Sunday, March 23, 2008

Balasan Kamma

Sering kali apabila ditimpa kemalangan, kesakitan, atau kesusahan orang akan mengatakan itu adalah balasan kamma dari kehidupan dahulu. Misalnya, seorang kanak-kanak terkena serpihan mercun pada matanya, lalu matanya buta. Ibunya pasti akan mengatakan sambil mengeluh, itulah balasan kamma dahulu. Mungkin anaknya itu pernah membutakan orang atau haiwan dalam kehidupan dahulunya. Sebenarnya perkara ini adalah semata-mata untuk memujuk diri sendiri agar bisa menerima kenyataan. Padahal perkara yang sebenar, kemalangan atau kesakitan tidak semestinya kerana balasan kamma dari kehidupan dahulu.
Buddha ada menerangkan bahawa vedana yang ditanggung oleh manusia di dunia ini datang daripada pelbagai punca. Ada yang berpunca daripada organ tubuh seperti hempedu, limpa, jantung, paru-paru dan sebagainya tidak berfungsi dengan baik. Ada yang berpunca daripada sistem tubuh yang bermasalah, misalnya sistem pernafasan, penghadaman dan sebagainya. Ada juga terjadi daripada pergabungan kedua-dua punca iaitu organ dan sistem tubuh.
Selain itu, perubahan cuaca juga boleh mendatangkan penyakit kepada manusia. Ramai orang menghidapi selesema atau demama apabila tiba musim peralihan monsun. Cuaca yang melampau sama ada terlalu panas atau terlalu sejuk akan mempengaruhi kesihatan manusia. Di China, India atau di utara Thailand misalnya ada kematian berlaku kerana cuaca terlalu sejuk. Bencana alam seperti banjir, taufan, tsunami atau kemarau mengakibatkan kematian dan penderitaan.
Selain itu, Buddha juga mengatakan vedana manusia berpunca daripada pengurusan diri yang tidak sempurna. Pemakanan yang tidak seimbang akan mengundang masalah kesihatan. Taraf kehidupan yang semakin meningkat mempengaruhi manusia memilih makanan yang kurang berkhasiat. Apakan tidak, manusia lebih mengutamakan mulut daripada khasiat makanan. Ramai yang obesiti. Dahulu orang miskin, mereka memilih ikan dan sayuran sebagai menu utama. Sekarang orang mewah, terutamanya di kota-kota, menu utama daging, udang, ketam atau ikan. Sayuran kurang diberikan perhatian, apatah lagi sayuran mentah atau ulam. Anak-anak kecil sudah diketagihkan dengan makanan ringan. Selain pemakanan, banyak lagi pengurusan diri yang diabaikan manusia seperti pemakaian, persolekan, penjagaan kebersihan badan, senaman dan pergaulan. Semuanya kalau tidak diuruskan dengan baik akan mendatangkan masalah kepada manusia. Namun, kalau diuruskan dengan sempurna, manusia akan mengecapi kebahagiaan.
Vedana manusia ada yang datang daripada usaha atau ketekunan manusia sendiri. Maksudnya ketekunan manusia untuk meneruskan kehidupan, seperti bekerja dari pagi ke petang mencari rezeki atau kekayaan boleh menghadirkan vedana. Manusia mengecapi kesenangan kerana tekun bekerja. Tetapi sering juga dilaporkan di akhbar tentang kemalangan di tapak pembinaan atau di kilang. Semuanya melibatkan mereka yang tekun mencari rezeki. Oleh itu, ketekunan mencari kebahagiaan hidup sekiranya tidak berhati-hati akan membawa padah.
Satu lagi yang selaku mengundang musibah kepada manusia ialah kelalaian. Manusia biarpun diingatkan agar tidak lalai tetapi masih juga lalai. Sebelum menghembuskan pernafasan terakhir, Buddha berpesan supaya umatnya tidak lalai. Lalai di sini bererti tidak ada fikiran yang sedar ketika melakukan sesuatu perkara. Fikiran yang sedar mengalir dari akal. Orang lalai ialah orang yang mengabaikan akal. Anda lihatlah sendiri betapa banyak kemalangan yang terjadi kerana kelalaian manusia. Kemalangan jalan raya walaupun berpunca daripada pelbagai sebab tetapi kalau dirumuskan kebanyakannya kerana kelalaian manusia. Masalah kanak-kanak hilang, remaja diperkosa, mat rempit beraja di jalan raya yang menjadi tajuk penting di akhbar kalau dihalusi rata-ratanya kerana kelalaian manusia. Oleh itu, untuk mengelakkan kesengsaraan, jangan lalai dalam semua urusan.
Nasib manusia berpunca daripada balasan kamma sekarang pun ada. Maksudnya kamma yang dilakukan seseorang sejak dilahirkan sehingga masa kini. Contoh, kalau kita pernah menipu duit orang masa remaja, apabila dewasa mungkin duit kita pula akan ditipu orang. Kamma bermaksud perbuatan. Jadi, musibah yang kita tanggung kebanyakannya akibat perbuatan kita sendiri. Hari ini kita membantu orang, hari esok kita pula akan dibantu. Itulah hukum kamma.
Walau bagaimanapun Buddha tidak menafikan bahawa haluan kehidupan manusia juga berpunca daripada balasan kamma dahulu. Malah, dalam Kitab Tipitaka banyak disertakan contoh manusia yang kesengsaraan kerana balasan kamma dari kehidupan dahulunya. Buddha sendiri juga pernah menerima balasan kamma dari kehidupan dahulu.
Kesimpulannya, kesengsaraan atau kebahagiaan manusia bukan kerana balasan kamma dari kehidupan dahulu semata-mata, tetapi kerana pelbagai punca. Kamma atau perbuatan pada kehidupan sekarang banyak mempengaruhi kesengsaraan dan kebahagiaan manusia.
"Kebahagiaan atau kesengsaraan manusia berpunca daripada phassa iaitu "pertembungan" antara mata, telinga, hidung, lidah, badan dan hati dengan objek luaran. "Pertembungan" bijak melahirkan kebahagiaan, "pertembungan" bodoh melahirkan kesengsaraan!" Buddhadasa Bhikkhu.

Thursday, March 20, 2008

Krisis Pemikiran - Dhammapitaka (P.A. Payutto)



Keadaan agama yang semakin gawat sekarang banyak diperkatakan orang. Dalam hal ini, biksu memang patut ikut memperkatakannya. Membiarkan orang ramai memperkatakan sahaja akan menjadi seolah-olah orang ramai mengutuk biksu. Biksu harus ikut memperkatakannya selaku orang yang tahu ajaran Buddha, untuk memberi petunjuk dan mencari jalan penyelesaian. Oleh itu, apabila perkara buruk berlaku, biksu terpaksa memberi penjelasan tentang punca dan cara-cara mencegahnya agar dapat bersama-sama dapat menyelesaikannya. Sebenarnya kita sendiri ada peranan masing-masing kerana selaku penganut agama Buddha kita bertanggungjawab menjaga agama kita.
Dua tiga hari ini ada berita terbaru di akhbar. Atma tak beli akhbar tetapi Maha ada membacanya. Maha memberitahu ada seorang biksu pergi tipu kedai berlian. Dia membawa berlian pergi tanpa sebarang bayaran. Jumlahnya ratusan ribu ringgit. Ada juga biksu yang membuat “sivaleung” untuk dijual di luar negara. Apabila membaca berita begini, orang ramai tentu akan mengutuk biksu bermacam-macam kutukan - biksu jahat, biksu melakukan kerosakan, biksu penipu, biksu keji dan tak patut dihormati langsung. Selepas mengutuk biksu, kemudian merebak pula kepada agama, menuduh agama Buddha tak baik. Kerana hati sudah tidak percaya kepada biksu maka keyakinan kepada agama Buddha pun luntur. Ada yang sampai tidak mahu jadi penganut agama Buddha lagi. Padahal realitinya agama Buddha kepunyaan kita, bukan kepunyaan biksu terkutuk itu.
Orang yang berhak ke atas agama Buddha mestilah penganut agama Buddha. Penganut agama Buddha ialah orang yang mempunyai peranan dan tanggungjawab ke atas agama Buddha. Kalau jadi biksu mestilah jadi biksu yang mengamalkan dhamma-vinaya dengan betul. Kalau jadi orang biasa mesti menjalankan tugas sebagai orang biasa dengan betul. Sekiranya kita menjalankan tanggungjawab kita sebagai penganut agama Buddha dengan betul, maka kitalah yang berhak ke atas agama kita.
Sebaliknya, sama ada biksu atau orang biasa biarpun telah memeluk agama Buddha, tetapi kalau amalannya tidak betul dan tidak bermoral maka dia tiada hak ke atas agama Buddha. Dia sebenarnya penyamun yang menyusup masuk untuk mengambil kesempatan mencari keuntungan diri daripada agama Buddha. Orang begini dinamakan lanun agama. Oleh itu, biksu yang tidak bermoral, tidak ada hak ke atas agama Buddha. Orang ramai tidak usah menganggapnya sebagai biksu yang tidak bermoral tetapi anggap saja sebagai pengkhianat yang berniat memusnahkan agama Buddha. Dalam maksud lain, jangan anggap pengkhianat itu sebagai biksu lagi. Sekiranya kita dapat menerima kebenaran begitu, agama kita akan bertambah baik. Kita mesti ada tanggungjawab ke atas agama kita, bukanya menyerahkannya kepada pengkhianat agama.
Atma selalu memberi perbandingan. Sekiranya ada perompak masuk merompak rumah kita dan kita pula menyerahkan harta kepadanya. Perkara ini tentulah tidak normal kerana kita sepatutnya mempertahankan harta kita. Oleh demikian, pada waktu ini kita sedang melakukan perkara yang tidak normal tanpa disedari. Agama milik kita. Sekarang ada penjahat iaitu orang yang menyamar sebagai biksu melakukan perkara tidak baik, dia merompak agama kita. Kita sepatutnya mempertahankan agama kita tetapi sebaliknya kita menyerah agama bulat-bulat kepadanya. Ini dikatakan menyerahkan harta kepada perompak. Perbuatan kita itu tentulah silap. Kita sepatutnya menjaga agama kita dengan sebaik-baiknya. Pokoknya, persoalan tersebut terletak pada orang jahat atau terletak pada kita sendiri?
Buddha begitu berhati-hati dalam hal berkaitan kesuburan kebendaan dan kesuburan ajaran. Buddha selalu memberi nasihat agar membanyakkan kesuburan ajaran dan tidak lalai ketika terdapat kesuburan kebendaan. Sebelum parinibbana (wafat) Buddha mengatakan setiap penganut mesti memiliki 3 perkara. Sama ada biksu, biksuni, upasaka atau upasika mesti ada 3 perkara barulah dikatakan ada kesuburan dalam ajaran Buddha yang membolehkan agama Buddha bertahan lama.
Buddha menetapkan 3 perkara ini ketika menerima untuk parinibbana. Kisahnya bermula apabila syaitan (mara) datang memohon supaya Buddha parinibbana tetapi Buddha mengatakan beliau tidak akan parinibbana selagi 3 perkara belum wujud. Syaitan tidak berputus asa. Sekali lagi dia datang memohon kepada Buddha untuk parinibbana. Setelah meneliti dan mendapati 3 perkara sudah wujud, maka Buddha menerima permohonan syaitan untuk parinibbana. Perkara yang penting di sini bukan tentang parinibbana, tetapi tentang 3 perkara yang ditetapkan Buddha ke atas pengikutnya. Kesemua empat golongan penganut agama Buddha (biksu, biksuni, upasaka, upasika) mesti ada keupayaan menjaga agama barulah beliau dapat parinibbana. Maksudnya Buddha mewasiatkan agama beliau kepada pengikutnya yang ada keupayaan dalam 3 perkara.
3 perkara ialah:
1. Biksu, biksuni, upasaka dan upasika mesti benar-benar tahu ajaran Buddha (dhamma) dan mengamalkannya dengan betul.
2. Setelah tahu dan mengamalkannya dengan betul, mesti mengajar orang lain supaya tahu dan dapat mengamalkannya dengan betul juga. Orang yang hendak mengajar orang lain mestilah:
a. Ada keupayaan mengajar dan memimpin.
b. Ada kasih sayang dan belas kasihan (metta-karuna). Kalau ada keupayaan mengajar sahaja tanpa belas kasihan dan minat secara mendalam pasti tidak berhasil.
3. Sekiranya ada tuduhan jahat terhadap Buddha, atau ada orang mengajar ajaran palsu atau terpesong daripada ajaran sebenar, mesti dapat memperbetulkannya dengan menerangkan perkara yang sebenar dengan jelas.
Kesemua 3 perkara ini akan dijadikan asas untuk memeriksa penganut agama Buddha sama ada mampu menjaga agama Buddha atau tidak. Oleh sebab Buddha menetapkan 3 perkara ini sebelum parinibbana, bererti Buddha mewasiatkan agamanya kepada penganut semua. Sekiranya para penganut tidak ada 3 perkara ini, maka agama Buddha tidak akan bertahan lama.Kita tidak usah risau sangat tentang biksu yang melakukan kejahatan kerana 3 perkara yang kita ada lebih penting. Biksu yang melakukan kejahatan atau perbuatan tidak bermoral sekiranya terjadi, kita anggap saja sebagai perompak. Perompak yang menyelinap masuk untuk merompak agama kita. Maka menjadi tanggungjawab kita menjaga dan mempertahankan agama kita. Tetapi sekiranya kita tidak ada 3 perkara yang ditetapkan Buddha, ada perompak atau tidak, kita pun tidak mampu mempertahankan agama kita. Jangan-jangan kita sendiri akan jadi perompak.
Kesimpulannya, 3 perkara ini akan menentukan kemajuan dan pembangunan agama kita. Kesuburan ajaran Buddha di dalam diri kita adalah aset penting dalam perkembangan agama kita. Walaupun ada pelbagai rintangan, kita mampu mengatasinya.

Wednesday, March 19, 2008

Memberi Dana, Meraih Syurga


Dana

Memberi dana atau sedekah merupakan perkara yang penting dalam agama Buddha. Setiap penganut agama Buddha mesti selalu memberi dana. Walau bagaimana pun apabila memberi dana, kita mesti memberi dengan ikhlas. Di bawah ini diturunkan pesanan Buddha kepada Phra Sariputra tentang memberi dana.
Buddha: Oh, Sariputra! Dalam pemberian dana, sesetengah pemberi masih terikat dengan hasil dana, dan menaruh harapan kepada hasil dana serta berfikir (berniat) bahawa apabila mati nanti dia dapat menikmati hasil dana tersebut. Apabila mati dia akan jadi sahabat dewa di syurga Catumaharajika. Selepas habis karma, kuasa, pangkat dan kebesaran, dia akan kembali kepada kehidupan (manusia) seperti sekarang.
Buddha: Oh, Sariputra! Sesetengah orang di dunia ini tidak mengharapkan hasil dana, hati tidak terikat dengan hasil dana, tidak berfikir bahawa apabila mati akan menikmati hasil dana, tetapi dia memberi dana dengan berfikir bahawa memberi dana merupakan perkara baik. Apabila mati dia akan jadi sahabat dewa di syurga Tavatimsa. Selepas habis karma, kuasa, pangkat dan kebesaran, dia akan kembali kepada kehidupan seperti sekarang.
Buddha: Oh, Sariputra! Sesetengah orang di dunia ini, tidak berfikir bahawa memberi dana merupakan perkara baik, tetapi berfikir bahawa ibu bapa dan nenek moyang selalu memberi dana. Oleh itu dia mesti meneruskan tradisi tersebut. Apabila mati dia akan jadi sahabat dewa di syurga Yama. Selepas habis karma, kuasa, pangkat dan kebesaran, dia akan kembali kepada kehidupan seperti sekarang.
Buddha: Oh, Sariputra! Sesetengah orang di dunia ini memberi dana dengan tidak berfikir bahawa ibu bapa dan nenek moyang selalu memberi dana dan dia mesti meneruskan tradisi tersebut. Tetapi dia berfikir bahawa dia boleh memasak (membuat makanan) sendiri tetapi samana atau Brahma tidak memasak. Oleh itu, tidak patut kalau dia tidak memberi dana kepada samana atau Brahma yang tidak memasak. Apabila mati dia akan jadi sahabat dewa di syurga Tusita. Selepas habis karma, kuasa, pangkat dan kebesaran, dia akan kembali kepada kehidupan seperti sekarang.
Buddha: Oh, Sariputra! Sesetengah orang di dunia ini, memberi dana dengan tidak berfikir bahawa dia boleh memasak sedangkan samana atau Brahma tidak memasak, tetapi berfikir bahawa dia adalah insan pemurah hati yang sering memberi dana seperti Resi zaman dahulu misalnya, Attaka Resi, Vamaka Resi, Vessamitra Resi, Yamatakki Resi, Anggirasa Resi, Paradavaca Resi, Vasettha Resi, Kassapa Resi dan Pakku Resi yang kesemuanya merupakan pemuja mahayantra. Apabila mati dia akan jadi sahabat dewa di syurga Nimmana-rati. Selepas habis karma, kuasa, pangkat dan kebesaran, dia akan kembali kepada kehidupan seperti sekarang.
Buddha: Oh, Sariputra! Sesetengah orang di dunia ini, memberi dana dengan tidak berfikir bahawa dia insan pemurah hati seperti Resi zaman dahulu, tetapi berfikir bahawa memberi dana akan menjadikan hatinya berasa bangga, gembira dan bahagia dengan pemberian tersebut. Apabila mati dia akan jadi sahabat dewa di syurga Paranimmita-vasavatti. Selepas habis karma, kuasa, pangkat dan kebesaran, dia akan kembali kepada kehidupan seperti sekarang.
Buddha: Oh, Sariputra! Sesetengah orang di dunia ini, memberi dana dengan tidak berfikir bahawa memberi dana akan menjadikan hatinya berasa bangga, gembira dan bahagia dengan pemberian tersebut, tetapi dia memberi dana dengan berfikir untuk membersihkan hati. Adakah orang begini di dunia ini, Sariputra?
Sariputra: Begitulah, wahai Yang Maha Mulia!
Buddha: Oh, Sariputra! Mereka yang memberi dana dengan berfikir untuk membersihkan hati (daripada kilesa), apabila mati dia akan jadi sahabat dewa di syurga Brahma (Phrom). Selepas habis karma, kuasa, pangkat dan kebesaran, dia tidak akan kembali kepada kehidupan seperti sekarang lagi.
Petikan daripada
Dana-Sutta
Kitab Tipitaka
jilid 37 / muka surat 139
Daripada sutra di atas kita dapat melihat bahawa dalam pemberian dana dan hasil yang akan kita perolehi bergantung kepada fikiran atau niat kita. Memberi dana dengan berniat untuk "membersihkan hati" daripada kilesa merupakan pemberian dana yang mulia kerana selepas habis karma, kuasa, pangkat dan kebesaran di syurga, kita tidak perlu kembali ke dunia kesengsaraan ini lagi. Oleh itu, semua penganut agama Buddha mesti bijak dalam memberi dana agar punna-parami yang diperolehi dapat memenuhi hajat di hati.
*(Dana yang memberikan hasil yang banyak bukan bergantung kepada pemberi semata-mata, tetapi bergantung kepada barang pemberian dan penerima juga)

Monday, March 17, 2008

Mongkol 38 - Jalan Menuju Kemajuan

Mongkol 38

Mongkol (Pali:Mangala) bermaksud jalan menuju kemajuan dan kebahagiaan. Mongkol ini merupakan resipi daripada Buddha. Seseorang yang mahu kemajuan dan kebahagiaan dalam kehidupan mesti memilikinya. Semakin banyak dimiliki, semakin maju dan bahagia orang tersebut. Penganut agama Buddha harus memberikan tumpuan secara bersungguh-sungguh untuk membina diri melalui Mongkol 38.

Kemajuan kehidupan manusia ada 4 jenis:

1. Kemajuan dalam segala harta (harta dunia, harta syurga dan harta Nirvana).

2. Kemajuan dalam pemikiran (kebijaksanaan).

3. Kemajuan dalam perlakuan (perbuatan, percakapan dan pemikiran).

4. Kemajuan dalam perkara yang berfaedah, iaitu:

a. Faedah dunia kini (dunia manusia)

b. Faedah dunia hadapan (syurga)

c. Faedah teragung (Nirvana)

Mongkol 38 disusun dari tahap rendah iaitu tahap membina diri ke tahap tinggi iaitu tahap membebaskan minda daripada kesengsaraan duniawi. Mongkol 38 ini terdapat di dalam Mongkol Sutta (Pali: Mangala Sutta) yang sering dibaca oleh Phra Biksu tetapi kerana kita tidak memahaminya lalu tidak memberikan sebarang makna kepada kita. Di bawah ini disenaraikan Mongkol 38 serta huraiannya secara ringkas.


1. Tidak Berkawan Dengan Orang Jahat

Orang jahat ialah orang yang mempunyai pemikiran, perbuatan dan percakapan jahat. Mereka tidak dapat membezakan kebaikan dengan kejahatan, pahala dengan dosa, perkara tidak berfaedah dengan perkara berfaedah. Orang jahat walaupun mendapat pendidikan tinggi dan mempunyai ijazah berjela-jela, kehidupannya tetap ke arah kejahatan. Oleh itu, kita dilarang berkawan dengan orang sebegini kerana kita akan terpedaya ke lembah kejahatan seperti mereka. Orang jahat ada 2 jenis. Pertama, orang jahat luaran yang boleh kita lihat di mana-mana tetapi senang dihindari. Kedua, orang jahat dalaman yang sukar dilihat kerana kitalah orangnya. Ketika fikiran, perbuatan dan percakapan kita tidak baik, maka ketika itulah kita dikatakan jadi orang jahat. Jahat dalaman ini amat berbahaya dan berusahalah menghindarinya.


2. Berkawan Dengan Orang Baik

Orang baik di sini ialah orang yang berhati mulia, bermoral dan beriman. Mereka tahu membezakan kebaikan dengan kejahatan, pahala dengan dosa, salah dengan betul. Orang baik mungkin tidak ada pendidikan tinggi tetapi hati mereka mulia. Mereka menjalani kehidupan dengan akal. Mereka bijak dalam pemikiran, perbuatan dan percakapan. Mereka sentiasa berfikiran positif. Apabila kita berkawan dengan orang baik, kita juga akan dibawa ke arah kebaikan. Berkawan dengan orang baik biarpun tidak ramai tetapi amat berfaedah. Orang baik sentiasa bersama kita masa senang dan susah.


3. Hormati Mereka Yang Patut Dihormati

Kita mesti menghormati mereka yang patut dihormati kerana perkara ini membawa kebaikan. Mereka yang patut dihormati ialah Buddha, Sangha, Raja, ibu bapa (termasuk saudara mara yang baik), guru yang berjasa, pemerintah yang adil, sahabat yang berbudi dan orang-orang baik yang lain. Kita mesti menghormati mereka melalui pemikiran, perbuatan dan percakapan. Maksudnya apabila kita berjumpa dengan mereka kita harus menunjukkan penghormatan kita secara ikhlas. Sekiranya kita tidak bertemu dengan mereka, kita tetap menghormati mereka. Jangan di depan memberi hormat, di belakang mengejek. Cara menghormati mereka ini ada 2 cara, iaitu (1) memberikan hadiah atau barang yang sesuai; (2) mengamalkan kebaikan atau nilai-nilai mulia seperti yang dimiliki mereka. Ini termasuklah mematuhi nasihat mereka, misalnya anak yang baik mesti mendengar nasihat ibu bapa dan guru. Ajaran agama juga mesti dipatuhi.


4. Tinggal Di Tempat Yang Sesuai

Tempat tinggal yang sesauai ialah tempat yang mempunyai persekitaran yang baik. Udaranya nyaman dan bersih. Keselamatan kita pula terjamin. Dan perkara yang penting, tempat atau kawasan tersebut mesti menyumbang ke arah kemajuan fizikal dan mental, mutu kehidupan terjamin, serta kaya dengan sumber rezeki yang halal (pekerjaan). Selain persekitaran tempat tinggal yang baik, keadaan di dalam rumah juga mesti kemas, bersih dan damai. Elakkan pertengkaran sama sekali.


5. Pernah Berbuat Pahala

Pahala dapat dibahagikan kepada 2 jenis. (1) Pahala yang kita lakukan pada kehidupan dahulu; (2) Pahala yang kita lakukan dalam kehidupan sekarang iaitu sejak kita dilahirkan sehingga sekarang. Pahala yang kita lakukan pada kehidupan dahulu menjadi penyebab kita dilahirkan dalam kehidupan kini. Pahala yang kita lakukan sejak kita dilahirkan seperti patuh kepada suruhan agama, mendengar nasihat ibu bapa, rajin belajar, sabar menempuh cabaran telah menjadi penyebab kita boleh jadi seperti sekarang ini. Maksudnya, kita mendapat kebaikan sekarang ini tentulah kerana kita pernah melakukan kebaikan sebelumnya. Orang yang kaya tentulah kerana dia tekun berusaha. Oleh itu, kita mesti melakukan kebaikan hari ini untuk mengecapi hasilnya pada hari esok. Atau, tanam pokok dahulu barulah tunggu mengutip hasilnya.


6. Matlamat Hidup Yang Betul

Matlamat hidup amat penting. Kita mesti mempunyai matlamat hidup untuk dunia ini dan dunia hadapan dengan betul agar kehidupan kita ada arah tujuan. Setelah menetapkan matlamat hidup, maka berusahalah mencapainya. Matlamat hidup secara ringkasnya dapat dibahagikan kepada 3 iaitu (1) Matlamat hidup untuk kehidupan sekarang; (2) Matlamat hidup untuk kehidupan akan datang (syurga); (3) Matlamat hidup yang teragung - membersihkan kotoran hati sehingga mencapai Pembebasan Sempurna (Nirvana). Kesemua matlamat hidup ini akan tercapai sekiranya kita berusaha dengan tekun dan sabar. Orang yang hidup tanpa matlamat, kehidupanya akan terumbang-ambing.


7. Banyak Ilmu Pengetahuan

Ilmu pengetahuan amat penting. Kita mesti berusaha menjadi orang yang kaya ilmu. Dengan ilmu sahaja kehidupan kita akan maju. Orang yang tidak ada ilmu akan terus mundur. Semua bidang pekerjaan memerlukan orang yang berilmu. Malah urusan rumah tangga juga mesti ditangani dengan ilmu. Ilmu pengetahuan di sini ialah ilmu pengetahuan jenis yang dapat membawa kita ke arah kebaikan. Selain ilmu keduniaan, kita juga mesti ada ilmu keagamaan. Ilmu dunia menentukan kehidupan kita mencapai matlamat. Ilmu agama merupakan kunci kepada pencapaian tersebut.


8. Mempunyai Seni Kehidupan

Seni kehidupan bermaksud keindahan dalam tingkah laku yang kita tunjukkan. Orang yang ada seni kehidupan ialah orang yang bijak dalam tingkah laku. Ilmu pengetahuan yang bertimbun-timbun kalau tidak bijak menggunakannya tentulah tidak mendatangkan faedah. Oleh itu, orang yang ada seni kehidupan ialah orang yang bijak mengadaptasikan ilmu pengetahuan yang ada untuk kegunaan dalam kehidupan harian. Misalnya, belajar bidang usahawan tetapi tidak bijak mengadaptasikan ilmu tersebut maka gagal menjadi usahawan berjaya. Sedikit ilmu yang ada sekiranya bijak dan kreatif menggunakannya akan memberikan hasil yang lumayan.


9. Berdisiplin

Disiplin ialah latihan pemikiran dan kelakuan supaya boleh mengawal diri sendiri dan patuh pada tatatertib atau peraturan. Dalam kehidupan bermasyarakat semua orang ada peraturan masing-masing yang harus dipatuhi. Golongan diraja, pemerintah, ketua masyarakat, pekerja, pelajar, ketua keluarga, anak-anak dan sebagainya ada peraturan masing-masing yang mesti dipatuhi. Semua orang mesti tahu mendisiplinkan diri supaya kehidupan menjadi aman. Disiplin di tempat kerja menentukan kualiti pekerjaan. Disiplin di dalam rumah menentukan keteraturan dalam rumah tangga. Disiplin seorang pelajar menentukan kecemerlangannya dalam pelajaran. Manakala dalam keagamaan, Phra biksu amat ditekankan tentang disiplin (Sila 227). Penganut agama Buddha sendiri mesti mengutamakan disiplin diri (Sila) semasa pergi wat. Pokoknya, kehidupan tanpa disiplin merupakan kehidupan yang kucar-kacir.


10. Bercakap Perkara Berfaedah

Kita seharusnya bercakap perkara-perkara yang berfaedah. Setiap percakapan kita mesti ditapis terlebih dahulu. Selain perkara yang berfaedah, percakapan juga mesti bersesuaian dengan masa, keadaan dan pendengarnya. Perkara baik kalau diperkatakan pada masa dan keadaan yang tidak sesuai, ia akan jadi tidak baik. Percakapan yang baik memberi faedah kepada orang yang bercakap dan orang yang mendengar. Antara ciri-ciri percakapan yang baik ialah: (1) Perkara yang benar; (2) Sopan; (3) Membawa faedah; (4) Berniat baik; (5) Sesuai dengan masa; (6) Sesuai dengan keadaan. Sekiranya tiada perkara berfaedah hendak dicakapkan, lebih baik diam dan mendengar orang lain bercakap. Orang bijak lebih suka mendengar daripada bercakap.


11. Jaga Ibu Bapa Dengan Sempurna

Ibu bapa adalah Phra Arahan bagi anak-anak. Ibu bapa adalah Phrom bagi anak-anak. Ibu bapa adalah dewa bagi anak-anak. Ibu bapa adalah guru bagi anak-anak. Lihatlah betapa mulianya ibu bapa. Mereka diibaratkan seperti Phra Arahan, Phra Phrom, dewa, dan guru kepada ana-anak. Tiada siapa yang lebih mulia daripada ibu bapa. Jasa ibu bapa tiada bandingannya. Oleh itu, sebagai anak kita mesti sedar akan kebesaran jasa ibu bapa dan tahu pula membalas jasa tersebut. Selain menjaga dan memberi makan minum yang sempurna kepada ibu bapa, kita mesti menghormati mereka sebagaimana kita menghormati Phra Arahan atau Phra Phrom. Pemikiran kita, perlakuan kita, pertuturan kita yang menyinggung perasaan ibu bapa akan mengundang dosa yang bukan kecil. Selain itu, kita mesti menjadi anak yang baik. Semua ibu bapa mengharapkan anak-anaknya menjadi orang baik. Ketawa ibu bapa adalah syurga, tangisan mereka adalah neraka. Anak yang jahat pasti melukakan hati ibu bapa. Dan tiada syurga bagi anak derhaka.


12. Asuh Anak Dengan Betul

Kebanggaan utama ibu bapa adalah apabila berjaya mendidik anak-anak menjadi orang baik, insan mulia. Oleh itu ibu bapa mesti berusaha supaya anak-anak mendapat kasih sayang dan pendidikan yang mencukupi agar besar nanti menjadi manusia berguna. Mendidik anak mesti betul dengan caranya. Memanjakan anak bukan cara yang bijak. Untuk melihat anak jadi orang baik, ibu bapa juga mesti jadi orang baik. Misalnya, sukar melarang anak merokok sekiranya ibu bapa sendiri merokok. Ibu bapa jangan melakukan perkara yang tidak mahu dilakukan anak-anak. Selain itu, ibu bapa harus bijak menerapkan nilai-nilai agama ke dalam jiwa anak-anak. Secara umum, pencapaian anak-anak terbahagi kepada 3 jenis: (1) Anak yang lebih “baik” daripada ibu bapa akan menjulang taraf keluarga dan keturunan; (2) Anak yang “sama” dengan ibu bapa biarpun tidak berjaya menjulang taraf keluarga dan keturunan namun tidak memusnahkannya; (3) Anak yang “lebih teruk” daripada ibu bapa akan mengundang kemusnahan kepada keluarga dan keturunan. Didiklah anak-anak dengan kasih sayang dan banjirilah jiwa mereka dengan nilai-nilai mulia.


13. Jaga kebajikan Isteri (atau Suami)

Suami isteri mesti menjaga dan menghormati antara satu sama lain. Seorang suami atau isteri mesti tahu akan tanggungjawab masing-masing. Sekiranya salah seorang mengabaikan tanggungjawabnya, rumah tangga akan porak peranda. Perkara utama yang harus dimiliki bersama ialah (1) Kepercayaan - suami isteri mesti mempunyai kepercayaan dan matlamat hidup yang sama. Misalnya, suami beragama Buddha dan Nirvana sebagai matlamat hidup, maka isteri juga mesti beragama Buddha dan Nirvana sebagai matlamat hidup; (2) Moral - sekiranya salah seorang tidak bermoral atau tahap moralnya rendah, keluarga sukar mengecapi kebahagiaan; (3) Pemurah - kedua-dua pihak mesti berhati mulia iaitu sanggup berkongsi rezeki bukan sahaja dengan ahli keluarga tetapi dengan jiran-jiran juga; (4) Kebijaksanaan - suami isteri yang mempunyai jurang kebijaksanaan yang terlalu besar sering mengundang masalah rumah tangga. Oleh itu, suami isteri harus berusaha mencapai persamaan atau hampir sama dalam keempat-empat perkara di atas. Kebijaksanaan merupakan perkara yang amat penting kerana tanpa kebijaksanaan segala masalah sukar diselesaikan.

Jaga kebajikan isteri / suami. Maksud kebajikan di sini ialah “saling membantu” demi menjaga keutuhan rumah tangga. Terdapat 4 jenis kebajikan iaitu: (1) Berkongsi - suami isteri mesti berkongsi kehidupan, suka duka, perbelanjaan, dan sebagainya. Tanpa perkongsian yang bijak rumah tangga bahagia tidak kekal lama. (2) Percakapan - teguran atau nasihat mesti secara lembut. Bercakap kasar harus dielakkan sama sekali. (3) Pengamalan berfaedah - suami isteri mesti melakukan perkara-perkara berfaedah. Sekiranya suami mendapat tahu perkara yang memberi faedah kepada keluarga, dia mesti segera memberitahu isteri agar dapat sama-sama melakukannya. (4) Tahu diri - sekiranya suami seorang usahawan dia mesti menampilkan diri sebagai usahawan. Kalau isteri seorang suri rumah, dia mesti menampilkan diri sebagai suri rumah. Penampilan diri yang betul mempengaruhi suami atau isteri memainkan peranannya dengan betul.


14. Kerja Tidak Bertangguh

Orang yang berjaya ialah orang yang tidak menangguhkan pekerjaan. Kerja yang boleh disiapkan sekarang mesti disiapkan sekarang juga. Kerja yang boleh disiapkan dalam masa sehari jangan ditangguhkan sehingga esok atau lusa. Orang yang suka menangguhkan kerja akan menyusahkan diri sendiri dengan bebanan kerja yang semakin menimbun. Cara-cara menyiapkan kerja dengan berkesan ialah: (1) Berminat dengan kerja tersebut (chanda), (2) Melakukannya dengan tekun dan sabar (viriya), (3) Memberi perhatian penuh (citta), (4) Menilai hasil kerja dari masa ke masa (vimangsa). Pekerjaan yang tidak bertangguh akan memberi banyak faedah kepada diri sendiri dan orang lain.


15. Selalu Menderma Atau Sedekah

Menderma atau memberi sedekah (dana) bermaksud memberi “barang” milik kita kepada orang lain dengan hati yang rela. Menderma atau sedekah dapat dibahagi kepada 3 jenis yang utama, iaitu: (1) Sedekah barang atau harta - memberi barang atau harta kepada orang lain yang memerlukannya; (2) Sedekah ilmu - memberi ilmu pengetahuan kepada orang lain agar mereka mendapat faedah daripada ilmu tersebut; (3) Sedekah kemaafan - memaafkan kesalahan orang lain merupakan sedekah yang teramat tinggi nilainya. Hanya orang yang berhati mulia sahaja dapat melakukan sedekah kemaafan ini dengan ikhlas.

Ciri-ciri sedekah yang baik ialah:

(1) Barang yang halal - maksudnya barang yang hendak diderma atau disedekah itu mesti halal iaitu kita perolehinya dengan cara yang betul (bukan hasil rompakan, curian, rasuah, atau penipuan daripada orang lain).

(2) Pemberi ikhlas - kita mesti ikhlas memberi derma atau sedekah. Ikhlas di sini bererti kita memberi dengan niat untuk berkongsi kesenangan bukan untuk mengharapkan apa-apa balasan. Dalam Kitab Tipitaka disebutkan bahawa sedekah yang paling mulia adalah sedekah yang bertujuan membersihkan sifat tamak dan kedekut.

(3) Penerima ikhlas - penerima ikhlas bermaksud penerima menggunakan barang pemberian dengan betul. Misalnya, kita memberi baju kepada seseorang untuk dipakainya, tetapi dia menjual baju tersebut. Duit itu pula digunakan untuk membeli rokok. Di sini penerima tidak ikhlas. Penganut agama Buddha memberi derma duit kepada Phra untuk kegunaan wat atau perkara berkaitan keagamaan. Sekiranya Phra itu menggunakan duit derma tersebut untuk keseronokan atau membeli rumah sendiri, maka dia dikatakan tidak ikhlas. Oleh itu, kita dinasihatkan memberi derma atau sedekah kepada orang yang berhati “suci” agar dia menggunakan barang derma ke jalan yang betul. Selain itu, sedekah harus diberikan kepada orang yang benar-benar memerlukannya, pusat kebajikan masyarakat dan sebagainya.


16. Mengamalkan Hukum Agama

Mengamalkan hukum agama bermaksud menjalani kehidupan harian berpandukan hukum-hukum agama. Sekiranya kita hidup berpandukan hukum agama, kehidupan kita pasti membahagiakan. Perkara yang dituntut agama kita tunaikan. Manakala perkara yang ditegah agama kita elakkan. 10 kejahatan utama yang dilarang agama Buddha ialah:

(1) Membunuh, (2) Mencuri, (3) Melakukan kesalahan seks, (4) Berbohong, (5) Melagakan orang / Memfitnah, (6) Bercakap kasar, (7) Bercakap perkara tidak berfaedah, (8) Tamak hendak mengambil hak orang lain, (9) Berdendam , (10) Mempunyai kepercayaan yang perpesong daripada nilai-nilai agama. Kesemua perkara ini mesti dielakkan sama sekali.

Selain itu, kita juga mesti melayani orang lain dengan adil dan saksama. Oleh itu, 5 perkara di bawah harus dielakkan: (1) Berat sebelah kerana sayang; (2) Berat sebelah kerana benci; (3) Berat sebelah kerana dipengaruhi orang; (4) Berat sebelah kerana takut bahaya; (5) Berat sebelah kerana kepentingan diri. Semua orang mesti bertindak adil dalam semua keadaan. Perkara yang harus diamalkan ialah Sila (rukun moral), Samadhi (konsentrasi/meditasi) dan Panya (kebijaksanaan).


17. Jaga Kebajikan Saudara Mara

Kebajikan saudara mara kita mesti dijaga. Maksudnya kalau kita sudah mengecapi kehidupan yang senang, kita jangan melupakan saudara mara. Talian persaudaraan harus dijaga agar kekal abadi. Saudara mara terbahagi kepada beberapa jenis utama, iaitu saudara mara kerana pertalian darah, saudara mara kerana keakraban, saudara mara kerana saling memerlukan dan saudara mara seagama. Saudara mara yang harus diberikan keutamaan ialah saudara mara jenis “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” atau “saudara mara yang sanggup ketawa dan menangis bersama”. Cara menjaga kebajikan saudara mara adalah dengan memberi bantuan kebendaan, bantuan tenaga, ziarah menziarahi, memberi nasihat dan menunjukkan jalan kebenaran.


18. Membuat Kerja Yang Halal

Kerja yang halal bermaksud kerja yang tidak menimbulkan sebarang keburukan kepada sesiapa. Malah kerja tersebut mesti memberi kebaikan kepada kita dan orang lain. Pekerjaan yang dimaksudkan itu mesti mengambil kira 4 perkara: (1)Tidak melanggar undang-undang, (2) Tidak bercanggah dengan adat, (3) Tidak melanggar nilai moral, (4) Tidak menyalahi hukum agama. Kita mesti berfikir dahulu sebelum membuat sebarang pekerjaan. Pekerjaan yang terbaik ialah pekerjaan yang memberi faedah kepada diri sendiri dan orang lain.


19. Tidak Berbuat Dosa

Sebagai manusia kita mesti menjauhi dosa. Perbuatan dosa berpunca daripada kotoran hati (kilesa). Dosa dilakukan melalui pemikiran, perbuatan dan percakapan. Terdapat 2 cara mengelakkan diri daripada lembah dosa, iaitu: (1) Berhenti daripada perbuatan dosa yang kita lakukan selama ini, (2) Jauhi perbuatan dosa yang belum pernah kita lakukan. Dosa yang pernah kita lakukan boleh “dicuci” apabila kita berhenti daripada berbuat dosa tetapi pada masa yang sama kita mesti malakukan kebaikan. Maksudnya kita meninggalkan semua kejahatan dan melakukan kebaikan sahaja. Nilai moral yang harus ada pada seseorang untuk mengelakkan diri daripada berbuat dosa ialah: (1) Perasaan malu kepada dosa, (2) Perasaan takut kepada dosa. Tanpa perasaan malu dan takut kepada dosa, kehidupan orang tidak berbeza dengan binatang.


20. Mengawal Penggunaan Arak Dan Dadah

Mengawal penggunaan arak dan dadah bermaksud tidak menyalahgunakan arak dan dadah. Arak dan dadah tidak dilarang untuk kegunaan perubatan. Yang dilarang ialah penyalahgunaannya. Minum arak atau mengambil dadah akan mengundang pelbagai keburukan. Antaranya: (1) Membazir duit, (2) Menimbulkan pertelingkahan, (3) Mendatangkan pelbagai penyakit, (4) Merosakkan nama baik, (5) Melemahkan akal fikiran. Orang yang ketagih alkohol atau dadah sukar untuk berhenti melainkan mereka betul-betul nampak keburukannya. Walau bagaimanapun, untuk berhenti arak atau dadah bukan perkara mustahil sekiranya disertai dengan tekad yang kuat.

Mabuk merupakan musuh kepada kewarasan. Orang yang tidak waras sinonim dengan orang gila. Oleh itu, jauhilah benda-benda yang memabukkan termasuklah arak, dadah, pil khayal dan sebagainya. Orang yang mabuk akan hilang kewarasannya. Oleh itu mereka sanggup melakukan pelbagai kejahatan yang membinasakan diri sendiri dan orang lain. Empat balasan Karma yang bakal diterima orang mabuk dalam kehidupan akan datang ialah: (1) Lahir jadi orang gila, (2) Lahir jadi orang bisu, (3) Lahir jadi orang terencat akal, (4) Lahir jadi binatang menjalar.


21. Tidak Lalai Dalam Ajaran Agama

Tidak lalai di sini bermaksud tidak mengabaikan penggunaan akal dalam segala pemikiran, perbuatan dan percakapan. Orang yang menggunakan akal dalam segala tindak tanduknya pasti tidak terjerumus ke kancah kejahatan. Malah akal akan menjadi pedoman kepada seseorang untuk melakukan kebaikan. Kita jangan jadi orang yang lalai. Orang yang lalai sentiasa mengharapkan 3 perkara, iaitu: (1) Tidak melakukan kebaikan tetapi mahu hasil yang baik, (2) Melakukan kejahatan tetapi mahu hasil yang baik, (3) Melakukan sedikit kebaikan tetapi mahu banyak hasil yang baik. Fikiran yang sedar amat penting. Dengan adanya fikiran yang sedar manusia tidak akan lalai kerana fikiran yang sedar itu datangnya darpada akal. Fikiran yang sedar sentiasa mendorong kita melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan.


22. Menghormati Orang Lain

Sebagai manusia kita bukan sahaja ditegah memandang rendah orang lain, tetapi mesti menghormati sesama manusia. Kalau kita menghormati orang, orang juga akan menghormati kita. Penghormatan itu bukan sekadar terpendam di hati, tetapi mesti ditunjukkan dengan tingkah laku yang sopan.

Semua benda di muka bumi ini ada kegunaannya tersendiri. Binatang, pokok, batu, pasir, air, udara dan sebagainya ada peranan dan kegunaannya. Tetapi masih banyak rahsia alam semulajadi yang belum dicungkil. Begitu juga dengan orang. Semua orang ada kebaikan masing-masing. Kita sepatutnya mengambil kesempatan mendalami kebaikan tersebut. Orang yang jahat sekali pun masih ada kebaikannya. Kalau kita bijak kita boleh mengambil kebaikannya untuk faedah diri sendiri dan masyarakat. Pokoknya, kita pandanglah orang lain dari sudut kebaikannya. Selain manusia, kita juga mesti menghormati binatang dan alam sekitar kerana semuanya saling bergantungan.


23. Tidak Bersikap Sombong

Sikap sombong akan membawa kebinasaan kepada diri sendiri. Oleh itu kita sentiasa diingatkan agar tidak bersikap sombong. Kita kena selalu menilai diri kerana takut sikap sombong menjelma tanpa disedari. Orang menjadi sombong kerana terpengaruh oleh beberapa perkara, iaitu: (1) Keturunan, (2) Harta, (3) Rupa paras, (4) Keupayaan, (5) Pangkat, (6) Pengikut. Sikap sombong akan mengundang keburukan, iaitu: (1) Merosakkan diri sendiri, (2) Kehilangan sahabat atau kawan, (3) Kehilangan pengikut. Untuk mengelakkan sikap sombong kita mesti berkawan dengan orang yang beriman dan selalulah ada kesedaran bahawa diri kita ini terlalu “kecil” dan kehidupan kita terlalu “singkat”. Kita dilahirkan untuk membuat kebaikan bukan untuk bersombong.


24. Berpuas Hati Dengan Apa Yang Dimiliki

Berpuas hati dengan apa yang kita ada sebenarnya untuk mengajar kita agar jangan terlalu tamak. Kita mesti berpuas hati dengan benda yang kita miliki dan benda yang kita perolehi. Sesetengah orang berpendapat bahawa sekiranya kita berpuas hati dengan benda yang kita ada, kita akan jadi pemalas. Misalnya, kalau kita berpuas hati dengan kehidupan kita seperti 30 tahun dahulu, kita tidak akan maju seperti hari ini. Pendapat itu salah. Kita diajarkan berpuas hati dengan apa yang kita ada adalah untuk menyekat sikap tamak hendak mengambil barang orang lain. Sekiranya kita tidak berpuas hati dengan benda yang kita ada, kita cenderung mengambil benda orang lain yang kita rasa lebih baik. Atau sekiranya kita berusaha sepenuh tenaga tetapi pendapatannya belum memuaskan hati, ini akan mendorong kita melakukan penyelewengan. Oleh itu, berpuas hati dengan benda yang kita perolehi amat penting tetapi benda itu mestilah diperolehi dengan cara yang halal. Berpuas hati bukan bererti kita disekat daripada bekerja kuat. Kerjalah berapa kuat, carilah berapa banyak harta asalkan tidak tamak sehingga melangkaui hak orang lain.


25. Mengenang Budi

Sejak dilahirkan sehinggalah dewasa kita terhutang budi kepada ramai orang. Selain ibu bapa, orang lain misalnya saudara mara, kawan-kawan, jiran tetangga, malah masyarakat umum pernah berjasa kepada kita. Contohnya, apabila kita sakit, ramai datang menziarahi kita. Di sini kita terhutang budi kepada mereka. Sekiranya kita ada kesempatan membalas budi, lakukanlah dengan kemampuan yang ada. Insan yang tahu kenang budi dianggap insan mulia. Perkara yang patut kita kenang budi terbahagi kepada 5 jenis, iaitu:
(1) Orang - semua orang yang berbudi dan berjasa kepada kita.
(2) Binatang - misalnya, lembu atau kerbau yang pernah membajak sawah untuk kita.
(3) Benda - misalnya, buku, sekolah, pusat beribadat, pokok dan sebagainya.
(4) Pahala - kita dilahirkan sempurna anggota, bebas penyakit, dihormati, ada pangkat dan sebagainya kerana hasil pahala yang kita lakukan.
(5) Diri sendiri - tubuh badan kita amat berbudi kepada kita dalam melakukan kebaikan.


26. Dengar Ceramah Agama Mengikut Kesesuaian Masa

Kita seharusnya memberi kesempatan kepada diri sendiri untuk pergi mendengar ceramah agama. Ceramah agama dapat menambahkan pengetahuan dan kebijaksanaan. Selain itu, kita juga boleh membaca buku agama. Perkara yang baik kita amalkan, perkara yang buruk kita tinggalkan. Pengamalan yang betul mengikut nilai agama akan meningkatkan minda. Minda yang tinggi tentulah tidak mudah diperbodohkan. Tanpa pengetahuan agama kita tenggelam dalam sikap tamak, marah dan sesat yang merupakan akar kepada segala kejahatan. Melalui ajaran agama juga kita dapat mengenali “kebenaran hakiki” segala benda di dunia yang berbeza daripada “kebenaran palsu” ciptaan manusia.

Faedah daripada mendengar ceramah agama ialah:
(1) Memberikan ilmu pengetahuan yang baru
(2) Menambahkan ilmu pengetahuan yang lama
(3) Memperjelaskan pengetahuan yang kabur
(4) Memperbetulkan kepercayaan
(5) Meningkatkan tahap minda


27. Sabar

Kesabaran (ketahanan hati) merupakan kemuliaan pada manusia yang tiada bandingannya. Orang yang bersabar merupakan orang yang di hadapannya terbentang kejayaan tanpa sempadan. Jutawan, ilmuwan, usahawan, sasterawan, angkasawan yang berjaya dan nama-nama besar di dunia adalah hasil daripada kesabaran dan ketekunan. Malah Buddha mendapat Pencerahan Sempurna juga kerana berkat kesabaran yang tidak berbelah bahagi. Boleh dikatakan bahawa kesemua kejayaan yang terdapat di muka bumi ini adalah lambang kesabaran.

Secara kasarnya kesabaran terbahagi kepada beberapa jenis:
(1) Sabar menghadapi fenomena alam - panas, hujan, banjir, ribut, petir dan sebagainya merupakan fenomena alam yang mesti dihadapi dengan sabar.
(2) Sabar menghadapi penderitaan hidup - sakit kepala, demam, kanser, kencing manis, sakit jantung, sakit tua dan sebagainya memerlukan kesabaran yang tinggi.
(3) Sabar menghadapi dugaan perasaan - marah, benci, sakit hati, tidak puas hati, tersinggung perasaan di rumah, di sekolah, di tempat kerja dan di mana-mana sahaja mesti dihadapi dengan penuh kesabaran.
(4) Sabar menahan nafsu - kemahuan terhadap benda yang disukai seperti pasangan jantina, kekayaan, kemewahan, pangkat dan sebagainya dikawal dengan sabar.
Untuk menjadi penyabar kita mesti membangunkan minda agar bijak bertindak balas terhadap rangsangan benda luaran yang datang melalui mata, telinga, hidung, lidah, badan. Meditasi merupakan kaedah terbaik membina kesabaran.


28. Jadi Orang Yang Senang Diajar

Orang yang senang diajar bermaksud orang yang sanggup mendengar nasihat daripada orang lain. Dia akan mendengar nasihat tersebut dengan teliti, sekiranya berguna dia akan menurutinya dengan jujur. Dia tidak suka memberi alasan mempertahankan keegoan diri. Orang senang diajar mengutamakan kebenaran bukan keegoan. Ciri-ciri orang yang senang diajar ialah:

(1) Tidak berdolak-dalik apabila kesilapan ditegur.
(2) Tidak mencipta alasan untuk mempertahankan kesilapan sendiri.
(3) Tidak berdiam diri iaitu setelah mendengar nasihat, dapat menerima kebenaranya, maka terus mengamalkannya.
(4) Tidak menyimpan perasaan marah atau dendam kepada orang yang memberi nasihat.
(5) Tidak suka bertikam lidah apabila ditegur, tetapi menghalusinya dengan bijak.
(6) Tidak bersikap angguk di depan, geleng di belakang.
(7) Tidak jemu menerima teguran dan nasihat, malah berbangga menerimanya dengan hati terbuka.


29. Nampak Samana

Kebahagiaan terbahagi kepada 2 jenis iaitu:
(1) Kebahagiaan luaran (fizikal) - kebahagiaan yang bergantung kepada kebendaan seperti menikmati makanan yang sedap, mendengar muzik yang digemari, menonton TV siri kesukaan, menyentuh benda yang dihayati dan banyak lagi merupakan kebahagiaan sementara.
(2) Kebahagiaan dalaman (mental) - kebahagiaan yang lahir daripada ketenangan dan kedamaian hati yang datang daripada meditasi merupakan kebahagiaan yang lebih bernilai dan kekal lama.

“Samana” bermaksud mereka yang mengamalkan kehidupan suci. Mereka mengamalkan Rukun moral (Sila), Meditasi (Samadhi) dan Kebijaksanaan (Panya) sehingga mencapai ketenangan - tenang daripada segala kejahatan.

Nampak Samana bermaksud nampak ketenangan (menghargai ketenangan). Ketenangan ada 3 jenis, iaitu:
(1) Tenang perbuatan - segala perbuatan jahat tidak dilakukan secara sengaja.
(2) Tenang pertuturan - segala pertuturan yang tidak baik tidak dilafazakan.
(3) Tenang pemikiran - perkara negatif tidak disimpan di dalam fikiran atau tidak melayani pemikiran kotor.

Kita mesti berusaha mencapai ketiga-tiga jenis ketenangan. Sekiranya kita berjaya melakukannya bererti kita juga dikatakan Samana. Selain itu, orang yang bergelar Samana wajib dihormati kerana ketenangannya. Sekiranya kita berjumpa dengan Samana, kita kena menziarahi dan melayaninya dengan baik. (Memakai kain kuning sahaja bukan Samana selagi tiada ketenangan dalam perbuatan, pertuturan dan pemikiran).


30. Berbincang Tentang Kebenaran Mengikut Kesesuaian Masa

Kebenaran di sini ialah kebenaran mengikut hukum alam yang diajarkan oleh Buddha bukannya kebenaran ciptaan manusia. Kebenaran yang diajarkan Buddha adalah kebenaran hakiki yang wujud bersama kewujudan alam. Kebenaran ini tidak akan berubah. Misalnya, lahir, tua, sakit, mati merupakan empat kebenaran hakiki. Sedangkan kebenaran ciptaan dunia adalah kebenaran yang diciptakan untuk melicinkan kehidupan manusia. Misalnya, perkahwinan merupakan kebenaran dalam perkongsian hidup tetapi apabila bercerai, kebenaran tersebut tiada lagi.

Kita harus berbincang tentang kebenaran dari masa ke masa dengan kawan-kawan atau dengan Phra biksu. Tetapi yang penting orang yang kita ajak berbincang itu mesti arif tentang kebenaran dan berfikiran waras. Orang yang tebal dengan keegoan (ditthi) dan orang mabuk tidak boleh diajak berbincang. Banyak kebenaran yang boleh dibincangkan seperti (1) Tiga Hukum Alam - Anicca (tidak kekal), Dukkha (kesengsaraan), Anatta (tiada diri); (2) Empat Kebenaran Suci - Dukkha (kesengsaraan), Samudaya (punca kesengsaraan), Nirodha (kebebasan daripada kesengsaraan), Magga (jalan menuju kebebasan daripada kesengsaran); (3) Konsep Phrom-Vihara 4 (Mettta, Karuna, Mudita, Upekkha); (4) Memberi sedekah, rukun moral, meditasi, kemaafan, ketekunan, kesabaran dan lain-lain.

Ciri-ciri perbincangan: (1) Perkara yang benar sahaja dicincangkan, (2) Berbincang dengan tenang dan sopan, (3) Perkara yang dibincangkan mesti membawa kebaikan, (4) Berbincang dengan perasaan sayang dan hormat, (5) Berbincang pada masa dan keadaan yang sesuai.

Berbincang tentang kebenaran ini boleh dilakukan di mana-mana sahaja - di pejabat, di rumah, di sekolah atau di wat kerana kebenaran ada di semua tempat dan digunakan pada semua keadaan untuk semua orang.


31. Membakar Kotoran Hati

Umur sudah mencapai 50 tahun tetapi baru tersedar bahawa begitu banyak kesalahan yang dilakukankan. Sudah insaf katakan. Lalu berusaha menjadi orang baik. Sifat buruk seperti tamak, marah dan sesat hendak dihapuskan tetapi ternyata gagal. Sifat buruk berkenaan amat liat untuk dibuang kerana telah sebati dan mendap di lubuk hati. Sifat buruk yang mendap di lubuk hati itu dipanggil kotoran hati (kilesa). Kotoran hati ini bersifat “panas” oleh itu sering menimbulkan “kepanasan” kepada kita. Perasaan tamak, marah dan sesat adalah perkara yang membakar orang. Lihatlah betapa ramai orang yang “terbakar” hidup-hidup kerana kotoran hati ini. Oleh sebab kotoran hati (kilesa) bersifat panas, maka untuk mengeluarkannya dari badan juga mesti dengan membakarnya.

Membakar kotoran hati bukan dengan api, tetapi dengan tekad, kesabaran dan ketekunan. Apabila timbul perasaan tamak terhadap sesuatu benda, kita tahan hati jangan mengikut kehendaknya. Perasaan tamak akan meronta-ronta bagaikan kepanasan kerana tidak mendapat apa yang dikehendakinya. Kita sabar dengan rontaannya. Akhirnya perasaan tamak akan terhapus dengan sendiri. Begitu juga dengan perasaan marah. Kesimpulannya, kejahatan jangan diikutkan. Semakin diikut semakin menjadi-jadi. Deria Enam iaitu Mata, Telinga, Hidung, Lidah, Badan, Hati dikawal baik-baik kerana inilah pintu datangnya kotoran hati.


32. Mengamalkan Kehidupan Mulia (Brahma-Cariya)

Mengamalkan kehidupan mulia yang dipanggil Brahma-Cariya / Phroma-Chan adalah untuk membebaskan minda daripada duniawi dari tahap ke tahap sehinggalah menjadi Phra Arahan (Nirvana). Pada peringkat pertama mesti mengamalkan Lapan Jalan Suci (Ariya Magga 8) untuk menghapuskan perasaan-perasaan yang memikat hati (Kamarom), kemudian minda memasuki tahap Rupa-Vacara dan Arupa-Vacara (duniawi). Selepas itu, minda naik ke tahap bukan duniawi (Lokuttara-bhumi) sehinggalah Nirvana.

Bagi orang biasa menghapuskan perasaan yang memikat hati (Kamarom) itu amat penting untuk membangunkan minda. Selagi minda terlekat dengan perasaan-perasaan tersebut, minda tidak akan maju dan kebijaksanaan tidak akan meningkat.


33. Nampak Empat Kebenaran Suci

Empat Kebenaran Suci ialah (1) Dukkha - kesengsaraan; (2) Samudaya - punca kesengsaraan; (3) Nirodha - menghapuskan kesengsaraan; (4) Magga - Jalan menghapuskan kesengsaraan.

Kalau diibaratkan dengan orang yang menghidap penyakit: (1) Dukkha - Keadaan menghidap penyakit; (2) Samudaya - punca penyakit; (3) Nirodha - keadaan sembuh daripada penyakit; (4) Magga - ubat atau cara mengubati penyakit.

Untuk melepaskan diri daripada kesengsaraan, kita mesti mengamalkan Empat Kebenaran Suci dan Lapan Jalan Suci. Lapan Jalan Suci ialah: (1) Kepercayaan yang betul, (2) Hajat yang betul, (3) Pertuturan yang betul, (4) Perilaku yang betul, (5) Sara hidup yang betul, (6) Cara berusaha yang betul, (7) Daya ingatan yang betul, (8) Konsentrasi yang betul.

Empat Kebenaran Suci ini boleh diadaptasikan untuk kegunaan harian, maksudnya untuk menyelesaikan masalah kehidupan manusia. Semua masalah pasti merangkumi empat perkara iaitu (1) Keadaan masalah, serius atau ringan (2) Punca masalah, dalaman atau luaran (3) Masalah boleh diatasi kalau kena dengan caranya, (4) Cara mengatasi masalah ada berbagai-bagai, terpulang kepada kebijaksanaan kita memilihnya. Setelah keempat-empat perkara ini dikenal pasti barulah kita mula mengatasinya. Masalah remaja ketagihan arak atau rokok atau dadah tidak mungkin dapat diatasi sekadar memberi nasihat atau memarahinya. Kita mesti mengenal pasti masalah tersebut berpandukan konsep Empat Kebenaran Suci terlebih dahulu, kemudian mencari pendekatan yang sesuai. Mengadaptasikan konsep Empat Kebenaran Suci terbukti berkesan dalam kehidupan manusia.


34. Mencapai Nirvana

Nirvana bermaksud padam atau kosong. Padam dan kosong daripada kotoran hati (kilesa) dan kesengsaraan (dukkha). Atau, bermaksud bebas. Bebas daripada segala punca kesengsaraan. Semua orang, termasuk kita boleh mencapai Nirvana sekiranya melakukan pengamalan yang betul.

Kita tidak mencapai Nirvana kerana kita terkurung di dalam kejahilan (avijja). Kejahilan merupakan tembok penghalang daripada melihat Nirvana. Orang dahulu sering berkata mengamalkan kebaikan untuk pergi Nirvana seolah-olah Nirvana berada di suatu tempat yang jauh. Sebenarnya, kita tidak perlu pergi Nirvana kerana Nirvana sudah ada di dalam diri kita tetapi terlindung oleh kejahilan. Apabila kejahilan dihapuskan maka terlihatlah Nirvana. Nirvana adalah keadaan minda yang bebas daripada kesengsaraan. Ketika hati kita berasa lapang, tenang dan damai tanpa sebarang gangguan, keadaan itu boleh diibaratkan sebagai “Nirvana percubaan”. Nirvana percubaan membolehkan kita menikmati kebahagiaan yang tinggi tetapi sementara. Namun, penganut agama Buddha mesti menjadikan Nirvana sebenar sebagai matlamat hidup.
35. Minda Bebas Daripada Duniawi

Minda yang bebas daripada duniawi ialah minda mereka yang sudah mencapai Nirvana. Minda mereka bebas dan merdeka kerana tidak terpengaruh oleh perkembangan dunia. Atau keduniaan tidak mampu mempengaruhi fikiran mereka lagi. Phra Arahan (Arahat) melakukan kerja rutin dengan kesedaran dan tanggungjawab sosial membantu manusia membebaskan diri daripada kesengsaraan. Mereka tidak dipengaruhi keperluan duniawi.


36. Minda Tidak Sugul

Minda tidak sugul adalah minda yang telah bebas sepenuhnya daripada kesengsaraan. Perasaan suka terhadap keduniaan boleh menyebabkan seseorang menjadi sugul. Apabila minda sudah bebas daripada keduniaan maka minda yang sugul tidak ada lagi. Malah tiada apa-apa lagi di dunia yang disukai sehingga menyebabkan minda menjadi sugul. Phra Arahan tidak pernah sugul biarpun terpaksa berhadapan dengan peristiwa kehilangan sahabat yang disayangi.


37. Minda Bebas Daripada Debu Hati

Debu hati ialah kotoran hati yang halus. Kotoran yang kasar senang dibersihkan tetapi kotoran halus hanya dapat dibersihkan apabila menjadi Phra Arahan. Kotoran halus ini juga dipanggil Samyojana 10. Mereka yang telah membersihkan kesemua Samyojana barulah dapat mencapai Arahan. Minda suci, terang dan tenang.


38. Minda Sejahtera Dan Abadi

Minda sejahtera bermaksud minda telah bebas sepenuhnya daripada segala bahaya. Bahaya dalaman iaitu kelahiran, ketuaan, kesakitan dan kematian. Bahaya luaran tidak terhitungkan, mungkin bahaya daripada cuaca, manusia, binatang dan sebagainya. Phra Arahan sudah bebas daripada semua bahaya. Minda mereka tidak terikat dengan keduniaan lagi. Kebebasan dan kesejahteraan mereka kekal abadi. Selain itu, Phra Arahan mempunyai kelebihan yang lain iaitu mempunyai kuasa Abhinna 6:

(1) Mempunyai kuasa luar biasa - dapat terbang di udara, berjalan menembusi tembok, bertukar rupa, menghilangkan diri dan sebagainya.

(2) Mempunyai pendengaran ajaib - dapat mendengar suara di kejauhan.

(3) Tahu fikiran orang lain - dapat membaca fikiran atau gerak hati orang lain.

(4) Tahu kehidupan yang lalu - dapat mengetahui kehidupan yang dahulu.

(5) Mempunyai penglihatan ajaib - dapat melihat perkara yang terlindung atau perkara di kejauhan.

(6) Berjaya menghapuskan kotoran hati - berjaya membebaskan minda daripada kesengsaraan.

1 - 5 adalah kuasa tahap Lokiya (duniawi). Manakala 6 adalah kuasa Lokuttara (melepasi duniawi).


Sunday, March 16, 2008

Halau Phra Biksu Jahat




Penganut agama Buddha mesti halau biksu jahat daripada kehidupan mereka sebagaimana yang dilakukan oleh Buddha seperti tercatat di dalam Karandava-Sutta.

Pada suatu ketika, Buddha berehat di tepi kolam teratai bernama Khakra berdekatan Kota Champa. Ketika itu kedengaran ramai biksu menuduh seorang biksu membuat kesalahan. Biksu yang dituduh membuat kesalahan itu tidak mempedulikan tuduhan tersebut. Dia berpura-pura bercakap perkara lain, bercakap perkara yang tidak ada kaitan dengan tuduhan, menunjukkan sikap marah dan sikap tidak segan kepada biksu lain.

Ketika itulah Buddha mengingatkan biksu lain bahawa:

“Oh, biksu semua, tolong halau orang itu keluar! Tolong halau orang itu keluar! Dengar sini biksu semua, orang begini mesti dihalau pergi. Orang ini anak luar kandang. Dia kacau kedamaian orang lain.

“Oh, biksu semua, sesetengah orang di dalam dhamma-vinaya ini (agama Buddha) berkelakuan, melangkah ke depan, berundur ke belakang, melihat, berpaling, memakai sangkati, jivorn, membawa bart (batil), tak tumpah seperti biksu baik-baik selagi biksu semua tak nampak kejahatannya!

“Setelah biksu semua nampak kejahatannya, orang itu sebenarnya berniat tak baik terhadap biksu lain. Orang itu merupakan biksu sekam padi, biksu lapar umpan. Setelah kita tahu, patutlah dia dihalau pergi. Kenapa? Supaya dia tak rosakkan biksu lain.

“Oh, biksu semua, ibarat sejenis rumput yang merosakkan padi. Rumput tersebut ada biji macam biji padi hampa, tumbuh di sawah yang subur; akar, batang, daun seperti padi, selagi tangkai buahnya belum keluar, tak tahu ia rumput. Setelah tangkai buahnya keluar, barulah tahu rumput itu merosakkan padi, oleh itu harus dicabut pokoknya, kemudian dibuang keluar dari kawasan sawah. Kenapa? Supaya rumput ini tidak merosakkan padi yang sedang subur.

“Oh, biksu semua, umpama timbunan padi yang sedang diangin, padi yang bernas terkumpul di satu tempat, manakala padi hampa akan ditiup angin ke tempat lain. Sekiranya padi bernas dan padi hampa ada tercampur, tuannya akan memisahkannya. Kenapa? Supaya padi hampa yang tidak berguna, tidak bercampur dengan padi bernas yang baik.

“Oh, biksu semua, bagaikan seseorang yang mahu buad tukil air, membawa kapak ke hutan. Dia menghentak-hentak pokok (buluh?) dengan belakang kapak. Pokok yang keras dan tebal berbunyi padat, manakala pokok yang reput di dalam, berisi air, bunyinya kuat dan bergema (kerana dalamnya kosong). Maka pokok yang reput di dalam itu akan dipotong untuk dijadikan tukil air.

“Oh, biksu semua, seseorang di dalam dhamma-vinaya ini, berkelakuan, melangkah ke depan, berundur ke belakang, melihat, berpaling, memakai sangkati, jivorn, membawa bart (batil), tak tumpah seperti biksu, selagi biksu semua tak nampak kejahatannya! Tetapi setelah biksu semua nampak kejahatan orang tersebut, maka biksu semua akan tahu bahawa dia perosak biksu lain, dia biksu sekam padi, dia biksu lapar umpan. Dia mesti dihalau pergi supaya dia tidak merosakkan biksu baik-baik yang lain!”


Karandava Sutta

Kitab Tipitaka

Jilid 37/muka surat 326


Perlakuan seseorang biksu (phra song) akan diketahui apabila tinggal bersama dalam jangka masa tertentu. Orang jahat, degil, dengki, kedekut, dan suka menunjuk-nunjuk ada di mana-mana. Sesetengah orang, dalam perhimpunan bercakap lembut seperti biksu yang baik, pandai memberi alasan untuk menutupi kejahatan diri, penyelewengan dan pembohongan. Setelah tahu sikap jahat orang tersebut, biksu semua mesti bersatu hati menghalaunya pergi. Orang yang diibaratkan seperti biksu sekam padi (tak berguna) dan biksu lapar umpan (tipu makan) bukan biksu tetapi berpura-pura jadi biksu (biksu palsu). Biksu yang baik tidak boleh tinggal bersama biksu yang jahat!

Berpandukan Karandava-Suttta, penganut agama Buddha tidak perlu merasa takut untuk menghalau biksu yang jahat dari tempat mereka. Biksu jahat tidak membawa sebarang kebaikan melainkan merosakkan agama Buddha dan penganutnya. Dia sebenarnya bukan biksu tetapi penipu yang mencukur kepala dan memakai kain kuning untuk menipu makan dan mengumpul kekayaan. Tidak berdosa kalau kita menghalau penipu keluar dari wat kita. Wat dibina untuk didiami biksu tulen bukan penipu. Walaupun biksu itu menjadi biksu dengan cara yang betul di dalam Ubosot (banpacha-upasampada) oleh Upacha yang bertauliah, tetapi sekiranya perlakuan biksu itu melanggar disiplin seorang biksu, melayan hawa nafsu, tamak haloba dan mengumpul kekayaan untuk diri sendiri maka jelaslah dia bukan biksu lagi dan patut keluar dari alam biksu. Kalau dia berdegil tidak mahu keluar, maka penganut agama Buddha mesti berpakat menghalaunya keluar.

Sekiranya kita terserempak dengan biksu palsu di tengah jalan, kita jangan berdiam diri. Kita harus mencari jalan agar penipu berkain kuning itu tidak terus menipu yang akan merosakkan imej agama kita. Kalau kita ke Kuala Lumpur, Ipoh, Johor dan bandar besar yang lain, kita akan nampak betapa ramainya pengemis kepala botak, berkain kuning berkeliaran di jalan raya, kedai kopi, medan selera dan pusat tumpuan orang ramai untuk "menjual" azimat keagamaan. Bukan setakat lelaki, sekarang perempuan yang berkain putih pun ramai. Seorang sahabat memberitahu adakalanya mereka itu sepasang suami isteri. Suami isteri cari makan dengan menipu atas nama Buddha, Dhamma dan Sangha. Dan kita pula berdiam diri. Apa kata penganut agama lain apabila nampak biksu yang dianggap insan suci dalam agama Buddha menipu di jalanan?
Saya terfikir di mana perginya Persatuan Sangha Thai/Theravada di Malaysia. Semuanya tidur atau sengaja menutup mata sehingga tidak nampak semua itu? Atau mereka juga sebahagian daripada biksu lapar umpan dan biksu sekam padi?

Sekiranya anjing liar yang berkeliaran, pihak bandaraya akan mengambil tindakan. Bagaimana dengan "penipu terhormat" ini?

Selain itu, tidak kurang biksu cari makan (biksu lapar umpan) yang menyewa rumah di tengah atau di pinggir kota untuk aktiviti penipuannya. Dia menamakan rumah sewanya sebagai "Wat", "Samnakh Song", "Pusat Pendidikan Dhamma", "Pusat Kebajikan Buddha", "Pusat Vipassana" dan bermacam-macam lagi. Semuanya untuk menipu (duit) orang ramai terutamanya penganut agama Buddha yang buta akal. Mereka boleh melakukan apa sahaja asalkan dapat "ang pau"(duit), misalnya, menilik nasib, jadi bomoh, tangkap hantu, buang sial, minyak pengasih, cari jodoh dan seribu satu macam. Semua ini dilarang oleh Buddha ke atas biksu tetapi mereka melakukan juga. Penganut agama Buddha pula mengizinkan. Mereka tahu bahawa penganut agama Buddha di bandar besar kurang tahu tentang ajaran Buddha, maka mudahlah untuk ditipu. Anehnya, biksu penipu ini kebanyakannya daripada keturunan Thai (Theravada) yang tiada pendidikan. Orang yang ditipu pula penganut Buddha kelahiran kota serta ramai yang berpendidikan tinggi!

Seorang sahabat pernah berkata,"Orang kota pandai berniaga tetapi kurang bijak dalam agama!" Saya menambah, "Orang desa tak tahu berniaga dan ramai buta agama!" Ramai orang Thai di Kelantan, Kedah, Perlis dan Perak yang diperdaya sejak turun temurun oleh Luang Phor(Ketua Wat Thai) dengan ungkapan keramat "Phra Song adalah sawah pahala (na bun) yang tiada bandingannya di dunia!" Phra Song (biksu) yang dimaksudkan oleh Buddha sebagai "sawah pahala" ialah Ariya Song (Ariya Sangha). Ariya Song ialah phra biksu yang telah mempraktis sehingga mencapai tahap Lokuttara (bukan duniawi) iaitu Sodaban, Sakadagami, Anagami dan Arahan. Manakala phra biksu yang mengamalkan dhamma-vinaya dengan baik, biarpun belum mencapai Lokuttara boleh diterima sebagai "sawah pahala" juga. Tetapi bagi phra biksu yang tiada amalan dhamma, tiada vinaya (disiplin), melainkan makan tidur walaupun bergelar Phra Kru atau Than Chao Khun, tidak dikira "sawah pahala". Dalam Kitab Tipitaka, phra biksu yang menipu apabila mati akan lahir jadi kerbau atau kaldai. Kita yang ditipu dan disesatkan apabila mati pergi mana?

Oleh sebab terpedaya dengan ungkapan keramat "na bun", maka orang Thai sanggup berbuat apa-apa sahaja yang disuruh demi pahala, demi syurga. Sekarang ramai biksu hidup mewah - ada kereta besar, kediaman besar (berhawa dingin), telefon canggih 3G, anak angkat, adik angkat, ibu angkat semua ada. Malangnya kita masih menghulurkan derma kepada mereka walaupun kita sendiri tidak sekaya mereka. Kerana kita gila pahala, gila syurga. Bila ditanya syurga tu di mana? Ternganga mulut kerana tak tahu. Jadinya, orang miskin membantu orang kaya. Anak-anak Buddha yang kaya raya (biksu) duduk goyang kaki, hari-hari kira duit. Makan minum dihulurkan sampai tangan. Manakala anak-anak Buddha yang miskin saban hari membanting tulang menyara keluarga - sewa rumah, makan minum anak isteri, yuran sekolah, beli pakaian anak-anak, bayar ansuran kereta, bil-bil elektrik, air, telefon dan seribu satu macam. Kerana kebodohan ditambahkan lagi satu beban "membeli pahala" untuk ke syurga yang sendiri tak tahu di mana. Tepuk dada tanya selera!

Penganut agama Buddha seharusnya bijak kerana perkataan "buddha" bermaksud suci, terang dan tenang - ketiga-tiganya adalah ciri-ciri kebijaksanaan. Malangnya penganut agama Buddha tidak sebijak yang dimaksudkan. Mereka mudah ditipu. Orang yang menipu ialah orang yang paling dihormati dan dipercayai. Bayangkan orang yang paling kita hormati dan percayai menipu kita. Harapkan pagar, pagar makan padi. Penganut agama Buddha terlalu terikat dengan adat yang menganggap phra biksu sebagai entiti suci yang tidak boleh disentuh. Memang betul phra biksu entiti suci tetapi biksu jenis Ariya Song. Biksu biasa yang tiada dhamma-vinaya bukan entiti suci. Oleh itu kita berhak untuk "menolak" mereka daripada kehidupan kita. Selagi kita terima biksu lapar umpan sebagaimana dikatakan Buddha, sampai bila-bila kita tidak akan mendapat kebijaksanaan.
Bagaimana kita hendak menilai biksu?
Tidak susah. Kita gunakan konsep Tri-Sikkha iaitu Sila, Samadhi dan Panya (Rukun Moral, Konsentrasi, Kebijaksanaan). Biksu baik mesti ada Sila atau Vinaya yang sempurna. Sempurna di sini bukan bererti ada kesemua Sila 227. Memadailah sekiranya tiada sifat tamak, marah dan sesat. Tidak tamak duit, kemewahan, dan kemasyhuran. Tidak marah kerana kemarahan diibaratkan kegilaan. Konsentrasi (samadhi) bererti ada ketenangan dan ketenteraman hati. Tidak bertindak balas terhadap benda luaran dengan melulu. Mata, telinga, hidung, lidah, badan dan hati sentiasa dalam kawalan. Kebijaksanaan (panya) dalam agama Buddha berlainan daripada pengertian biasa yang kita fahami. Kebijaksanaan dalam agama Buddha mesti datang daripada "pengamalan dhamma" sehingga dapat melihat kebenaran hakiki (paramattha sacca). Orang yang ada kebijaksanaan tidak akan melakukan sesuatu mengikut kehendak nafsu. Dia tidak mementingkan hal peribadi melainkan bertanggungjawab untuk kebaikan orang ramai. Biksu yang pandai "suat mon" (chanting) sahaja belum dikira baik kalau tidak tahu ajaran agama (dhamma). "Suat mon" kalau tidak tahu isinya umpama burung kakaktua. Sekarang "suat mon" sudah jadi satu adat atau upacara keagamaan. Apakah yang dapat kita ambil untuk diamalkan kalau tidak faham isinya? Banyak lagi cara kita menilai biksu, tetapi yang diberikan ini cuma panduan semata-mata.

Sudah tiba masanya kita mencelik mata, menilai diri. Di mana kita kini. Haluan kepercayaan kita menuju ke arah yang betul atau tidak. Pemimpin agama kita kini seorang Phra Song yang tulen mengikut konsep "banpachit" atau cuma syaitan bertopengkan Samana. Fikir-fikirkanlah!

Saturday, March 8, 2008

Rukun Moraliti - Jadi Orang atau Manusia?

Rukun Moral dan Nilainya

Dalam kehidupan bermasyarakat amat penting setiap anggota masyarakat membangun diri menjadi orang 100% yang dinamakan manusia. Perkara ini dapat menjamin kehidupan masyarakat yang berkualiti. Dhamma yang dapat menjadikan orang menjadi orang 100% ialah 5 Rukun Moral (Sila 5). Rukun ini mesti berpasangan dengan 5 Nilai Moral. Atau dalam maksud lain, Rukun Moral diamalkan untuk memelihara Nilai Moral yang ada pada manusia. Kedua-duanya mesti dijaga dengan betul kerana ia saling membantu. Antaranya ialah:

(1) Panatipata Veramani = Tidak membunuh, menganiaya dan mengancam manusia dan binatang.

(Nilai moral yang menjadi pasangannya ialah mempunyai kasih sayang dan belas kasihan (metta-karuna), berniat baik dan berpandangan positif terhadap orang lain)

(2) Adinnadana Veramani = Tidak mengambil barang orang lain tanpa kebenaran pemiliknya, mencuri, merompak, menyamun, merampas, mengambil secara menipu dan merasuah.

(Nilai moral yang menjadi pasangannya ialah menjadi orang yang rajin, mencari rezeki yang halal, selalu menderma dan menghormati hak dan harta orang lain)

(3) Kamesu Miccajara Veramani = Tidak melakukan kesalahan seks

Individu terlarang bagi lelaki:
a. Isteri orang
b. Gadis yang masih dibawah jagaan ibu bapa atau penjaga
c. Wanita yang ada hubungan persaudaraan (ibu, nenek, kakak, adik perempuan, anak perempuan)
Individu terlarang bagi wanita:

a. Suami orang
b. Lelaki yang ada hubungan persaudaraan (bapa, datuk, abang, adik lelaki, anak lelaki, biksu)
c. Kanak-kanak lelaki bawah umur

Kedua-dua pihak lelaki dan wanita bukan sahaja dilarang melakukan kesalahan seks, malah berpeluk-pelukan, bercakap secara menggoda, pergerakan badan atau bermain mata pun dikira melakukan kesalahan dalam perkara ini.
(Nilai moral yang menjadi pasangannya ialah mengawal perlakuan seks agar terbatas kepada suami atau isteri sahaja. Bagi mereka yang belum berkahwin, mereka harus mematuhi adat dan budaya yang melarang mereka bergaul bebas)
(4) Musavada Veramani = Tidak bercakap bohong, bercakap fitnah, bercakap tidak masuk akal dan bercakap kasar. Bercakap dengan niat menipu dan memperdaya orang lain termasuk di dalam rukun ini.

(Nilai moral yang menjadi pasangannya ialah menjaga kebenaran dalam percakapan dan perjanjian)

(5) Sura meraya macca pama datthana Veramani = Tidak minum minuman yang memabukkan, tidak menghisap dadah, menelan pil khayal serta merokok kerana semuanya menyebabkan pemikiran lemah dan terjelas.

(Nilai moral yang menjadi pasangannya ialah menjaga minda agar sentiasa kuat, sedar, ada daya ingatan yang sempurna serta tidak lalai dalam tugas dan tanggungjawab)
Mereka yang mahu jadi orang 100% yang dipanggil manusia mesti mengamalkan 5 Rukun Moral dan 5 Nilai Moral. Kalau putus satu rukun moral, maka akan jadi orang 80%, kalau putus 2 rukun moral, jadi orang 60%. Kalau putus semua jadi orang 0%. Penganut agama Buddha mesti berusaha menjaga kesemua Rukun Moral dan nilai moralnya.

(Orang berbeza daripada manusia. Orang mungkin ada sifat binatang di dalam hatinya. Tetapi manusia ialah insan mulia. Perkataan manusia berasal daripada perkataan “manu” yang merujuk kepada nama orang pertama di dunia yang bersifat mulia)

Selain itu, menjaga Rukun Moral akan mendapat kebaikan lain lagi seperti yang sering diucapkan oleh Phra semasa memberi Sila.

1. Mendapat kebahagiaan atau syurga (Silena sukating yanti)
2. Mendapat kekayaan yang besar (Silena phoga sampada)
3. Mendapat Nibbana (Silena Nibbuting yanti)

************************************************************************************


Catatan

Untuk mengamalkan Rukun moral ini, kita tidak perlu pergi minta dengan Phra (biksu) di Wat. Kita boleh mengamalkannya di mana-mana saja - di wat, di rumah atau di hutan. Asalkan niat kita ada kesungguhan dan keikhlasan, ia dikira sah. Sesetengah orang yang berfikiran sempit menganggap Rukun Moral (Sila) mesti diminta dan diberikan oleh Phra. Sebenarnya tidak perlu. Kalau Rukun Moral mesti “diterima” daripada Phra barulah boleh diamalkan, bagaimana dengan negara yang tiada Phra? Sesetengah Negara Eropah yang tiada Phra (biksu) misalnya, penganut agama Buddha di sana tidak berpeluang mengamalkan Rukun Moral? Lagipun, Rukun Moral juga ada dalam agama lain. Oleh itu, Rukun Moral adalah rukun universal yang apabila diamalkan terus mendapat kebaikannya tanpa perlu melibatkan “upacara meminta dan menerima daripada sesiapa”.
Upacara "meminta dan menerima" Rukun Moral (Thai: Kho Sin / Rap Sin) yang diamalkan oleh penganut agama Buddha, terutamanya masyarakat Thai merupakan "upacara keagamaan" (sasana pitthi) semata-mata. Upacara keagamaan merupakan "perhiasan" dalam agama. Kalau diamalkan dengan betul, ia menambahkan seri agama, tetapi kalau tidak diamalkan pun tidak mengapa. Perkara yang penting ialah nilai agama bukan upacaranya. Dalam konsep Rukun Moral, bukan upacara "meminta dan menerima" rukun itu yang difokus, tetapi yang penting mengamalkan rukun tersebut. Apakah gunanya kalau kita "meminta dan menerima" Rukun Moral sekiranya tidak diamalkan?
(petikan daripada buku “Sila Perhiasan Mulia” terbitan Abhidhamma Mahadhat Universiti, Wat Mahadhat, Bangkok)

Teras Ajaran Buddha

Ajaran Dalam Agama Buddha


Kitab suci agama Buddha dipanggil Ti-Pitaka yang bermaksud tiga buah raga, iaitu Vinaya Pitaka (raga disiplin), Sutta Pitaka(raga ucapan) dan Abhidhamma Pitaka(raga falsafah). Dhamma atau ajaran Buddha ada banyak dan pelbagai jenis. Sekiranya dihitung mengikut tajuk terdapat 84,000 tajuk (84,000 Phra Dhamma-khan). Pecahan tajuk ini adalah untuk disesuaikan dengan sikap, pemikiran dan kebijaksanaan pendengar dan pengamal ajaran tersebut yang berbeza-beza. Walau bagaimanapun teras ajaran Buddha dapat dirumuskan kepada 3 perkara utama, iaitu:
(1) Meninggalkan Kejahatan
Merangkumi semua kejahatan melalui perbuatan (tubuh), pertuturan (mulut) dan pemikiran (hati). Kejahatan ini akan memberi kesan buruk berikut:
(a) Menyusahkan diri sendiri
(b) Menyusahkan orang lain
(c) Menyusahkan diri sendiri dan orang lain
(d) Tidak mendatangkan faedah kepada diri sendiri dan orang lain
Kesemua jenis kejahatan seperti di atas mesti ditinggalkan, dielakkan dan dijauhi kerana ia membawa masalah kepada diri sendiri, masyarakat dan persekitaran.
(2) Membuat Kebaikan
Merangkumi semua kebaikan melalui perbuatan (tubuh), pertuturan (mulut) dan pemikiran (hati). Kebaikan ini akan memberi kesan baik berikut:
(a) Tidak menyusahkan diri sendiri
(b) Tidak menyusahkan orang lain
(c) Tidak menyusahkan diri sendiri dan orang lain
(d) Mendatangkan faedah kepada diri sendiri dan orang lain
Kesemua kebaikan mesti diamalkan oleh semua orang kerana ia membawa banyak faedah kepada diri sendiri, masyarakat dan persekitaran.
(3) Membersihkan Mental (hati)
Semua perkara yang menjadi punca atau penyebab seseorang melakukan kejahatan melalui perbuatan, pertuturan dan pemikiran mesti dibersihkan. Mental (hati) mesti dibersihkan agar perasaan tamak, marah dan sesat yang menjadi akar tunjang kepada segala kejahatan dihapuskan. Hati yang bersih pasti mulia - bermoral, pemurah, prihatin, ada kasih sayang dan sebagainya. Cara untuk membersihkan hati ada pelbagai jenis, antaranya menjaga rukun moraliti (Sila), meditasi (Samadhi dan Vipassana), memupuk kasih sayang (Metta) dan sebagainya. Membersihkan mental amat penting kerana Putera Siddhattha mendapat Pencerahan Sempurna (Samma-Sambodhi) sehingga menjadi Buddha kerana berjaya membersihkan mental sehingga suci (visuddhi) dan bebas daripada segala kotoran hati (kilesa). Malah orang kebanyakan juga sekiranya mahu menjadi manusia mulia, Ariya Sangha, mesti membersihkan mental sehingga suci dan bebas daripada segala kotoran hati.
3 perkara utama di atas merupakan teras ajaran daripada semua Buddha (Buddha dahulu, Buddha sekarang dan Buddha akan datang). Semua Buddha akan mengajarkan perkara yang sama.
Meninggalkan segala kejahatan;
Membuat segala kebaikan;
Membersihkan mental;
Inilah ajaran daripada semua Buddha.

Friday, March 7, 2008

Reformasi Majlis Kematian

Sembahyang Orang Mati
(Terjemahan Karya Panyanantha Bhikhu)

Kita harus memperbetulkan kepercayaan dalam masyarakat kita berkenaan upacara sembahyang mayat atau dalam bahasa Thai dipanggil suat sop. Kebanyakan orang menyangka bahawa Phra (biksu) datang sembahyang orang mati. Secara sopan mereka mengatakan Phra datang sembahyang mayat. Bagi mereka yang bermulut celupar, terutamanya yang gemar mabuk di majlis kematian sering mengatakan Phra datang untuk sembahyang hantu. Walau bagaimanapun kedua-dua sangkaan itu salah. Phra datang sembahyang orang mati salah. Phra datang sembahyang hantu pun salah. Phra tidak sembahyang orang mati. Phra juga tidak sembahyang hantu. Orang sudah mati tidak disembahyangkan pun tak mengapa.

Sebenarnya Phra datang sembahyang orang yang masih hidup. Sembahyang di sini bererti membaca Abhidhamma. Dalam bahasa Thai dipanggil suat Kusala. Suat Kusala untuk orang yang hidup dengar. Tetapi ramai orang sangka untuk orang mati dengar. Orang sudah mati mana boleh dengar lagi. Kadang-kadang yang lebih melucukan apabila Phra memberi Sila (rukun moraliti), ada orang pergi ketuk keranda panggil orang mati bangun terima Sila. Sebenarnya orang ketuk keranda untuk menyedarkan orang yang masih hidup bahawa orang sudah mati tak boleh melakukan apa-apa lagi - bangun terima Sila, berbuat pahala, makan atau minum, semuanya tak mampu dilakukan lagi. Berbuat baik atau berbuat jahat tak dapat dilakukan lagi. Semua perbuatan mesti dilakukan sewaktu masih hidup. Apabila sudah mati apa-apa perbuatan tidak dapat dilakukan lagi. Oleh itu, kalau hendak membuat kebaikan atau membuat pahala, buatlah semasa hidup.

Pada zaman dahulu, apabila ada kematian, Phra dijemput datang untuk meringankan kesedihan orang yang masih hidup. Orang yang kehilangan orang tersayang pastinya sedih. Oleh itu, Phra dijemput datang untuk memberi nasihat tentang kematian. Orang yang memahami kematian pasti tak akan bersedih hati walaupun kehilangan orang tersayang.

Kematian Merupakan Pengakhiran Segala Benda (Di Dunia)

Apabila penderitaan atau kesedihan menimpa sesuatu keluarga, Phra bertanggungjawab mengubati penderitaan keluarga tersebut. Cara mengubati penderitaan bukan dengan sembahyang (suat), tetapi dengan mempersembahkan ajaran Buddha. Ajaran Buddha (dhamma) barulah boleh mengubati penderitaan atau kesedihan. Dengan dhamma, orang dapat memahami kebenaran dan menerimanya dengan hati terbuka. Begitu jugalah dengan kematian. Kematian merupakan hukum alam yang harus dihadapi semua orang. Oleh itu, kematian merupakan perkara biasa. Manusia tidak seharusnya bersedih kerana kematian. Malah, mereka yang benar-benar memahami kebenaran alam tidak akan bersedih hati setiap kali kehilangan orang tersayang.

Semua orang akan mati. Kematian diibaratkan seperti tembikar tanah - ada yang masak, ada yang mentah. Semuanya akan pecah juga akhirnya. Cepat atau lambat. Semua benda yang hidup akan mati. Semua benda yang wujud akan hilang. “Sabbe Sangkhara Anicca.” (Segala benda (kecuali Nibbana) tidak kekal abadi). Phra mesti menerangkan ajaran Buddha kepada penganutnya untuk mengubati hati mereka yang lara. Kesimpulannya, zaman dahulu Phra dijemput datang sewaktu ada kematian untuk mengajar ajaran Buddha kepada orang ramai, terutamanya keluarga si mati.

Tetapi zaman sekarang … cakap betul … Phra tak ada pengetahuan agama. Kalau ada pun, terlalu sedikit sehingga tak mampu mengajar orang ramai. Oleh sebab tak mampu mengajar orang (memberi ceramah agama) maka terpaksalah sembahyang untuk orang dengar. Sebenarnya dhamma yang “disembahyangkan” itu pun untuk memberi pengetahuan kepada orang juga, iaitu pengetahuan tentang kebenaran kehidupan. Tetapi orang ramai tak faham kerana dhamma itu dalam bahasa Pali - dapat dengar sahaja tanpa memahami maksudnya. Oleh demikian, mereka cuma dapat kebaikan yang dipanggil bun sahaja. Mereka tidak mendapat kebaikan tahap kuson. Maksudnya mereka mendapat “kepuasan hati” sahaja, bukannya pengetahuan. Oleh sebab tak mendapat pengetahuan, seumur hidup duduk menyusun jari mendengar Phra sembahyang, kebijaksanaan tak akan lahir. Jahil dan bodoh agama seumur hidup.


Bun Dan Kuson

Bun (Pali: Punna) merupakan perkara yang berkaitan dengan kepuasan hati. Apabila kita melakukan sesuatu mengikut adat, tradisi, upacara atau perkara tertentu yang menyebabkan kita berpuas hati dan berbahagia, maka itulah dikatakan mendapat bun tetapi bukan kuson.

Kuson (Pali: Kusala) merupakan perkara yang berkaitan dengan kebijaksanaan, pengetahuan dan pemahaman. Kuson diibaratkan cahaya yang terang. Sekiranya “kuson” lahir di hati kita, maka kita akan mendapat “cahaya yang terang”. Maksudnya, apabila hati ada kuson, kegelapan akan hilang dan kejahatan akan berkurangan. Kuson ialah kebaikan yang membenihkan kebijaksanaan dan menghapuskan kebodohan.

Kesimpulannya, kita harus dapat membezakan antara “bun” dan “kuson” supaya kita dapat melakukan sesuatu kebaikan dengan bijak.


Upacara Kematian Penganut Agama Buddha di Luar Negara

Sewaktu Atma (saya) pergi ke England, Atma dapat mempelajari dan memahami upacara kematian penganut agama Buddha di sana. Seorang sahabat kepada Presiden Persatuan Agama Buddha di sana (ditubuhkan 50 tahun dahulu) meninggal dunia. Sebagai presiden, Mr. Chritmas Hamfri menetapkan beberapa peraturan semasa membawa mayat ke tanah perkuburan. Semua tetamu yang hadir mesti bangun memberi hormat sewaktu mayat tiba di tanah perkuburan. Kemudian mereka melafazakan kata-kata memuja Tri-Ratana (Buddha, Dhamma, Sangha). Selepas itu, mereka meminta Sila. Salah seorang biksu yang hadir akan memberikan Sila. Selepas selesai upacara memberi dan menerima Sila, mereka akan membaca petikan ajaran Buddha yang terdapat di dalam Kitab Tipitaka untuk didengar oleh tetamu. Ajaran tersebut ada kaitan dengan kehidupan manusia, terutamanya Dhammaniyama-Sutta yang mengisahkan kebenaran 3 sifat utama alam semulajadi. Antara kandungannya ialah:

Sewaktu berada di Chetawan Vihara, Buddha ada mengisahkan kepada para biksu begini: “Oh, biksu semua! Sama ada Tathagata (Buddha) lahir ke dunia atau tidak, kebenaran hakiki yang menjadi kelaziman iaitu Segala benda tidak kekal, Segala benda sengsara dan Segala benda tiada diri, tetap wujud. Tathagata cuma menjumpai kebenaran tersebut, kemudian menyebarkannya kepada orang ramai!” (Sabbe Sangkhara Anicca; Sabbe Sangkhara Dukkha; Sabbe Dhamma Anatta)

Setelah selesai mendengar ajaran Buddha, mereka meletakkan jambangan bunga di atas keranda kemudian berdiri bertafakur selama 2 minit. Kemudian keranda ditolak ke dalam tempat pembakaran sambil diiringi lagu dhamma secara perlahan. Selepas itu, mereka akan membaca ajaran Buddha kepada tetamu sekali lagi selama 10 minit.

Sewaktu mayat masih berada di rumah, mayat tidak dimasukkan ke dalam keranda. Mayat akan disolek dengan cantik seperti wajah seseorang yang sedang tersenyum dan dibaringkan di sebuah bilik selama 2 - 3 hari sebelum dibawa ke perkuburan. Upacaranya amat ringkas.


Upacara Kematian di Sri Lanka

Upacara kematian penganut agama Buddha di Sri Lanka agak berlainan. Apabila ada kematian mereka akan membuat hebahan di radio - nama penuh dan masa membawa mayat ke tanah perkuburan. Tetamu yang datang menziarahi si mati akan duduk diam. Mereka tidak bercakap, tidak bertegur sapa dan tidak ketawa. Mereka duduk diam sebagai tanda menghormati si mati. Malah tetamu tidak dihidangkan sebarang makanan atau minuman. Apabila sampai masa hendak balik, mereka akan bangun balik. Sewaktu membawa mayat ke perkuburan, mereka berarak secara beramai-ramai dengan diketuai oleh biksu.

Tradisi Buad Depan Mayat
(Buad di sini bermaksud jadi Samanera atau Phra Biksu)

Masyarakat kita suka sangat buad depan mayat (buad sempena kematian). Buad jenis ini umpama bermain wayang. Atma tidak akan melakukan upacara buad sempena kematian kepada sesiapa. Untuk apa nak ikut main wayang dengan dia orang. Atma selalu beri nasihat, “Janganlah nak main wayang. Kalau mahu buad, lakukanlah betul-betul. Janganlah buad sebelah pagi, sebelah petang minta keluar!"

Kalau ada sesiapa hendak buad depan mayat, Atma akan suruh dia pergi berdiri di depan mayat kemudian melafazakan janji dengan kuat-kuat supaya semua orang boleh dengar, iaitu:

(1) Saya tak akan bermain judi seumur hidup

(2) Saya tak akan makan atau minum benda-benda mabuk, termasuk hisap rokok

(3) Saya tak berkawan dengan orang jahat

(4) Saya tak cari hiburan pada waktu malam

(5) Saya tak cari hiburan yang membazirkan duit

(6) Saya tak akan jadi pemalas seumur hidup

Sekiranya, seorang anak berjanji begini di depan mayat ibu atau bapanya, kemudian dia jaga janji tersebut dengan sempurna seumur hidup, maka inilah dikatakan buad yang maha agung. Seandainya anda dapat buad begini, kebaikannya (anisong) amat banyak. Anda buad seumur hidup.


Buad Yang Sebenar

Maksud buad yang sebenar bermaksud “tinggalkan”. Tidak perlu cukur kepala, cukur kening dan pakai kain kuning. Kita cuma perlu berniat mahu meninggalkan semua kejahatan di depan api yang sedang marak membakar mayat ibu atau bapa kita. Niat betul-betul, kemudian lakukan betul-betul. Tinggalkan kejahatan sebagaimana yang kita janjikan itu. Inilah buad sebenar. Kalau kita dapat lakukan begini, nescaya kita dapat kebaikan yang banyak berbanding buad main wayang yang dilakukan masyarakat kita selama ini. Adat buad depan mayat yang diamalkan oleh masyarakat kita bukan sahaja tidak mendatangkan faedah, malah seolah-olah mempermainkan kesucian ajaran Buddha. Kenapa? Kerana ia tidak menepati maksud buad yang sebenar sebagaimana diajarkan oleh Buddha.


Majlis Kematian Masyarakat Thai


Majlis kematian masyarakat Thai (Thailand) di bandar agak meriah kerana terpengaruh dengan tradisi Cina. Namun, bagi penduduk di luar bandar majlis kematian mereka agak ringkas. Mereka simpan mayat 2-3 malam kemudian dibawa ke perkuburan untuk dibakar. Dahulu orang mati tidak boleh simpan lama kerana tak ada keranda moden seperti sekarang. Keranda dahulu cuma diperbuat daripada 7 bilah buluh yang dianyam bersama. Mayat yang telah dibungkus kain putih diletakkan di atas bilah-bilah buluh tersebut. Kemudian ditutupi kain. Kalau simpan banyak hari, tidak disuntik ubat, mayat pasti berbau. Para biksu yang dijemput datang makan tengah hari tentunya kurang selera apabila terpaksa makan sambil menghidu bau mayat. Siapa yang pernah jadi biksu dan mengalami pengalaman begini tentulah tahu betapa sukarnya menghadapi detik-detik itu!

Pernah sekali, seorang tua berumur 80 tahun mati. Siang mati, malamnya terus dibakar. Atma kira sangat baik. Atma selalu menasihati keluarga si mati bahawa mayat tak usah disimpan banyak hari. Bawa ke wat terus dibakar amat elok. Memang sangat baik. Tetapi yang tak baiknya takut keluarga si mati dicaci orang - saudara mati cepat-cepat dibakar seolah-olah tak ada kasih sayang langsung. Oleh itu, seelok-eloknya tidak simpan mayat terlalu lama dan tidak terlalu lekas dibakar. Tunggu semua saudara mara datang terlebih dulu.

Perkara yang menjadi kesukaan di dalam masyarakat kita ada banyak. Kebanyakannya membazir duit. Misalnya, menyewa tempat pembakaran mayat (meru) sehingga beribu ringgit. Tempat pembakaran itu diletakkan di kawasan lapang untuk tontonan orang ramai sewaktu upacara pembakaran. Phra tua-tua hendak naik pun susah. Semuanya sanggup dilakukan kerana mahu muka. Selain itu, jamuan pada majlis kematian juga amat banyak. Semakin kaya keluarga si mati, semakin mewah jamuan yang diberikan.


Pembaharuan Majlis Kematian

Satu ketika, Atma dijemput memberi ceramah agama di sebuah wat di tengah Kota Bangkok sempena kematian seorang general bersara. Majlis itu diadakan dengan meriah. Meja makan diaturkan berbaris-baris. Kelihatan begitu kemas dan rapi. Atma mendapat tahu satu malam menelan belanja RM6,000. Mayat disimpan selama 7 malam. Bayangkan berapa banyak belanja yang digunakan untuk makan minum. Ketika memberi ceramah, Atma menjadikan perkara berkaitan pembaziran sebagai tajuk.

Kenapa mesti dibuat jamuan makan sebegitu rupa? Kalau tak makan pun tentu tak mengapa kerana semua yang datang sudah makan di rumah. Makan satu malam dalam majlis kematian sampai RM6,000 memang tak patut. Kita sepatutnya berfikir tentang kanak-kanak sekolah yang miskin yang tak ada duit untuk makan tengah hari. Sekiranya diambil duit RM6,000 ini diberikan kepada sekolah untuk sediakan makanan tengah hari kepada pelajar-pelajar miskin tentu lebih berfaedah.

Ini cuma satu contoh. Banyak lagi majlis kematian lain yang terpaksa membelanjakan puluhan ribu. Ada yang percaya keluarga si mati mesti melakukan upacara “menghantar” barang kegunaan harian kepada si mati, misalnya periuk, pinggan, pakaian dan sebagainya. Kalau tidak, si mati tak ada barang untuk digunakan apabila berada di “dunia” baru nanti. Dalam kepercayaan tertentu dilakukan upacara menghantar “roh” orang mati ke syurga. Ini bukan agama Buddha. Dalam agama Buddha, tiada siapa yang dapat membantu orang mati kecuali karma yang dilakukan semasa hidupnya.

Malah dalam majlis memasuki biksu (banpacha dan upasombot), dan majlis perkahwinan usahlah membazir. Gunalah duit itu ke jalan lain yang lebih diperlukan. Banyak lagi anggota masyarakat yang memerlukan bantuan, misalnya rumah kebajikan orang-orang tua, kanak-kanak cacat, anak-anak yatim dan sebagainya. Malah digunakan untuk memajukan agama pun lebih baik. Jangan lakukan sesuatu perkara kerana mahu muka tetapi lakukanlah dengan hati yang ikhlas untuk kebaikan semata-mata.

Bagi mereka yang datang ke majlis kematian, mereka seharusnya duduk bertafakur menghayati kematian tersebut. Suatu hari kita sendiri akan jadi begini juga. Kebenaran ini tak dapat dielakkan. Kita tak dapat lari daripada kematian. Kita tak tahu bila kita akan mati? Sakit apa? Dan mati di mana? Semuanya kita tak tahu. Perkara yang kita tahu dan patut tahu, berbuat baiklah banyak-banyak agar kematian kita adalah kematian insan yang berguna dan berjasa.

Mati senang. Lahir susah. Apabila ada orang mati, kita akan berkata, “tak terfikir dia akan mati!” Ini menunjukkan hati kita tak pernah berbicara tentang kematian (marana sati). Kita tak pernah berfikir tentang kematian. Buddha mengajar kita supaya selalu mengingati kematian. Sebenarnya Buddha mengajar kita mengingati 5 perkara iaitu:

(1) kita akan tua, (2) kita akan sakit, (3) kita akan mati, (4) kita akan berpisah dengan barang atau orang kesayangan dan (5) kita membuat apa, kita akan mendapat perkara itu.
Lima perkara ini diajarkan kepada kita agar kita tidak jadi orang yang lalai dan tidak hanyut di dalam keseronokan nafsu muda. Kehidupan manusia begitu singkat. Bila-bila masa akan padam (mati). Namun, kita mesti tekun dan sabar menghadapi kehidupan.

Buddha mengajar kita tentang kematian agar kita tidak lalai. Frasa “tidak lalai” bermaksud “sedar”. Kita sedar apakah tujuan kita dilahirkan, bagaimana kita seharusnya menjalani kehidupan harian, apakah yang patut kita lakukan dan sebagainya. Orang yang tidak lalai bererti orang yang tahu arah tuju kehidupan selaku insan yang berakal.

Oleh itu, setiap kali datang ke majlis kematian, jadikanlah kematian tersebut sebagai pembelajaran. Apakah yang si mati telah lakukan sewaktu hidupnya? Dipuji atau dikeji? Bagaimana pula dengan diri kita? Apakah yang patut kita lakukan sebelum tiba detik pernafasan terakhir? Buatlah perkara-perkara yang berfaedah. Orang yang telah melakukan banyak kebaikan apabila tiba saat kematiannya, hatinya tenang. Dia dapat terima kematiannya dengan rela. Mati dengan hati yang lapang!

Akhir sekali, Atma hendak ingatkan sekali lagi bahawa Phra datang untuk sembahyang orang hidup, bukan sembahyang orang mati. Abhidhamma atau Kusala yang dibacakan oleh Phra adalah untuk mengajar orang hidup tentang kehidupan manusia yang tidak kekal abadi - kebahagiaan dan kesengsaraan berkitaran tanpa putus (vatta-samsara). Penganut agama Buddha harus sedar dan bersama-sama melakukan pembaharuan ke atas majlis atau upacara kematian supaya ia betul mengikut ajaran Buddha.