Ariya Puggala) jenis “percubaan”. Yang dikatakan “percubaan” kerana seseorang itu adakalanya dapat merasai “kebahagiaan tanpa kesengsaraan” seperti Phra Ariya tetapi tidak lama. Pada detik tertentu, ketika hati tenteram tanpa sebarang gangguan, seseorang itu akan berasa cukup bahagia, lapang dan damai. Itulah yang dikatakan menjadi Phra Ariya percubaan. Phra Ariya yang sebenar tidak akan kembali lagi. Sedangkan Phra Ariya percubaan akan kembali - yang dikatakan akan kembali ialah perasaan tenteram akan kembali kecamuk seperti biasa. Malah gharavas yang mempunyai minda yang tinggi mungkin dapat menikmati Nibbana. Istilah Nibbana ada banyak dan membawa pelbagai pengertian. Misalnya, “Tadanga-Nibbana” dipanggil Nibbana sahaja pun boleh tetapi tidak kekal, tidak abadi - maksudnya kita ada kelapangan hati, tiada upadana (pegangan) dan minda seolah-olah bebas. Inilah yang dikatakan Tadanga-Nibbana atau Nibbana sementara. Kadang-kadang sewaktu kita duduk berbual dengan Phra Ariya, hati kita akan berasa tenteram dan nyaman seolah-olah mencapai Nibbana yang sebenar tetapi sementara waktu sahaja.

Sekiranya kita berjaya menggunakan kammatthan-bhavana memaksa hati agar lapang dan tenang untuk jangka masa yang lebih lama maka keadaan ini dinamakan Nibbana jenis “Vikkhampana” - iaitu kita menguruskannya sendiri. Manakala tahap seterusnya merupakan Nibbana sebenar. Phra Arahan sebenar.

Oleh itu, kalau hendak dibahagikan betul-betul, Nibbana ada pelbagai tahap. Ada jenis yang diperolehi secara cepat dan ada jenis yang didapati secara perlahan-lahan. Maka manusia biasa di dunia ini mampu merasai Nibbana, sama ada jenis sementara, lama atau kekal abadi terpulang kepada tahap minda masing-masing. Nibbana sebenarnya ialah “keadaan” hati atau minda seseorang. Nibbana boleh dicapai bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Kita tidak perlu menunggu mati terlebih dahulu baru Nibbana seperti yang difahami ramai. Nibbana tiada kaitan dengan kematian. Nibbana cuma berkaitan dengan keadaan minda sama ada sudah bebas atau belum daripada kesengsaraan (dukkha). Apabila kita bercakap tentang Nibbana bermakna kita bercakap tentang minda.

Berbalik kepada persoalan kita, apakah maksud kebahagiaan? Kebahagiaan manusia berbeza-beza bergantung kepada tahap mindanya. Tetapi kebahagiaan yang tulen dan kekal abadi ialah Nibbana.

Gharavas (3): Dhamma Jenis Alat





Gharavasa-Dhamma yang dijadikan sebagai alat untuk mencapai matlamat seperti yang tertulis di dalam Kitab Tipitaka ada 4 jenis, iaitu:

Sacca - kesungguhan hati.
Dama - memaksa diri atau mengawal diri.
Khanti - sabar atau tahan hati.
Caga - berkorban atau membuang perkara buruk dari hati atau fikiran.

Sacca

Sacca di sini bermaksud kesungguhan hati untuk mengamalkan sesuatu. (Sacca juga bererti kebenaran). Niat atau penetapan hati yang kuat untuk melakukan sesuatu dipanggil “adhitthana” (Thai: adhitthan). Apabila digabungkan kedua-duanya menjadi “sacca-dhitthan”, iaitu seperti yang kita selalu dengar, ada sacca-dhitthan; bererti ada niat atau penetapan hati secara bersungguh-sungguh untuk melakukan sesuatu.

Kita mesti ada niat yang bersungguh-sungguh ini sebagai perkara pertama; walaupun kita tahu apa yang akan kita lakukan dan bagaimana hendak melakukannya, tetapi ia belum cukup. Kita mesti ada sacca-dhitthan dalam perkara ini. Oleh itu upacara tertentu ada faedah juga. Misalnya, membuat niat atau sacca-dhitthan untuk melakukan sesuatu perkara secara bersungguh-sungguh, iaitu selagi belum berjaya, tidak akan berhenti berusaha. Niat atau azam begini amat baik. Selagi tidak mencapai matlamat, tidak akan berundur atau mengaku kalah.

Sewaktu Buddha menjalani kegigihan untuk mencapai Pencerahan Sempurna, beliau ada sacca-dhitthan seumpama ini di bawah pokok bodhi. Beliau membuat ketetapan hati bahawa biarpun tubuh badan akan tertinggal tulang belulang sahaja, sekiranya tidak mencapai Pencerahan Sempurna (samma-sambodhi), beliau tak akan bangun dari tempat duduk itu. Maksudnya, walaupun darah, daging, otot, urat, paru-paru, usus dan segala isi tubuh menjadi kering sehingga tertinggal tulang belulang sahaja, kalau belum mencapai samma-sambodhi, beliau tak akan bangun dari tempat duduk tersebut.

Akhirnya beliau berjaya mencapai samma-sambodhi pada hari tersebut. Orang lain pun sekiranya mahu mencapai matlamat mesti ada ketetapan hati seperti Buddha. Matlamat yang hanya melibatkan diri kita seorang sahaja, apabila disertai dengan ketetapan hati secara bersungguh-sungguh pasti dapat mencapainya. Tetapi perkara yang ada kaitan dengan orang lain, dengan kumpulan manusia lain, sukar sedikit sekiranya orang lain tidak ada ketetapaan hati seperti kita. Sebuah persatuan tidak akan dapat mencapai objektifnya tanpa ketetapan hati sebahagian besar ahlinya.

Perkara yang paling asas, bidang pendidikan umpamanya, di sekolah atau di universiti, sekiranya ada kesungguhan dalam ketetapan hati, usahakan dengan betul, hasilnya pasti lebih baik. Sekarang orang cuma ada ketetapan hati sahaja, tetapi usahanya tidak ada kesungguhan. Kalau ada niat atau ketetapan hati secara bersungguh-sungguh, usahanya pun tidak main-main, hasilnya pasti lebih baik. Oleh itu, kita mesti ada niat atau ketetapan hati secara bersungguh-sungguh sebelum melakukan sesuatu.


Dama

Dama bermaksud memaksa diri, mengawal diri atau minda (citta). Perkara yang dipanggil minda ini sukar dikawal atau dipaksa. Walaupun sukar, tetapi kita tetap diajarkan supaya mengawal minda, bukan mengikut minda. Ajaran Buddha yang ada kaitan dengan dama yang "sedap" didengar ialah, “Seksa diri, paksa diri menjadi seperti gembala gajah yang bijak yang mampu mengawal gajah yang sedang turun minyak.”

Cuba bayangkan bagaimana keadaan gajah sedang turun minyak. Bukan gajah biasa. Gembalanya mesti bijak. Gembala yang bijak sahaja dapat mengawal gajah turun minyak. Kita mesti kawal minda kita seperti itu. Kita mesti menjadi gembala gajah yang bijak, kalau gembala gajah yang bodoh, tentu mati kerana gajah tersebut; kerana minda kita lebih dahsyat daripada gajah turun minyak.

Kalau anda perhatikan, anda akan dapati mental manusia lebih berbahaya daripada gajah yang turun minyak. Sekiranya kita tidak “mengusiknya” ia kelihatan tidak berbahaya atau berbisa apa-apa. Misalnya, kita yang duduk santai begini, merasakan mental ialah benda yang senang dikawal atau benda yang berada dalam kawalan kita. Tetapi apabila berlaku sesuatu yang mengusik mental, dan kita cuba untuk mengawalnya, ia akan melawan dan meronta lebih kuat daripada gajah yang turun minyak. Sekiranya ditangani dengan cara yang salah, kita akan menjadi gila.

Mengawal mental atau minda dengan cara yang salah akan menyebabkan seseorang itu menjadi gila. Umpama gembala gajah yang kurang bijak mengawal gajah turun minyak pasti dia akan mati. Kita mesti bijak dalam perkara yang berkaitan dengan mental. Gunakan cara yang betul untuk mengawalnya. Kita mesti ada kemahiran. Kita boleh memaksanya menjadi tenteram, atau menjadi bijak, atau mempunyai kuasa ajaib, semuanya mesti melalui latihan yang betul. Kalau kita memaksanya dengan cara yang salah, pasti akan menimbulkan masalah. Kita akan mendapat tekanan. Tekanan atau stres berlaku sebenarnya kerana kita mengawal atau menangani mental dengan cara yang salah.

Oleh itu, dalam hal mengawal mental, kita ada 2 cara utama iaitu, paggaha dan niggaha.

Paggaha - menggunakan kebaikan sebagai umpan atau menggunakan cara memujuk atau cara lembut.

Niggaha - mengawal atau memaksa secara langsung atau cara keras.

Yang penting kita mesti tengok keadaan, sama ada hendak menggunakan cara yang lembut atau keras? Atau terpaksa menggunakan kedua-dua cara serentak? Semuanya terpulang kepada kebijaksanaan kita. Misalnya, kalau kita hendak paksa (didik) anak kita dengan rotan sepanjang masa tentulah tidak elok, malah akan memudaratkan. Andainya kita didik dengan duit, gula-gula atau barang mainan tentu lebih elok. Perkara berkaitan dengan mental memang begini; mesti menggunakan paggaha atau niggaha mengikut kesesuaian masa dan keadaan.

Membandingkan keadaan mental dengan kanak-kanak sangat sesuai kerana kedua-duanya tidak tahu apa-apa. Membandingkan mental dengan gajah turun minyak pun amat tepat kerana kedua-duanya ada kekuatan, dan apabila berdegil, ia sangat berbahaya. Kita mesti memerhati dan menghayati baik-baik sehingga kita kenal mental, ciri-ciri semulajadi dan selok beloknya, kemudian kita mengawalnya sehingga berjaya. Dalam hal agama ada dituliskan dengan lengkap di dalam kitab. Tetapi dalam hal masyarakat, kenalah cari sendiri bagaimana hendak mengawal mental. Contohnya, apabila kita hendak pergi menonton wayang yang tidak sesuai, kita mesti cuba melawan dengan kehendak kita. Mungkin kita akan berjumpa ciri-ciri semulajadi mental atau cara mengawalnya.

Mengawal atau memaksa mental atau hati dipanggil dama. Ketetapan hati selalunya tidak “kekal” lama, tidak ada kesungguhan selamanya. Oleh itu, agar ia kekal lama, kita mesti ada dama, iaitu mengawal atau memaksa supaya ia sentiasa berada di dalam landasan yang betul.


Khanti

Khanti bermaksud kesabaran atau tabah hati. Kesabaran ini sangat diperlukan dalam usaha mengawal atau memaksa mental atau minda (citta). Mengawal mental tentu ada kesusahan dan kesakitan, oleh itu mesti ada kesabaran, kalau tidak pasti gagal. Selain kesabaran, kita mesti ada kekuatan sebagai jaminan minda kita tidak menjadi kacau sehingga boleh menyebabkab kita gila. Jadi, untuk menenteramkan minda, kita memerlukan masa. Kekadang memerlukan masa yang lama. Kalau tidak boleh tahan, pasti rebah. Belum mendapat hasil, kita hilang sabar, semuanya akan gagal. Bagi bhikkhu, terdapat pepatah yang menakutkan iaitu, “mengamalkan brahma-cariya dengan air mata”; maksudnya jadi bhikkhu, jadi pabbajjit terdapat sikkha-vinaya yang mesti diamalkan. Keadaan ini akan menongkah arus perasaan kita. Kita mesti sabar, biarpun air mata menitis kita mesti sabar agar pengamalan kita tidak rosak. Kesabaran ini kalau hendak diungkapkan dengan tepat, adalah kesabaran terhadap tekanan kiles (kilesa).

Di sekolah kita sering diajarkan supaya bersabar terhadap kemarahan orang, bersabar terhadap kepanasan atau kesejukan cuaca, dan tabah terhadap kesakitan. Saya rasa ini tak susah. Perkara kebudak-budakan. Perkara yang susah ialah tabah terhadap tekanan kiles; sama ada perasaan tamak (lobha), marah (dosa), sesat (moha) atau apa sahaja yang menekan kita. Apabila kita ada kemahuan yang kuat (raga), cuba kita perhatikan bahayanya berapa menakutkan? Berapa banyak kita harus bersabar? Malah apabila hati hendak menikmati hiburan, tetapi kita tidak dapat memenuhinya, apa akan terjadi? Itulah tekanan kiles. Tetapi sesetengah kiles lebih teruk dari ini kerana ia sentiasa memusnahkan kita atau mencelakan kita.

Tekanan kiles ini mungkin berbentuk perasaan sayang, perasaan benci, dengki, takut dan sebagainya. Semua perkara yang tidak dapat memenuhi kehendak kiles akan menimbulkan tekanan perasaan. Oleh itu kita mesti ada kesabaran yang tinggi. Kesabaran menahan sakit, panas atau sejuk cuaca, dimarahi, dimaki, merupakan kesabaran biasa. Kesabaran melawan kiles memerlukan kesabaran yang tinggi.

Caga

Caga bermaksud memberi atau menderma; tetapi di sini tidak bermaksud memberi barang. Istilah caga yang bererti memberi barang pun ada, memberi perkara lain pun ada. Di sini caga bermaksud kita "menderma" perkara yang kita tidak mahu ia ada di dalam jiwa raga kita; atau "mengorbankan" perkara yang menjadi musuh kebaikan atau kejayaan daripada hati kita dipanggil “caga” di sini. Kesimpulannya, kita tidak perlu bersabar sehingga hilang sabar atau mati kerana sabar. Kesabaran kadang-kadang menyebabkan kemusnahan apabila kesabaran itu hilang. Untuk tidak menyebabkan kesabaran hilang, kita mesti ada jalan keluar untuk membebaskan perkara yang tidak diperlukan. Kita mesti selalu mencari jalan untuk membebaskannya dari masa ke masa agar kesabaran kita dapat bertahan.

Sekiranya ada apa yang boleh membantu, kita mesti berusaha melakukannya. Misalnya, membaca ayat-ayat Buddha, bhavana atau apa sahaja supaya ada “kebocoran” untuk mengeluarkan tekanan di hati. Malah, berehat atau melapangkan fikiran juga boleh meredakan tekanan. Atau menukar corak kehidupan agar lebih selesa dan sesuai dengan keadaan dapat membantu kita mengurangkan masalah. Dan yang terakhir, kita cuba menukar “tekanan hati” menjadi “pembangunan hati.” Contoh, perasaan tamak, kalau ditukar kepada tamak membuat kebaikan tentu amat berguna.



Dhamma Jenis Alat

Kita akan melihat daripada perkara yang kecil iaitu usaha menghentikan tabiat merokok sebagai contoh; anda mesti ada kesungguhan pertama iaitu, ketetapan hati secara bersungguh-sungguh untuk berhenti merokok. Kemudian paksa diri supaya patuh kepada ketetapan hati. Sekiranya berlaku “tekanan” akibat ketagihan, anda mesti ada kesabaran yang keras. Dalam masa yang sama anda mesti mencari cara untuk mengeluarkan “tekanan” daripada diri anda seperti bersenam, membaca buku agama, bermeditasi dan sebagainya. Anda pasti dapat berhenti merokok. Ini dinamakan helah (ubai). Dhamma jenis ini dipanggil helah, bukan helah untuk menipu, tetapi helah untuk membunuh kiles. Tengoklah perkara kecil seperti hendak berhenti merokok pun terpaksa menggunakan dhamma 4 jenis. Sebagai gharavas, anda masih mempunyai banyak masalah kehidupan yang mesti dilangsaikan. Jadi, dhamma 4 jenis ini mesti diamalkan baik-baik.

Perkara yang manusia terpaksa buat dinamakan tugas atau tanggungjawab. Tugas untuk memajukan diri ini terbahagi kepada 2 jenia, iaitu pertama jenis yang mesti ditinggalkan dan kedua, jenis yang mesti diadakan. Kita mesti bijak dalam kedua-dua jenis. Oleh itu, kita harus tahu apakah kejahatan yang mesti ditinggalkan dan apakah kebaikan yang mesti diadakan serta apakah helah (ubai) yang digunakan untuk mencapainya. Maknanya kita mesti tahu 3 perkara serentak, iaitu perkara yang mesti ditinggalkan, perkara yang mesti diadakan dan helah untuk berjaya.

Dalam Bahasa Pali ada perkataan yang senang diingati iaitu, abai (apaya) yang bermaksud kejahatan, keburukan atau kehinaan yang mesti ditinggalkan; sabai (sapaya) yang bermaksud kesenangan, kemajuan atau kebahagiaan yang mesti diadakan; dan ubai (upaya) yang merupakan helah atau cara untuk meninggalkan abai dan mengadakan sabai. Suku kata akhir ketiga-tiga perkataan ialah “bai” - abai, sabai, ubai.

Perkara yang mesti ditinggalkan ialah perbuatan dosa, perbuatan yang menjatuhkan maruah diri, perlakuan dan pemikiran yang merosakkan. Perkara yang mesti diadakan ialah perlakuan yang betul, kebahagiaan, kesenangan hidup, tugas, tanggungjawab, pekerjaan, kehormatan, nama dan komuniti yang baik dan sahabat yang mulia. Semuanya tergolong ke dalam sabai. Untuk keperinciannya, anda renungilah sendiri, apakah perkara tak baik yang manusia harus tinggalkan dan apakah perkara baik yang manusia harus wujudkan.

Dalam hal meninggalkan tabiat merokok, tabiat minum alkohol, kita mesti menggunakan dhamma 4 perkara; sacca, dama, khanti dan caga. Manakala hal mengadakan kebaikan seperti belajar untuk menduduki peperiksaan juga menggunakan dhamma yang sama. Dhamma lain tidak usah diperkatakan dulu. Dhamma 4 perkara ini pun sudah mencukupi. Anda harus “memuja” Gharavasa-Dhamma jenis alat ini: Sacca, Dama, Khanti, Caga sepenuh hati agar ia bergema di telinga, berkampung di hati. Dhamma ini merupakan alat untuk kita menghapuskan mara (syaitan), alat untuk kita membina perkara yang dihajati dalam semua bidang. Malah pabbajjit yang mengamalkan dhamma-vinaya untuk mencapai magga - phala - nibbana juga harus menggunakan dhamma jenis alat ini.

Dhamma untuk diamalkan oleh gharavas; peringkat rendah, menengah dan tinggi dapat dicapai apabila dibantu oleh dhamma jenis alat ini. Dhamma jenis alat ini boleh juga ditukarkan kepada dhamma untuk diamalkan. Dalam Sekolah Pendidikan Dhamma tahap rendah, dhamma jenis alat ini diajarkan sebagai dhamma untuk diamalkan; tidak pernah diajarkan sebagai dhamma jenis alat untuk membantu kita mencapai matlamat kehidupan. Di Sekolah Pendidikan Dhamma, mereka mengajarkan begini:

Sacca bermaksud jujur kepada sahabat, anak isteri, masa dan tugas.

Dama untuk memaksa atau menekan hati agar tidak kacau sehingga melahirkan kemarahan, kebencian dan sebagainya.

Khanti ialah kesabaran atau tabah hati, misalnya sabar menahan panas, sejuk cuaca, sabar menahan lelah dan sabar daripada dimaki hamun.

Caga bererti tahu memberi atau berkongsi sesuatu dengan jiran, sanak saudara, sahabat handai dan lain-lian.

Penghuraian seperti di atas, dhamma 4 perkara menjadi dhamma biasa untuk diamalkan. Tetapi apabila dihuraikan sebagaimana sebelumnya, ia menjadi dhamma jenis alat untuk mencapai kejayaan dalam usaha mengamalkan matlamat kehidupan. Maknanya, dhamma yang sama kadang-kadang menjadi alat dan adakalanya menjadi perkara pokok yang akan diamalkan. Pemahaman yang betul penting supaya kita tidak keliru memilih dhamma untuk diamalkan atau untuk dijadikan alat bantuan.




Iddhi-Pada 4 (Iddhi-Bat 4) Sebagai Alat

Iddhi-Pada 4 yang dijadikan sebagai alat (alat bantuan) ialah; chanda, viriya, citta dan vimangsa (vimamsa).

Chanda ialah perasaan berpuas hati, perasaan berkenan terhadap perkara yang akan kita lakukan. Misalnya sebagai gharavas, kita tentu berpuas hati dengan usaha mencari duit, mendapatkan kehormatan, mempunyai sahabat yang baik dan sebagainya. Tetapi usaha untuk mencapai magga, phala, nibbana nampaknya sukar untuk mencapai kepuasan hati. Apabila kita ada matlamat yang memuaskan hati kita dinamakan chanda.

Viriya ialah ketekunan dan keberanian untuk berusaha. Dilahirkan sebagai manusia mesti ada ketekunan dan keberanian untuk mencapai matlamat hidup.

Citta di sini bukan bererti mental atau minda tetapi bermaksud memberi perhatian atau mengambil berat terhadap sesuatu perkara dan tidak ada perubahan hati kepada perkara lain. Pada kelazimannya orang selalu bertukar minat, tiada ketetapan hati, sekejap ingin bertani, sekejap mahu berniaga, adakala mahu makan gaji. Hati yang berubah-ubah begini dikatakan tak ada citta. Walau kita ada keyakinan hati terhadap sesuatu perkara, halangannya tetap ada. Oleh itu kita mesti melepasi halangan dengan vimangsa.

Vimangsa bermaksud memberikan perhatian dan tumpuan secara teliti untuk melihat dan mengatasi halangan-halangan yang ada dalam usaha kita.

Kesimpulannya, dhamma yang dinamakan “iddhi-pada 4” merupakan dhamma jenis alat, bukan jenis untuk diamalkan secara langsung. Oleh itu, iddhi-pada 4 sesuai untuk orang bisa, atau bhikkhu untuk mencapai magga - phala- nibbana.



Mengamalkan Dhamma Yang Sesuai

Dhamma jenis alat digunakan untuk membantu mencapai matlamat dalam mengamalkan dhamma. Maksud "mengamalkan dhamma" (patibat-dhamma) bukannya “duduk bersila dengan mata terpejam,” tetapi merangkumi keseluruhan kehidupan manusia, iaitu membuat kerja, menjalankan tugas, menunaikan tanggungjawab dan semua aktiviti harian manusia. Semua perkara (kebaikan) yang dilakukan oleh manusia dinamakan mengamalkan dhamma. Tetapi sekarang ini kelihatannya sedang menjadi sedikit kacau kerana dhamma jenis alat dan dhamma jenis teras dicampur-adukkan menjadi rojak. Lantas tiada teknik dalam pengamalan dhamma, pengamalan tidak betul, tidak sesuai dengan cara pengamalan.

“Dhammanu-Dhammapatipatti” - mengamalkan dhamma sesuai dengan dhamma; iaitu mesti betul dengan teknik dhamma. Kalau dicampurkan menjadi rojak, dipanggil pejam mata buat. Kalau tahu cara, dilakukan dengan betul, dinamakan celik mata buat.

Anda mesti tahu memisahkan yang mana harus diamalkan, yang mana harus dijadikan alat bantuan, barulah hasilnya lumayan. Kalau tahu memisahkan begini barulah dinamakan betul-betul tahu dhamma, betul-betul tahu mengamalkan dhamma dan betul-betul akan menerima hasil dhamma.

Kesimpulannya, dhamma yang diajarkan Buddha, jenis untuk diamalkan atau untuk dijadikan alat boleh digunakan di dalam semua bidang kehidupan. Boleh digunakan di sekolah, kolej, universiti, pejabat, rumah dan di mana-mana sahaja. Kalau caranya betul, hasilnya juga betul.

Gharavas (2):Dhamma Untuk Hidup Berkeluarga





Perkara yang dipanggil dhamma ada dua jenis: jenis pertama merupakan “teras” atau perkara pokok yang kita mesti mengamalkannya kerana ia merupakan matlamat yang sebenar. Jenis yang kedua merupakan “alat” yang membantu kita membuat amalan sehingga berjaya. Inilah dua fungsi dhamma.

Walaupun kita tahu cara untuk mengamalkan dhamma, tetapi kita tidak dapat mengawal diri. Kebiasaannya, orang tidak dapat mengawal diri. Oleh itu kita mesti ada dhamma untuk mengawal diri agar pengamalan kita berjaya mencapai matlamat. Secara terus terang, kita sebenarnya tidak mampu mengawal hati sendiri. Misalnya, usaha untuk berhenti merokok, berhenti minum arak merupakan perkara "teras" atau pokok untuk diamalkan. Tetapi masalahnya kita tidak dapat mengawal diri. Oleh itu kita mesti ada dhamma jenis "alat" yang dapat membantu kita mengawal diri, kemudian berhenti merokok dan minum arak.

Secara kasar dhamma dapat dibahagikan kepada 2 jenis utama, dan beberapa jenis lagi yang kecil-kecil. Perkara penting kita mesti tahu ialah apakah dhamma pokok yang akan kita amalkan? Dan apakah dhamma yang menjadi alat untuk membantu kita berjaya dalam pengamalan? Kalau dalam peringkat tinggi, kita mesti ada dhamma yang dapat membantu minda mencapai ketenangan terlebih dahulu, umpamanya samadhi. Kemudian dengan samadhi tersebut, digunakan untuk mengamalkan dhamma tahap tinggi sehingga mencapai magga, phala, nibbana (Thai:mark, phon, nippan).

Kalau kita perhatikan, sebab utama kita gagal mencapai matlamat kerana kita tidak dapat mengawal diri untuk melakukan perkara yang kita mahu. Misalnya, kita tahu sikap malas itu tidak baik, tetapi kita tidak mampu menukar sikap malas kepada sikap rajin. Ini kerana kita tidak ada dhamma jenis kedua yang menjadi seperti alat untuk mengawal diri kita. Golongan gharavas mempunyai begitu banyak godaan dalam kehidupan harian, maka sukar untuk mengawal diri untuk melakukan perkara yang diniatkan. Oleh itu, kita mesti mengambil berat terhadap dhamma jenis yang menjadi alat untuk membantu kita mencapai niat di hati.

Gharavasa-Dhamma

Sekarang kita akan bercakap tentang dhamma teras yang perlu diamalkan dahulu, kemudian bercakap pula tentang dhamma yang menjadi alat. Gharavas merupakan orang yang ada rumah tangga atau keluarga. Ada dhamma khusus untuk gharavas yang dinamakan “gharavasa-dhamma”. Walaupun sekadar gharavasa-dhamma, tetapi ia ada matlamat untuk mencapai dhamma tahap tertinggi. Sebagaimana telah diterangkan dahulu, gharavas merupakan satu daripada empat tahap kehidupan manusia yang mesti dilalui dengan sempurna, iaitu phromacari, gharavas, vanaparat, dan sanyasi.

Sekiranya tidak dapat menjadi gharavas dengan sempurna, bererti gagal dalam peperiksaan menengah. Walaupun kita telah berjaya dalam peringkat phromacari atau sekolah rendah, tetapi gagal dalam sekolah menengah. Peringkat sekolah menengah pun mesti diusahakan dengan baik, barulah berjaya sampai ke peringkat terakhir. Sekiranya kita perhatikan betul-betul, tahulah kita bahawa gharavasa-dhamma itu penting bagi mereka yang hendak pergi nibbana (nirvana).

Kedengaran melucukan kerana bercanggah dengan pendapat umum yang mengatakan gharavas menghala ke satu arah, manakala magga, phala dan nibbana pula menghala ke arah lain, yang bertentangan. Sedangkan saya pula mengatakan kedua-duanya menghala ke arah yang sama. Kalau tidak dapat menjadi gharavas yang baik, maka tak dapat pergi nibbana. Pendidikan peringkat gharavas merupakan alat untuk membantu kita mengetahui jalan ke nibbana.

Kehidupan gharavas penuh dengan dugaan dan cabaran yang boleh dijadikan pengajaran untuk mencari jawapan bahawa kehidupan manusia menyeronokkan atau membosankan. Apakah akan terjadi sekiranya kehidupan dibiarkan berlaku mengikut kelazimannya? Apakah yang harus kita lakukan terhadap kehidupan kita? Kita mesti memulakan kehidupan kita dengan cara yang betul, iaitu dari peringkat A, B, C, D, sehinggalah ke peringkat seterusnya.

Gharavasa-dhamma dapat dibahagikan kepada 3 peringkat, iaitu:

peringkat rendah,
peringkat menengah,
peringkat tinggi.

Dhamma peringkat rendah untuk gharavas ialah yang berkaitan dengan pekerjaan dan kemasyarakatan. Maksudnya agama Buddha juga mementingkan pekerjaan dan kemasyarakatan; iaitu perkara yang harus dilakukan dengan baik dan betul. Tekun mencari rezeki atau mengumpul harta benda, bijak menyimpan harta benda, pandai membelanja harta benda yang dicari secara sederhana dan mempunyai sahabat yang baik amat ditekankan. (Keperinciannya boleh didapati di dalam Buku Teks Dhamma).

Oleh itu, gharavas tidak boleh lalai dalam mencari harta benda atau kekayaan. Apabila ada kekayaan, baru ada kehormatan dan kawan yang baik. Ketiga-tiga perkara ini, iaitu kekayaan, kehormatan dan kawan yang baik merupakan perkara yang penting. Sesiapa yang berjaya mencari ketiga-tiganya, orang itu dikatakan telah lulus peperiksaan dalam tahap ini. Anda jangan menganggap remeh tentang kerjaya dan harta benda; kehormatan dan nama; dan kawan dan komuniti yang baik. Perkara ini amat mempengaruhi kehidupan seseorang. Sebelum agama Buddha lagi perkara ini diajarkan di dalam masyarakat manusia. Malah dalam setiap agama di dunia juga ada mengajarkan perkara ini. Tetapi perkara ini mesti ditangani dengan betul, bukan dengan mementingkan diri kerana ia akan mengundang masalah. Sahabat atau komuniti yang baik akan membawa kebaikan kepada kita.

Sekarang kita lihat pula perkara yang berkaitan dengan masyarakat dan kemasyarakatan. Selain menangani masalah berkaitan diri sendiri dan kekayaan, kita juga mesti menangani masalah berkaitan dengan masyarakat. Masalah yang berkaitan dengan masyarakat, Buddha ada menerangkan asas masyarakat yang dinamakan arah enam (thit hok).

Arah Enam ini tiada kaitan dengan arah utara atau arah selatan, tetapi arah yang ada hubungan dengan orang atau sekumpulan orang di sekeliling kita. Arah Depan - Arah Belakang; Arah Kanan - Arah Kiri; Arah Atas - Arah Bawah. Semuanya ada 6 kelompok manusia dari enam arah yang sedang mengelilingi kita seperti aura (rasi / rasemi). Sekiranya kita bertindak betul terhadap semua arah, bererti kita telah bertindak betul terhadap masalah di sekeliling kita.

Arah Depan - Arah Belakang.
Maksudnya ibu bapa berada di depan, manakala anak isteri berada di belakang; mesti bertindak betul terhadap ibu bapa, bertindak betul terhadap anak isteri. Jangan terhad kepada ibu bapa sahaja, tetapi abang, kakak, adik, bapa saudara, emak saudara, datuk dan nenek mesti diambil kira juga. Fikirkan mereka dahulu. Anak isteri yang berada di belakang jangan diabaikan.

Arah Kanan - Arah Kiri.
Arah kanan dianggap lebih penting daripada arah kiri. Oleh itu, guru atau acariya diletakkan di sebelah kanan. Manakala sahabat, kawan atau teman-teman diletakkan di sebelah kiri. Kenapa guru dan sahabat diletakkan bersebelahan? Kerana kedua-duanya kelihatan sangat mirip. Guru menolong kita dari segi rohani, manakala sahabat menolong kita dari segi jasmani. Fahami betul-betul perkara ini. Sahabat menolong kita dari segi jasmani. Guru menolong kita dari segi rohani; secara mendalam, guru juga merupakan “sahabat” kita dari segi rohani. Sahabat, kawan atau teman-teman biasa, menolong kita dari segi jasmani; kewangan, kebendaan, atau tenaga. Sekiranya sahabat, kawan atau teman membantu kita dari segi rohani, kita kena letakkan dia di sebelah kanan bersama guru atau acariya. Maksudnya, sahabat, kawan atau teman tersebut sekaligus menjadi sahabat, kawan atau teman dari segi rohani dan jasmani. Oleh hal demikian, kawan biasa, kalau dia dapat menasihati kita, mengajar kita berkenaan kebaikan dan kejahatan, dosa dan pahala, bahagia dan sengsara, maka kita mesti meletakkannya sekumpulan dengan guru.

Arah Atas - Arah Bawah.
Arah Atas ialah samana atau mereka yang mempunyai akhlak mulia melebihi orang biasa. Arah Bawah merupakan orang gaji atau hamba dan mereka yang berkedudukan lebih rendah daripada kita. Arah Atas yang dikatakan Samana, Brahmana, atau Phra Song (Sangha) dan sebagainya tidak dikategorikan sebagai guru atau acariya kerana guru atau acariya sudah berada di sebelah kanan. Samana, Brahmana, atau Phra Song dianggap lebih mulia daripada guru atau acariya kerana mereka ini “insan teramat mulia” yang disanjungi dan dihormati umum. Walaupun mereka tidak pernah mengajar kita secara langsung sebagaimana guru, asalkan mereka ada di dunia, kita mesti hormat, sanjung dan mengambil tahu tentang mereka. Misalnya, Buddha atau Phra Arahan walaupun mereka tidak pernah ada kaitan secara langsung dengan kehidupan kita kerana dilahirkan pada zaman berbeza, kita mesti mengamabil tahu, hormat dan sanjung mereka.

*(Phra Song di sini bermaksud para Bhikkhu yang mengamalkan dhamma-vinaya, bukan "pemakai jubah kuning" yang menipu makan di vihara atau wat)

Phra Arahan, dipercayai bahawa dapat berjumpa Phra Arahan sudah dikira perkara yang teramat baik biarpun tidak berbicara apa-apa langsung. Ini kerana Phra Arahan merupakan “insan teramat mulia” yang diletakkan di sebelah atas.

Manakala mereka yang berkedudukan lebih rendah daripada kita diletakkan di bawah, umpamanya orang gaji atau kuli kita, orang yang lebih miskin daripada kita, orang yang moralnya lebih rendah daripada kita dan orang yang serba-serbi kekurangan berbanding dengan kita. Mereka ini merupakan orang yang memerlukan perhatian dan bantuan daripada kita.

Anda mesti memahami perkara berkaitan dengan keenam-enam arah ini dengan betul-betul. Kalau berbuat salah terhadap kelompok manusia dalam Arah Enam ini, perkara lain seperti usaha mencari kekayaan, mencari kehormatan dan mempunyai sahabat yang baik akan ikut terjejas. Pengetahuan tentang Arah Enam amat mustahak agar kita dapat bertindak dengan sesuai dan memadai dengan maksud dan peranan setiap arah. Arah mana patut disanjungi, dihormati, atau dibantu mesti dilakukan dengan sebaik-baiknya. Jangan sekali-kali mengabaikan mana-mana arah kerana semuanya penting kepada kita. Perkara berkenaan arah ini juga dipanggil “masalah kemasyarakatan”. Penjelasan ini sebagai panduan sahaja. Untuk perinciannya, anda carilah sendiri di dalam buku-buku yang berkaitan.

Anda cuba bandingkan masalah sosial sebagaimana anda fahami dengan “masalah kemasyarakatan” yang ada dalam agama Buddha. Ada persamaan atau tidak? Apakah maksud masalah kemasyarakatan yang diajarkan di universiti anda sendiri lebih arif. Tetapi masalah kemasyarakatan yang terdapat di dalam agama Buddha adalah seperti yang telah diterangkan tadi. Masyarakat di depan - masyarakat di belakang; masyarakat di kanan - masyarakat di kiri; masyarakat di atas - masyarakat di bawah. Siapa yang lebih baik daripada kita; moral atau apa saja yang lebih baik daripada kita diletakkan di arah atas. Tuan atau tauke kita mesti diletakkan di atas juga. Individu yang lebih rendah daripada kita diletakkan di arah bawah. Insan yang melahirkan kita dan insan yang berbudi atau berjasa kepada kita yang harus kita balas budi dan jasanya diletakkan di depan. Ibu bapa mesti diutamakan kerana mereka amat berjasa kepada kita. Phra Song yang ada kaitan dengan kita juga mesti diutamakan.

Perkara berkenaan arah ini disusun dan diletakkan sebegitu kerana ada sebab-sebab tertentu. Seandainya, anda fahami dengan betul, masalah kemasyarakatan akan dapat diselesaikan dengan berkesan. Perkara ini dipanggil dhamma peringkat rendah. Sebenarnya masih terdapat banyak lagi dhamma untuk gharavas tetapi yang paling penting ialah dhamma Arah Enam ini; amalkan semua arah ini dengan betul, dhamma lain akan jadi betul dengan sendiri.

Sekarang sampai kepada gharavasa-dhamma peringkat yang lebih tinggi, iaitu peringkat menengah atau peringkat tertinggi. Dalam kedua-dua peringkat ini akan diperjelaskan serentak. Peringkat tertinggi ialah magga, phala, nibbana; lebih rendah dari ini ialah peringkat menengah.

Al-kisah terdapat sekumpulan gharavas pergi menghadap Buddha. Mereka meminta Buddha mengajarkan dhamma yang sesuai dengan orang yang hidup berkeluarga yang tidur berhimpit dengan anak dan isteri. Buddha mengatakan dhamma yang berkaitan dengan sunyata (suññatâ) amat sesuai dengan gharavas. Sunyata berkaitan dengan perkara tidak ada diri, kosong daripada diri. Kumpulan gharavas tersebut memberitahu sunyata terlalu tinggi bagi mereka. Buddha mengatakan kalau begitu, amalkanlah dhamma 4 perkara, iaitu mempunyai kepercayaan teguh kepada Buddha, kepercayaan teguh kepada Dhamma, kepercayaan teguh kepada Sangha, dan mempunyai sila yang baik yang disanjungi Ariya Puggala. Kumpulan gharavas membalas bahawa 4 perkara ini memang sedang diamalkan mereka. Buddha mengatakan kalau begitu memang sudah baik. Apakah maksud sebenar di sebalik kisah yang tertulis di dalam Kitab Tipitaka ini?

Buddha mengatakan sunyata, mereka memberitahu terlalu tinggi. Kalau begitu, kurangkan kepada dhamma 4 perkara yang dipanggil “puñña-pisanda” yang bermaksud paip air yang mengalir keluar pahala (puñña). Kekadang dipanggil “sotapattiyangga” iaitu amalan yang akan menolong seseorang menjadi sotapanna (Thai: sodaban). Dhamma 4 perkara ini ada dua nama iaitu "paip air yang mengalir keluar pahala", dan "amalan yang akan menolong seseorang menjadi sodaban". Pengamalan ini saya letakkan di peringkat menengah, manakala peringkat tertinggi ialah sunyata.

Amalan peringkat menengah untuk gharavas ialah dhamma 4 perkara; kepercayaan yang mantap terhadap Buddha, kepercayaan yang mantap terhadap Dhamma, kepercayaan yang mantap terhadap Sangha dan ariya-kantasila iaitu sila yang dijaga dengan baik yang membanggakan hati Phra Ariya. Inilah tempat mengalir keluar pahala, semakin tinggi sehingga mencapai tahap Phra Sodaban - insan yang mula sampai arus nibban.

Kalau lebih tinggi lagi akan mencapai magga-phala-nibbana. Kita berada di tengah bererti kita kenal Buddha dengan baik, kenal Dhamma dengan baik, kenal Sangha dengan baik, kenal sila dengan jelas. Kita ada kepercayaan jenis tidak berbelah bahagi; oleh itu tidak mungkin kita sanggup berbuat jahat kerana kepercayaan kita kepada Buddha, Dhamma dan Sangha begitu kuat dan tidak akan berubah lagi. Kita membuktikan kepercayaan kita dengan mengamalkan ariya-kantasila - sila suci dan sempurna sehingga tidak dapat dikritik. Kita sendiri pun tak dapat mengkritik diri sendiri. Orang lain tengok pun tak dapat cari kelemahan untuk kritik kita. Inilah yang dikatakan ariya-kantasila.

Apabila kita jadi gharavas, kita kena memeriksa diri sendiri adakah kita ada kepercayaan mantap terhadap Buddha, Dhamma dan Sangha. Sekarang ini nampaknya, kurang yakin dan berbahaya kerana kepercayaan terhadap Buddha, Dhamma dan Sangha masih longgar dan tidak menentu biarpun telah mengaku menjadi penganut agama Buddha. Kita selalu mengaku menjadi penganut agama Buddha; terima sila (Thai: rap sin), terima Buddha, Dhamma dan Sangha sebagai pelindung tetapi terima di mulut semata-mata. Apabila terlihat “sesuatu” yang memuaskan hati, buang pelindung untuk mengambil “sesuatu” tersebut ibarat melakukan kesalahan di hadapan Buddha, Dhamma dan Sangha. Kalau begini ertinya kepercayaan kita belum mantap, tetapi masih terhuyung-hayang.

Kepercayaan yang mantap mesti sanggup mati, tetapi tidak sanggup hilang pengamalan dan dhamma. Kenyataannya, kini kalau ada upah disogok, ada benda rangsang, ada umpan diunjukkan, lalu buang Buddha, Dhamma dan Sangha untuk mengambil benda tersebut. Pada hari kebesaran agama Buddha, Hari Wesak misalnya, ada penganut Buddha yang memilih untuk terus "tamak" dan "bodoh" daripada menyelami kepentingan hari tersebut. Sama ada orang muda, orang dewasa atau orang tua semuanya dalam keadaan begini. Nampaknya, ramai belum mampu mempunyai ariya-kantasila, melainkan sila yang tak sempurna; compang-camping dan berlekuk-lekuk.

Gharavasa-dhamma peringkat menengah bererti ada kepercayaan yang mantap terhadap Buddha, Dhamma dan Sangha serta mempunyai amalan sempurna jenis yang diri sendiri tidak dapat mengkritik, malah berhak menyembah atau menghormati diri sendiri. Kita mesti tekun membuat kebaikan dari masa ke masa sehingga mencapai sodapanna.

Gharavasa-dhamma peringkat tinggi ialah sunyata yang bermaksud kekosongan daripada perasaan “diri kita” atau “milik kita”. Perasaan jenis egoisme merupakan perasaan berkaitan dengan ada diri atau peribadi. Gharavas atau pabbajjit menghadapi kesengsaraan kerana perasaan ada diri, atau milik diri ini. Oleh itu, gharavas harus berusaha mengurangkan perasaan ada diri atau milik diri agar kesengsaraan dapat dikurangkan.

Sekarang kita mesti fahami perkara sunyata dengan betul. Sesetengah orang, termasuk mereka yang duduk di kerusi Jawatan Kuasa Sangha Thai, beranggapan bahawa Sunyata perkara yang terlalu tinggi dan tidak seharusnya diajar kepada gharavas. Saya sendiri pernah dilarang. Bhikkhu tua-tua yang dihormati pernah melarang saya daripada mengajar perkara anatta dan sunyata kepada masyarakat umum kerana ia terlalu tinggi. Sesetengah orang mengejek dan mengatakan saya mengambil perkara yang terlalu tinggi untuk mengajar masyarakat - perkara berkaitan “minda kosong” pernah diperlekeh dan dimaki.

*(Buddhadasa Bhikkhu suatu masa dahulu pernah dilabel oleh pemerintah Thailand sebagai berhaluan kiri; menyebarkan ideologi sosialis-komunis)

Namun saya berusaha melakukannya sebaik mungkin seperti yang diperkenalkan oleh Buddha bahawa gharavas perlu mengetahui perkara berkenaan sunyata atau “minda kosong.” Pengetahuan tentang sunyata dapat membantu gharavas apabila menghadapi kesengsaraan hati. Sebenarnya orang menghadapi kesengsaraan yang teruk kerana berpunca daripada kebaikan; mempunyai pegangan yang kuat terhadap kebaikan. Misalnya, kita gagal dalam peperiksaan, kita kecewa kerana kita ada pegangan yang kuat terhadap peperiksaan, iaitu lulus peperiksaan (kebaikan). Apabila kita tak dapat sesuatu (kebaikan), kita susah hati. Malah ada yang sampai membunuh diri. Oleh demikian, tiada perkara lain yang dapat membantu, kecuali sunyata.

Sunyata akan menolong pelajar yang gagal dalam peperiksaan supaya tidak menangis. Sunyata akan membantu orang dewasa yang putus harapan agar tidak berendam air mata. Buddha nampak ada kebaikannya, lantas memperkenalkan sunyata kepada orang biasa kerana ia berfaedah dan berguna sepanjang masa. Sunyata penting kepada gharavas. (Lain kali kita akan meneliti perkara berkaitan anatta dan sunyata secara lebih terperinci)

Sunyata merupakan perkara berkaitan magga-phala-nibbana (mark-phon-nibban) secara langsung. Sesetengah golongan bijak pandai mengatakan bahawa sunyata bukan dhamma untuk gharavas. Tetapi saya juga ada alasan tersendiri kerana perkara ini ada tercatat di dalam Kitab Tipitaka. Anda cuba renungkan. Saya mengajar perkara yang diperkenalkan oleh Buddha kepada golongan gharavas sebagaimana tercatat di dalam Kitab Tipitaka. Apabila gharavas sedang panas hati bagai menyala, mesti disiramkan air untuk memadamkan api. Tiada dhamma yang lebih baik daripada melepaskan pegangan (upadan / upadana). Oleh itu gharavas mesti ada pengetahuan tentang “melepaskan pegangan” atau “bebas daripada pegangan” yang dipanggil sunyata; serta ada “minda kosong” (minda lapang) sesuai dengan keadaan. Gharavas yang mengamalkan sunyata begini memang patut dihormati dan dimuliakan.

Berfikirlah secara mendalam. Buddha menggalakkan kita berfikir sendiri sebelum percaya kepada sesuatu perkara biarpun perkara itu ada tertulis di dalam kitab. Kitab sesiapa pun boleh tulis. Mungkin ada tokok tambah. Oleh itu, kita sendirilah yang akan membuat keputusan muktamad. Amalkan dan lihatlah hasilnya, baru membuat kesimpulan sama ada baik atau sebaliknya.

Kesimpulannya, gharavasa-dhamma ada 3 peringkat. iaitu rendah, menengah dan tinggi.

Peringkat rendah - mencari rezeki atau kekayaan (termasuklah mencari pangkat, nama dan kehormatan) dan susunan masyarakat (thit hok).

Peringkat menengah - puñña pisanda; saluran datangnya pahala, iaitu kepercayaan mantap kepada Buddha, Dhamma dan Sangha (Tri-Ratana), dan ariya-kantasila).

Peringkat tinggi - sunyata menuju magga-phala-nibbana.

Berusahalah dengan budi pekerti dan kebijaksanaan untuk mencapai kejayaan dalam semua peringkat, dari peringkat mencari rezeki sehinggalah ke peringkat magga-phala-nibbana.


sumber:Buku karya Buddhadasa Bhikkhu, Suan Mokh

Gharavas (1): Hidup Berkeluarga


Kita mesti memahami maksud gharavas dengan baik. Ramai yang tersalah faham mengatakan gharavas merupakan perkara yang tidak sealiran dengan dhamma atau ajaran agama. Atau menganggap insan yang terlalu jauh daripada dhamma. Kalau kita pernah tersalah faham begini, sekarang cuba memahaminya semula dengan baik.

Lahir Untuk Mengamalkan Dhamma

Kita dilahirkan untuk mengamalkan dhamma (ajaran Buddha). Kita dilahirkan daripada Phra Dhamma (dhamma dalam konteks alam semulajadi), atau Phra Dhamma yang menciptakan kita. Matlamat Phra Dhamma menciptakan kita semata-mata untuk kita mengamalkan nilai-nilai dhamma. Oleh itu kita mesti terima hakikat bahawa kita dilahirkan tiada tujuan lain yang lebih baik, melainkan untuk mengamalkan dhamma. Setelah dilahirkan tiada siapa jadi bhikkhu sejak di dalam kandungan. Ia mesti jadi bayi, dan semakin membesar setiap hari sebagai gharavas. Sesetengah orang jadi gharavas sampai ke kubur kerana dia tidak pernah jadi bhikkhu. Kalau tidak jadi bhikkhu, jadi gharavas pun boleh mengamalkan dhamma dengan sempurna.

Dari waktu dilahirkan sehinggalah meninggal dunia, merupakan waktu untuk mempunyai dhamma, iaitu mempelajari dan mengamalkan dhamma. Oleh hal demikian kita dilahirkan dengan sifat semulajadi untuk memasuki sekolah dhamma atau memasuki sekolah Phra Dhamma. Walaupun kita tidak ada sekolah kebangsaan, kolej atau universiti, kehidupan kita sebenarnya adalah sebuah sekolah secara semulajadi. Kalau tidak, orang primitif zaman batu tidak mungkin dapat menjadi moyang kita. Anda sendiri pun tahu bagaimana keadaan kehidupan orang primitif zaman batu. Mengapa mereka boleh melahirkan anak cucu sampai kepada kita sekarang? Kerana kehidupan mereka merupakan sebuah sekolah, sebuah pengajaran, dan ada peperiksaan di dalamnya. Manusia baru tahu mendirikan sekolah seperti yang ada sekarang tidak berapa lama dulu. Tetapi manusia masih belum tahu perkara yang patut diketahui, misalnya, kita dilahirkan untuk apa? Atau apakah matlamat kelahiran kita?

Jadi Gharavas Bererti Memasuki Sekolah Kehidupan

Sekali lagi ditegaskan bahawa jadi gharavas bererti memasuki sekolah Phra Dhamma. Sekolah ini tidak ada bangunan, guru dan jadual waktu seperti sekolah kebangsaan yang kita belajar dulu. Pelajarannya terdapat di dalam kehidupan manusia itu sendiri. Semua perkara yang terdapat di dalam kehidupan harian kita merupakan pelajaran terbaik dan pengetahuan yang betul dan jelas tidak seperti pelajaran dari buku. Belajar dari buku mesti menghafal, mengingat dan memahami fakta-fakta. Oleh itu kita terpaksa jadi hamba kepada penghafalan, pengingatan dan fakta-fakta sebagaimana yang kita jadi sekarang ini.

Sekiranya kita belajar daripada kehidupan, kita tidak akan jadi hamba. Misalnya, apabila jari luka terkena pisau, kita dapat satu pengajaran; tidak perlu menghafal atau mengingat fakta-fakta. Betapa pedih jari terkena pisau, kita sendiri tahu. Betapa kita harus berhati-hati supaya perkara sebegitu tidak berulang, kita pun tahu. Dan sekiranya terjadi perkara yang lebih teruk dari itu, baik atau buruk kita pun tahu semuanya. Ini semua adalah pelajaran yang sebenar yang dipelajari daripada Phra Dhamma atau alam semulajadi. Pelajaran ini akan berterusan sehingga tubuh berkecai. Menjadi gharavas bererti mempelajari dhamma seumur hidup.

Dhamma adalah Tugas

Dhamma merupakan satu perkara penting yang patut kita tahu. Anda harus mengingat maksud dhamma ini dengan baik-baik. Dhamma secara umum bermaksud tugas. Kalau anda belum mendengarnya sebelum ini, maka sekarang dengarlah baik-baik. Dhamma bermaksud tugas yang mesti dilaksanakan. Cuba anda fikirkan bagaimana istilah dhamma boleh ada di dunia sebagai bahasa percakapan manusia? Manusia zaman batu tak ada istilah ini. Manusia kemudian semakin maju sehingga tahu pakai istilah dhamma. Apakah maksud pemakaiannya? Istilah ini pertama kali meniti bibir manusia membawa maksud tugas yang mesti dibuat. Kalau tidak buat, tidak boleh kerana ia mesti dibuat. Jadi, istilah dhamma diberikan maksud tugas.

Manakala maksud dhamma yang kita fahami sebagai ajaran merupakan perkara kemudian. Ajaran apa? Ajaran tentang tugas. Manakala dhamma dalam konteks magga - phala - nibbana adalah hasil daripada tugas. Setiap manusia ada tugas yang mesti dilaksanakan. Dari tugas yang paling biasa seperti makan, mandi, buang air dan sebagainya merupakan tugas yang mesti dilaksanakan dengan baik.

Oleh itu, kita ada tugas secara semulajadi iaitu mencari makanan untuk meneruskan kehidupan. Tugas ini mesti dilakukan dengan baik. Kalau terpaksa ada pasangan, yang merupakan perkara normal bagi manusia atau haiwan, mesti dilakukan dengan betul. Setelah ada rumah tangga mesti menjaga rumah tangga dengan baik. Semuanya merupakan tugas manusia yang harus dilakukan dengan betul. Begitu juga dengan minda. Manusia mesti membina minda supaya menjadi minda yang baik. Malah mati pun mesti mati dengan betul. Semua ini terkumpul di dalam satu perkataan iaitu tugas. “Tugas” dalam bahasa Pali ialah “dhamma.” Setelah tahu bahawa dhamma adalah tugas, maka senanglah untuk difahami tugas sebenar gharavas.

Empat Peringkat Kehidupan

Sekarang kita cuba melihat sesuatu secara menyeluruh sebagaimana yang dijadikan pegangan sejak dahulu. Budaya India merupakan akar budaya kita. Orang India percaya manusia pertama paling cerdik di dunia ialah Phra Manu. Phra Manu telah mencipta 4 peringkat kehidupan manusia, iaitu Phromacari, Gharavas, Vanaparat, Sanyasi.

Peringkat 1: Phromacari - merupakan zaman kanak-kanak dan remaja lelaki atau perempuan yang belum beristeri atau bersuami dipanggil phromacari.

Peringkat 2: Setelah berumah tangga, ada suami atau isteri dipanggil gharavas.

Peringkat 3: Gharavas yang berasa bosan menjalani kehidupan berumah tangga atau berkeluarga teringin mencari ketenteraman. Maka mereka meninggalkan keluarga untuk menjalani kehidupan tenteram sebagai pabbajjit (banpachit) di hutan. Mereka ini dinamakan vanaparat yang bermaksud tinggal di hutan.

Peringkat 4: Setelah berpuas hati tinggal di hutan, mereka keluar dari hutan untuk kembali ke dalam masyarakat. Tetapi bukan untuk menjalani kehidupan berkeluarga seperti orang sekarang yang keluar dari alam bhikkhu untuk berumah tangga. Mereka keluar meninggalkan hutan untuk mengajar manusia. Mereka ini dinamakan sanyasi yang bermaksud orang yang mengembara di dalam masyarakat manusia untuk mengajar masyarakat.

Kehidupan manusia yang sempurna terbahagi kepada 4 peringkat. Bagi orang yang belum berkahwin dipanggil phromacari. Manakala gharavas bermaksud orang yang hidup berkeluarga iaitu sudah berkahwin atau berumah tangga. Oleh itu para remaja yang masih menjadi phromacari harus sedar kedudukan mereka agar tidak tersasul melakukan perkara yang bukan-bukan. Para remaja harus tahu tugas dan batasan masing-masing. Kebanyakan orang menganggap “phromacari” bermaksud gadis yang belum berkahwin. Sebenarnya “phromacari” bermaksud gadis dan lelaki bermula dari lahir sehinggalah mencapai usia dewasa.

Phromacari bererti menjalani kehidupan seperti Phrom (Brahma) iaitu tidak ada perhubungan dengan jantina yang bertentangan atau tidak ada pasangan. Oleh itu phromacari mesti selalu berhati-hati dalam pergaulan, mesti menjaga maruah diri dan mengamalkan kehidupan Phrom yang tidak bercampur dengan jantina bertentangan. Tumpukan perhatian kepada pelajaran kerana zaman phromacari ialah zaman mendapatkan pendidikan sempurna. Malangnya, remaja sekarang tidak memahami peringkat kehidupan sendiri. Mereka selalu menampilkan diri seperti “gharavas” yang ada hubungan dengan jantina bertentangan. Ini satu kesalahan yang besar. Sebagai manusia kita mesti tahu peringkat kehidupan kita. Peringkat phromacari mesti berkelakuan seperti phromacari dan amalkan dhamma yang sesuai dengan phromacari.

Setelah meningkat ke peringkat lebih tinggi sedikit, setelah berkahwin akan dipanggil gharavas iaitu kehidupan berkeluarga. Maka tugas dan tanggungjawab pun berubah. Pendidikan di sekolah atau universiti berakhir. Sekarang sudah memasuki bidang kerjaya, ada tanggungjawab sebagai ketua keluarga atau suri rumah. Satu tugas yang lebih berat daripada tugas phromacari. Setelah ada anak-anak tugas makin bertambah. Tugas manusia pada peringkat ini paling berat berbanding peringkat-peringkat lain. Anda sendiri lebih arif tentang perkara ini.

Kehidupan terus berjalan, manusia terus mengumpul pengalaman dan pengajaran. Suatu hari manusia akan sedar dan berasa kehidupan berkeluarga begitu menyeksakan. Manusia tidak harus hidup begini sehingga mati. Manusia memerlukan waktu untuk berehat. Oleh itu sesetengah manusia dengan rela hati menukar corak kehidupan. Mereka menjalani kehidupan terpencil untuk mencari ketenangan dan kedamaian jasmani dan rohani. Mereka tidak bergaul dengan keluarga atau masyarakat. Mereka menyisihkan diri, mencari sudut ketenangan, mungkin di hujung pagar rumah, atau di tepi rumpun buluh. Atau langsung pergi ke Gunung Himalaya pun boleh kerana tiada siapa akan menegah. Walau bagaimanapun tugas dan tanggungjawab berubah sama sekali. Dulu sibuk dengan urusan keluarga, tetapi kini menjurus kepada urusan baik dan buruk kehidupan, urusan dosa dan pahala, urusan membersihkan kotoran hati dan membebaskan diri daripada kesengsaraan. Mereka duduk merenung kehidupan mencari kebenaran sehingga mendapat pengetahuan baru. Pengetahuan baru jenis yang tidak pernah terfikirkan sebelum ini.

Sumber yang dijadikan bahan untuk direnungkan datang dari mana? Jawabnya, datang dari pengalaman yang terkumpul sejak dilahirkan, sehingga menjadi remaja, ketua keluarga, suri rumah sampai mendapat anak dan cucu. Semua pengalaman tersebut merupakan sumber terbaik untuk direnungkan; pengalaman itu merupakan kebenaran dan rahsia kehidupan. Apa yang perlu dilakukan manusia? Apa yang manusia perlu dapat? Apa matlamat terakhir manusia? Mereka yang sudah berumur dan penuh berpengalaman tentulah mengetahui selok belok kehidupan dengan baik berbanding phromacari atau gharavas. Demi keselesaan, maka mereka menjadi pabbajit dan meninggalkan rumah untuk menjalani kehidupan terpencil. Jadi pabbajit memudahkan mereka menumpukan perhatian kepada aktiviti minda seperti samana-dhamma, kammatthana, vipassana atau apa sahaja urusan vanaparat.

Sekarang ini kita tidak menjalani kehidupan mengikut kebiasaan orang India zaman dahulu. Kini orang-orang muda terus melompat dari phromacari ke peringkat vanaparat (bhikkhu). Mereka meninggalkan peringkat gharavas. Maka susah untuk mendapatkan pengetahuan atau pemahaman seperti mereka yang menjalani kehidupan dari peringkat ke peringkat, iaitu phromacari, gharavas barulah vanaparat. Namun pengetahuan dan pemahaman itu masih dapat dimiliki sekiranya kebijaksanaan mencukupi. Jadi pabbajit sejak muda pun boleh tetapi tidak sebaik orang yang telah melalui kehidupan mengikut peringkat-peringkat. Sebab itulah bhikkhu muda-muda selalu resah gelisah kerana terdapat sesuatu yang hendak dicuba, hendak dirasa mengacau fikiran, mengganggu kepastian. Maka ramai yang terpaksa meninggalkan alam bhikkhu untuk beristeri dan beranak pinak. Mereka tidak setanding orang yang telah melalui kehidupan dari peringkat ke peringkat mengikut peraturan dhamma.

Setelah menjadi vanaparat sehingga berpuas hati atau telah berjaya mencapai matlamat kehidupan, tetapi usia masih berbaki, belum tiba masa mati, maka hati teringatkan orang lain. Urusan sendiri sudah selesai, lalu terfikirkan urusan orang lain. Hati teringin membuat kebaikan kepada orang lain. Kita gunakan istilah “memberi barang, menyuluh pelita.” “Memberi barang” bermaksud melakukan perkara berfaedah kepada orang lain. “Menyuluh pelita” bermaksud memberi pengetahuan, memberi penerangan (cahaya) kepada orang lain sehinggalah diri sendiri meninggal dunia. Inilah yang dinamakan sanyasi.

Bayangkanlah sempurna atau tidak, betapa berbeza sehingga tidak terbandingkan. Phromacari, gharavas, vanaparat dan sanyasi mempunyai peranan dan tugas masing-masing. Itulah kehidupan yang betul yang terbahagi kepada empat peringkat. Semua orang boleh melaluinya dengan sempurna. Kecuali kalau ada sesuatu halangan mungkin tidak dapat melalui kesemua peringkat. Amat kesian apabila dilahirkan sebagai manusia tetapi gagal mencapai matlamat. Atau tidak dapat sampai kepada tujuan terakhir manusia sebagaimana yang ditetapkan Phra Dhamma.

Sebelum ini kita telah perjelaskan bahawa manusia dilahirkan untuk mempunyai dhamma, mengamalkan dhamma kerana Phra Dhamma yang melahirkan kita. Mempunyai dhamma bermaksud mempunyai dhamma sehingga mencapai matlamat terakhir; dhamma sebagai phromacari, dhamma sebagai gharavas, dhamma sebagai vanaparat, dan dhamma sebagai sanyasi. Dhamma sebagai sanyasi merupakan dhamma tertinggi yang mampu tercapai manusia.

Sekarang anda telah tamat belajar, telah bekerja, ada harta, nama dan keluarga serta lain-lain yang mampu dimiliki. Tetapi anda akan sampai kepada vanaparat atau tidak, berfikirlah sendiri. Atau sama ada anda berfikiran luas, ada belas kasihan untuk “memberi barang, menyuluh pelita” atau tidak, renung-renunglah sendiri.

Sebenarnya perkara ini kita boleh buat. Misalnya, apabila usia telah tua, selepas pencen, ada duit simpanan mencukupi untuk keluarga, kalau kita memerlukan kehidupan jenis vanaparat, kita boleh memencilkan diri di sudut rumah, di tepi rumpun buluh atau rumpun pisang untuk menghayati kehidupan rohani. Tetapi sekarang orang yang sudah pencen masih pergi berhibur di dalam kelab malam bagaikan anak remaja. Mereka tidak menggunakan kesempatan ini untuk menjalani kehidupan vanaparat. Oleh itu, berkenaan sanyasi usahlah dimimpikan. Kalau tidak ada pengetahuan benar jenis yang terang benderang tentang kehidupan, kita nak pergi mengajar apa kepada orang lain. Dari mana kita nak dapatkan “pelita” untuk menyuluh kehidupan orang lain. Cuba anda fikirkan di dalam masyarakat kita, ada tak sesiapa yang berjaya melalui 4 peringkat kehidupan ini? Dan anda bagaimana? Buatlah ramalan sendiri.

Tahap Sekolah Kehidupan Gharavas

Setelah meneliti 4 peringkat kehidupan, kita tahu bahawa peringkat gharavas merupakan peringkat memasuki sekolah Phra Dhamma melebihi peringkat lain. Kanak-kanak dan remaja memasuki sekolah yang dibina manusia. Setelah menjadi dewasa, ada rumah tangga, ada keluarga kena masuk sekolah kehidupan; peringkat kehidupan yang berat, penuh tekanan dan cabaran yang perlu dihadapi. Inilah yang dikatakan sekolah Phra Dhamma. Kebanyakan orang berminat dengan persoalan orang dewasa atau gharavas. Sekiranya semua orang faham bahawa gharavas merupakan mereka yang sedang memasuki sekolah Phra Dhamma (alam semulajadi), maka semua persoalan selesai.

Sekolah Phra Dhamma lebih tinggi daripada sekolah yang anak-anak kita belajar atau universiti yang anda pelajari. Belajar sehingga tamat sekolah atau universiti tetapi tidak tahu manusia dilahirkan untuk apa? Jadi, mana yang lebih sempurna? Sekolah Phra Dhamma atau sekolah manusia? Peringkat phromacari merupakan satu tahap pendidikan, gharavas juga satu tahap pendidikan, vanaparat juga satu tahap pendidikan. Tetapi yang mana paling sempurna? Manakala sanyasi bukan tahap mendapatkan pendidikan, tetapi tahap memberi pendidikan kepada orang lain yang dinamakan “memberi barang, menyuluh pelita.”

Oleh itu kita dapat simpulkan bahawa phromacari merupakan pendidikan rendah, gharavas pendidikan menengah dan vanaparat pendidikan tinggi. Duduk memejam mata seorang diri di sudut rumah atau di tepi rumpun buluh merupakan pendidikan tinggi lagi sempurna. Anda boleh menganggap pendidikan di universiti sebagai pendidikan sempurna tetapi pendidikan sempurna bagi manusia yang tutup mata tutup telinga, bukan pendidikan sempurna Phra Dhamma. Anda harus sedar bahawa sekarang kita sedang memperkatakan perihal kehidupan yang luas. Anda mesti memahami pendidikan sempurna dalam pengertian yang luas. Pendidikan sempurna yang difahami manusia tidak diterima sebagai sempurna oleh Phra Dhamma kerana mengandungi nilai dhamma terlalu sedikit sehingga tidak mengetahui kebenaran dunia. Kita boleh mengambil contoh daripada kehidupan sekitar kita. Ramai lulusan universiti tidak tahu membezakan nilai buruk dan nilai baik dalam kehidupan harian. Jadi, ada antara mereka yang bergelar siswazah berbangga melakukan perkara yang mereka sangka "baik" padahal sebenarnya perkara itu sangat buruk tetapi mereka tidak dapat membezakannya.

Manusia Dilahirkan Untuk apa?

Sekarang ini, kebanyakan orang tidak tahu apa itu kebenaran umpama katak dalam perigi yang tidak tahu dunia luar. Kalau kita pergi tanya budak-budak bahawa kehidupan itu apa? Dilahirkan untuk apa? Kita akan ketawa kerana budak-budak akan menjawab dilahirkan untuk makan, bermain dan berseronok. Para remaja pula akan berkata dilahirkan demi mengecapi kenikmatan “tertinggi” yang berkaitan dengan pasangan, atau perkara seumpamanya. Walaupun malu untuk bercakap tetapi dalam hati tetap berbisik aku dilahirkan untuk menikmati keseronokan perkara tersebut. Kalau pergi tanya ibu bapa yang sedang tertekan oleh kehidupan berkeluarga, pasti akan mengatakan manusia dilahirkan untuk menanggung derita seperti lembu atau kerbau yang terpaksa menarik tenggala. Kalau tanya kepada orang yang lebih tinggi, iaitu vanaparat, mereka akan beritahu dilahirkan untuk mengetahui segala benda mengikut kebenarannya. Memanglah kerana mereka ini hari-hari duduk merenung kebenaran segala benda di tempat yang tenteram. Oleh itu mereka tahu bahawa manusia dilahirkan untuk mempunyai dhamma, mengamalkan dhamma dan menerima hasil dhamma. Dan kalau bertanya kepada sanyasi, dia pasti berkata manusia dilahirkan untuk membuat kebaikan kepada orang lain. Inilah maksud kelahiran manusia. Jawapannya berlainan mengikut peringkat kehidupan. Setiap orang pernah menjadi bodoh, sebelum menjadi bijak. Bodoh dulu barulah bijak dari peringkat ke peringkat sehingga sampai matlamat terakhir.

Oleh itu, sekiranya anda berada di peringkat phromacari, anda tidak usah sombong bahawa anda kenal kehidupan dengan baik, kenal segala benda dengan sempurna. Tiba pada masanya anda akan tahu. Semua yang diterangkan supaya anda berhati-hati dan tidak melalut merasakan diri sudah matang dengan kehidupan manusia. Anda baru memasuki peringkat phromacari, itu pun “sudah masak belum matang” kerana tidak mendapat pengetahuan yang sempurna sebagai phromacari. Sesetengah orang tidak percaya, tidak ambil kisah, lalai dalam tugas dan tanggungjawab serta melanggar kesopanan sebagai phromacari. Kita perhatikan dari masa ke masa, kita akan faham dan tahu kebenarannya. Sekurang-kurangnya apabila tiba peringkat ke-3, setelah melalui peringkat ke-2 dengan sempurna, kita akan tahu kebenaran tentang kehidupan.

Perkara Yang Harus Dilalui Semua Orang

Sekarang kita akan melihat beberapa perkara yang harus diketahui manusia. Perkara yang manusia mesti memberikan perhatian, misalnya, apakah erti kasih sayang, keluarga, kerjaya, harta, pangkat, komuniti, pahala, agama atau dhamma?

Apakah erti berkeluarga? Cuba anda fikirkan betul atau salah jawapan anda. Anda tentu yakin jawapan anda betul seratus peratus kerana anda boleh nampak setiap hari. Anda sendiri ada keluarga; ada ibu bapa. Walaupun anda sebagai anak tetapi anda tahu maksud hidup berkeluarga. Pengetahuan anda sangat cetek. Selagi belum menjadi ibu bapa, anda tidak mungkin matang dengan pengertian keluarga.

Apakah erti cinta? Di sini akan dikemukakan beberapa contoh untuk anda membuat pilihan erti cinta sebenar. Kebanyakan orang mengatakan mereka kenal cinta. Betul ke? Pada zaman Greek terdapat seorang lelaki menjemput para ahli falsafah, termasuk Socretes ahli falsafah terkenal ke majlis kenduri di rumahnya. Setelah selesai makan dan minum, mereka bersembang tentang “Apa Itu Cinta?”

Di kalangan ahli falsafah tersebut, tiada yang muda, semuanya tua-tua belaka dengan janggut sudah putih. Salah seorang memberitahu, “Cinta merupakan keperluan untuk manusia bersatu semula.” Mengikut kepercayaan dahulu, “orang” pada asalnya ialah haiwan berbentuk bulat yang mempunyai 8 tombol. Tuhan (Deva) merasakan manusia dalam bentuk begini terlalu kuat, terlalu berkuasa. Tuhan takut manusia mempermainkannya (menentang) lalu membelah manusia menjadi 2 bahagian, iaitu satu bahagian lelaki dan satu bahagian perempuan. Dari 8 tombol menjadi 4 tombol iaitu 2 tangan dan 2 kaki. Maka manusia menjadi “haiwan” dengan 2 tombol yang bermakna kekuatannya cuma tinggal separuh. Dengan kuasa yang sudah lemah begini, Tuhan percaya manusia tidak mampu menentangnya lagi. Oleh itu manusia lelaki dan manusia perempuan ini mahu bersatu (bercantum) semula seperti duhulu untuk mengembalikan kuasa atau kekuatan asalnya. Jadi, cinta adalah perasaan untuk bersatu semula supaya ada kekuatan yang menggerunkan Tuhan.

Pemahaman mereka amat mendalam. Cinta sekurang-kurangnya bermaksud menyatukan tenaga lelaki dan tenaga wanita menjadi satu tenaga istimewa dan kuat agar dapat menyelesaikan masalah kehidupan. Oleh itu perkara yang dipanggil “cinta” memang harus disanjungi. (Tidak seperti seseorang yang mengatakan cinta adalah “tenaga batin”, itu tenaga orang gila). Setelah ada cinta, manusia ada kekuatan, ada keberanian dan tidak takut mati. Lalu Socretes menyimpulkan bahawa, “Cinta adalah kuasa yang akan membawa manusia kepada Tuhan.” Dia menerangkan tanpa cinta, tiada kuasa yang mencukupi untuk sampai kepada Tuhan. Maka manusia mesti ada perhubungan jenis barulah boleh sampai kepada Tuhan.

Mereka tidak bermaksud mengaitkan cinta dengan perlakuan lucah atau tidak bermoral. Cinta sebenarnya keperluan kepada perhubungan jenis dari kedua-dua pihak untuk melahirkan zuriat agar manusia tidak pupus. Sekiranya kedua-dua jantina tidak sempurna, tidak dapat bersatu, maka manusia tidak dapat sampai kepada Tuhan. Beginilah kesimpulan yang diberikan oleh para ahli falsafah Greek yang bersembang berkenaan “cinta” pada hari tersebut.

Sekiranya terdapat orang bertanya anda, cinta itu apa? Apa yang akan anda jawab? Semua orang ada jawapan sendiri mengikut pengalaman masing-masing. Pemuda-pemudi kenal cinta dalam erti yang membahayakan diri sendiri. Ada yang terpaksa membunuh diri kerana cinta. Ada yang bertukar agama dan membuang ibu bapa kerana cinta. Cinta jenis ini cinta orang gila, cinta orang bodoh. Bodoh jenis buta mata, pekak telinga. Malah yang lebih teruk lagi, cinta yang bermaksud kemahuan terhadap sentuhan tubuh, atau keseronokan nafsu berahi. Cinta bodoh inilah yang sering berakhir dengan perbuatan menggugurkan kandungan atau membuang bayi.

Sekiranya ditanya rumah tangga itu apa? Orang yang belum berumah tangga tentu berimaginasi lagi, berimaginasi ke arah keseronokan. Mereka tidak akan melihat dalam konteks tanggungjawab yang berat dalam kehidupan. Maksudnya orang yang berada di peringkat gharavas terpaksa memikul tanggungjawab yang berat, terpaksa melawan kehidupan dengan tekun dan gigih. Bagi pemuda pemudi yang masih mentah merasakan berumah tangga itu satu keseronokan. Bagi ibu bapa yang telah merasai pahit manis berumah tangga merasakan satu penderitaan. Tetapi kalau mengikut konsep Socretes, ini merupakan jalan menuju kepada Tuhan - ada rumah tangga atau keluarga, ada anak cucu merupakan tanda bahawa mereka semakin dekat dengan Tuhan. Kalau mereka mati, anak mereka akan meneruskan perjalanan kepada Tuhan.

Keluarga merupakan institusi yang dijaga dengan sempurna sebagai pewaris yang membawa manusia kepada Tuhan. Oleh itu orang Greek mengasuh dan mendidik anak cucu mereka agar dapat menemui Tuhan. Mereka tidak menanamkan sikap pentingkan diri, pentingkan keluarga dan pentingkan apa sahaja berkaitan dengan diri, melainkan pentingkan manusia sejagat. Berbeza sekali dengan orang sekarang. Diri sendiri tak tahu cara hendak pergi mencari Tuhan (kebaikan), bagaimana hendak mengajar anak-anak menemui Tuhan (kebaikan). Lantas terjadilah ibu bapa yang mengasuh anak-anak menjadi lebih gila daripada dirinya sendiri.

Anda cuba pejamkan mata dan renungkan seketika. Apakah harapan ibu bapa terhadap anak-anak? Mahu anak-anak jadi orang baik, cantik, berpendidikan dan dapat dijual dengan harga tinggi? Maksudnya anak lelaki jadi baik, anak perempuan cantik agar dapat dijual dengan harga mahal. Itu sahaja. Tiada siapa pernah sebut tentang Tuhan, agar manusia dapat menemui Tuhan sebagaimana orang Greek? Tuhan merupakan puncak segala kebaikan. Pernahkah terlintas di fikiran kita tentang puncak segala kebaikan yang kita ada?

Apakah maksud harta benda? Mungkin ada yang mengatakan harta itu keperluan untuk mencari hiburan dan keseronokan dalam kehidupan. Oleh itulah orang suka mengumpulkan harta sehingga menjadi tamak haloba. Sekarang ramai yang tamak haloba kerana tersalah tafsir erti kekayaan. Sekiranya difahami betul-betul kekayaan sebenarnya keperluan untuk kita melangsungkan kehidupan agar dapat meneruskan perjalanan ke puncak kebaikan. Kalau berpendirian mengikut orang Greek, perjalanan manusia menuju kepada Tuhan. Kalau berpendirian mengikut agama Buddha, perjalanan manusia menuju kepada Phra Dhamma. Kedua-duanya menuju puncak yang sama - segala kebaikan.

Harta kekayaan memberi keselesaan dalam kehidupan agar manusia dapat membangunkan diri dan minda. Bukan membenihkan ketamakan. Dapat RM1,000 tak cukup, mahu RM10,000. Dapat RM10,000 tak memadai, mahu RM100,000, RM500,000, RM1 juta dan entah berapa banyak lagi. Sekiranya orang mengenali harta benda dalam bentuk ketamakan begini, bukan orang namanya tetapi peta (pret) yang lapar sepanjang masa tanpa henti-henti. Orang yang memahami harta kekayaan sebagai alat untuk keselesaan hidup, untuk kita terus hidup agar dapat mengamalkan kebaikan tidak akan tamak. Dia memahami maksud harta kekayaan yang sebenarnya.

Kerjaya itu apa? Jawapannya mudah kerana kita sudah memahami maksud harta kekayaan. Kerjaya merupakan jalan mengumpulkan kekayaan. Jadi, kerjaya berkaitan dengan arah tujuan kita mengumpulkan kekayaan. Oleh itu kerjaya semestinya tidak membenihkan ketamakan sebagaimana orang yang memahami kekayaan dengan betul. Kita jangan meletakkan harapan yang tinggi melampau pada kerjaya kerana akan membawa kesusahan. Pandai-pandailah mencari kerjaya yang baik. Kerjaya mesti berada di dalam lingkungan yang bersesuaian agar manusia mendapat apa yang berhak diperolehi. Jadi, kerjaya juga hanya alat untuk manusia memperolehi perkara yang patut diperolehi.

Kehormatan, pangkat, nama itu apa? Saya berani mengatakan anda semua mahu kehormatan, pangkat dan nama dan akan memujanya kerana ia “baik”. Semua orang memerlukan benda baik-baik, perkara baik-baik dalam pengertian “baik” dan kita menamakannya kehormatan. Perkara ini menyebabkan orang tekun berusaha untuk mendapatkannya. Untuk apa? Untuk kesenangan. Orang menjadikan kehormatan atau pangkat untuk mencari kesenangan, mendapatkan kuasa dan meraih harta kekayaan. Kehormatan dijadikan alat mengumpul kekayaan. Lalu kehormatan yang mulia menjadi perkara yang rendah dan kotor.

Sekiranya kehormatan yang kita ada digunakan untuk kesenangan dan kepuasan hati kerana kita ada benda baik, ini bererti kita belum bebas daripada kegilaan. Malah kerana kehormatan, orang bunuh diri. Orang kaya tetapi tiada kehormatan atau takut hilang kehormatan lalu membunuh diri. Kerana tersilap mentafsir erti kehormatan, maka terdapat mereka yang mencari kehormatan dengan cara yang salah. Atau berusaha mendapatkan darjah kehormatan palsu. Ramai yang terkial-kial mendapatkan kehormatan dengan cara salah.

Perkataan “kehormatan” ada banyak jenis. Kehormatan kerana jasa dan kebaikan. Kehormatan kerana kuasa dan nasib. Kehormatan kerana berjaya menutup mulut orang lain. Kehormatan yang paling baik bagaimana? Walau apa pun kehormatan bukan perkara tertinggi yang patut diterima manusia. Kehormatan akan memberi kesusahan kepada orang yang melekat dengannya. Kalau tidak melekat, akan menjadi perkara baik. Kalau ditanya kehormatan itu apa? Berfikirlah sendiri kerana semua orang sudah ada jawapannya.

Apa erti sahabat dan masyarakat? Saya yakin bahawa ramai yang belum mengerti erti kawan atau sahabat. Walaupun ada yang mengerti dengan betul tetapi tidak kesemuanya. Saya hendak beritahu bahawa “sahabat” merupakan perkara yang akan membawa kita menuju kepada “Tuhan” atau Phra Dhamma. Malangnya, “sahabat” yang kita ada cuma kawan mencari hiburan dan kawan makan minum jenis gelak ketawa bersama, menangis seorang.

Orang selalu berkata kalau tidak merokok, tidak minum akan kehilangan kawan. Betapa bodoh dan buta hati orang yang berkata begitu. Perkataan “sahabat” akan membawa kita ke kemuncak kebaikan. Buddha pernah berkata “kalyana-mitta” merupakan semua kejayaan dalam kehidupan. Phra Ananda menyangka kalyana-mitta cuma separuh daripada kejayaan dalam kehidupan. Tetapi Buddha menegaskan bahawa ia merangkumi kesemua kejayaan dalam kehidupan. Ini bererti kalau kita ada sahabat atau kawan yang baik, betul-betul baik, dia tidak akan mengheret kita ke neraka atau ke dunia syaitan. Sahabat yang mempunyai Ariya-Magga 8: ada pandangan yang betul, hajat yang betul, percakapan yang betul, perilaku yang betul, sara hidup yang betul, cara berusaha yang betul, daya ingatan yang betul dan konsentrasi yang betul inilah yang dikatakan kalyana-mitta. Sahabat yang baik akan membawa kita ke Nibbana.

Tetapi sekarang kita merasakan kalau kita tidak merokok atau minum alkohol, mereka tidak mahu bersahabat dengan kita. Atau sekiranya kita tidak berpeleseran dengan mereka, mereka tidak akan berkawan dengan kita. Semuanya alasan semata-mata. Ramai yang keluar dari bhikkhu, jadi pemabuk kerana takut kehilangan kawan. Walaupun sudah berumur, sudah ada kedudukan dalam masyarakat tetapi terpaksa “merendahkan” diri sebegini. Anda cuba fikirkan baik-baik erti persahabatan dan berusahalah mencari sahabat yang baik jenis “ketawa bersama, menangis pun bersama.”

Akhir sekali sampai kepada “bun-kuson” (puñña-kusala) dan agama itu apa sebenarnya? Jangan memandang perkara ini sebagai sesuatu yang ketinggalan zaman. Para pelajar apabila menjejak kaki ke universiti selalu memandang rendah agama sebagai sesuatu yang remeh dan ketinggalan zaman. Sewaktu kanak-kanak, orang mengajak buat aktiviti keagamaan, dia akan ikut. Dia masih mendengar nasihat ibu bapa. Dia takut dosa, takut kejahatan. Dia berusaha berbuat baik kerana mahu dapat pahala (puñña). Setelah bergelar siswazah, dia menganggap aktiviti keagamaan hal budak-budak. Agama dilihatnya tiada apa-apa melainkan perkara kolot. Mereka terikut-ikut dengan aliran atheism Barat.

*(Atheism satu aliran yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan)

Bagaimana Hendak Jadi Gharavas Yang Terbaik Sekali


Berfikirlah masak-masak bahawa “bun-kuson” itu apa? Agama itu apa? Perkara yang dipanggil “bun kuson,” “agama” dan “Phra Dhamma” tidak akan jadi perkara kolot dan ketinggalan zaman. Ia perkara yang masih diperlukan pada setiap masa dan zaman. “Bun” (punna) merupakan perkara yang membawa kebanggaan dan keselesaan hati. Apabila kita melakukan sesuatu yang baik mengikut tradisi, atau mengikut upacara tertentu yang kita amalkan selama ini, kita akan senang hati, lapang hati. Inilah yang dikatakan dapat “bun” tetapi belum sampai “kuson”. Manakala “kuson” (kusala) merupakan kebijaksanaan, pengetahuan dan pemahaman. Atau sejenis cahaya. “Kuson” sebenarnya “cahaya” yang menyuluh hati agar menjadi “terang hati”. Setelah hati jadi “kuson”, segala kegelapan, kesilapan dan kesesatan akan semakin pudar dan akhirnya hilang. Jadi, untuk menjadi orang dewasa yang baik, fahamilah maksud “bun” dan “kuson” dengan betul. Orang yang menganggap agama atau ajaran agama perkara kolot, sebenarnya dialah yang kolot lagi dungu.


Kepentingan Dhamma Dan Agama

Orang yang jadi bhikkhu kerana dia penganut agama Buddha, atau dilahirkan di dalam keluarga penganut agama Buddha. Tetapi berhati-hati. Jangan sampai menjadi ayam bodoh mendapat permata. Orang yang sudah keluar dari bhikkhu pun kena jaga-jaga. Nanti jadi seperti ayam bodoh mendapat permata juga. Sebutir permata ditukar dengan sebutir beras atau nasi. Anda jangan merasakan agama perkara yang kolot, remeh-temeh, dan tidak setanding benda hijau-hijau, merah-merah yang memabuk dan menghiburkan. Jangan jadi ayam bodoh yang menukar permata dengan sebutir beras. Orang yang sombong, lalai dan bodoh apabila mendengar ajaran Buddha, tidak memberikan sebarang reaksi. Oleh itu, kita yang telah, sedang dan akan jadi bhikkhu berfikirlah secara mendalam agar kehidupan tiada kesengsaraan.

Akhirnya, kita tahu erti sebenar gharavas. Tidak usah melihat perkara yang berkaitan gharavas sebagai lucah atau menjijikkan. Jadi gharavas merupakan satu peringkat kehidupan untuk menuju kemuncak kebaikan. Masalah gharavas terbahagi kepada dua,iaitu kesengsaraan dan cara untuk menghapuskan kesengsaraan. Oleh itu, gharavas atau orang biasa yang hidup berkeluarga mesti tekun mempelajari selok-belok kehidupan agar dapat pengetahuan yang baik; jenis yang mampu memadamkan kesengsaraan!


sumber:Buku karya Buddhadasa Bhikkhu, Suan Mokh.