Wednesday, April 23, 2008

Patung Buddha Yang Besar





Mampukah Patung Buddha yang besar begini menghapuskan kesengsaraan (dukkha) pengikutnya?
Atau sekadar lambang kesenian yang di dalamnya tersirat ketabahan dan kebanggaan para penganutnya?
Atau cuma satu daya usaha manusia tamak yang dibelenggu nafsu diri?

Fikir-fikirkanlah saudara seagama sekalian!





Friday, April 18, 2008

Sekolah Buddhadasa Bhikkhu (3): Belajar Bagaimana?

Belajar sewaktu berlaku “pertembungan” melalui ayatana. Kenal “ayatanika-dhamma” dengan baik.

Bagaimana hendak belajar? Cara terbaik hendak belajar apabila berlaku “pertembungan” melalui ayatana (deria). Ketika berlaku pertembungan kita mesti berhati-hati dan mempelajarinya dengan betul-betul. Sekiranya gagal kita akan mati, tetapi sekiranya berjaya kita akan selamat.

Apabila mata “bertembung” (lihat) visual akan bodoh atau cerdik
Apabila telinga “bertembung” (dengar) suara akan bodoh atau cerdik.
Apabila hidung “bertembung” (hidu) bau akan bodoh atau cerdik.
Apabila lidah “bertembung” (kecap) rasa akan bodoh atau cerdik.
Apabila badan “bertembung” (geser) benda akan bodoh atau cerdik.
Apabila mental menerima “perasaan” akibat “pertembungan” yang berlaku pada fizikal (panca-deria), akan bodoh atau bijak.

Pertembungan melalui ayatana merupakan pelajaran asas yang dipelajari setiap hati, tetapi malangnya kita mudah terlupa. Kita tidak mengambil pengajaran daripada pertembungan tersebut. Malah kita sentiasa mengabaikan kesan-kesannya biarpun pernah melukakan diri kita.

Mata, telinga, hidung, lidah, badan dan hati berada di dalam (ayatana dalam). Visual, suara, bau, benda dan dhamma-rammana berada di luar (ayatana luar). Apabila kedua-duanya “bertembung” akan melahirkan “viññâna”. Viññâna mata, telinga, hidung, lidah, badan dan hati. Apabila tiga perkara berfungsi serentak dipanggil “phassa”. Apabila ada phassa, maka akan ada “vedana”, apabila ada vedana akan ada “tanha” dan “upadana” serta seterusnya sehingga ke “dukkha”. Tidak perlu diambil semua. Memadailah kita ambil 5 kelompok sahaja yang dipanggil “ayatanika-dhamma”iaitu perkara yang melekat dengan ayatana.

Anda Sedang Memasuki Sekolah Tahap Sukar Dalam Masa Yang Singkat

Kelompok 1 ada mata, telinga, hidung, lidah, badan, hati dipanggil “indriya 6”(deria 6). Kelompok 2 ada visual, suara, bau, rasa, bahan, dhammarammana dipanggil “arammana 6”. Kemudian lahir viññâna mengikut ayatana 6 dan dipanggil “viññâna 6”.

Ayatana dalam - ayatana luar - viññâna berfungsi serentak dipanggil “phassa”. Phassa 6 dipanggil mengikut nama ayatana dalam iaitu phassa mata, phassa telinga, phassa hidung, phassa lidah, phassa badan, phassa hati. Phassa bermaksud sentuhan. Sentuhan mata, sentuhan telinga, sentuhan hidung, sentuhan lidah, sentuhan badan, sentuhan hati.

Setelah berlaku phassa atau sentuhan maka lahirlah vedana. Vedana mata, vedana telinga, vedana hidung, vedana lidah, vedana badan dan vedana hati. Vedana terbahagi kepada (1) bahagia, (2) sengsara dan (3) tidak bahagia, tidak sengsara.

Ada 5 kelompok, setiap kelompok ada 6, maka semuanya 30. Ini penting untuk difahami. Apabila berlaku sentuhan melalui ayatana, ia akan berkumpul di dalam 5 kelompok ini. Ayatana dalam 6, Ayatana luar 6, Viññâna 6, Phassa 6, Vedana 6.

Inilah tahap sekolah tinggi yang paling sukar dan masa pula singkat. Kita mesti melakukan perkara yang betul apabila melalui 5 kelompok ini. Di sini akan menjadi penentu sama ada kita lulus atau gagal dalam peperiksaan.

Detik Penting Ketika Berlaku Sentuhan

Apabila berlaku “pertembungan” melalui ayatana, ketika phassa merupakan saat paling penting. Sekiranya tiada ilmu, tiada kebijaksanaan, tiada fikiran yang sedar, akan terjadi phassa bodoh, phassa membabi buta. Phassa bodoh akan melahirkan vedana bodoh, perasaan bahagia yang bodoh, perasaan sengsara yang bodoh, dan perasaan tidak bahagia, tidak sengsara yang bodoh.

Kenapa bodoh? Bodoh kerana menganggap perkara tersebut benar dan milik kita. Sekiranya phassa bodoh, kemudian terpengaruh dengan vedana secara bodoh pula, pasti akan kesengsaraan. Vedana berbentuk kemeriahan, kecantikan, keghairahan akan melahirkan perasaan tamak dan kehendak. Vedana yang menjelikkan akan melahirkan perasaan tidak berpuas hati. Sekiranya ada vedana jenis yang tidak pasti suka atau benci, akan melahirkan kesesatan. Kilesa ini memang keras. Kalau tidak ditangani dengan baik akan menghuru-harakan kehidupan.

Kalau tidak dapat diatasi, atau dikawal, akan menjadi api yang membakar diri.

Sekolah Buddhadasa Bhikkhu (2): Belajar Masa Mana?

Anda boleh belajar bila-bila anda suka dalam kehidupan harian anda.


(1) Belajar Masa Berdiri, Berjalan, Duduk Dan Tidur

Belajar masa kita berdiri, berjalan, duduk dan tidur. Kita mesti tahu bahawa perlakuan berdiri, berjalan, duduk dan tidur merupakan elemen semulajadi semata-mata bukan diri aku. Bukan diri aku berdiri, aku berjalan, aku duduk atau aku tidur. Tiada diri aku yang berdiri, berjalan, duduk atau tidur. Yang ada cuma tubuh dan hati yang bergabung lalu menunjukkan pelbagai perlakuan berdiri, berjalan, duduk, tidur dan sebagainya.

Apabila ada perlakuan berjalan ia hanya sekadar perlakuan berjalan semata-mata bukan diri sesiapa yang berjalan. Begitu juga dengan perlakuan lain. Semuanya sekadar perlakuan bukan diri kita. Perlakuan fizikal dan mental bukan diri.

Dalam Buddhism cuma ada 2 perkara iaitu jasmani dan rohani atau fizikal dan mental, tiada perkara ketiga iaitu diri.

Perkara ini mesti diingat baik-baik bahawa dalam Buddhism hanya ada 2 perkara sahaja fizikal dan mental, tiada perkara ke-3 iaitu “diri”. Perkara yang dinamakan diri itu tiada, kalau ada pun cuma dalam fikiran orang bodoh. Orang bodoh berfikir mengikut kebodohannya sehingga ada “diri”. Apabila dia menjadi cerdik, pasti dia akan menjerit,”Wah, perkara ketiga tak ada, bodoh betul aku!” Yang ada cuma fizikal dan mental.

Bahagian fizikal, iaitu tubuh badan terdapat deria yang menjalankan tugas masing-masing dengan sendiri. Mata, telinga dan hidung dapat menerima “objek perasaan” (visual, bunyi dan bau) walaupun tanpa melibatkan mental. Apabila melibatkan mental, objek perasaan itu menjadi semakin jelas. Mental tidak perlu menjadi “diri” sesiapa. Cukuplah sekadar menjadi “hati” atau “minda”, terpulang kepada panggilan. Secara semulajadi, mata mampu melihat gambar, telinga mendengar bunyi dan hidung menghidu bau biarpun tidak melibatkan mental.

Oleh itu, ada 2 perkara sudah mencukupi. Dalam bahasa Pali dipanggil “rupa”(fizikal) dan “nama”(mental), tidak perlu ada “atta”(diri) dan “vinyan”(roh).

Berdiri - Berjalan - Duduk - Tidur adalah sekadar pergerakan mengikut sifat mental dan fizikal. “Berjalan” hanyalah sekadar pergerakan semata-mata, bukannya “aku berjalan”. Diri aku tidak ada. Berjalan hanya suatu pergerakan yang berpunca daripada mental dan fizikal. Begitu juga dengan duduk atau tidur. Bukan “aku” duduk, bukan “aku tidur atau berbaring. Semuanya adalah suatu pergerakan atau tingkah laku mental dan fizikal sahaja.

Inilah yang dikatakan masuk sekolah masa berdiri, berjalan, duduk dan tidur. Berjalan pergi sekolah atau berjalan pergi mana pun boleh, itu tidak penting kerana masa berjalan, berdiri, duduk dan tidur itulah sekolah. Jadi, ketika berdiri, berjalan, duduk, atau berbaring kita boleh belajar.

(2) Belajar Masa Makan, Mandi Dan Buang Air

Semasa kita makan, kita mandi cuci badan, buang air besar atau buang air kecil adalah sekolah yang baik. Kita boleh belajar banyak perkara. Malangnya kita tak sedar perkara itu.

(3) Belajar Masa Sakit

Ketika sakit, ketika mengerang kesakitan merupakan sekolah yang lengkap dengan subjek, guru, murid dan alat bantuan mengajar. apa-apa sahaja yang berlaku kepada kita ketika sakit akan menjadi subjek yang penting untuk dipelajari secara mendalam.

(4) Belajar Masa Bertugas

Sekarang akan diterangkan perkara yang berkaitan dengan tugas manusia. Manusia mempnyai 2 tugas yang utama, iaitu pertama, tugas mencari rezeki dan kedua, tugas mengurus diri. Manusia mesti mencari rezeki demi meneruskan kehidupan - mencari duit, mengumpul kekayaan, memiliki rumah, kereta dan rumah tangga merupakan impian setiap manusia. Kemudian manusia mesti mengurus diri, keluarga, kawan-kawan dengan cara yang betul agar mendapat hasil yang berfaedah. Ketika melakukan tugas inilah kita memasuki sekolah kehidupan. Sekolah yang mempunyai banyak benda boleh dipelajari.

(5) Belajar Masa Berkawan

Ketika bergaul dengan kawan-kawan kita boleh bersekolah tetapi agak sukar. Sekiranya sesiapa dapat lalus peperiksaan dalam pergaulan, dia pastinya berbahagia dan tiada musuh. Setiap kali kita berhubung dengan kawan-kawan (atau kekasih) kita mesti sentiasa menjaga budi pekerti agar kebahagiaan akan bersama kita selalu.

(6) Belajar Masa Ada Musuh

Ketika pergaulan menjadi gamat, permusuhan akan menyusul. Ketika itu pelajarannya amat sukar. Walaupun sukar kita mesti belajar juga, jangan berputus asa. Belajar sehingga berjaya. Kita mesti menukarkan permusuhan itu kepada persahabatan. Menggunakan kekerasan sehingga bertegang leher, menumbuk atau memukul bukan cara yang betul. Elakkan sama sekali kerana ia bukan sekolah Buddha. Sekolah Buddha tidak menggunakan sebarang kekerasan dalam apa jua keadaan.

(7) Belajar Masa Kesusahan

Sekarang sekolah kita semakin meningkat tinggi, tentulah semakin sukar. Belajar masa ditimpa kesusahan paling sukar. Peribahasa ada menyebut “sudah jatuh, ditimpa tangga” merupakan detik-detik yang rumit. Sesetengah orang bilang detik malang, detik keributan dan kekalutan hidup. Pelajaran ini memang sukar dilangkahi. Dugaannya bisa menitiskan air mata. Tetapi seandainya kita berjaya melepasinya, itulah PhD bagi kita. Ijazah Doktor Falsafah daripada sekolah Buddha.
Bencana alam seperti banjir, taufan, letusan gunung berapi atau tsunami merupakan malapetaka yang sukar dihadapi kerana ia di luar kekuasaan kita. Jadi, kita susah untuk melepaskan diri. Sekiranya kita berjaya melepaskan diri, kitalah orang paling gembira. Oleh itu, sebaiknya kita mesti bersedia untuk menghadapinya. Walaupun kemusnahan tidak terhitungkan, tetapi hati kita tidak menangis. Kita tabah hati dan sedar bahawa itulah hukum alam. Semuanya anicca, dukkha, anatta. Sekiranya bencana tidak melanda, kita pun tidak kekal selamanya. Kita bersedia untuk menghadapi apa sahaja. Sekiranya kita mati, kita mati dengan fikiran yang sedar (sati-sampajanna).

Usaha membangunkan minda, menanamkan ajaran Buddha ke dalam kehidupan, dan membuang kejahatan daripada kehidupan adalah sukar. Untuk mencambahkan benih kebaikan yang ditabur ke hati dan menyuburkannya di jiwa bukan mudah. Tetapi ia merupakan pelajaran yang baik. Mengangkat tahap minda ke tingkat lebih tinggi bermakna tahap persekolahan juga semakin tinggi. Akhirnya kita akan mencapai sekolah tinggi, kemudian universiti dan memiliki PhD daripada Buddha.

Sekolah Buddhadasa Bhikkhu(1): Anda Belum Kenal

Sekolah apa yang anda belum kenal? Kalau belum kenal bagaimana hendak masuk belajar? Kalau tak boleh masuk belajar maka tak dapat jadi pelajar. Kalau tak dapat belajar akan jadi apa? Jadi orang purba? Orang yang tak sekolah sama dengan orang purba kerana orang purba tak masuk sekolah.

Anda semua sebenarnya sudah masuk sekolah dan sudah tamat beberapa tahap. Malah ada yang sampai universiti. Itu sekolah yang anda kenal dan anda telah tamat belajar sehingga tamat mendapat sijil atau ijazah.

Tetapi masih ada sejenis sekolah yang lebih baik daripada ijazah PhD. Anda belum kenal sekolah tersebut sebab itulah tak dapat masuk belajar. Malah sampai mati pun mungkin anda tak dapat masuk menimba ilmunya. Apakah sekolah yang dimaksudkan ini?

Sekolah Dhamma, Sekolah Buddha, Sekolah Alam Semulajadi

Sekolah yang dimaksudkan ialah sekolah dhamma atau sekolah Buddha atau boleh juga dipanggil sekolah alam semulajadi. Sekolah ini anda belum kenal belum masuk belajar secara bersungguh-sungguh. Sudah sampai masanya kita kenal sekolah jenis ini. Kita mesti masuk menimba ilmu di dalamnya sehingga berjaya mendapat ijazah jenis yang mampu memadamkan masalah kehidupan.


Sekolah ini ada di mana-mana, di semua tempat dan di depan mata anda semua tetapi malangnya anda tak kenal.

Memang melucukan. Sekolah ada di mana-mana, di semua tempat dan di depan mata tetapi tak masuk belajar kerana tak kenal. Sekolah Buddha, sekolah alam semulajadi dapat masuk belajar secara percuma. Subjek dan pendekatan pembelajarannya tiada di sekolah kerajaan atau sekolah biasa. Subjeknya menjurus kepada pembentukan peribadi mulia tanpa kesengsaraan.

Masuklah sekolah ini. Ia merupakan sekolah alam semulajadi yang diselidiki dan dijumpai oleh Buddha. Kemudian Buddha mempersembahkannya kepada umat manusia tanpa sebarang yuran.


Belajar di mana, bila dan bagaimana?

Sekarang kita akan melihat secara terperinci melalui 3 soalan utama. Di mana kita akan belajar? Bila kita akan belajar? Bagaiamana cara kita belajar? Kesemua soalan ini akan kita teliti satu persatu.


Belajar Di Mana?

(1) Belajar di Seluruh Dunia

Sekolah ini terdapat di seluruh dunia. Di semua pelusok tempat tanpa terkecuali terdapat sekolah jenis ini. Celik mata sahaja nampak sekolah ini. Berapa luasnya dunia, begitu luas jugalah ruang sekolah yang dimaksudkan. Dunia adalah sekolah. Orang tak kenal maka tak tahu cara hendak belajar.

Buddha ada mengajar tentang “dunia”, “elemen kewujudan dunia,” “punca kelenyapan dunia,” dan “jalan menuju kelenyapan dunia.” Kesemua perkara ini Buddha mengatakan ada di dalam tubuh manusia yang masih hidup. Maksudnya di dalam tubuh kita yang masih bernafas ini ada dunia, ada elemen kewujudan dunia, ada punca kelenyapan dunia dan ada jalan menuju kelenyapan dunia.

Orang bodoh. Kebodohan telah menutup mata akal. Orang tak mahu belajar kerana tak tahu hendak belajar di mana. Lantas orang tak kenal dunia dan tak tahu dunia berada di mana. Buddha berpesan agar belajar di “dunia” dan belajar daripada keempat-empat perkara yang berkaitan dengan dunia seperti yang disebutkan di atas.

(Catatan: Maksud “dunia” (Loka) dalam agama Buddha ialah “kesengsaraan”) - penterjemah.

(2) Belajar di Dalam Negara

Belajar di dalam negara pun boleh mengetahui kesengsaraan, punca kesengsaraan, memadamkan kesengsaraan dan cara memadamkan kesengsaraan. Semua negara ada kesengsaraan tetapi mata buta lalu tak nampak kesengsaraan yang memenuhi seluruh negara. Kerana buta nafsu yang membiakkan masalah di seluruh negara langsung tak dapat dilihat.

Pergilah tengok di mana-mana saja di pelosok bumi, terdapat nafsu manusia, penderitaan dan kumpulan orang yang menahan kesengsaraan. Malangnya manusia tidak nampak itu semua. Mereka buta. Mereka sengaja membutakan mata.

(3) Belajar di Rumah

Sekiranya ruang mengenal kesengsaraan itu masih luas bagi orang bodoh, maka belajar saja di dalam rumah. Belajar di dalam keluarga masing-masing. Dalam keluarga ada “kilesa” tak? Ada kesengsaraan tak? Ada ketawa dan tangisan berulang-ulang tak? Belajarlah daripada semua masalah yang ada dalam keluarga. Kenapa tak belajar?

(4) Belajar di Dapur



Kalau belajar di rumah masih luas, belajarlah di dapur yang lebih sempit. Belajarlah ketika duduk makan setiap hari. Berapa sedap makanan yang dimakan. Selera atau tak selera? Di dapur ada ketenangan tak? Rasanya, banyak yang tidak memuaskan.

Dapur merupakan sekolah yang baik kerana di dalamnya terdapat banyak perkara dapat dipelajari. Masakan, jenis masakan dan cara-cara memasak merupakan pelajaran yang baik.

(5) Belajar di dalam Tandas

Cuba sempitkan lagi ruang sekolah supaya senang belajar. Belajar di dalam tandas. Bilik kecil yang kita masuk untuk “duduk” setiap hari sekiranya dilakukan betul-betul, ia akan jadi sekolah yang baik. Ketika berada di dalam tandas, fikiran menjadi tenang. Kita hendak memikirkan sesuatu pun selesa. Ramai yang mendapat idea bernas-bernas di dalam tandas.

Tetapi malangnya hati kita tak tenang. Kita tak lakukan perkara yang betul. Kita tak tahu menghayati kebenaran. Dalam tandas kita boleh belajar kebenaran tentang kecantikan, ketidak-cantikan, tidak memerlukan kecantikan, dan tidak merasa ada kecantikan. Inilah sekolah yang akan mengenalkan kita kepada anicca (tidak kekal), dukkha (sengsara), dan anatta (tiada diri). Semua benda tidak “cantik”.

(6) Belajar Dengan Orang Yang Ada Kaitan

Setiap orang adalah sekolah. Kita kenal siapa, ada hubungan dengan siapa, kita mesti belajar mengenali orang tersebut dengan baik. Orang itu adalah sekolah bagi kita. Kita belajar mengenali sikap, pemikiran dan masalah orang, terutama orang yang ada hubungan dengan kita setiap masa. Tetapi orang begitu bodoh. Walaupun hubungannya adalah suami isteri tetapi masih tidak mengenali dan memahami antara satu sama lain.

Jadi suami isteri tetapi tak dapat mencari persefahaman. Apabila perasaan pentingkan diri menjelma maka kemarahan pun melanda. Suami isteri bertengkar bagaikan anjing. Akhirnya berpisah. kenapa? Kerana mereka tak pernah masuk sekolah alam, sekolah Buddha. Oleh itu, mereka langsung tak tahu hubungan suami isteri yang sebenar. kalau mereka tahu mereka tak akan bergaduh atau bertengkar sehingga rumah tangga porak peranda. Belajar kenal erti suami dan isteri dulu baru berkahwin.

(7) Belajar Dengan Benda Yang Ada Kaitan

Apa-apa sahaja benda yang ada kaitan dengan kita, boleh kita jadikan pelajaran. Aneka jenis benda yang kita ada, kita pakai dan kita simpan sebenarnya belum kita kenal betul-betul. Kerana kita belum kenal maka kita ada kesengsaraan berkaitan benda-benda tersebut. Kita marah dan kecewa sekiranya barang kesayangan kita hilang. Kita sedih seandainya barang simpanan kita rosak. Inilah buktinya kita tak kenal benda yang kita miliki. Belajarlah kenal benda-benda itu. Jadikanlah benda-benda yang kita suka atau benci sebagai sekolah kita.
(8) Belajar Daripada Diri Sendiri

Diri sendiri itulah sekolah. Kalau tak dengar baik-baik tentu tak faham kerana tak kenal diri sendiri. Sekiranya kenal diri sendiri betul-betul tentulah sudah jadi Phra Arahan. Selagi tak kenal diri sendiri, selagi itulah tak dapat selesaikan masalah. Ramai tak mampu menguruskan diri sendiri dengan betul. Lantas kehidupan bagaikan anjing menggigit tuan. Dengar baik-baik, “anjing menggigit tuan”.

“Kerana tidak kenal diri sendiri lalu tidak mampu menguruskan diri sendiri dengan betul maka kehidupan bagaikan anjing menggigit tuan.”

Siapa pernah melihat anjing menggigit tuannya. Anjing inilah yang akan menggigit tuannya. Orang bodoh yang tak kenal diri sendiri akan jadi seperti anjing menggigit tuan. Kehidupan kita akan menggigit kita sekiranya kita tak kenal erti kehidupan. Kekadang kita digigit cinta. Kekadang kita digigit kemarahan. Adakalanya kita digigit kebencian, ketakutan, kerisauan, kedengkian, kecemburuan dan bermacam-macam lagi. Sebab apa? Sebab kita tidak masuk sekolah dhamma atau sekolah alam semulajadi.

Walaupun tamat pengajian dari universiti di seluruh dunia, tetapi ia masih tidak mengerti kerana masalah kehidupan mesti dipelajari daripada diri sendiri. Kekotoran hati (kilesa) yang menjadi punca kejahatan mesti dihapuskan dengan fikiran yang sedar. Dengan cara begini barulah kita dapat kenal diri sendiri, kemudian dapat menguruskannya dengan betul.

Ingat baik-baik sekiranya sesiapa tidak memasuki sekolah alam semulajadi, dia akan digigit kehidupan. Kehidupan atau diri sendiri ialah sekolah. Perkara yang dipanggil minda itu mesti kenal diri sendiri, kawal diri sendiri, bangunkan diri sendiri sehingga tiada masalah. Inilah yang dinamakan belajar sekolah dhamma iaitu belajar daripada kehidupan harian.

(9) Belajar Daripada Anggota 32

Sekarang akan dikatakan dengan lebih jelas agar mereka yang sukar memahami dapat memahaminya. Belajar daripada anggota 32 (anggota badan) iaitu belajar daripada rambut, bulu, kuku, gigi, kulit, daging, otot, tulang dan kesemua anggota 32 yang ada pada kita. Anggota badan merupakan sekolah yang terbaik. Minda yang telah dilatih dapat mengenali anggota 32 dengan baik.

Kemudian belajar pula sehingga mengenali 4 elemen asas iaitu tanah, air, api dan angin. Keempat-empat elemen ini merupakan asas anggota 32 biarpun nama panggilannya berlainan. Orang yang kenal anggota badan pasti kenal kehidupan yang sebenar. Sesetengah orang dapat menghafal anggota 32 dengan baik tetapi tidak mengenalinya dalam erti kata yang sebenar. Kerana tidak mengenalinya lalu kita menganggapnya sebagai diri kita dan milik kita. Beginilah orang tidak masuk sekolah.