Wednesday, February 27, 2008

Empat Konsep Karma

Konsep Kamma (Karma) Dalam Agama Buddha

“Punna! 4 jenis kamma ini kita tahu dengan kebijaksanaan yang tinggi, kemudian kita beritahu kepada umum. Apakah 4 jenis kamma itu?

“Punna! Kamma hitam ada balasan hitam pun ada; Punna! Kamma putih ada balasan putih pun ada; Punna! Kamma hitam dan putih ada balasan hitam dan putih pun ada; Punna! Kamma tak hitam, tak putih ada balasan tak hitam, tak putih pun ada.

“Punna! … terdapat sesetengah orang telah melakukan perbuatan, percakapan dan pemikiran yang menyebabkan kesengsaraan (dukkha), akan memasuki dunia yang ada kesengsaraan, menyentuh phassa yang ada kesengsaraan, pastinya akan mengalami vedana yang ada kesengsaraan semata-mata, misalnya makhluk neraka. Punna! Inilah dinamakan kamma hitam ada balasan hitam.

“Punna! … terdapat sesetengah orang telah melakukan perbuatan, percakapan dan pemikiran yang tidak menyebabkan kesengsaraan, akan memasuki dunia yang tidak ada kesengsaraan, menyentuh phassa yang tidak ada kesengsaraan, pastinya akan mengalami vedana yang ada kebahagiaan (sukkha) semata-mata, misalnya Dewa Supakinnaha. Punna! Inilah dinamakan kamma putih ada balasan putih.

“Punna! … terdapat sesetengah orang telah melakukan perbuatan, percakapan dan pemikiran yang menyebabkan kesengsaraan dan yang tidak menyebabkan kesengsaraan, akan memasuki dunia yang ada kesengsaraan dan yang tidak ada kesengsaraan, menyentuh phassa yang ada kesengsaraan dan yang tidak ada kesengsaraan, pastinya akan mengalami vedana yang ada kebahagiaan dan kesengsaraan bercampur-campur, misalnya manusia, sesetengah kumpulan dewa dan sesetengah kumpulan vinipata/vinibat (lembah kesengsaraan). Punna! Inilah dinamakan kamma hitam dan putih ada balasan hitam dan putih.

“Punna! … terdapat sesetengah orang dengan sengaja meninggalkan kamma hitam ada balasan hitam; dengan sengaja meninggalkan kamma putih ada balasan putih; dengan sengaja meninggalkan kamma hitam dan putih ada balasan hitam dan putih. Punna! (tiga perkara) Inilah dinamakan kamma tak hitam, tak putih, ada balasan tak hitam, tak putih - menuju ke arah penghabisan kamma (tiada kamma).

“Punna! Inilah 4 jenis kamma yang kita tahu dengan kebijaksanaan yang tinggi, kemudian kita beritahu kepada umum.”

Petikan daripada Kitab Tipitaka
Kukkurovada-Sutta
Jilid 13/ M.Surat 82/ Perkara 88
(Buddha memberitahu kepada Punnakoliya-Putra (Koliya)
* * *
Catatan : Perkara berkaitan 4 jenis kamma ini terdapat di dalam beberapa tempat, ada yang sama dan ada yang berbeza. Dalam Catukkanipada Angguttara-nikaya (Catukka-Ang.) 21/313/232-234 ada persamaan dengan di atas; Catukka-Ang. 21/318/235 kamma hitam bermaksud melanggar Sila 5, kamma putih mengamalkan Sila 5, manakala 2 jenis kamma lagi ada persamaan; Catukka-Ang. 21/319/236 kamma hitam bermaksud melakukan Anantariya-Kamma 5, kamma putih melakukan kuson kammabot 10, manakala 2 jenis kamma lagi ada persamaan; Catukka-Ang. 21/320/237 kamma jenis 1-2-3 ada persamaan di atas. Manakala kamma jenis 4 mengamalkan Ariya Magga 8; Catukka-Ang. 21/321/238 kamma jenis 1-2-3 ada persamaan di atas. Kamma jenis 4 mesti ada Sambojjhanga 7 (Sampojjong 7).

* (Anantariya-Kamma 5 ialah: membunuh ibu, membunuh bapa, membunuh Phra Arahan, mengasari Buddha sehingga lebam atau luka dan memecah-belahkan Sangha).

(Penganut agama Buddha harus menghayati Sutta berkenaan kamma dengan betul-betul agar tidak keliru tentang konsep kamma yang diajarkan oleh Buddha dengan konsep kamma yang diwarisi daripada kepercayaan Brahma. Dalam konsep kamma ajaran Buddha, kesengsaraan dan kebahagiaan terletak pada phassa. Phassa bodoh melahirkan vedana bodoh - sengsara. Phassa bijak melahirkan vedana bijak - bahagia)
===============================================================
Akusala-Kammapatha 10 (Thai: Akuson -Kammabot 10)

Tiga Kesalahan Perbuatan (Kaya-Kamma 3)

1. Memetik nyawa makhluk atau membunuh

2. Mengambil barang orang tanpa kebenaran atau mencuri

3. Melakukan kesalahan dalam hubungan jantina


Empat Kesalahan Percakapan (Vaci-Kamma 4)

1. Bercakap bohong

2. Bercakap menghasut

3. Bercakap kasar

4. Bercakap tidak masuk akal (tidak bersebab)

Tiga Kesalahan Hati (Mano-Kamma 3)

1. Hati tamak hendak mengambil barang orang lain

2. Perasaan berdendam

3. Kepercayaan atau pegangan yang salah

Kalama Sutta - Panduan Kepercayaan

Kepercayaan Yang Betul


Sutta atau Sutra ini diajarkan Buddha kepada masyarakat keturunan Kalama.

Penganut agama Buddha harus meneliti sepuluh perkara di bawah sebelum menilai kebenaran dhamma. Malah ia amat penting untuk dijadikan panduan sebelum mempercayai sesuatu perkara.

1. Jangan percaya kerana didengar (diperkatakan) dari mulut ke mulut.

2. Jangan percaya kerana diwarisi dari generasi ke generasi.

3. Jangan percaya kerana khabar angin.

4. Jangan percaya kerana ada tertulis di dalam kitab.

5. Jangan percaya kerana ramalan.

6. Jangan percaya kerana jangkaan.

7. Jangan percaya kerana berfikir mengikut keadaan.

8. Jangan percaya kerana sehaluan dengan aliran kepercayaan kita.

9. Jangan percaya kerana orang yang bercakap boleh dipercayai.
10. Jangan percaya kerana menganggap bahawa samana itu guru kita.

Kesaputta-sutta (Kalama-sutta)
Kitab Tipitaka Thai (Jilid 34 muka surat 337)

Catatan
Kesaputta-Sutta ini atau yang sering disebut sebagai Kalama-Sutta tersembunyi perkara yang harus dihalusi.
Penganut agama Buddha yang cetek pengetahuan Dhamma, selalu menjadikan sutra ini sebagai alasan bahawa Buddha melarang mempercayai kitab atau guru, melainkan mempercayai diri sendiri sahaja. Tanggapan begini adalah tidak tepat. Sekiranya kita dilarang mempercayai semua perkara, maka sutra ini juga tidak boleh dipercayai kerana ia datang dalam kitab. Oleh itu kita mesti bijak membuat tanggapan:
(1) Kampung Kesaputta (dihuni masyarakat keturunan Kalama) terletak di tempat strategik yang menjadi laluan ramai pengembang agama (kepercayaan). Mereka mengajar aliran kepercayaan mereka kepada penduduk Kalama di samping mengutuk aliran kepercayaan orang lain. Lama-kelamaan masyarakat Kalama menjadi keliru dan meluat dengan aliran kepercayaan yang diterima. Apabila Buddha datang ke Kesaputta, masyarakat Kalama menerangkan masalah mereka tentang aliran kepercayaan kepada Buddha. Maka Buddha pun memberitahu 10 perkara yang harus diteliti sebelum mempercayai sesuatu.
(2) Kita mesti menggunakan akal dan kebijaksanaan sebelum membuat keputusan untuk mempercayai sesuatu perkara (Dhamma). Kesaputta-Sutta boleh dijadikan panduan. Kita mesti menilai baik dan buruk sesuatu perkara itu terlebih dahulu sebelum mempercayainya untuk mengelakkan kepercayaan secara membuta tuli.
(3) Selain itu, kita berusahalah mengamalkan sendiri barulah kita tahu kebenarannya (hasilnya). Apabila kita dengar atau baca sesuatu perkara atau peristiwa, kita fikirkannya masak-masak, kemudian kita amalkannya, barulah kita tahu kebenarannya.
(4) Perkara yang menjadi warisan bangsa belum tentu semuanya betul. Banyak perkara yang kita lakukan hari ini adalah salah dan terpesong. Malah banyak adat tradisional yang tidak relevan lagi. Walaupun hati kita percaya bahwa ia "baik" dan "berguna" tetapi sebenarnya ia tidak bernilai langsung. Kepercayaan kita harus berdikari dan tidak terpengaruh oleh kepercayaan basi nenek moyang. Oleh itu, kita harus berani memilih, kemudian berani membuang perkara yang tidak bernilai tersebut. Kalama-Sutta memberi ruang untuk penganut agama Buddha menilai dan menaik taraf mental.

Banpacha (4) - Menghindari Kemarahan

(Terjemahan Karya Buddhadasa Bhikhu - Suan Mokkha Palaram)



SIMPAN KEMARAHAN DI DALAM STOR


Hari ini akan diterangkan berkenaan membina stor untuk menyimpan kemarahan atau memasukkan kemarahan ke dalam stor seberapa banyak yang boleh. Sepanjang masa kita buad, kalau hendak jadi biksu atau samanera yang baik, kita tidak boleh marah. Sudah menjadi satu pegangan sejak dahulu, sama ada agama Buddha atau agama lain (di India), kemarahan dianggap sifat paling teruk bagi pabbajjit. Oleh itu, sekiranya kita sedang buad, sama ada buad sempurna, buad sementara, buad di rumah atau buad sehari, kawal perasaan marah baik-baik.

Sekiranya kita menjalani kehidupan tanpa kemarahan atau kemarahan yang kecil, kehidupan kita akan tenteram. Kemarahan umpama api. Tiada kemarahan umpama air. Kemarahan merupakan suatu perkara yang menyalahi hukum semulajadi - merangkumi mental dan fizikal. Apabila ada kemarahan pasti ada perubahan fizikal dan mental. Oleh itu, kemarahan bersifat tidak normal manakala tiada kemarahan bersifat normal. Umpama laut, ketika tenang kelihatan normal, tetapi apabila ada angin kencang, berombak besar. Betapa berbezanya laut tenang dengan laut berombak besar? Oleh demikian, kita harus mempelajari perkara berkaitan kemarahan ini secara mendalam.

Perkara yang dikatakan “membina stor untuk menyimpan kemarahan” atau “memasukkan kemarahan ke dalam stor” bukan bermaksud kita akan “menabung” kemarahan atau mengumpulnya untuk digunakan sekaligus dengan banyak. Ungkapan “simpan dalam stor” bererti mengawal supaya kemarahan tidak keluar mengamuk. Oleh sebab perasaan marah mudah terjadi, maka kita kena menanganinya seolah-olah memasukkannya ke dalam stor (kerana kita belum dapat meninggalkannya). Kita masih ada kiles (kilesa), tetapi tak usahlah kita gunakannya. Kita simpan sahaja kiles kemarahan itu. Sekiranya kita sudah tiada kiles, tak mengapa, tak perlu bina stor. Tetapi selagi masih ada kiles, adalah elok kita tidak menggunakannya.

Persoalannya manusia ada naluri suka mengikut perasaan. Dalam kebanyakan perkara, manusia bertindak mengikut perasaan. Kemarahan ada “keseronokannya”. Sesetengah orang sangat suka marah sehingga menjadi satu tabiat buruk - mudah marah. Oleh itu, kita mesti simpan kemarahan di dalam stor agar ia tidak keluar mengamuk. Orang perantauan misalnya, ada disebutkan di dalam Kitab Tipitaka agar membina kepuk (tempat simpan padi) yang besar untuk menyimpan kemarahan. Apabila kemarahan meletus di perantauan bermakna kita membahayakan diri sendiri. Malah mereka yang tinggal di kampung halaman pun mesti kurungkan kemarahan di dalam stor agar ia berada di dalam kawalan. Kemarahan tidak membawa sebarang faedah melainkan kemusnahan semata-mata. Kemarahan tidak pernah berakhir dengan kebaikan.


Jenis-jenis Kemarahan

Sekarang akan diperkatakan tentang jenis-jenis kemarahan sebagai pengetahuan dan peringatan.

Kemarahan yang kecil seperti kegusaran hati - tersentuh hati, tersinggung perasaan, ketidakpuasan hati dan sebagainya yang kecil-kecil dinamakan patigha.

Peringkat kedua adalah kodha. Kodha yang bererti kemarahan yang penuh yang akan melahirkan dosa (perbuatan jahat).

Peringkat seterusnya adalah menyimpan marah. Menyimpan marah dan berdendam dinamakan upanaha.

Ketiga-tiga perkara ini merupakan kemarahan yang mempunyai ciri-ciri yang berbeza. Kemarahan kecil, kemarahan sempurna dan kemarahan jenis berdendam. Patigha bererti kegusaran hati. Kodha bererti kemarahan yang penuh atau sempurna. Perkataan dosa bermaksud perbuadan jahat. Apabila marah, maka diikuti oleh perbuatan jahat dinamakan dosa. Sekarang kita akan berbincang tentang kemarahan sahaja, bukan perbuatan jahat kepada orang lain. Upanaha bererti menyimpan marah atau berdendam.

Dalam kehidupan harian sama ada di rumah, di pejabat, atau di tempat bekerja yang mempunyai ramai orang, kemarahan tentu ada. Perasaan tidak berpuas hati, gusar hati atau tersinggung hati (patigha) paling mudah dan kerap terjadi sekiranya minda tidak dilatih dengan betul - minda tanpa dhamma atau agama. Sistem pendidikan seluruh dunia masa kini langsung tidak diajarkan untuk mengawal atau mencegah kemarahan. Sistem pendidikan kanak-kanak dahulu lebih baik berbanding dengan sekarang. Kemarahan yang kuat kalau tidak dibendung akan berlaku pembunuhan. Kemarahan jenis berdendam sebenarnya memusnahkan diri sendiri. Orang berdendam tidak ada ketenangan jiwa kerana selalu berfikir tentang cara untuk membalas dendam. Oleh itu, cubalah kita periksa diri sendiri. Berapa banyak kemarahan yang kita ada? Berapa kerap terjadi?


Punca Kemarahan

Sekarang akan diperkatakan tentang punca kemarahan. Sekiranya diperkatakan mengikut Phra Pali (Kitab Tipitaka), Buddha ada mengatakan bahawa kemarahan berpunca daripada nafsu (tanha). Kemarahan terjadi kerana nafsu. Nafsu adalah kemahuan yang terdorong oleh kejahilan (avijja).

Perkara berkaitan nafsu ini walaupun bererti kemahuan tetapi dalam Phra Pali ada disebutkan nafsu adalah kemahuan yang terdorong oleh kebodohan. Kalau kemahuan itu terdorong oleh akal atau kebijaksanaan, ia bukan nafsu (tanha). Perasaan bertanggungjawab akan mendorong kita melakukan sesuatu kebaikan. Kemahuan begini bukan nafsu. Nafsu ada kemahuan yang pelbagai dan semuanya didorong oleh kejahilan atau avijja. Oleh itu dapatlah disimpulkan bahawa kemarahan memang berpunca daripada nafsu.

Nafsu (tanha) ada 3 jenis:

(1) Kama-tanha - kemahuan terhadap perkara yang “memikat” hati yang datang daripada pancaindera (mata, telinga, hidung, lidah, tubuh), terutamanya yang berkaitan jantina berlainan jenis. Keinginan dengan kama-tanha, kasih sayang dengan kama-tanha, keghairahan dengan kama-tanha. Apabila hajat di hati (tanha) tidak dapat dipenuhi, maka kemarahan akan terjadi. Tanpa nafsu, kemarahan tak akan berlaku. Kalau kita tak ada kemahuan yang bodoh yang diselaputi kejahilan, kemarahan tak akan timbul. Sekarang orang dipenuhi kama-tanha (nafsu berahi). Cinta kama-tanha, sayang kama-tanha, cemburu kama-tanha. Kalau kama-tanha tidak dapat dipenuhi, maka kemarahan akan meletup.

(2) Bhava-tanha - kemahuan untuk menjadi itu, menjadi ini; kebanyakannya mahu menjadi terbaik, mahu menjadi terunggul. Sekiranya tidak mendapat perkara yang dihajati, ketidakpuasan hati akan membenih. Seandainya terdapat orang menyindir atau menghina kita, kita akan marah; kemarahan kerana bhava-tanha. Kebanyakan orang mahu berada di depan orang lain, di atas orang lain. Semuanya mahu mengatasi orang lain; nama, pangkat dan kehormatan. Malah terdapat orang yang tersinggung hati kerana tak dapat bercakap besar. Apabila “tak dapat kelentong” orang lain, hati tersinggung. Maaf kerana menggunakan perkataan yang kasar kerana hendak menjimatkan masa. Apabila tak dapat berbohong, marah pun datang. Apabila sudah berbohong tetapi tak dipercayai orang, marah pun terjadi. Kenapa marah? Kerana bhava-tanha menjadi puncanya.

(3) Vibhava-tanha - kemahuan untuk tidak ada, untuk tidak jadi. Perkara yang kita tak mahu wujud, tak mahu tengok, tak mahu dengar, tak mahu terjadi tiba-tiba “muncul” di depan mata dan teliga kita, kita tentu akan marah. Selain itu, benda yang kita tak mahu kehilangannya telah kecurian, kita pasti akan marah. Malah perubahan fizikal - tua, sakit, lemah dari tahun ke tahun menyebabkan kita berasa tidak senang. Kita tak mahu sakit, tetapi sakit datang. Kita mahu kuat, tetapi semakin lemah. Semuanya mengundang kegusaran hati. Ada orang yang takut dan benci kepada kematian. Apabila kematian semakin hampir, perasaan takut, benci dan marah menguasai fikiran. Kekadang orang boleh marah walaupun terhadap haiwan, terhadap benda tak bernyawa, atau tumbuhan. Orang marah sanggup menerajang dan memukul benda tak bernyawa sampai pecah berkecai biarpun benda itu tak melakukan kesalahan apa-apa.

Kesimpulannya, apabila kita tidak dapat memenuhi nafsu, kemarahan akan terjadi. Apabila terjadi kemarahan, cuba kita teliti, kita akan dapati ia berpunca daripada 3 jenis nafsu yang diterangkan di atas. Perasaan tamak atau kemahuan yang melampaui batasan mendorong timbulnya kemarahan. Raga (kemahuan), dosa (kemarahan yang melampau), moha (kesesatan); atau lobha (ketamakan), kodha (kemarahan), moha (kesesatan). Kodha dan dosa berada di kedudukan kedua selepas raga atau lobha. Apabila ada perasaan lobha ia timbul satu perlakuan mental. Apabila tidak dapat memenuhi lobha atau raga, ia akan marah. Marah merupakan satu perlakuan mental. Perlakuan mental ini bertautan, bercampuran, kemudian melahirkan satu keadaan mental yang lain lagi. Kemarahan laksana api yang membakar sepanjang masa.


Kesan Daripada Kemarahan

Perkara ini tidak sukar dilihat. Kita akan melihatnya secara teliti dan mendalam melebihi penglihatan orang biasa. Dalam Pali (Kitab Tipitaka) ada disebutkan begitu banyak tentang kemarahan dan akibatnya. Cuba kita perhatikan.

1. Kemarahan ibarat karat pada senjata. Dalam pelajaran agama Buddha ada dikatakan bahawa kemarahan ibarat karat pada senjata, atau senjata yang sudah berkarat. Senjata yang berkarat kurang tajam dan tidak berkesan untuk memotong. Tetapi senjata di sini secara tersirat bermaksud senjata hati atau senjata fikiran (ilmu pengetahuan). Oleh itu senjata adalah ilmu pengetahuan yang dipelajari untuk tujuan tertentu. Misalnya, ilmu sains, ilmu sejarah, ilmu linguistik dan lain-lain. Perkataan “ilmu” ada kaitan dengan perkataan “senjata” dalam bidang bahasa. Dalam bahasa Pali, perkataan “ilmu” dan “senjata” mempunyai ejaan dan sebutan yang hampir sama - sasattha/satra.

Kemarahan merupakan karat pada senjata. Maksudnya apabila berlaku kemarahan, ilmu tak berguna lagi. Sewaktu kita hendak menggunakan ilmu sains misalnya, kalau berlaku kemarahan, ilmu sains tak dapat digunakan lagi. Karat pada ilmu pengetahuan lebih buruk daripada karat pada senjata. Ilmu pengetahuan yang ada pada kita, yang sedang hendak digunakan apabila berlaku kemarahan ia akan musnah. Kemarahan menyebabkan orang hilang waras. Segala ilmu pengetahuan tidak berguna kepada orang yang hilang waras. Oleh itu, mereka yang banyak ilmu pengetahuan jangan berbangga kalau tidak pandai mengawal kemarahan kerana ilmu pengetahuan itu akan berkarat lalu tak dapat digunakan dengan berkesan.

2. Kemarahan merupakan malapetaka. Tiada sebarang malapetaka atau nasib malang (kali / khrok rai) yang lebih teruk daripada kemarahan. Maksudnya seseorang yang sedang dilanda kemarahan adalah orang yang sedang ditimpa malapetaka atau nasib malang. Kali bererti keadaan tanpa kebaikan, tanpa kecantikan, malang atau sial. Orang kemarahan bererti orang ada kali. Oleh itu kita jangan mengatakan orang itu nasib malang atau sial, tetapi pandanglah diri sendiri. Sekiranya kita ada kemarahan bererti kitalah yang bernasib malang atau sial. Dalam bahasa sastera kali dipanggil “kaliborn” iaitu nama sejenis hantu yang teramat jahat.

3. Kemarahan pemusnah kebaikan. Dalam Kitab Tipitaka ada tertulis bahawa orang yang kemarahan akan memusnahkan kebaikan. Apabila kemarahan menguasai fikiran, seseorang itu tidak akan mempedulikan kebaikan lagi. Dia hanya berfikir mengikut kemarahannya. Walaupun dia tahu marah tidak baik, tetapi dia tetap marah kerana fikirannya telah dikuasai kiles kemarahan. Dia sanggup mengorbankan kebaikan demi melayani kemarahan. Orang sanggup berbunuhan kerana kemarahan biarpun sedar bahawa perbuadan itu salah.
Dalam keadaan normal, kita mengutamakan kebaikan dan takut kejahatan tetapi apabila marah kita sanggup membuang kebaikan. Keadaan begini sangat berbahaya kerana kita rela berbuat jahat, sanggup berkorban nyawa dan bersedia untuk ke neraka semata-mata kerana kemarahan. Apabila kemarahan kita hilang pertimbangan, tiada maaf, dan tak sanggup mengalah. Kita berdendam. Selagi dendam tidak berbalas, kemarahan tak akan hilang.

Orang marah sanggup berbuat apa sahaja termasuk membunuh ibu sendiri. Diangkat ibu sebagai perbandingan kerana hendak menjelaskan betapa dahsyatnya kemarahan. Ibu merupakan orang pertama memberikan kasih sayang, membelai, dan berkorban apa sahaja demi anak. Tiada kasih sayang seagung kasih sayang ibu. Namun, kerana kemarahan, anak sanggup membunuh ibunya. Media massa ada melaporkan bahawa seorang anak yang kemarahan telah membunuh ibunya sendiri. Zaman sekarang umpan kemarahan begitu banyak. Kerana tidak dapat memenuhi kehendak hati, ibu sendiri dibunuh.

4. Kemarahan tidak berpijak di dunia nyata. Orang marah tidak berpijak di dunia nyata kerana fikirannya seperti tidak waras. Dia hilang rasional, hilang timbang rasa. Baik buruk tidak diperhitungkan lagi. Kata-kata nasihat bagai mencurah air ke daun keladi. Kemarahan membuatkan orang hilang kemanusiaan.

5. Kemarahan menyebabkan kejahatan mudah terjadi. Dalam keadaan biasa kita kenal perbuatan jahat dan akibatnya. Oleh itu kita takut untuk berbuat jahat. Kejahatan sukar untuk dilakukan. Misalnya, membunuh ibu merupakan perbuatan yang sukar (mustahil) dilakukan. Tetapi apabila kemarahan menguasai diri, perbuatan yang sukar itu begitu mudah dilakukan.

Kemarahan merupakan satu keadaan yang amat berbahaya. Oleh itu semua orang mesti menjaga supaya tidak menjadi hamba kemarahan. Berusahalah mengelakkan kemarahan.


Daya Tarikan Kemarahan

Pelik. Kemarahan juga ada daya tarikan. Sekarang kita akan melihat apakah daya tarikan kemarahan. Saya berkata begini agar anda dapat memahami 2 perkara. Pertama, agar anda dapat memahami cara penggunaan bahasa dhamma atau bahasa Pali. Kedua, agar anda dapat menggunakan istilah tersebut dalam kehidupan harian. Istilah dalam bahasa dhamma atau bahasa Pali selalunya mempunyai makna yang mendalam dan luas, tersurat dan tersirat. Perkataan yang dipanggil “daya tarikan” dalam bahasa Pali ialah assada. Semua perkara ada assada sama ada banyak atau sedikit - iaitu daya tarikan yang akan menarik kita untuk menjadi “hamba” kepadanya.

Kemarahan ada daya tarikan kerana ia menjadi keenakan bagi orang-orang bodoh. Kemarahan merupakan keenakan dan kesukaan bagi mereka yang kurang bijak. Dalam Pali ada disebutkan “kodho dummedha gocaro”. Kodho bererti marah. Dummedha bererti bodoh, kurang bijak atau lemah akal. Gocaro bererti sedap, selera, puas hati, tempat mahu pergi, atau benda mahu dimakan. Misalnya, padang rumput yang menghijau merupakan gocaro bagi lembu atau kerbau kerana apabila pergi ke sana dapat makan rumput dengan selera. Perkataan gocaro boleh digunakan dalam pelbagai aspek, merangkumi tempat yang diminati, benda yang disukai, atau perkara yang digemari. Jadi, kemarahan merupakan “gocaro” bagi orang-orang yang kurang bijak atau lemah akal. Maknanya orang bodoh sahaja suka marah. Orang bijak tak suka marah.

Kemarahan ada “selera” tersendiri. Orang yang sedang marah ialah orang yang sedang menikmati “keseleraan” - inilah dikatakan assada kemarahan. Kemarahan boleh menyebabkan orang ketagihan. Orang yang selalu marah akan menjadi ketagih marah. Dia akan berasa “sedap” dan mendapat kepuasan apabila dapat marah orang, maki orang atau sumpah orang. Zaman dahulu, golongan tuan begitu seronok apabila dapat marah, atau pukul hamba abdinya sesuka hati.

Kemarahan sebenarnya racun. Orang yang sedang marah akan rasa “sedap” tetapi selepas marah “sedap” itu akan bertukar menjadi racun. Jadi, marah hanya sedap pada permulaan, tetapi menjadi racun kemudiannya. Selepas marah, seseorang itu akan mendapat kesusahan bagai dibakar hidup-hidup.

Oleh itu, anda mesti ingat baik-baik bahawa kemarahan ada daya tarikan atau assada. Semua kejahatan atau perkara apa pun ada assada yang akan menarik kita menjadi hambanya. Assada merupakan umpan. Perkataan assada bererti sedap atau selera. Oleh itu ia akan mengumpan sesiapa sahaja untuk “makan”. Berhati-hatilah supaya tidak termakan umpan kemarahan. Kemarahan yang berulang-kali akan melahirkan tabiat suka marah - satu tabiat yang sukar dihapuskan.


Kemarahan adalah Kegelapan

Apabila marah semuanya menjadi gelap. Sewaktu dalam keadaan biasa kita berada di dunia yang terang. Apabila marah kita berada di dunia yang gelap - lebih gelap daripada malam pekat. Namun perkara ini kita tak pernah sedar. Kita tak pernah menelitinya dengan akal fikir.

Sekiranya kita sedar kita akan terperanjat. Kita akan berasa takut kepada kemarahan kerana kemarahan membuatkan kita berada di dalam kegelapan - apabila gelap kita sanggup berbuat apa-apa sahaja kejahatan. Dalam Pali ada disebutkan bahawa “individu yang dikuasai kemarahan adalah individu yang berada di dalam kegelapan umpama orang yang buta.” Kegelapan umpama orang yang buta - lebih gelap daripada kegelapan malam. Orang buta gelap siang dan malam. Orang yang tidak buta masih nampak walaupun waktu malam. Sekurang-kurangnya masih nampak kelipan bintang-bintang di dada langit. Sesetengah binatang mencari makan pada waktu malam. Tetapi orang yang kemarahan umpama orang buta, gelap siang dan malam.

Tiada cahaya bagi orang marah. Dalam Pali ada dituliskan bahawa orang yang kemarahan adalah orang yang tiada sebarang cahaya. “Dipang” bermaksud cahaya. Setitik cahaya pun tak ada bagi orang yang marah. Tetapi dalam pendidikan agama Buddha (nakh-dhamma), dipang diberikan erti tempat berlindung. Maksudnya tiada tempat berlindung bagi orang marah.

Perkataan dipa (dipang) mempunyai dua maksud iaitu cahaya atau tempat berlindung. Tetapi saya memberikan erti dipa sebagai cahaya.


Khanti Mencegah Kemarahan

Perkara pertama yang mesti difikirkan ialah dhamma yang bernama khanti yang bererti sabar atau tahan hati. Kalau dilihat secara luaran kemarahan berlaku kerana kita tidak dapat bersabar. Kalau kita dapat bersabar, kemarahan tak akan berlaku. Oleh itu, perkara pertama untuk melawan dengan kemarahan ialah kesabaran. Kita mesti melatih diri supaya ada kesabaran. Maksudnya kita kena mengamalkan kesabaran setiap waktu.

Kita tidak suka bersabar kerana bersabar seolah-olah “hilang kehormatan” atau “satu kekalahan”. Jadi, kita kurang bersabar. Kita memberi peluang kepada kemarahan. Oleh itu berlatihlah bersabar atau tahan hati, terutama pabbajjit. Kita mesti menjadi pabbajjit yang sebenar yang tidak suka marah. Khanti merupakan teras pengamalan phroma-chan bagi semua pabbajjit.

Sekarang ini orang tidak suka bersabar. Berapa kerap diajarkan, semuanya bagai mencurah air ke padang pasir. Bukan sahaja tidak bersabar, tetapi gemar pula membalas kemarahan. Marah bermakna marah pertama kali. Membalas marah bermakna apabila orang marah kita, kita membalas marah tersebut. Membalas marah akan lebih memburukkan keadaan. Tanpa kesabaran, kita akan marah dan membalas marah.

Sikap suka marah lama-lama menjadi satu kebiasaan. Apabila terdapat sesuatu perkara kurang enak mengganggu, orang akan naik marah. Apabila ada sesuatu perkara memedihkan telinga, orang akan jadi panas hati. Kekadang perasaan marah “disediakan” lebih awal untuk marah orang tertentu. Apabila terserempak sahaja dengan orang tersebut, terus dimarahi. Bagi pabbajjit, berlatihlah bersabar banyak-banyak. Bersabar banyak faedahnya. Apabila keluar menjadi gharavas, boleh digunakan di dalam kehidupan harian.


Dama Mencegah Kemarahan

Dama - memaksa diri. Dalam Pali ada disebutkan, “Sekat marah dengan dama; sekat marah dengan paññâ!”. Sepintas pandang dama dan paññâ adalah sama, iaitu memainkan peranan yang sama. Namun, perkara sebenarnya tidak sama. Dama menyekat kemarahan pada peringkat permulaan, sedangkan paññâ menyekat kemarahan pada peringkat seterusnya.

Dama bererti memaksa diri atau mengawal diri. Keadaan yang kita dapat mengawal diri dalam bahasa Pali dinamakan dama. Pada peringkat permulaan kita mesti memaksa atau mengawal diri agar kemarahan di hati tidak meletus.


Paññâ Mencegah Kemarahan

Sekat marah dengan kebijaksanaan ialah sekat dalam jangka masa panjang jenis korek akar buang - maksudnya kebijaksanaan merupakan cara menyekat kemarahan paling berkesan atau untuk selama-lamanya. Tetapi ia mesti bergantung kepada sati yang akan membawa paññâ datang tepat pada masanya. Sati - daya ingatan dan fikiran yang sedar, akan melahirkan keadaan mengawal diri; kemudian ilmu pengetahuan berkaitan menahan kemarahan akan berfungsi dengan sendiri. Oleh itu, dama, paññâ dan sati mesti bekerjasama dengan erat dalam menghadapi kemarahan. Dalam ketiga-tiga ini, paññâ paling penting kerana ia merupakan “pengetahuan” (pengetahuan tentang kemarahan).


Sati Mencegah Kemarahan

Apabila ada sesuatu perkara “tertampan hati” dengan kuat, sati ada kesedaran bahawa kemarahan akan terjadi. Dama datang mengawal diri. Paññâ menggunakan pengetahuan yang ada lalu menghapuskan kemarahan tersebut dengan sempurna. Sati merupakan alat untuk mengawal. Tiada alat mengawal perasaan yang lebih baik daripada sati. Mengawal kemarahan atau mengawal perasaan lain mesti menggunakan sati. Mengawal nafsu dan kilesa juga menggunakan sati.

Kemarahan merupakan kilesa. Kilesa ini mesti disekat supaya tidak menjelma. Sekiranya sudah menjelma, mesti dikawal agar tidak merebak. Oleh itu, dama, paññâ dan sati sentiasa bekerjasama dalam usaha mengawal kemarahan atau kejahatan yang lain.

Dalam agama Buddha, sekiranya kita ingin mengetahui sesuatu perkara yang diperakui bertaraf paññâ mestilah ada ciri-ciri berikut:

(1) Lakkhana/ laksana - ciri-cirinya / sifat-sifatnya,
(2) Assada - daya tarikannya / kebaikannya / faedahnya,
(3) Adinava - kemudaratannya / keburukannya,
(4) Samudaya - punca kewujudannya / asal-usulnya,
(5) Atthagama - cara menghapuskannya / memadamkannya,
(6) Nissarana - cara membebaskan diri daripadanya / keluar daripadanya.

Kita ambil kemarahan sebagai contoh. Kemarahan ada berapa jenis? Apakah lakkhana atau ciri-ciri atau sifat-sifat kemarahan? Assada ialah daya tarikan. Apakah daya tarikan kepada kemarahan? Apakah “keseleraan” kemarahan? Adinava ialah kemudaratan. Apakah kesan daripada kemarahan? Ada orang sanggup membunuh ibu bapa sendiri kerana kemarahan. Samudaya ialah punca. Punca kemarahan ialah kemahuan yang berasaskan kebodohan. Apabila kemahuan tidak dipenuhi, kemarahan pun menjelma. Atthagama ialah penghapusan atau pemadaman. Apabila kemahuan yang berasaskan kebodohan dihapuskan, kemarahan tak akan terjadi. Nissarana ialah cara atau kaedah untuk keluar daripada masalah kemarahan iaitu khanti, dama, paññâ dan sati.

Tolong ingat frasa “pelbagai kegunaan” (108 kegunaan) dengan baik-baik. Ariya-Magga 8 merupakan dhamma “pelbagai kegunaan” untuk mengatasi semua masalah kehidupan manusia. Sekiranya anda menghadapi masalah kehidupan dan tidak dapat mencari jalan keluar atau buntu fikiran, ingatlah kepada Ariya-Magga 8 terlebih dahulu, anda akan dapat mencari jalan keluar. Ariya-Magga 8 ialah nissarana kepada semua masalah kehidupan.

Kalau kita menghadapi masalah kemarahan atau masalah lain, kita boleh pilih mana-mana dhamma yang sesuai sebagai jalan keluar, tetapi semua dhamma tersebut sebenarnya terangkum di dalam Ariya-Magga 8 belaka. Khanti, dama, paññâ, sati atau apa sahaja semuanya terangkum di dalam Ariya-Magga 8.


Sangvara Mencegah Kemarahan

Perkataan sangvara (Thai: sangvorn) bermaksud mengawal, atau mengekang diri dengan baik. Mengekang dengan apa? Mengekang dengan sati - ada ingatan dan kesedaran setiap waktu dalam semua gerak-geri badan (berdiri, berjalan, duduk dan berbaring). Inilah dikatakan ada sati sangvorn.


Sacca-Dhitthan Mencegah Kemarahan

Sekiranya kita mahu jenis yang lebih berkuasa, ada dhamma yang dipanggil Sacca dan Adhitthana. Apabila digabungkan dipanggil Sacca-Dhitthan dalam bahasa Thai. Sacca-dhitthan akan menambahkan kuasa kepada sati, dama dan lain-lain. Kita mesti melakukan niat atau ketetapan hati (adhitthan) agar ada kebenaran atau kesungguhan (sacca) untuk melakukan sesuatu perkara. Ketetapan hati jenis yang ada kebenaran atau kekuatan ini akan menguatkan usaha seseorang untuk menuju sukses. Seandainya kita sudah ada sacca-dhitthan tak mahu marah, kita pasti tak akan marah. Kalau kita marah bererti sacca-dhitthan yang sebenar tak wujud, melainkan yang olok-olok.



Caga Mencegah Kemarahan

Caga bererti berkorban atau mengorbankan. Kita selalunya mengenali caga dalam erti memberi derma. Sebenarnya dalam pengertian yang lebih tinggi, caga bererti mengorbankan (membuang) kilesa dari hati kita. Kilesa ini hendak memberi kepada orang, tiada orang yang mahu. Berbeza dengan harta benda apabila dibuang pasti ada orang kutip. Kilesa harus dibuang mengikut kesesuaian masa dan keadaan kerana kalau disimpan banyak-banyak akan memudaratkan diri. Oleh itu kita mesti tahu bahawa caga juga bererti berkorban kilesa.


Sifat Terpendam Kemarahan

Setiap kali hati menjadi marah, ia akan membenihkan satu “sifat tidak berpuas hati”. Nama sangat sedap didengar patighanusaya / patighanusai (sifat tidak berpuas hati yang terpendam). Sekali marah ia akan menambahkan patighanusaya / patighanusai sekali. Apabila kerap kali marah, ia akan melahirkan pula “sifat kebiasaan” yang terpendam. Sifat kebiasaan ini dinamakan anusaya / anusai dan apabila ia mengalir keluar ia dinamakan asava.

Jangan ingat kemarahan akan berlalu begitu sahaja. Setiap kali marah ia akan menambahkan sifat kebiasaan kemarahan. Lama-lama kita akan menjadi pemarah. Kemarahan mesti diawasi selalu. Kalau kita jenis pemarah - suka marah tanpa sebab yang munasabah, lama-lama akan bertambah buruk. Satu tabiat buruk yang sukar dibuang.

Perkara yang dipanggil “anusai” akan menyusahkan kita. Kekadang kita tak mahu marah tetapi kita tak tertahan hati - marah meletus dengan tiba-tiba tanpa terkawal. Sebab apa? Sebab sifat atau tabiat marah sudah sebati dengan hati kita. Oleh itu kita kena mengingati caga kerana ia dapat membantu kita membuang anusai kemarahan.


Hiri-Ottappa Mencegah Kemarahan

Hiri bererti malu kepada diri sendiri. Ottappa bererti takut (berasaskan perasaan bertanggungjawab) kepada diri sendiri. Sekiranya ada hiri dan ottappa kita tak akan menjadi marah. Sekarang phra dan samanera bermuka tebal. Mereka marah tanpa perasaan malu dan takut. Tolonglah menjadi phra dan samanera yang tidak bermuka tebal, terutama yang baru buad. Apabila marah, cepat-cepatlah menyesal, malu dan takut. Usah terikut-ikut dengan perangai phra tua-tua yang suka marah-marah. Kita yang masih muda jaga-jagalah supaya ada perasaan malu dan takut terhadap marah. Setiap kali kita marah, sifat phra kita akan hilang. Bayangkanlah kalau kita hari-hari marah. Sifat phra kita hari-hari hilang. Apakah gunanya buad phra kalau sifat phra hilang semuanya?



Kammassakata-ñâñâ Mencegah Kemarahan

Perkara yang perlu diingat ialah dhamma yang dipanggil kammassakata yang bererti manusia ada karma masing-masing. Buad karma apa, terima balasan karma tersebut. Dhamma “Abhinaha-paccavek” yang biksu baca hampir setiap petang itulah dipanggil kammassakata. Semua kehidupan dunia akan terima balasan karma masing-masing. Kemarahan merupakan satu karma - kita pasti akan menerima balasannya. Oleh itu kita seharusnya berasa takut untuk marah.
Marananussati Mencegah Kemarahan

Sekarang kita akan mengingati kematian atau dipanggil marana-sati atau marana-nussati (morana-nussati). Kini orang seluruh dunia “terlupa” kepada kematian. Mereka melakukan kejahatan tanpa teringat kepada kematian. Seandainya mereka sedar usia kehidupan begitu singkat, mereka pasti tak membuang masa melakukan kejahatan. Mengingati kematian membantu kita berkorban, mengalah, dan menyerahkan sesuatu dengan mudah. Orang bodoh sahaja yang mengatakan apabila mengingati kematian, hati terasa tidak bersemangat atau tidak berminat melakukan sebarang kerja. Mengingati kematian akan membantu kita membuat perkara berfaedah kepada diri sendiri dan orang lain sehingga pernafasan terakhir. Mati dengan meninggalkan jasa adalah kematian terhormat. Mengingati kematian dengan cara yang betul dapat mencegah kemarahan.


Appamaññâ-metta Mencegah Kemarahan

Perkara terakhir ialah dhamma yang dinamakan appamaññâ-metta. Metta bererti menjadi sahabat, berniat baik, atau kasih sayang. Appamaññâ (Thai: appamanya) bererti tiada sempadan, tiada batasan atau tiada had. Kasih sayang tanpa batasan, tanpa had. Bayangkanlah betapa mulianya manusia yang ada kasih sayang tanpa batasan atau had.

Perkataan ini digunakan sebelum zaman Buddha lagi. Mereka yang meninggalkan rumah untuk keluar buad mesti ada dhamma ini biarpun mereka tak kenal “mark-phon-nibban”. Mereka percaya apabila mati mereka akan pergi hidup dengan Phrom. Untuk hidup dengan Phrom mesti ada metta. Sewaktu mengamalkan meditasi di hutan, mereka akan berbicara berkenaan metta - ada kasih sayang antara semua manusia dan haiwan. Oleh itu mereka tidak akan menyusahkan manusia lain, termasuk haiwan besar dan kecil. Apabila mati mereka akan hidup dengan Phrom yang merupakan “nibbana” bagi mereka.

Tiada kebaikan yang lebih mulia daripada perasaan kasih sayang tanpa sempadan. Saling mengasihi lebih baik daripada saling membenci. Namun dunia hari ini kehilangan kasih sayang jenis ini. Malah manusia seakan-akan memandang rendah terhadap kasih sayang. Sifat kebendaan yang tebal menyebabkan manusia terlupa kepada kasih sayang tanpa sempadan. Sebagai contoh, melatih kasih sayang boleh dimulakan dengan binatang - mengelak daripada membunuh binatang. Orang yang tidak sanggup membunuh binatang tentu tak sanggup membunuh manusia.
Sekarang ini apabila kita bercakap tentang metta orang akan ketawa, apatah lagi metta tanpa sempadan. Orang hari ini kalau ada metta pun cuma metta jenis “pentingkan diri”. Metta kepada keluarga merupakan metta “pentingkan diri” semata-mata. Dhamma yang akan menyelamatkan dunia daripada kemusnahan ialah metta, bukannya perasaan pentingkan diri.

Dhamma untuk mencegah kemarahan ini saya susun sendiri. Usah anda mencari di dalam kitab. Walaupun disusun sendiri tetapi tak terkeluar daripada pokok persoalannya. Malah lebih senang dilihat dan diingati. Kita mesti mengawal kemarahan supaya tidak meletus keluar - simpan di dalam stor yang kita bina. Sewaktu menjadi phra merupakan masa yang amat sesuai melatih diri menjauhi kemarahan.

Tanpa mengira di mana kita tinggal, kalau tiada perasaan marah bermakna tempat itu merupakan dunia Phrom (Brahma-loka) bagi kita. Maksudnya, pada waktu kita tak ada perasaan marah bermakna kita sedang jadi Phrom pada waktu tersebut. Kalau sepanjang hidup kita tak ada perasaan marah, bermakna kita jadi Phrom seumur hidup juga. Kalau kita keluar daripada phra, pergi berkahwin dan menjadi seorang bapa, kita akan menjadi bapa yang baik sebagaimana yang tersebut di dalam Kitab Pali, “Brahmati matacapitaro” yang bermaksud “Ibu bapa merupakan Phrom di dalam rumah!” (Ibu bapa juga diibaratkan sebagai Phra Arahan di dalam rumah).

Dapat mengawal kemarahan bermakna kita dapat mengawal kilesa lain yang berkaitan. Seandainya berjaya melatih diri sehingga tiada kemarahan, kita akan jadi Phra Anagami di dalam rumah - dalam kehidupan gharavas. Phra Anagami ada dalam kehidupan berkeluarga tetapi telah bebas daripada hubungan jantina (kâma) dan kemarahan (dosa). Keluarga, masyarakat dan dunia tanpa kemarahan adalah keluarga, masyarakat dan dunia yang aman!



“Pemberian Dhamma Mengatasi Segala Pemberian”

“Penerimaan Dhamma Mengatasi Segala Penerimaan”

Banpacha (3) - Buad di Rumah

(Terjemahan Karya Buddhadasa Bhikhu - Suan Mokkha Palaram)


AMALAN BUAD DI RUMAH


Sekarang akan diterangkan berkenaan amalan buad di rumah. Kedengarannya begitu aneh kerana amalan buad biasanya di wat. Sebenarnya buad di mana-mana pun boleh.

Sesetengah orang berkecil hati kerana tak dapat buad kerana dilahirkan sebagai wanita atau kerana sebab-sebab lain. Malah ketika orang lain buad phroma-carini selama 9 hari, 10 hari yang diadakan di kebanyakan tempat, kita pun tak dapat buad kerana ada urusan keluarga atau lain-lain. Oleh itu, di sini akan diterangkan kaedah buad jenis yang tinggal di rumah atau panggilan ringkasnya buad di rumah.

Sesetengah orang akan tertanya buad jenis apa tinggal di rumah? Jawabnya, kita melakukan perkara yang sama dan matlamat yang sama dengan maksud buad atau pabbajja. Pabbajja apabila diterjemahkan mengikut perkataan bermaksud “pergi semua daripada perkara yang patut pergi, atau tingglkan semua daripada perkara yang patut ditinggalkan.” Maksudnya pergi atau tinggalkan semua daripada perbuatan atau keadaan yang sengsara. Perkara yang menjadi kesengsaraan, kita akan tinggalkan semuanya. Tidak mengira tinggal di wat atau di rumah yang penting pengamalan kita betul mengikut maksud pabbajja iaitu, pergi semua, atau tinggalkan semua daripada perkara yang patut ditinggalkan.

Atau kita boleh mengamalkan phroma-chan (brahma-cariya) yang bermaksud pengamalan mulia (suci) seperti phrom. Pengamalan phroma-chan boleh dilakukan di wat atau di rumah. Kalau boleh diamalkan, eloklah. Kalau mahu mempraktik sila 8, sila 10 pun boleh. Istilah phroma-chan bermaksud pengamalan secara bersungguh-sungguh atau berdisiplin yang ketat secara berterusan atau seumur hidup. Ringkasnya mengamalkan phroma-chan di rumah pun boleh dilakukan.

Jadi, sesiapa yang tidak dapat keluar buad atau kerana dilahirkan sebagai wanita (hendak buad biksuni pun tak boleh) lalu berkecil hati. Kita tidak perlu berkecil hati, atau kecewa. Sekiranya kita dapat mengamalkan dhamma dengan baik sehingga ke tahap tertinggi, ia akan menjadi amalan buad yang sempurna. Dengar baik-baik, buad bermaksud tinggalkan semua perkara yang patut ditinggalkan. Phroma-chan bermaksud pengamalan yang ketat dan berterusan. Malah dalam perkara kecil-kecil sekali pun, kalau diamalkan dengan ketat dan berterusan seumur hidup boleh dipanggil phroma-chan. Kita akan mengamalkan perkara yang ada di dalam agama Buddha. Kita akan mengamalkan perkara tersebut sehingga mendapat hasil yang sama seperti mereka yang keluar buad dan tinggal di wat, atau tinggal di hutan. Malah dari segi tertentu, buad di rumah lebih baik daripada sesetengah orang yang buad “tidak bermoral” di wat atau di hutan. Oleh itulah, “tempat” tidak penting kerana yang penting ialah “amalan.”


Kaedah Buad di Rumah

Amalan buad di rumah mesti bergantung kepada dhamma yang tulen atau teras agama Buddha secara muktamad. Di sini akan diterangkan satu dhamma untuk diamalkan, tetapi bukan Ariya Magga kerana Ariya Magga merupakan dhamma umum sama ada di wat atau di rumah. Kita akan pilih yang lebih khusus dan lebih halus iaitu Indriya 5.

Indriya 5 ialah Saddha, Viriya, Sati, Samadhi, Paññâ. Istilah indriya bererti penting - perkara penting atau tajuk penting. Kelima-lima dhamma ini terdapat di dalam semua pengamalan. Kita hendak mengamalkan samadhi atau bhavana mesti ada indriya 5 ini.

Sekali lagi ditegaskan, kita hendak mengamalkan apa-apa amalan sekalipun mesti ada indriya 5. Tanpa indriya 5, amalan tersebut akan gagal.

1. Saddha - Percaya bahawa dhamma dapat menghapuskan kesengsaraan (dukkha).

Perkara pertama ialah saddha yang bermaksud kepercayaan. Buad di rumah pun mesti percaya kepada dhamma. Percaya bahawa dhamma dapat menghapuskan kesengsaraan, misalnya sila, samadhi dan paññâ atau Ariya Magga-8 memang dapat menghapuskan kesengsaraan. Kita mesti belajar dan percaya bahawa dhamma memang boleh menghapuskan kesengsaraan. Percaya kepada dhamma dahulu.

Kemudian percaya sekali lagi iaitu percaya kepada diri sendiri. Percaya bahawa diri sendiri ada keupayaan untuk mengamalkan dhamma dengan betul. Maksudnya kita mesti ada 2 kepercayaan. Percaya bahawa mengamalkan dhamma boleh menghapuskan kesengsaraan dan percaya bahawa diri sendiri mampu melakukannya.

Kalau hati ada saddha begini, buad di rumah pun boleh ada kuasa, tenaga, dan tenaga dalaman untuk mengamalkan sila, samadhi, paññâ yang merupakan dhamma umum. Misalnya kita terima sila (Thai: rap sin) untuk diamalkan di rumah. Kita kena jaga sila tersebut selaras dengan kepercayaan kita kepada dhamma. Kita mesti percaya bahawa sila boleh menghapuskan kesengsaraan. Kita mesti yakin bahawa kita berupaya menjaga sila sepenuhnya. Perkara yang penting kita kena pegang betul-betul sila tersebut. Kepercayaan yang tidak berbelah bahagi itu sangat penting. Dengan adanya kepercayaan dan keyakinan, kita seolah-olah mengamalkan phroma-chan sepenuhnya - ada kesungguhan dan disiplin yang ketat dalam amalan.

Kuasa saddha akan mendorong hati melakukan pengamalan secara bersungguh-sungguh. Semakin lama, saddha akan menambahkan semangat dalam pengamalan ke tahap tertinggi. Namun, sekarang ini orang ada saddha sekadar di mulut. Saddha olok-olok yang dilafazakan ikut sedap, bukan saddha di hati seperti yang diterangkan. Saddha olok-olok bererti kepercayaan olok-olok kepada Buddha, Dhamma dan Sangha. Kepercayaan olok-olok kepada kemampuan sendiri. Kita mesti percaya bahawa mengamalkan dhamma memang boleh menghapuskan kesengsaraan serta yakin kepada diri sendiri boleh melakukannya. Kepercayaan dan keyakinan ini merupakan saddha yang sempurna dalam amalan buad di rumah.

2. Viriya - mempunyai ketekunan dan keberanian

Viriya bererti ketekunan dan keberanian. Apabila digabungkan ketekunan dan keberanian akan jadi viriya. Sekiranya sudah ada saddha dalam hati, viriya akan menjadi kuat. Menjadikan saddha sebagai asas, kita pasti melakukan sesuatu dengan berani dan tekun dalam semua perkara, sama ada berkenaan duniawi atau bukan duniawi. Perkara yang akan kita lakukan, dapat disimpulkan kepada 4 perkara iaitu ada keberanian dan ketekunan untuk menjaga, mengorbankan, membina dan menjaganya.

(a) Menjaga bermaksud menjaga perkara yang tidak seharusnya ada daripada lahir atau wujud. Misalnya, musuh. Kita mesti menjaga diri kita agar tidak ada musuh. Kiles merupakan musuh utama manusia. Oleh itu kita mesti menjaga supaya kiles tidak wujud.

(b) Sekiranya perkara yang tidak sepatutnya ada itu sudah ada, kita mesti berani dan tekun mengorbankannya (meninggalkannya).

(c) Membina bererti membina perkara yang sepatutnya ada seperti ketenteraman, kejujuran, kesopanan dan sebagainya. Kita mesti membina atau mengadakan perkara-perkara baik yang sepatutnya ada pada manusia.

(d) Berapa banyak kebaikan yang kita bina, kita mesti menjaganya. Atau kita harus memajukannya dari peringkat ke peringkat. Gunakan saddha yang ada pada dhamma dan saddha yang ada pada diri sendiri untuk mendorong kita membina pelbagai kebaikan (kuson), kemudian tekun menjaganya. Umpamanya kita berjaya mencari duit, kita mesti menjaga duit tersebut agar dibelanjakan ke jalan yang betul.

Kita tinggal di rumah, buad di rumah mesti ada viriya; ada ketekunan dan keberanian menjaga supaya kejahatan, karma tak baik dan dosa tidak wujud di dalam diri kita. Sekiranya sudah ada kejahatan, karma tak baik dan dosa di hati, kita kena tekun dan berani meninggalkannya. Kemudian berusaha membina kebaikan yang belum. Setelah ada, berusahalah memajukan kebaikan tersebut sehingga mencapai tahap tertinggi. Inilah yang dikatakan ada viriya di rumah.

Kebanyakan daripada kita tidak ada kesungguhan. Kita suka melepaskannya berlaku mengikut keadaan. Tetapi sekarang kita berniat untuk buad, walaupun tinggal di rumah, kita mesti bersemangat dan berusaha melakukan perkara yang patut dan meninggalkan perkara yang tidak patut.

3. Sati - Mesti digunakan dalam semua keadaan.

Perkara yang dipanggil sati merupakan dhamma istimewa. Dhamma yang menjadi keperluan dalam semua keadaan. Tolong ingat baik-baik. Dhamma yang mesti digunakan di dalam semua keadaan, tanpa mengira tempat dan waktu. Semua perkara harus berlaku atau dilakukan dengan dikawal oleh sati. Tanpa sati, kita tak boleh melakukan apa-apa. Malah untuk bangun dan berjalan pun tak boleh. Kita akan terjatuh. Hendak makan sekali pun, tanpa sati makanan akan tersuap ke hidung. Atau tanpa sati, kita akan makan dengan begitu gelojoh, makan dengan kiles. Semua kerja rumah - ambil air, cuci pinggan mangkuk, basuh periuk dan sebagainya mesti dilakukan dengan mental yang dipanggil sati. Bagi perkara yang berkaitan dengan kiles, mesti berhati-hati - ada sejenis pengamalan tahap tinggi yang dinamakan “ada sati dalam setiap phassa.”

Perkara yang dinamakan phassa ini rasanya sudah diketahui. Kita ada mata, telinga, hidung, lidah, badan dan hati. Enam deria ini akan “bertembung” dengan gambar, suara, bau, rasa, sentuh (pottappa) dan pemikiran/perasaan (dhammarom) yang berada di luar. Mata berpasangan dengan gambar, telinga berpasangan dengan bunyi, hidung berpasangan dengan bau, lidah berpasangan dengan rasa, kulit berpasangan dengan sentuhan; ini bahagian tubuh, bahagian fizikal. Pasangan terakhir ialah bahagian mental iaitu hati yang “bertembung” dengan pemikiran dan perasaan yang dipanggil dhammarom. Hati berpasangan dengan dhammarom merupakan “pasangan” yang kerap “bertembung”. Semua peristiwa dahulu, kini dan akan datang sering “bertembung” dengan hati atau fikiran.

Kalau hendak mempelajari dhamma dengan betul-betul, kita mesti kenal enam pasangan deria ini dengan baik dan jelas. Perkara ini sangat penting kerana semua perkara dalam kehidupan datang atau masuk melalui ayatana 6 pasang ini. Atau dunia ini dapat wujud kerana kita ada mata, telinga, hidung, lidah, badan dan hati. Sekiranya kita tak ada mata, telinga, hidung, lidah, badan dan hati, bermakna kita tak ada apa-apa langsung. Kita tak ada dunia dan segala-galanya tak ada. Kita mesti kenal deria kita yang telah membuatkan semua perkara ada makna terhadap kita. Enam deria ini sekiranya ditangani dengan betul akan jadi baik. Tetapi sekiranya ditangani dengan salah akan jadi buruk atau jahat.

Oleh itu, minta semua orang kenal enam pasang deria ini baik-baik kerana ia merupakan perkara yang ada pada kita. Kita mesti ada sati, iaitu ingat dan sedar setiap kali enam deria ini menjalankan tugasnya; ada sati apabila mata bertugas melihat gambar, ada sati apabila telinga bertugas mendengar bunyi, ada sati apabila hidung bertugas menghidu bau, ada sati apabila lidah bertugas mengecap rasa, ada sati apabila badan bertugas menyentuh dengan benda, dan ada sati apabila hati bertugas mengetahui perasaan atau pemikiran. Kita mesti tahu tugas enam deria kita, dan hasil daripada tugas tersebut.

Contohnya, mata dengan gambar. Apabila mata bertembung dengan gambar, ia akan melahirkan viññâna mata (caksu viññâna) atau penglihatan melalui mata. Sekiranya ada 3 perkara, iaitu mata - gambar - viññâna dalam tugas yang sama (melihat), ia dipanggil phassa. Ertinya phassa bukan sekadar mata melihat gambar. Phassa mesti melibatkan 3 perkara yang menjalankan tugas yang sama, iaitu ayatana dalam (mata), ayatana luar (gambar) dan viññâna yang lahir dari ayatana berkenaan. Phassa yang berlaku di mata dinamakan phassa mata. Begitu jugalah dengan telinga, hidung, lidah, badan dan hati.
Setelah ada phassa mata, maka akan lahir pula vedana atau perasaan puas hati, tidak puas hati atau neutral. Vedana 3 jenis ini dinamakan vedana yang lahir daripada phassa mata. Vedana yang lahir tak akan berhenti setakat itu kerana ia akan melahirkan perkara lain lagi. Seandainya, masa berlaku phassa mata, kita tak ada sati atau tak ada kebijaksanaan, ia akan jadi “phassa bodoh” dan melahirkan “vedana bodoh” juga. Kita akan gembira sekiranya phassa tersebut memuaskan hati (misalnya melihat gambar atau benda yang kita suka). Kita akan marah atau benci sekiranya phassa itu tidak memuaskan hati (melihat gambar atau benda yang kita tak suka). Atau mungkin kita akan “terkeliru” kerana kita ingin tahu benda tersebut tetapi tidak jelas. Kekeliruan ini terjadi apabila phassa tidak menunjukkan berpuas hati atau tidak berpuas hati. Maka vedana jadi kabur, sama ada berpuas hati atau tidak berpuas hati.

Di sinilah akan lahir perasaan tamak (lobha), marah (dosa) dan sesat (moha). Kalau kita terima perkara atau benda tersebut sebagai memuaskan hati akan melahirkan lobha; kalau tidak memuaskan hati akan melahirkan dosa; dan kalau terkeliru sama ada memuaskan hati atau tidak memuaskan hati akan melahirkan moha. Apabila lahir lobha, dosa dan moha bererti lahirlah api yang bakal membakar diri kerana ketiga-tiga jenis kiles ini merupakan akar tunjang kepada masalah yang lain.

Daripada vedana akan lahirlah pula nafsu kemahuan (tanha). Perasaan tamak akan melahirkan kemahuan untuk mencari, mengambil dan memiliki sesuatu benda yang kita suka. Perasaan marah, atau perasaan benci akan melahirkan kemahuan untuk menjauhi benda yang dibenci, menghalaunya daripada kehidupan kita atau membunuhnya sama sekali. Tetapi sekiranya kita tak pasti sama ada suka atau benci, perkara itu akan “menggelilingi” kita menyebabkan kita kekeliruan atau kesesatan untuk membuat keputusan.

Apabila ada perasaan tamak, marah dan sesat bermakna api sedang membakar jiwa. Kalaulah kita ada sati, iaitu kebolehan mengingat, atau sedar tentang perkara sebenar sewaktu phassa, maka ia tak akan jadi begini. Ia akan terjadi perkara lain iaitu, kita tahu apa sebenarnya yang kita lihat, bagaimana hendak menanganinya, patutkah menanganinya? Kita mesti menanganinya dengan cara yang betul. Kita tidak boleh ada sikap “suka” atau “benci” barulah tak ada api, tak ada sengsara. Hanya kuasa sati berupaya menyekat daripada terjadi api apabila berlaku phassa.

Setelah ada nafsu atau kemahuan, ia akan berkembang menjadi “pegangan” (upadan). Kemahuan akan melahirkan “orang” yang ada kemahuan. Setelah wujud “orang” yang ada kemahuan, keadaan akan menjadi semakin parah kerana perasaan “ada diri” akan lahir daripada “orang” yang ada kemahuan berkenaan. Apabila “ada diri” maka lahirlah benda yang menjadi “hak” diri tersebut.

Apabila lahir perasaan ada diri (bukan diri sebenar kerana diri sebenar tak ada atau anatta), walaupun dalam perasaan semata-mata, kesannya amat besar. Perasaan ada “diri” akan mengaut bermacam-macam benda untuk dijadikan milik “diri” sama ada benda dalaman atau luaran. Misalnya orang yang berpegang (upadan) bahawa kelahiran, ketuaan, kesakitan dan kematian milik dirinya sendiri. Tiada apa yang diterima orang tersebut melainkan kesengsaraan. Begitu juga apabila dia berpegang kepada harta benda, anak isteri atau suami sebagai miliknya. Maka kepanasanlah yang berada di sekelilingnya. Pegangan salah menyebabkan orang menganggap segala benda milik sendiri. Semua kekhilafan ini berlaku kerana orang telah melakukan kesalahan ketika phassa. Kesalahan phassa telah menyebabkan kehidupan menderita.

Sekiranya ada sati ketika phassa (sati datang tepat pada masa apabila ada benda “bertembung” dengan mata) maka akan berlaku “pertembungan” yang bijak. Phassa yang bijak iaitu phassa yang ada sati - ia tidak akan menjadi perasaan kacau bilau sehingga mencambahkan kiles. Apabila ada kiles, maka akan ada mudaratnya. Semua enam deria pun begitu. Semua deria boleh memudaratkan atau memujarabkan, terpulang kepada cara kita menghadapinya.

Ini merupakan sains alam semulajadi. Perkara berkaitan kesengsaraan, mengikut konsep agama Buddha merupakan sains alam semulajadi. Kebahagiaan atau kesengsaraan datang daripada perbuadan yang betul (ada sati) atau perbuadan yang salah (tiada sati) ketika berlaku phassa, bukannya kerana hantu, dewa, sial, tuah, nasib atau bintang di langit. Dan Buddha juga ada mengatakan bahawa kebahagiaan dan kesengsaraan tidak ada kaitan dengan *balasan karma dari kehidupan dahulu, melainkan perbuadan salah atau perbuadan betul di sini dan pada masa ini, iaitu ketika phassa. Oleh itu, kita mesti ada sati untuk mengawal phassa.

*(Perkara ini harus direnungi dengan teliti kerana kelihatannya bercanggah dengan kepercayaan tentang hukum karma) - penterjemah.

Perkara yang dipanggil sati sentiasa bertempel dengan paññâ. Sati bererti ada ingatan, ada kesedaran (tidak lupa). Fikiran yang ada “ingatan” berkenaan hakikat yang sebenar merupakan paññâ. Apabila sati sempat membawa paññâ datang ketika ada pertembungan antara ayatana dalam dan ayatana luar, ia akan tahu bagaimana hendak menanganinya; tidak melahirkan kesengsaraan - tidak ada sayang, tidak ada benci, tidak ada marah, tidak ada takut, tidak ada dengki, tidak ada cemburu, tidak ada sedih dan tidak ada apa-apa langsung yang merupakan asas penderitaan. Semuanya kerana ada sati.

Walaupun buad di rumah, tetapi ada sati begini, nampaknya lebih baik daripada mereka yang buad di wat; jenis yang cacamarba, yang tidak kenal apa itu sati. Maknanya di rumah pun boleh mempraktikkan amalan buad dengan baik sekiranya ada sati sempurna sebagaimana telah dijelaskan.

Perkara penting, kita jangan lupa bahawa sewaktu berlaku phassa (mata - gambar - viññâna berfungsi serentak), kita mesti ada sati atau kebolehan untuk bertindak dengan cepat dan tepat terhadap perkara yang sedang berlaku. Kebolehan untuk bertindak dengan cepat dan tepat tentulah datang daripada fikiran yang sedar. Fikiran yang sedar ada kaitan dengan keupayaan mengingat yang berpunca daripada paññâ. Sebab itulah dikatakan sati sentiasa bertaut dengan paññâ.

Apabila terdapat sesuatu bertembung dengan mata, telinga, hidung, lidah dan badan, kita mesti ada sati. Biarkan phassa itu menjadi phassa jenis ada sati yang dinamakan phassa vijja (ilmu); phassa dengan bijak, dengan penuh sedar dan tahu keadaan sebenar. Pasti tidak sengsara. Inilah yang dikatakan kita “berhadapan” dengan dunia dengan bijak dan sedar setiap hari dan setiap waktu.

Oleh itu sekiranya kita “berhadapan” dengan sesuatu perkara dengan avijja (jahil) pasti akan melahirkan masalah. Tetapi sekiranya kita “berhadapan” dengan sesuatu perkara dengan vijja (ilmu) tentu tidak akan melahirkan masalah. Jangan biarkan kebodohan menguasai diri. Kita mesti menerima benda luaran dengan bijak barulah kehidupan tidak bermasalah.

Perkara ini memang boleh dijelaskan, malah mudah untuk dijelaskan, tetapi apabila hendak diamalkan, ia bukan senang. Kadang-kadang sampai tersasul atau langsung gagal diamalkan. Mungkin terpaksa menanggung penderitaan berulang kali, barulah dapat mengambil pengajarannya, kemudian perlahan-lahan mengamalkannya. Pengamalan secara perlahan-lahan akan berhasil juga. Pokoknya kita selalulah melatih diri seperti ahli sukan yang setiap hari menjalani latihan. Misalnya bermain sepak takraw mesti berlatih bersungguh-sungguh. Kita juga mesti berlatih bersungguh-sungguh supaya menjadi orang yang ada sati dalam semua situasi. Sekiranya kita gagal, kita pasti berasa malu kerana menjadi orang yang tiada sati ketika berlaku passa, lantas kesengsaraan pun menjelma. Namun, kita jangan berputus asa. Berusaha lagi. Kita ada saddha. Kita ada viriya. Satu perkara yang kita kena ingat. Kita bukan dilahirkan untuk terima balasan sengsara, melainkan sengsara itu kita sendiri yang menciptanya. Oleh itu, kita sendirilah yang akan menghapuskannya. Kalau kita ada fikiran begini, pasti kita berjaya. Kesengsaraan akan berkurangan dari masa ke masa.

Umpama orang yang kakinya tergelincir ke dalam lubang. Dia tergelincir kerana berjalan tidak berhati-hati. Kaki di tanah, tetapi mata di langit. Kakinya terperosok ke dalam lubang sampai terkehel. Pasti sakit dan malu. Kalau lubang di tepi jalan utama, malu kepada orang yang lalu lalang. Kerana sakit dan malu, lain kali dia akan berhati-hati. Semakin sakit dan malu yang dialami, semakin kuat dia berhati-hati. Lain kali kakinya tak akan tergelincir ke dalam lubang lagi. Pengajaran daripada kesakitan merupakan latihan terbaik untuk melahirkan sati dalam semua phassa. Orang yang lalai kerana tak ada sati. Orang tak ada sati bermakna orang tak takut sakit dan malu. Orang yang tak takut sakit dan tak tahu malu, orang jenis apa, berfikirlah sendiri. Kita mesti membulatkan tekad agar tidak lalai.

Sekarang kita tidak kenal kedua-dua perkara. Kita tidak kenal takut. Kita tidak kenal malu. Kejahatan berkumpul di dalam rohani, kita biarkan kerana tidak ada orang nampak. Apa yang perlu ditakutkan, apa yang perlu dimalukan. Orang lain tidak tahu perbuadan kita. Sebagai manusia kita mesti takut dan malu kepada diri sendiri. Walaupun orang tidak nampak, kita juga kena takut dan malu. Kejahatan dalaman itu lebih berbahaya daripada kejahatan luaran.

Insan yang ada dhamma, mesti ada perasaan malu dan takut, ada hiri (malu membuat dosa), ada ottappa (takut membuat dosa). Kedua-dua dhamma ini mesti ada dalam hati kita kerana ia lebih mulia daripada perkara luaran. Maksudnya perbuadan jahat kita yang orang lain tahu dan orang lain nampak, tidak seteruk perbuadan jahat yang orang lain tak nampak, orang lain tak tahu. Perbuadan jahat dalaman yang kita seorang sahaja tahu dan nampak itulah sangat berbahaya kerana ia akan mengundang kemusnahan yang besar. Oleh itu, perkara begini tidak boleh dibiarkan berlaku.

Orang yang ada sati akan bebas daripada kesengsaraan dalam semua situasi. Sati merupakan alat untuk mengawal agar kesengsaraan tidak wujud. Jangan menuduh hantu atau dewa kerana tuduhan itu satu kebodohan semata-mata. Kita membiarkan kesengsaraan wujud sudah dikira bodoh. Kemudian menuduh hantu atau dewa, bodoh lagi sekali. Kenapa kita menjadikan diri kita bodoh sampai 2, 3 kali.

Kebahagiaan dan kesengsaraan wujud kerana tindak balas minda sewaktu berlaku phassa atau yang berkaitan dengan hukum Itappaccayata (Paticcasamuppada). Hukum semulajadi ini berlandaskan hukum sebab musabab. Semua benda wujud kerana ada sebab-sebab atau elemen-elemennya. Dalam Kitab Tipitaka ada tertulis berkenaan perkara ini; kita harus memberi perhatian sepenuhnya. “Bahagia atau sengsara bukan ketentuan daripada Dewa; bahagia atau sengsara bukan kerana karma dahulu; bahagia atau sengsara bukan tak ada punca; bahagia atau sengsara ada punca. Puncanya ialah sama ada berbuat betul atau berbuat salah terhadap hukum Itappaccayata.” Kalau berbuat salah terhadap hukum Itappaccayata kita akan sengsara tetapi kalau tidak berbuat salah kita tidak sengsara. Berbuat salah terhadap hukum Itappaccayata ialah berbuat salah sewaktu ada benda luaran bertembung dengan deria, atau sewaktu berlaku phassa. Oleh itu, kita jangan berbuat salah terhadap hukum Itappaccayata supaya sengsara tidak wujud.

Kalau berjaya ada sati begini, buad di rumah lebih baik daripada buad di wat berlipat ganda. (Bercakap begini umpama bergadai nyawa kerana ada bahayanya). Tetapi hendak ditegaskan bahawa buad di rumah kalau dapat melakukan begini lebih baik daripada buad di wat yang tidak berbuad begini. Kenapa tidak dapat melakukan begini? Kerana mereka buad jenis meracau atau mengigau!

4. Samadhi - Nibbana sebagai matlamat

Apa itu samadhi? Samadhi diberikan maksud yang begitu baik dan sempurna sekali. Samadhi yang agung. Samadhi ialah a-kakkatacit yang ada nibbana sebagai arom. Saya rasa mereka yang kurang arif akan pening kerana langsung tak tahu apa yang sedang dicakapkan. A-kakkatacit yang ada nibbana sebagai arom boleh diterangkan begini: A-kakkatacit ialah minda (citta) yang berfikir tentang satu perkara, menuju kepada satu perkara, atau memusat kepada satu perkara. A-kakka bererti ada satu puncak. A-kakkatacit ialah minda yang ada satu puncak, atau minda yang memusat kepada satu perkara; memusat kepada nibbana sahaja, tidak perkara lain, maka dinamakan ia ada nibbana sebagai arom. A-kakkatacit yang menumpu kepada nibbana sebagai arom itulah teras kepada perkara yang dipanggil samadhi.
(Maklumat Tambahan: Arom (Pali:Arammana) sebenarnya adalah “objek luaran”. “Objek luaran” tersebut ialah gambar, bunyi, bau, rasa, sentuhan badan, sentuhan hati (dhammarom / dhammarammana). Dhammarom boleh jadi fizikal atau mental; perkara dahulu, perkara sekarang, perkara akan datang - realiti atau khayalan. “Objek” inilah apabila “bertembung” dengan deria enam, misalnya, deria mata, akan melahirkan viññâna mata, phassa mata, kemudian vedana. Begitu jugalah dengan telinga, hidung, lidah, tubuh dan hati. “Objek” ini akan mencetuskan “perasaan” tertentu) - penterjemah.

Kita hendak membuat samadhi kaedah yang mana, berapa banyak kaedah, berapa puluh kaedah, buadlah asalkan menumpukan nibbana sebagai arom - samadhi di rumah atau di mana pun boleh. Sewaktu kita menghadapi kesengsaraan lagi elok. Kesengsaraan kerana hal apa tidak kisah, asalkan menuju ke nibbana (memadamkan sengsara sebagai arom). Sebenarnya kita hidup kerana untuk mencapai nibbana. Minda hanya menumpukan nibbana sahaja sebagai arom. Inilah maksud samadhi.

Amalan meditasi ada bermacam-macam kaedah dan cara. Sebenarnya amalan tersebut dipecah-pecahkan supaya ia menjadi lebih khusus tetapi menyeluruh. Matlamatnya tetap sama iaitu menjadikan nibbana sebagai arom. Misalnya amalan “memerhatikan” angin pernafasan - nafas pendek, nafas panjang, nafas masuk dan nafas keluar pun boleh kerana minda mudah mendapat samadhi dengan amalan ini. Tetapi yang penting amalan tersebut mesti berpusat kepada nibbana, atau untuk menghapuskan kesengsaraan sebagai matlamat terakhirnya. Setelah dapat samadhi, lakukan vipassana, kemudian berusaha sehingga nampak kebenaran anicca, dukkha, anatta. Sekiranya benar-benar nampak anicca, dukkha, anatta, kita akan berasa bosan terhadap segala benda dunia - kemudian kita akan bebas berperingkat-peringkat daripada kongkongan segala benda (kesengsaraan). Inilah yang dikatakan ada nibbana sebagai arom. Oleh itulah dikatakan samadhi merupakan a-kakkatacit yang ada nibbana sebagai arom.

Kita mesti memastikan minda sentiasa berada dalam keadaan yang ada nibbana sebagai matlamat atau tujuan terakhir. Kita mesti berusaha mencapai matlamat dalam masa yang paling cepat. Samadhi begini barulah dikira samadhi jenis berfaedah, iaitu samadhi yang ada nibbana sebagai matlamat. Di rumah, kita hendak melakukan apa-apa pun, lakukanlah, tetapi perkara pokoknya jangan terlupa, iaitu ada nibbana sebagai matlamat terakhir.

Misalnya, pesawah terpaksa bersawah untuk mendapatkan padi. Pekebun mesti berkebun untuk mendapatkan buah-buahan. Kedua-dua pekerjaan ini penting untuk meneruskan kehidupan. Kehidupan seharusnya berakhir setelah minda berjaya membuatkan “nibbana menjadi terang.” Sara hidup jenis apa sekali pun, kita tetap dapat melakukan samadhi jenis a-kakkatacit yang ada nibbana sebagai arom. Perkara yang dipanggil nibbana adalah keadaan yang tenteram, hening dan sejuk kerana telah bebas sepenuhnya daripada kesengsaraan. Walaupun terpaksa bekerja sebagai kuli cuci paip, sapu sampah di jalan raya, kayuh beca roda tiga, pikul simen bina bangunan, kita tetap mampu menjadikan nibbana sebagai arom dan sebagai matlamat terakhir.

Malah, jadi peminta sedekah pun boleh melakukannya. “Sekarang aku jadi peminta sedekah untuk teruskan kehidupan. Setelah kehidupan senang, aku akan teruskan amalan yang ada nibbana sebagai tujuan terakhir.” Bukan sekadar orang biasa, bahkan pengemis yang saban hari duduk menghitung usia di tepi jalan, tunggu simpati orang lalu lalang masih mampu melakukannya. Samadhi itu penting. A-kakkatacit ialah keadaan minda yang telah bersatu dan mempunyai kekuatan yang mencukupi. Semua orang yang menjadi gharavas (orang yang berumah tangga) mesti menjadikan nibbana sebagai matlamat hidup.

Sati akan mendorong minda mendapatkan samadhi. Dalam kesedaran, pada detik permulaan mengingat sesuatu perkara atau sesuatu kebenaran dinamakan sati. Setelah mengingat sesuatu perkara tersebut, kemudian menyimpannya supaya kekal lama dinamakan sampajañña. Sati dan sampajañña merupakan pasangan kembar. Sati bererti daya ingatan (kebolehan mengingat), manakala sampajañña bererti ada kesedaran, berupaya menjaga daya ingatan agar kekal lama. Misalnya, sati mengingat sesuatu kebenaran secara tiba-tiba, kemudian dapat mengekalkan kebenaran tersebut dinamakan sampajañña. Sati dan Sampajañña mesti bekerjasama dalam semua keadaan. Kalau ada sati-sampajañña, kita tak akan melakukan kesilapan kerana kita ada ingatan dan kesedaran setiap detik.

(Buddhist Dictionary edisi Colombo, Ceylon: Sati-Sampajañña diberikan erti Mindfulness and Clarify of Consciousness.
Pali-English Dictionary: Sati diberikan erti memory; mindfulness. Sampajañña diberikan erti Discrimination; Comprehension. Sati-Sampajañña diberikan erti Memory and Wisdom.
Buku Dhamma Thai: Sati diberikan erti kwarm raleuk dai dan Sampajañña diberikan erti kwarm ru tua) - penterjemah.

Mempunyai samadhi bererti mempunyai minda yang kuat dan mantap kerana ketika itu tiada gangguan daripada kiles. Maka minda pun pantas untuk berfikir atau untuk menjalankan tugasnya. Istilah membuat samadhi bukan bererti duduk pejam mata dengan tubuh keras bagaikan batang kayu. Membuat samadhi bererti melakukan setiap kaedah dan cara untuk menjadikan minda mempunyai satu titik tumpuan atau satu arom yang dinamakan a-kakkata. Kemudian minda perlahan-lahan bebas daripada gangguan kiles. Minda begini akan kuat dan mantap kerana ia menyatukan tenaganya menjadi satu kekuatan. Kekuatan untuk bertugas. Tugas minda untuk berfikir. Minda yang ada samadhi dapat berfikir dengan baik dan cepat. Oleh itu, untuk berfikir, untuk mengingat, untuk membuat keputusan, dan untuk mengarah orang lain, mesti dilakukan dengan minda yang ada samadhi.

Kita mesti melatih diri agar ada samadhi dalam semua pekerjaan. Kita ada samadhi sebelum memulakan kerja, kita ada samadhi sewaktu melakukan kerja dan kita ada samadhi selepas selesaikan kerja. Kalau kita dapat berbuad begini, kita tak akan melakukan kesilapan.

Sekarang kita buad di rumah. Kita mesti cari peluang melatih samadhi. Masa yang terbuang dengan perkara yang tidak berfaedah, lebih elok digunakan untuk melatih samadhi. Ketika sedang bekerja pun kita boleh melakukan samadhi, iaitu melakukan kerja tersebut dengan minda yang ada samadhi. Malah orang yang sedang sibuk bekerja itulah orang yang sedang mempraktikkan dhamma (patibat dhamma) yang baik. Mempraktikkan dhamma bukanlah sekadar duduk memejam mata sepanjang hari di sudut rumah, wat, kubur, atau hutan belantara. Dikatakan bahawa membuat pekerjaan merupakan mempraktikkan dhamma yang baik kerana kita terpaksa menggunakan banyak sila, samadhi dan paññâ dalam setiap pekerjaan.

Bagi pesawah yang sedang menenggala sawah, sedang melangkah mengekori kerbau, minda mesti menumpu (konsentrasi) kepada mata tenggala yang sedang memotong tanah. Ketika menenggala sawah, minda mesti menumpu kepada mata tenggala yang sedang memotong tanah; inilah yang dikatakan melakukan samadhi sepanjang masa menenggala sawah. Apabila kita sedang menyapu laman rumah, minda mesti menumpu kepada hujung penyapu yang menyentuh sampah setiap masa. Atau ketika mencuci pinggan, minda mesti menumpu kepada jari yang menggosok pinggan.

Dalam kehidupan harian, minda mesti ada tumpuan dalam semua keadaan. Berdiri, berjalan, duduk dan berbaring mesti melibatkan minda. Sewaktu berdiri, di mana kaki menyentuh lantai, di situlah minda memusatkan tumpuan. Sewaktu berjalan, kaki melangkah turun, kemudian mengangkat naik, di situlah tumpuan minda. Sewaktu duduk, tumpuan minda kepada punggung yang menyentuh lantai. Tetapi kalau duduk membuat samadhi, kita diajarkan memberi tumpuan kepada pernafasan masuk dan pernafasan keluar.

Malah perkara yang berkaitan dengan membuang air kecil atau air besar juga mesti ada samadhi. Boleh dirumuskan bahawa semua perlakuan, pergerakan, pekerjaan, aktiviti dan sebagainya mesti ada samadhi.

Amalan buad di rumah sebenarnya mempunyai banyak peluang untuk mengamalkan sila, samadhi dan paññâ. Kita mesti ada sati dan samadhi dalam semua perlakuan.

5. Paññâ - Mengetahui kebenaran yang patut diketahui.

Paññâ (kebijaksanaan) dalam agama Buddha bererti ada pengetahuan terang tentang kebenaran yang patut diketahui. Kebenaran yang berkaitan dengan cara menghapuskan kesengsaraan itulah kebenaran yang patut diketahui. Pengetahuan terang ialah pengetahuan yang kita perolehi daripada pengamalan sendiri.

Kita mesti mengetahui kebenaran setiap masa. Pemikiran berkenaan “diri aku” dan “milik aku” merupakan pemikiran yang salah. Pemikiran yang salah melahirkan pengetahuan yang salah. Pengetahuan salah bakal menjelmakan kesengsaraan.

Kita mesti bijak menerapkan pengetahuan yang benar. Kita mesti tahu semua perkara yang patut diketahui. Tetapi tak usahlah mengetahui perkara yang ada kaitan dengan “diri aku” dan “milik aku” kerana ia akan melahirkan perasaan pentingkan diri. Perkara berkenaan “diri aku” merupakan perkara yang seni dan rumit untuk difahami. Kebijaksanaan sahaja akan membantu kita memahaminya. Semua perkara atau kebenaran akan berubah sewaktu berlaku “phassa” sekiranya kita tak ada kebijaksanaan. Maka terjadilah phassa bodoh, phassa sesat atau keliru. Oleh itu, jangan biarkan phassa menerapkan “diri aku” dan “milik aku” ke dalam semua benda atau perkara yang melaluinya.

Apabila kita bekerja, kita kena sedar tentang pekerjaan yang sedang kita lakukan. Kita kena ada akal fikiran setiap masa. Kita harus berjaga-jaga agar pemikiran jenis “diri aku”, “milik aku”, “kerja untuk aku” atau “aku akan terima hasilnya” tidak timbul di dalam minda kita. Selain itu, kita juga tidak boleh ada sikap menginginkan hasil dalam sekelip mata dalam setiap pekerjaan. Sikap menginginkan hasil dengan cepat akan mengundang kesilapan. Perkara yang penting, kita melakukan sesuatu dengan kesungguhan, dengan pengetahuan yang betul, dan berterusan. Itulah yang dikatakan melakukan sesuatu dengan paññâ; tiada kiles, tiada nafsu, tiada silap, tiada mengharapkan balasan dan tiada kecewa (tiada sengsara).

Itappaccayata bererti semuanya berlaku atau terjadi mengikut sebab-sebab atau elemen-elemennya. Tathatâ bererti ia mesti jadi begitu, ia tidak boleh jadi perkara lain. Pengetahuan berkenaan kedua-dua perkara ini amat mustahak dalam setiap pekerjaan. Sekiranya kita menabur benih jagung, maka pokok jagung yang akan tumbuh (itappaccayata). Ia mesti jadi begitu, iaitu tumbuh pokok jagung, ia tidak akan jadi perkara lain, atau tumbuh pokok lain (tathatâ). Perkara yang penting kita teruskan bekerja. Tidak usah mengharapkan hasil untuk dimakan atau untuk digunakan dengan seronok. Pemikiran begini cenderung kepada konsep “diri aku” dan “milik aku”. Walaupun tidak mengharapkan hasil, tetapi hasilnya tetap akan ada kerana ia hukum tathatâ. Tabur pokok jagung, kita mengharapkan hasil atau tidak, tetap akan tumbuh pokok jagung. Apabila kita duduk samadhi dengan cara yang betul (ada paññâ), tanpa mengharapkan apa-apa pun, kita tetap akan mendapat hasil.

Dalam Pali (Kitab Tipitak) ada diberikan satu perumpamaan. Sekiranya ibu ayam mengeram telur dengan baik, ia tidak perlu berfikir sama ada anak ayam akan menetas atau tidak. Maksudnya ibu ayam mesti mengeram telur dengan betul mengikut cara semulajadinya - mengais telur, memusingkan badan, memanaskan atau menyejukkan telur dan sebagainya. Asalkan mengeram telur dengan betul mengikut cara semulajadinya, anak ayam tetap akan menetas walaupun ibu ayam tidak mengharapkan anak ayam akan menetas. Sekiranya ibu ayam mengharapkan anak ayam menetas dengan “membebel” setiap hari “anak ayam mesti keluar, anak ayam mesti keluar,” ibu ayam itu merupakan ibu ayam gila, ibu ayam tidak berguna. Orang pun sama. Bekerja dengan akal fikiran, dengan cara yang betul sudah memadai. Kita tidak perlu mengharapkan hasil yang berbentuk “diri aku” dan “milik aku”. Misalnya, sentiasa memebebel, “Hasilnya cepat keluar! Untungnya segera datang! Hasilnya mesti begini, mesti macam ini!” Kalau berkeadaan begini, sengsaralah yang kita dapat.

Sekian lama kita diberikan ajaran yang salah. Kita disuruh berbuad sesuatu dengan mengharapkan hasil secara melampau. (Pergilah wat pada hari tertentu, tengoklah apa yang penganut agama Buddha “membebel” sewaktu melakukan aktiviti keagamaan. Banyak perkara yang diharapkan. Harapan menggunung, tetapi cara pengamalannya belum tentu betul. Betulkan cara pengamalan kita terlebih dahulu. Itu yang penting).

Harapan yang melampau atau terlalu banyak apabila meresap ke dalam tugas atau amalan kita, akan membuatkan minda kita hilang tumpuan, tidak dapat berfungsi dengan baik. Yang penting akal fikiran. Kita kena sedar sepanjang masa bahawa cara yang kita gunakan itu cara yang betul; betul dari A hingga Z. Kita ada samadhi, selalu menyoal diri tentang pendekatan atau cara yang kita gunakan, betul atau salah, baik atau tak baik. Buadlah sesuatu dengan cara yang betul. Ini paling penting. Orang bijak mengutamakan cara atau kaedah yang betul, bukan mengharapkan hasil kerana hasil itu tetap ada. Hukum karma, berbuad apa, terimalah balasan itu. Sama ada kita mengharapkan balasan atau tidak, kita tetap terimanya. Yang penting cara yang betul. Amalan keagamaan yang diwarisi generasi dahulu belum tentu betul. Berusahalah perbetulkannya supaya balasan karma pun betul (baik).

Sekarang kita melakukan amalan buad di rumah. Kita mesti buad dengan bijak agar mendapat hasil yang terbaik yang patut diterima oleh manusia. Kita pasti dapat sekiranya kita bijak dalam segala tindakan. Jangan ikutkan nafsu, mengharapkan balasan atau hasil begini atau begitu. Apabila melakukan sesuatu perkara, betul dengan hukum semulajadi, hasilnya akan keluar dengan sendiri. Usahlah “membebel” seperti ibu ayam gila. Nanti minda hilang tumpuan. Misalnya, kita beli loteri. Usahlah memanaskan kepala dengan berangan-angan. Sampai hari cabutan, pergilah tengok. Kena atau tidak tahulah sendiri. Sesetengah orang tidak begitu. Beli loteri untuk jadi gila. Duduk berangan, berdiri berangan, tidur berangan. Sebelum hari cabutan, otak sudah miring.

Kehidupan kita mesti dipimpin paññâ. Jangan mengabaikan paññâ, malah mesti membangunkannya setiap masa. Cara membangunkan paññâ adalah dengan berfikir perkara yang baik-baik (berfikiran positif), melakukan perkara baik-baik dan bercakap perkara yang baik-baik sepanjang masa. Hendak memulakan kerja, mesti ada paññâ dalam bidang tersebut, sedang melakukan kerja, mesti ada paññâ dalam kaedah-kaedah atau cara-cara membuat pekerjaan berkenaan dan apabila menerima hasil juga mesti ada paññâ - simpan hasil tersebut dengan baik-baik. Kalau hendak menggunakan hasilnya, mesti ada paññâ juga, iaitu bermurah hati berkongsi dengan jiran tetangga. Kalau hendak menderma, berbuadlah dengan paññâ. Maksudnya hidup sebagai garavas yang ada akal fikiran. Jangan biarkan nafsu syaitan mencelah ke dalam kehidupan kita.


Amalan Buad di Rumah Dapat Hasil Yang Lumayan

Buad di rumah, kemudian menjadi Phra Arahan. Setelah menjadi Phra Arahan, amalan buad selesai - bererti setelah menjadi Phra Arahan kita tak perlu buad lagi. Phroma-chan tidak perlu diamalkan lagi. Tetapi sekarang kita belum Arahan, oleh itu mesti mengamalkan buad sepenuh hati di rumah. Wanita tidak usah kecewa kerana tidak dapat buad di wat. Buad di rumah kalau diamalkan dengan betul seperti yang telah diterangkan, dapat mencapai tahap Phra Arahan.

Buad di rumah mesti sempurna dengan dhamma 5 perkara, Saddha, Viriya, Sati, Samadhi dan Paññâ, barulah sempurna matlamatnya. Saddha ada keyakinan kepada dhamma yang diamalkan dan ada keyakinan kepada kemampuan sendiri. Viriya ialah keberanian dan ketekunan. Kita mesti bangga dengan pengamalan kita. Sati bererti selalu menjaga minda agar tidak melakukan kesilapan ketika berlaku phassa mata, telinga, hidung, lidah dan hati. Samadhi pula bermakna ada nibbana sebagai matlamat. Paññâ bermaksud ada pengetahuan yang betul tentang kebenaran. Pengetahuan yang betul ialah pengetahuan jenis yang tiada “diri aku” dan “milik aku”.

Buad di wat, atau buad di hutan belantara kalau tersalah cara akan menjadi satu kebodohan dan kesusahan berbanding buad di rumah. Jaga baik-baik. Kalau ada kesungguhan dan berhati-hati dalam segala tindakan, buad di rumah lebih baik daripada buad di wat atau di hutan. Mereka yang mengamalkan kammatthan (kammatthana) dengan disiplin yang ketat di hutan atau di wat, juga sentiasa mengawasi saddha, viriya, sati, samadhi dan paññâ agar berfungsi dengan baik dalam pengamalan tersebut.

Kalau dapat dilakukan dengan sempurna, buad di rumah lebih membanggakan daripada buad di wat. Sebenarnya buad di mana-mana pun boleh kerana amalan buad itu terletak di hati masing-masing, bukan terletak di wat, rumah atau hutan belantara. Amalan buad juga tidak membezakan masa dan waktu. Kita boleh buad setiap masa dan setiap waktu yang kita suka. Semuanya akan menghasilkan kebaikan (anisong). Satu lagi kelebihan buad di rumah ialah kita melakukan amalan buad untuk diri kita sahaja. Kita tak ada "kewajipan" untuk mengajar orang lain. Sedangkan buad di wat (jadi Phra), selain mengamalkan dhamma-vinaya untuk diri sendir, biksu ada "kewajipan" mengajar orang lain. Biksu yang tidak menunaikan kewajipan ini dianggap sebagai biksu yang tidak bertanggungjawab.

Banpacha (2) Hukuman

(Terjemahan Karya Buddhadasa Bhikhu - Suan Mokkha Palaram)




Banpacha - Hukuman


Ajaran Buddha yang terasa janggal dan kurang diberikan perhatian ialah Maha Suññatâ-Sutta, Uparipannasa Macchima-Nikaya, yang berbunyi:

“Ananda! Kita tak akan lakukan ke atas anda sekalian dengan cermat dan berhati-hati seperti tukang tembikar membentuk tembikar yang masih basah, masih mentah. Ananda! Kita akan menghimpit dan menghimpit berulang kali tanpa henti. Ananda! Kita akan tunjukkan kesalahan demi kesalahan sepanjang masa. Siapa ada teras, dia dapat bertahan!”

Berkenaan mengambil makanan seperti memakan daging anak sendiri di padang pasir ada dalam Macchima-Nikaya juga. Perumpamaan ini mengisahkan sepasang suami isteri dan seorang anak kecil dalam perjalanan jauh menyeberangi padang pasir. Mereka tersesat dan tidak dapat keluar dari padang pasir beberapa hari. Bekalan makanan juga habis. Cuaca buruk di padang pasir menyebabkan anak kecil meninggal dunia. Suami isteri yang kehabisan makanan itu tiada pilihan lain untuk terus hidup dan keluar dari padang pasir, melainkan terpaksa makan daging anak sendiri. Bolehkah makan daging anak sendiri dengan penuh selera? Pastinya sebak di dada tak terhingga, air mata pilu berlinangan di pipi. Namun, demi meneruskan hidup untuk pulang ke rumah, daging anak terpaksa ditelan juga. Sekarang, adakah kita (biksu) makan dengan perasaan begini? Selalunya kita makan dengan riang-ria sambil bergurau senda. Kalau begini keadaannya, mustahil kita dapat makan seperti makan daging anak sendiri di padang pasir, melainkan makan seperti orang biasa (gharavas) atau kita menjadi gharavas tanpa sedar.

Manakala yang dikatakan makan seperti minyak yang digunakan untuk menitis roda kereta lembu ialah makan sedikit atau sekadar mencukupi sahaja. Sedikit minyak dititis ke roda sudah memadai untuk melicinkan pusingannya. Kita makan pun sama. Kita makan sekadar untuk menghilangkan lapar bukan kerana selera atau sedap. Dalam Kitab Visuddhi-Magga ada diterangkan bahawa kita makan apabila hampir kenyang, mungkin tinggal 4-5 suap lagi, kita berhenti dan minum air supaya kenyang. Makan begini sudah mencukupi bagi biksu yang mengamalkan brahma-cariya atau samadhi-bhavana.

Jadi, sekurang-kurangnya kita ada 3 perkara berkaitan menerima makanan dan cara makan yang harus diawasi, iaitu menerima makanan ialah hak bukan tugas - mesti mengucapkan terima kasih kepada Buddha dahulu sebelum makan; makan seperti makan daging anak sendiri di padang pasir; dan makan seperti minyak yang digunakan untuk menitis roda kereta lembu.

Semua biksu mesti berhati-hati. Sewaktu pergi mengambil makanan (pindapata) biksu mesti senyap, bebas daripada percakapan dan sentiasa beringat bahawa kita sedang pergi mengambil “hak” kita. Kita akan menggunakan “hak” tersebut dengan betul agar tidak bertukar menjadi “hutang”. Ketika kita menerima makanan, kita mesti melihat makanan tersebut, individu yang memberi dan diri kita sendiri sebagai elemen semata-mata. Perkara ini penting untuk mengelakkan timbul “hawa nafsu” ke atas individu yang memberi makanan atau perasaan kecewa kerana makanan yang diterima tidak memuaskan hati. Ketika balik, kita juga mesti beringat bahawa yang dibawa balik itu hanya elemen. Selain itu, kalau timbul idea bernas dalam perjalanan, jangan lupa mencatatkannya apabila sampai di wat. Kita mesti melakukan perkara begini setiap kali pergi mengambil makanan.

Kita akan menghimpit dan menghimpit berulang kali tanpa henti. Siapa ada teras, dia dapat bertahan! Pernahkah kita memikirkan pernyataan di atas secara mendalam? Maksudnya, Buddha menggunakan nyiru atau raga berlubang yang keras untuk menapis. Siapa ada teras atau kekuatan dapat bertahan, dan siapa lemah akan musnah. Oleh itu kita mesti ada perkara yang dipanggil teras agar dapat bertahan. Perkara yang dimaksudkan teras itu ialah kekuatan, ketekunan dan kesabaran. Siapa yang tidak ada teras akan musnah dan ranap.

Sekiranya kumpulan kita, Persatuan Sangha, masyarakat umum, kumpulan minoriti dan lain-lain mengamalkan konsep di atas, pasti akan lebih baik. Semua pihak harus menerima perubahan secara drastik Tetapi masalahnya kita hendak mengambil Buddha dari mana untuk melatih kita; menghimpit dan menghimpit tanpa henti dan menunjukkan kesalahan demi kesalahan? Bukankah kita selalu mengatakan Buddha sudah parinibbana sejak lebih 2500 tahun dahulu? Kalau Buddha masih ada pun ada di India. Kita di sini hendak ambil Buddha dari mana untuk menunjukkan kesalahan demi kesalahan serta menghimpit dan menghimpit tanpa henti seperti yang dijelaskan kepada Phra Ananda (Phra Anon)? Apa akan terjadi sekira Buddha masih ada untuk melatih kita? Dan apa pula akan terjadi kalau Buddha sudah tak ada untuk melatih kita?

Kita mesti berfikir secara mendalam dan menghalusi sikap sendiri. Sekiranya sikap kita belum cukup baik (pemikiran, pertuturan dan perlakuan), kita harus berusaha mencari Buddha untuk melatih kita - untuk membentuk tabiat buruk kita agar tertinggal teras sahaja, manakala kulit yang reput tertanggal semuanya. Apabila kita melatih diri kita menjadi teras, kita juga akan mendapat hasil yang teras juga iaitu magga- phala - nibbana. Apabila kita melatih diri kita menjadi kulit, kita akan menerima hasil yang kulit-kulit - kulit kering atau kulit reput terpulang kepada kita. Beginilah maksud teras. Kalau kita menjadi teras, kita akan dapat hasil teras. Oleh demikian kita ada sebab untuk berbangga sekiranya ada Buddha sentiasa menghimpit dan menghimpit serta menunjukkan kesalahan demi kesalahan kepada kita tanpa henti.

Persoalannya, kita hendak mengambil Buddha dari mana untuk memimpin, mengarah dan menghimpit kita? Sebenarnya, Buddha yang tulen, yang betul tidak berangkat atau hilang ke mana-mana. Buktinya dapat kita lihat dalam 2 dhamma berikut.

Pertama: “Siapa nampak dhamma, dia nampak tathagata(Buddha); siapa nampak tathagata(Buddha), dia nampak dhamma!”

Orang yang tidak nampak dhamma tidak dikatakan nampak tathagata - walaupun sudah memegang jivorn Buddha tetapi belum dikatakan nampak Buddha.
Kedua, pesanan Buddha semasa hendak parinibbana, iaitu: “Dhamma-Vinaya yang telah ditetapkan, telah diterangkan akan jadi pengganti kita (Buddha) selepas kita meninggal pergi!”

Maksudnya tubuh badan meninggal pergi tetapi “Buddha yang tulen” masih ada iaitu dhamma-vinaya. Tubuh badan merupakan luaran, walaupun telah nampak tetapi tidak dikatakan nampak tathagata. Manakala Buddha yang tulen, yang betul dan yang sebenar ialah dhamma-vinaya seperti ungkapan Buddha, “Nampak dhamma adalah nampak kita, nampak kita adalah nampak dhamma.” Oleh itu kita masih ada Buddha yang sebenar untuk melatih kita; menghimpit dan menghimpit, menunjukkan kesalahan demi kesalahan tanpa henti, serta membuatkan kita tinggal teras sahaja.

Dhamma-vinaya ialah Buddha yang akan memimpin kita. Sekiranya kita masih bersikap buruk, bermakna kita tiada pemimpin (Buddha). Betapa kasihannya orang yang tiada Buddha sebagai pemimpin. Berusahalah agar kita ada Buddha sebagai pemimpin yang sentiasa melatih kita sepanjang masa.

Hiri-Ottappa iaitu perasaan malu dan perasaan takut itulah dapat membantu kita. Hiri-Ottappa juga merupakan alat yang akan menolong kita mendapatkan Buddha yang sebenar untuk melatih kita setiap masa. Apabila kita tidak ada hiri-ottappa, kita akan jadi individu yang bersikap tidak baik. Oleh itu hiri-ottappa sangat mustahak.

Sekarang cuba kita melihat ke dalam diri kita. Adakah perkara yang sedang kita lakukan sekarang ini betul atau tidak. Sekiranya Buddha berangkat datang dan melihat perkara yang sedang kita lakukan, adakah Buddha akan terima perkara itu sebagai agama beliau? Dan apabila melihat perlakuan kita, adakah kita akan diterima sebagai murid beliau? Fikirlah masak-masak. Seandainya kita tidak diterima masuk ke dalam agama beliau, ia merupakan satu perkara yang amat sedih sekali.

Gunakanlah akal. Kita sedang berfikir tentang apa, mengigau tentang apa, ada kemahuan yang keras terhadap apa, kita sendirilah yang akan menentukannya. Kita sendiri yang akan memeriksanya. Siapa yang ada teras, dia dapat bertahan. Bahagian yang bukan teras; yang palsu dan tipu cepat-cepatlah ditinggalkan. Walaupun bahagian tersebut disukai oleh masyarakat umum dan merupakan punca kepada kekayaan, kehormatan, dan kenamaan, kita mesti tinggalkannya. Kita mesti memikirkan Tri-Ratana sebagaimana yang kita lafazkan setiap hari, “Serahkan tubuh dan jiwa raga ini kepada Buddha, Dhamma dan Sangha dan rela menjadi seperti orang suruhan atau hamba kepada Tri-Ratana!” Oleh itu jangan kita bertindak seperti penderhaka!

“Buddhas-sahasami-Daso” bermaksud menjadi hamba kepada Buddha. (Menjadi hamba kepada Dhamma dan Sangha juga dilafazkan). Setelah melafazkan ikrar untuk menjadi hamba (mematuhi dhamma-vinaya) kepada Buddha, Dhamma dan Sangha, malangnya, hati kita tidak setia. Kita membelot dan menderhaka. Kita mencari peluang menggunakan kebesaran Buddha, Dhamma dan Sangha untuk kepentingan sendiri. Kita mengambil kesempatan atas kepercayaan masyarakat kepada Buddha, Dhamma dan Sangha untuk mengumpul kekayaan, mencari keseronokan, menikmati kemewahan. Sekiranya terjadi begini, kita bukan sekadar dihimpit dan ditunjukkan kesalahan tetapi “dibunuh.” Buddha akan "membunuh" sebagaimana diperkatakan di dalam Kesi-Sutta.
Semasa berbual dengan pengembala (pelatih) kuda, Buddha mengatakan beliau juga akan membunuh kuda beliau sekiranya tidak dapat dilatih. Maksudnya, sekiranya gagal dilatih, Buddha akan membunuh, iaitu meninggalkannya tanpa mempedulikannya lagi. Keadaan begini lebih teruk daripada kesalahan parajika (parajik) kerana kesalahan parajika apabila telah keluar dari biksu, masih boleh mengamalkan dhamma sehingga mencapai magga-phala-nibbana. Tetapi orang yang telah “dibunuh” oleh Buddha dalam pengertian dhamma, bermakna habis peluang - jadi biksu atau jadi orang biasa (gharavas) atau jadi apa pun semuanya tiada harapan lagi. Oleh itu, kita mesti berhati-hati, sabar, tekun dan sanggup berkorban agar tidak lalai, bersikap buruk sehingga sanggup mengambil kesempatan menggunakan kehormatan Buddha, Dhamma dan Sangha untuk kepentingan sendiri. Biksu yang bersikap begini dianggap biksu penipu, degil, pembelot atau penderhaka yang tidak boleh diajar dan akan “dibunuh” oleh Buddha. Maka jadilah orang yang habis peluang dan tiada harapan lagi!
"Biksu yang "dibunuh" oleh Buddha lebih keji daripada biksu parajika."

Kita mesti selalu memeriksa dan meneliti diri sendiri agar pemikiran, pertuturan dan perlakuan kita tidak bercanggah dengan dhamma-vinaya yang telah ditetapkan Buddha. Senantiasa mengawal dan mengawasi diri setiap detik supaya tidak melakukan kesalahan secara sengaja atau tidak sengaja. Kita mesti melatih diri sebagaimana yang dilakukan oleh Buddha iaitu menghimpit dan menghimpit tanpa henti dan menunjukkan kesalahan demi kesalahan setiap masa sehingga tertinggal teras sahaja.

Akhirnya kita menjadi teras, menjadi teras seluruh rohani dan jasmani iaitu magga-phala-nibbana; diri kita, rohani dan jasmani merupakan magga-phala-nibbana. Brahma-cariya kita selesai. Penyebaran agama Buddha kita pun berhasil kerana diri kita yang menjadi magga-phala-nibbana itulah penyebar agama yang terbaik, tanpa memerlukan suara atau percakapan. Penyebaran agama kita sebenarnya kekurangan daripada segi ini. Penguasaan bahasa penting dalam penyebaran agama, tetapi kalau perkara yang hendak disebarkan itu tidak ada, iaitu tiada dhamma, penyebaran agama umpama angin kosong. Penguasaan bahasa kita tidak ada gunanya. Oleh itu, apabila hendak mengajar atau menyebarkan agama, yang utama mesti difikirkan ialah “intan berlian” yang hendak diberikan kepada mereka, bukannya cara kita memberi. Cara memberi tidak penting. Cara lisan pun boleh, cara bisu atau bahasa isyarat pun boleh, atau bahasa badan pun boleh. Perkara yang paling penting ialah “intan berlian” atau “dhamma tulen” yang akan kita berikan itu. Kalau kita pentingkan yang tulen, maka kita kenalah berusaha mendapatkan yang tulen. Jangan sekadar berpuas hati dengan ada “dhamma” semata-mata kerana kita akan terpengaruh dengan dhamma popular yang disukai ramai walaupun tidak tulen. Dhamma popular seberapa banyak disebarkan dan diamalkan, tetapi hasilnya kosong, kecuali perkara remeh temeh yang berulang-ulang. Sebab itulah penganut agama Buddha tidak ada kemajuan mental dan fizikal kerana mengamalkan dhamma popular yang bukan warisan daripada Buddha.

Kenapakah penyebaran agama Buddha (Theravada Thai) di luar negara tidak berjaya? Kerana tiada dhamma tulen yang disebarkan? Kita selalu memberi alasan bahawa kita tidak menguasai Bahasa Inggeris, Bahasa Jerman, Bahasa Perancis dan bahasa Eropah yang lain. Sebab itulah kita kurang berjaya. Kita langsung tidak berfikir tentang ketulenan dhamma yang kita sebarkan. Cuba kita imbas kembali tentang Raja Asoka dan kumpulan Micchannari yang berkerjasama dengan biksu kanan (mahathera) ketika itu untuk menyebarkan agama Buddha ke luar India. Mereka sampai ke Mesir, Syria, dan beberapa tempat lain. Dan yang paling penting mereka sampai ke tempat kita, Suvana-Bhum. Cuba kita fikirkan mereka menggunakan bahasa apa? Orang India bercakap bahasa apa, dan orang Suvana-Bhum bercakap bahasa apa? Kenapa mereka boleh berjaya menyebarkan ajaran Buddha kepada kita? Oleh itu, bahasa bukan halangan kepada dhamma. Kita boleh menjadikan dhamma sebagai bahasa. Maksudnya perbuatan dan perlakuan kita itulah bahasa yang penting untuk mengajar dhamma, bukannya bahasa Inggeris atau bahasa Eropah. Bahasa daripada perbuatan dan perlakuan itulah yang membawa kejayaan penyebaran agama Buddha di Suvana-Bhum.

Orang boleh meniru perbuatan orang lain tanpa berbicara sepatah kata pun. Kita ambil binatang sebagai contoh. Ayam tidak pandai bercakap, tetapi anak ayam pandai meniru ibunya mengais tanah dalam waktu yang singkat. Burung mematuk serangga (makan) di depan anaknya, kemudian anaknya pun pandai mematuk serangga (makan) dalam masa yang pendek. Inilah yang dinamakan “bahasa teladan” iaitu menunjukkan teladan terlebih dahulu, kemudian diikuti orang lain. Bahasa teladan ini lebih penting daripada bahasa lisan, sama ada bahasa kita atau bahasa asing. Renungi diri sendiri. Adakah kita tahu bahasa lisan dengan baik, tetapi bahasa teladan (bahasa dhamma) amat teruk? Kalau begini keadaannya, bahasa lisan itulah yang akan membawa kita tergelincir entah ke mana kerana kita tidak tahu bahasa dhamma - bahasa kebenaran hakiki (paramattha sacca). Orang (penyebar agama) yang tidak tahu kebenaran hakiki tentang dhamma amat berbahaya kepada penganut agama Buddha. Pepatah ada mengatakan jangan jadi seperti ketam mengajar anak berjalan betul. Atau, bapa kencing berdiri, anak kencing berlari.

Oleh itu, mendalami bahasa teladan amat mustahak. Saya percaya biksu semua sedang melakukannya iaitu mengamalkan samadhi-bhavana misalnya Anapana-Sati 16 tahap. Semakin banyak kita mengamalkan samadhi-bhavana, semakin banyak kita tahu bahasa teladan. Sekarang ini orang asing amat berminat dengan samadhi-bhavana, atau vipassana, atau kammatthana (tetapi saya panggil samadhi-bhavana ikut panggilan yang digunakan oleh Buddha). Tetapi persoalannya takut berlaku keadaan yang bercanggah. Maksudnya, orang asing memerlukan yang lain (misalnya samadhi-bhavana), kita pula memberikan yang lain (misalnya ajaran popular); sampai bila pun tidak akan berjaya. Malah hasilnya amat memilukan, iaitu orang ketawa dan mengejek kita. Mahir bahasa orang beratus-ratus tan pun tidak ada gunanya kalau tahu bahasa teladan (bahasa dhamma) cuma 2 - 3 cupak.

Semua yang saya perkatakan ini merupakan pendapat saya, tidak menjamin kebenarannya (penyebaran agama di luar negara) seratus peratus. Tetapi saya berharap anda semua berfikirlah secara mendalam bahawa dhamma yang ada pada rohani dan jasmani kita yang dinamakan bahasa teladan itu amat penting. Oleh itu, berusahalah agar bahasa teladan kita seimbang dengan bahasa percakapan.

Minta maaf kerana saya merasakan kebanyakan biksu melepaskan diri hanyut mengikut keadaan - mengutamakan keseronokan, kegembiraan, dan kepentingan diri seolah-olah tiada Buddha sedang melatih mereka; menghimpit dan terus menghimpit dan menunjukkan kesalahan demi kesalahan tanpa henti agar yang tertinggal ialah teras sahaja. Perkara ini merupakan tapak penting. Sekiranya tapak telah musnah, bagaimana hendak meletakkan perkara lain, samadhi-bhavana umpamanya? Biksu semua jangan menjadikan perkara penting sebagai barang mainan. Jangan menjadikan dhamma sebagai perkara untuk seronok-seronok.

Sekarang ini ramai biksu yang lemah dalam hal mempelajari dhamma (pariyat-dhamma). Mereka belajar dhamma seperti orang mengigau. Malah tidak kurang yang tidak tahu dhamma langsung biarpun sudah lama jadi biksu. Pengamalan dhamma (patibat-dhamma) lagi teruk. Kita lebih suka hanyut mengikut arus kiles dan tanha. Inilah punca kehancuran. Fikirkanlah harapan penganut agama Buddha yang ada pada kita. Jangan mengecewakan mereka, malah kepada diri sendiri agar tidak menyesal kemudian hari.

Ingat! Kita secara sukarela menyerahkan jiwa raga untuk menjadi hamba kepada Buddha, Dhamma dan Sangha. Jangan jadi pembelot atau penderhaka. Sentiasalah berwaspada, mengawal tingkah laku dan mengamalkan dhamma-vinaya dengan sempurna.


Meninggalkan Alam Biksu (Thai: La Sikkha)

Kita mesti faham bahawa meninggalkan sikkha bukan bererti meninggalkan semua. Kita cuma meninggalkan alam biksu, atau memulangkan perkara yang berkaitan dengan biksu. Kita tidak meninggalkan Buddha, Dhamma dan Sangha. Kita tidak memulangkan agama, iaitu Buddha, Dhamma dan Sangha.

Perkataan “sikkhang” bermaksud meninggalkan sikkha seperti biksu. Selepas ini kita akan melakukan sikkha seperti gharavas pula. Oleh itu kita mesti bertenang agar hati tenteram sebelum melafazkan ungkapan meninggalkan sikkha. Ketenteraman hati penting supaya sikkha kita berjalan dengan lancar; dari sikkha biksu bertukar kepada sikkha gharavas. Sikkha bererti latihan. Kalau dulu kita menjalani latihan sebagai biksu, selepas ini kita akan menjalani latihan sebagai gharavas. Kita mesti jadi gharavas yang lebih baik daripada sebelum jadi biksu dulu.


“Lepaskan Pegangan, Bebaskan Diri, Nikmati Nibbana”

Banpacha (1) Buad Phra / Buad Samanera

(Terjemahan Karya Buddhadasa Bhikhu - Suan Mokkha Palaram)


PABBAJJA (THAI: BANPACHA)


Apabila tiba musim buad phra, ramai penganut agama Buddha, terutamanya masyarakat Thai akan buad anak cucu atau saudara mara mereka. Perkara buad ini sekiranya tidak dilakukan dengan betul, akan jadi satu kebodohan. Apakan tidak kerana ibu bapa dan anak yang hendak buad, kedua-duanya tidak tahu maksud buad yang sebenar. Sebab itulah kita dapat melihat di mana-mana pun terdapat phra atau nen yang berjalan tunggang-langgang di dalam wat kerana tak tahu maksud dan matlamat buad yang sebenar.

Bagi ibu bapa yang sedang bersiap sedia untuk buad anak atau cucu, tentulah telah mengumpulkan duit ratusan atau ribuan ringgit agar upacara buad dapat berlangsung dengan meriah. Mereka tidak tahu sekiranya duit yang disediakan itu ribuan ringgit, maka kebodohan yang ada pada mereka juga ribuan kali. Amalan buad tidak memerlukan duit yang banyak. Malah konsep buad yang sebenar tidak memerlukan duit langsung. Semakin banyak membelanjakan duit, semakin banyak terpesong. Ada sesetengah orang menghabiskan puluhan ribu ringgit dalam upacara buad anak. Diadakan kenduri 5 hingga 6 hari, meriah tak terkira, maka bodohnya pun puluhan ribu kali. Amalan buad dalam agama Buddha bukan untuk bermegah-megah, berseronok-seronok, berpesta-pesta, atau bermabuk-mabuk. Amalan buad yang betul, dengar baik-baik, amalan buad yang betul tidak membazirkan duit. Semakin banyak membazirkan duit, semakin menjadi bukan amalan buad yang betul.

Sesiapa yang hendak buad anak, buad cucu, sediakan duit puluhan ribu, maka puluhan ribu juga kebodohan yang disediakan. Tolonglah faham baik-baik maksud buad yang sebenar supaya kita tidak melakukan perkara terpesong yang memalukan bangsa dan agama sendiri. Perlukah disedikan ribuan ringgit? Patutkah disembelih 4 ekor babi, 1 ekor lembu atau 1 ekor kerbau? Kalau dilakukan penyembelihan begitu, bukan buad namanya.

Apakah yang dikatakan buad?

(A) Kita lihat makna perkataan buad dulu. Buad dalam bahasa Pali pabbajja. Orang yang sudah buad dinamakan pabbajjita. Pabbajja berpasangan dengan pabbajjita. Amalan buad dinamakan pabbajja (Thai: banpacha). Orang yang sudah buad dinamakan pabbajjita atau pabbajjit (Thai: banpachit).

Sekarang apakah maksud pabbajja atau pabbajjito? Istilah ini bermaksud “pergi semua” atau “tinggalkan semua”. Pergi semua atau tinggalkan semua dari apa? Pergi semua dan tinggalkan semua daripada kehidupan berkeluarga dan segala masalah di dunia. Atau dalam pengertian yang lain, pergi semua dan tinggalkan semua daripada perkara yang menjadi halangan kepada kemajuan mental atau minda (citta) ke tahap tinggi.
Kita memerlukan kemajuan minda. Hidup berkeluarga atau berumah tangga merupakan halangan kepada kemajuan minda. Untuk melepasi halangan sedemikian, orang terpaksa keluar buad. Kesimpulannya, “pergi semua” bererti pergi daripada halangan yang terdapat di rumah. Atau “tinggalkan semua” halangan yang ada di dalam keluarga. Begitulah makna perkataan buad dalam konteks bahasa.

(B) Sekarang kita cuba melihat perkataan buad dalam konteks yang lebih luas agar dapat memahami maksudnya dengan lebih mendalam. Kini buad ada 2 jenis. Jenis pertama, “buad sempurna” mengikut konsep buad yang sebenar. Jenis kedua, “buad sementara”. Kedua-dua jenis ini bergantung kepada pilihan hati masing-masing.

Buad sempurna mengikut konsep pabbajja merupakan perkara yang akan dibincangkan secara langsung di sini. Manakala buad sementara akan disentuh secara ringkas atau secara tidak langsung. Sekiranya kita memahami maksud buad sempurna dengan betul, kita juga akan memahami maksud buad sementara. Kerana kita tidak memahami maksud buad sempurna dengan betul, maka maksud buad sementara juga tidak dapat kita fahami. Oleh sebab kita tak fahamilah, maka hasil daripada amalan buad pun tak ada. Perbelanjaan mencecah ribuan atau puluhan ribu ringgit. Buad phra 5 hari, 7 hari atau 15 hari, kemudian keluar (la sikha) - menggalas kebodohan balik ke rumah. Oleh sebab sekarang ini terdapat amalan buad yang tidak mendapat apa-apa kebaikan, kecuali pembaziran dan kebodohan maka akan diterangkan tujuan buad yang sebenar (sempurna).

Antara tujuan buad yang sebenar adalah seperti berikut:

(1) Pertama, buad merupakan amalan suci yang bermaksud pergi menyelidiki atau mencari perkara yang menjadi kuson atau kebaikan. Ini sebenarnya meminjam kata-kata Buddha. Sewaktu Buddha hendak keluar buad, beliau ada mengatakan bahawa beliau hidup di dunia tanpa mengenali perkara yang menjadi kelahiran, ketuaan, kesakitan dan kematian; malahan sesat di dalam keempat-empat perkara tersebut. Keadaan ini membuatkan orang biasa atau gharavas (berumah tangga) berada dalam kesempitan dan penuh kotoran. Oleh itu, beliau keluar buad untuk mencari apa yang menjadi kuson (kebaikan jenis yang membenihkan paññâ). Beginilah yang diterangkan Buddha, iaitu keluar buad untuk mencapai apa yang menjadi kebaikan. Oleh itu, buad bermaksud pergi mencari kebaikan oleh orang yang merasakan tinggal di rumah bererti tinggal di dalam “kebodohan dan kesesatan”. Semua yang ada di rumah bukan kebaikan (akusala) kerana terpaksa bercampur dengan “kebodohan dan kesesatan”. Lantas, beliau keluar buad adalah untuk mencari kuson (kusala) yang sebenar.

Setelah memahami maksud buad mengikut penjelasan Buddha, kita dapat mengatakan bahawa buad merupakan pergi mencari, atau menyelidiki perkara yang menjadi kebaikan yang tidak ada di dalam kehidupan berkeluarga. Buddha juga ada menjelaskan berkenaan asal-usul buad yang diamalkan sejak dahulu - juga untuk mencari kebaikan kerana bosan dengan kehidupan berkeluarga yang tidak berubah-ubah. Anda sendiri pasti faham maksud tidak berubah-ubah. Tidak berubah-ubah bermaksud tidak ada apa-apa yang berubah menjadi lebih baik. Semuanya sama, kekal tanpa sebarang perkara yang kelihatan lebih baik. Mereka (orang dahulu) keluar buad mencari kebaikan. Akhirnya mereka jumpa perkara berkaitan dengan amalan rohani - kebahagiaan bentuk baru, dan pengetahuan baru. Dari situ mereka mencipta satu konsep “buad” untuk mendidik generasi akan datang supaya dapat menjadi manusia yang baik. Tetapi kemajuannya tidak mencapai ke tahap yang boleh dikatakan puncak kebaikan. Pencapaian tertingginya sekadar dilahirkan di dunia Phrom (Brahma-Loka). Maksudnya, mereka mengamalkan pembangunan minda, iaitu metta-karuna-mudita-upekkha (Brahma-vihara). Mereka ini tidak mencampuri duniawi yang penuh dengan perasaan memikat hati atau kâmarom. Apabila mati mereka pergi dunia Phrom. Maksudnya mereka buang dunia ini untuk pergi dunia Phrom. Kesimpulannya, manusia dahulu juga keluar buad untuk mencari kebaikan sebagaimana dilakukan oleh Buddha. Bezanya, mereka sekadar mencapai tahap Phrom, sedangkan Buddha mencapai Nibbana (Thai: Nippan).

(2) Kedua, buad bererti pergi menjalani kehidupan secara ala kadar atau kehidupan tanpa sebarang harta. Bagi mereka yang buad sementara, misalnya 3 bulan adalah untuk melatih diri atau sebagai percubaan. Sesiapa yang buad 3 bulan atau kurang cubalah memahami betul-betul kalau tidak mahu menjadi bodoh. Anggaplah buad sementara anda itu adalah untuk melatih diri atau mencuba kehidupan ala kadar, tidak pakai duit dan tidak memiliki sebarang kekayaan umpama peminta sedekah. Boleh tak anda menjalani kehidupan begini? Kenapa takut sangat? Cuba dulu baru tahu.

Pabbajjit semua jenis sama ada dalam agama Buddha atau luar agama Buddha akan menjalani kehidupan ala kadar umpama peminta sedekah. Mereka hidup dengan apa-apa sahaja jenis makanan yang ada. Manakala mereka yang lebih teruk adalah mereka yang “memilih” untuk tinggal di hutan belantara. Mereka hanya makan pucuk kayu, buah-buahan, akar kayu, atau biji teratai. Semuanya terpulang kepada musim. Musim apa makan apa. Beginilah yang dikatakan kehidupan ala kadar. Makanan, pakaian, tempat tinggal dan ubat-ubatan semuanya ala kadar kerana kehidupan pabbajjit bererti kehidupan tanpa sebarang harta. Biksu sepatutnya memiliki jivorn (kain kuning) dan bart (batil) sahaja. Ibarat burung yang ada sayap sebagai “harta.” Burung tidak memerlukan kekayaan dan rumah, melainkan sayap sebagai “harta.” Biksu harus menjadi seperti burung - tidak memerlukan sebarang kekayaan melainkan jivorn dan bart sahaja sebagai harta.

Kehidupan serba kekurangan amat diperlukan dalam kehidupan suci yang dipanggil Phroma-chan (Brahma-cariya) untuk mencapai nirvana (nibbana). Kehidupan ala kadar dan tidak bermegah amat baik. Sekiranya tidak berfikir untuk hidup ala kadar, ia akan berfikir untuk hidup bermegah. Hidup ala kadar tanpa harta dapat menggelakkan sikap mengumpul harta. Sekiranya biksu hidup bermegah dan mengumpul harta kekayaan, kehidupan biksu tersebut bukan lagi kehidupan pabbajjit. Tidak perlu diberitahu oleh sesiapa, ditegur atau dimaki oleh sesiapa, kehidupan begitu bukan kehidupan pabbajjit kerana tidak mengikut peraturan pabbajja.

(3) Ketiga, buad merupakan perbuadan melatih diri, memaksa hati atau mengawal pancaindera (deria). Maksudnya pergi buad bererti pergi mengamalkan rukun moral (sila), disiplin (vinaya), latihan (sikkha) dan sebagainya. Semuanya untuk melatih diri, memaksa minda dan mengawal perasaan supaya tidak terpengaruh oleh kiles (kilesa) dan nafsu (tanha). Selain daripada itu, pancaindera, iaitu mata, telinga, hidung, lidah dan tubuh mesti dikawal dan dijaga agar tidak melakukan kejahatan. Deria hati juga harus diawasi. Fikiran kotor harus dibersihkan. Selain itu, perkara yang menjadi kesukaan atau kegemaran sebelum ini - gambar, suara, bau, rasa, objek sentuhan dan perasaan hati terpaksa dikorbankan.

Manusia yang tinggal di “dunia kâma-vacara” ini tentulah dikuasai kâmarom (perasaan yang memikat hati), perkara yang berkaitan dengan jantina, atau perkara yang disayangi. Sesiapa yang menjadi pabbajjit, mesti mengorbankan semua perkara tersebut di atas. Bukan perkara senang. Oleh itu mereka mesti memaksa hati dan perasaan. Mereka mesti mengawal deria agar tidak terpengaruh dengan perasaan yang memikat hati. Mengawal deria amat penting kerana setelah jadi biksu pun, “perhubungan” deria dengan perkara luar masih ada. Mata masih melihat gambar, telinga masih mendengar suara, hidung masih menghidu bau, lidah masih mengecap rasa, tubuh masih menyentuh objek. “Perhubungan” deria ini kadang-kadang ada kaitan dengan jantina bertentangan. Perkara yang berkaitan dengan jantina bertentangan atau perempuan sukar dielakkan. Biksu atau samanera mesti pergi mengambil makanan (pindapata) yang kebanyakannya “diberikan” oleh perempuan. Perkara berkaitan perempuan merupakan cabaran yang besar terhadap biksu dan samanera. Ramai yang terpaksa “berundur” dari alam pabbajjit kerana hati tertewas oleh perasaan berkaitan perempuan.

Buad bermakna mengamalkan disiplin (vinaya) kehidupan suci untuk memaksa diri, mengawal deria dan mendidik minda agar menjauhi perkara duniawi, terutama yang disukai. Bagi biksu atau samanera yang buad sementara, kehidupan suci ini merupakan amalan percubaan untuk melihat kekuatan diri sama ada mampu melakukannya atau tidak. Kalau boleh melakukannya walaupun tidak lama, faedahnya bukan kecil. Bagi mereka yang buad sempurna, buad lama, perkara ini bukan percubaan, tetapi amalan bersungguh-sungguh.

(4) Keempat, buad atau pabbajja merupakan perjalanan keluar dari dunia dengan selesa. Sesetengah orang kurang faham maksud perjalanan keluar dari dunia. Perjalanan keluar dari dunia bermaksud perjalanan minda. Minda mesti dibebaskan daripada kongkongan keduniaan. Keluar dari dunia bererti keluar daripada kongkongan keduniaan. Biarpun tubuh berada di dunia, tetapi minda bebas daripada dunia - segala masalah dunia tidak dapat mempengaruhi minda.

Jadi biksu merupakan cara yang paling mudah untuk membebaskan minda daripada keduniaan. Biksu tidak ada bebanan dan tanggungan hidup. Kalau ada pun terlalu sedikit. Sebagai perbandingan, apakah perbezaan antara orang yang berjalan tangan kosong dengan orang yang berjalan sambil memikul barang? Tentulah orang yang berjalan tangan kosong amat selesa dalam perjalanannya. Manakala orang yang berjalan sambil memikul barang amat menyusahkan. Oleh itulah dikatakan buad merupakan keselesaan dalam perjalanan keluar dari dunia.

(5) Kelima, buad merupakan peluang untuk mendapatkan perkara tertinggi dalam kehidupan manusia. Buad merupakan peluang mendapatkan perkara terbaik untuk manusia. Apakah perkara terbaik untuk manusia? Perkara ini sukar difahami oleh akal budak-budak atau akal orang biasa. Untuk memahami perkara ini, kita mesti terlebih dahulu memahami tahap minda manusia yang bertingkat-tingkat. Mengikut kitab, ia terbahagi seperti berikut:

(a) Orang biasa yang masih ada perasaan terhadap jantina berlainan, lelaki atau perempuan, dikatakan mempunyai minda (citta) tahap kâma-vacara-bhumi. Minda tahap ini masih bersiar-siar (vacara) di dalam lingkungan perasaan atau fikiran berkaitan jantina semata-mata. Minda begini dinamakan minda “biasa”, sama ada manusia, dewa (devata) atau binatang. Binatang tidak sekuat manusia. Manakala dewa paling teruk kerana cerita dewa kebanyakannya berkaitan dengan keseronokan dan kenikmatan. Makhluk yang ada minda tahap ini dikatakan makhluk biasa kerana tidak ada apa-apa kemuliaan dan tidak ada apa-apa keistimewaan.

(b) Peringkat yang lebih baik merupakan peringkat yang bebas daripada kâmarom, iaitu rupa-vacara-bhumi. Peringkat ini terpengaruh dengan benda yang baik tetapi bukan perasaan ghairah. Kalau ada kebahagiaan merupakan kebahagiaan yang lahir daripada samadhi (konsentrasi/meditasi) yang menjadikan benda atau perkara baik sebagai arom (perasaan). Minda peringkat ini tidak ketagih kâma atau perkara berkaitan jantina. Sesetengah orang, begitu suka ikan laga atau burung merbuk. Orang ini lebih sayangkan ikan dan burungnya daripada anak dan isteri sendiri. Keadaan begini boleh menimbulkan masalah rumah tangga. Suami lebih “suka” dan “sayang” ikan dan burung peliharaan daripada isteri. Perkara ini menunjukkan bahawa “kebendaan semata-mata” yang tidak ada kaitan dengan perasaan berahi pun begitu berkuasa ke atas manusia. Sesetengah Yogi dan Muni terpengaruh dengan kebahagiaan rupa-jhana, iaitu samadhi yang ada benda (rupa-dhamma) sebagai tumpuan. Minda tahap pertama dinamakan kâma-vacara. Minda tahap kedua lebih baik dinamakan rupa-vacara-bhumi, iaitu rupa-dhamma yang suci.

(c) Peringkat yang lebih tinggi ialah peringkat arupa-vacara-bhumi. Minda tahap ini bersiar-siar untuk mencari kebahagiaan di dalam perkara yang bukan kebendaan (arupa-jhana). Orang yang pernah belajar Kelas Dhamma tentu tahu jhana 4, rupa-jhana dan arupa-jhana. Orang yang mencapai tahap arupa-jhana akan sentiasa mencari kebahagiaan di dalam arupa-jhana, misalnya ruang udara tanpa batasan (âkâsânañcâyatana). Dalam bahasa biasa, minda tahap arupa-vacara merupakan minda yang gemar dengan perkara abstrak, umpamanya kebaikan, pahala, pangkat, nama, kehormatan dan sebagainya. Inilah yang dikatakan minda terpengaruh dengan arupa dan nama-dhamma. Ia tentu lebih baik daripada suka dan sayang ikan laga atau burung merbuk.
===============================================================
Maklumat Tambahan
1- Kâma-vacara-bhumi - merangkumi dunia haiwan, neraka, dunia manusia dan dewa (syurga 6 tingkat).
2- Rupa-vacara-bhumi - merupakan dunia rup-phrom 16 tingkat (rupa-brahma-loka).
3- Arupa-cavara-bhumi - merupakan dunia arup-phrom 4 tingkat (arupa-brahma-loka).

Setelah mencapai tahap arupa-vacara-bhumi, bermakna minda sudah tinggi dan tidak akan jatuh ke tahap kâma lagi. Sekiranya naik satu tingkat lagi akan mencapai lokuttara-bhumi; tahap yang tidak ditakluki keduniaan. Perkara berkaitan kâma, rupa atau arupa tidak dapat mempengaruhi minda lokuttara-bhumi. Inilah perkara tertinggi atau terbaik yang manusia perlu dapat.

Amalan buad merupakan peluang manusia mendapatkan perkara terbaik atau termulia iaitu mempunyai minda lokuttata-bhumi atau dipanggil Ariya Bukkhon (Ariya-Puggala). Ariya-Bukkhon terbahagi kepada 4 tingkat, iaitu Phra Sodaban, Phra Sakadagami, Phra Anagami dan Phra Arahan (Arahat). Dalam bahasa yang mudah, buad merupakan peluang terbaik untuk memperolehi kebebasan dan kemerdekaan minda secara mutlak.

Lokuttara-bhumi bermaksud keadaan minda yang bebas dan merdeka daripada duniawi. Perkara duniawi tidak dapat mengongkong minda mereka kerana mereka telah mencapai tahap kebebasan abadi. Pengetahuan mereka ialah “pengetahuan terang” jenis hakiki (paramattha); tiada haiwan, tiada manusia yang lahir atau mati melainkan alam semulajadi (dhamma) yang berubah-ubah mengikut hukum-hukumnya. Minda tidak kenal kematian kerana minda telah mencapai keabadian. Mereka yang menjadi pabbajjit kena fahami betul-betul bahawa mereka berpeluang mencapai perkara termulia yang mampu dicapai oleh manusia.

(6) Keenam, buad bererti “berada di atas kepala orang lain.” Minta maaf kerana terkasar bahasa sedikit. Buad bererti berada di atas kepala orang lain, betul atau tidak, berfikirlah sendiri. Setelah jadi phra atau biksu, terus digolongkan ke dalam manusia mulia, Ariya Song (Ariya-Sangha) yang dihormati makhluk dunia. Ciri-ciri Ariya Song adalah seperti berikut:

Supati-panno: Song yang telah melakukan amalan (dhamma-vinaya) yang baik;

Ucupati-panno: Song yang telah melakukan amalan (dhamma-vinaya) yang betul;

Yayapati-panno: Song yang melakukan amalan (dhamma-vinaya) untuk mengetahui cara-cara menghapuskan kesengsaraan;

Samijipati-panno: Song yang telah melakukan amalan (dhamma-vinaya) yang sesuai;

Yatithang: Song yang dimaksudkan ialah;

Jattari purisa yughani attha purisa puggala: pasangan Ariya-Puggala 4 pasang (8 orang);
A-sa pagavato savakasankho: inilah pengikut (savaka) Buddha;

Ahuneyyo: yang layak menerima (barang) pemujaan yang disediakan;

Pahuneyyo: yang layak menerima (barang) persiapan untuk menyambut kedatangannya;
Takkineyyo: yang layak menerima segala (dana) pemberian;

Anjali karaniyo: yang patut disembah oleh orang ramai;

Anuttarang punya kettang lokasati: yang menjadi sawah pahala (na bun) di

dunia dan tiada sawah pahala lain setanding dengannya.

(4 pasang Ariya Puggala / Ariya Bukhon ialah: Sodapatti-mark = Sodapatti-phon;
Sakadagami-mark = Sakadagami-phon;
Anagami-mark = Anagami-phon;
Arahatta-mark = Arahatta-phon.

Berdasarkan ciri-ciri Ariya Song di atas, wajarlah biksu dikatakan berada di atas kepala orang lain. Setelah jadi biksu, orang terus sembah. Sewaktu belum jadi biksu tak ada orang sembah. Apabila jadi biksu semua orang memberi hormat. Orang muda, orang tua, ibu bapa, tuan besar, menteri, kerabat istana, raja, semuanya memberi sembah, memberi hormat. Betapa tingginya jadi biksu, berada di atas kepala semua orang. Keadaan ini berlaku kerana masyarakat “bermurah hati” menggolongkan semua biksu ke dalam Ariya Song.

( “Bermurah hati” di sini kalau diperhatikan baik-baik sinonim dengan “kurang bijak”. Bukankah kurang bijak apabila dianggap semua biksu bertaraf Ariya Song?)- penterjemah.

===============================================================
Maklumat Tambahan: (Dalam satu Sutta (Kitab Tipitaka) yang diucapkan kepada Paribbajaka Vaccagotra, Buddha mengatakan bahawa:

“Sesiapa yang menyimbah air cuci periuk atau pinggan ke dalam parit yang ada hidupan di dalamnya dengan berfikir bahawa hidupan itu dapat makan sisa makanan tersebut, maka kita mengatakan bahawa perbuadan ini juga merupakan punca datangnya pahala (bun), apatah lagi memberi makan kepada manusia. Tetapi membuat dana (sedekah) kepada mereka yang ada Sila akan mendapat hasil yang banyak. Mereka yang ada Sila ialah mereka yang telah meninggalkan 5 perkara dan memiliki 5 perkara. 5 perkara ditinggalkan ialah nivorn 5: (1) Kamachanda (menggemari perasaan yang memikat hati), (2) Vyapada (berdendam), (3) Thina-middha (malas dan lesu), (4)Uddhacca-kukkucca (fikiran berserabut dan mudah bosan) dan (5) Vicikiccha (ragu-ragu). Manakala 5 perkara dimiliki ialah: (1) ada Sila tahap asekha (tahap Arahan); (2) ada Samadhi tahap asekha (tahap Arahan); (3) ada Paññâ tahap asekha (tahap Arahan); (4) ada Vimutti tahap asekha (tahap Arahan); (5) ada Vimutti-ñâña-dassana tahap asekha (tahap Arahan)!”
(Sutta ini amat mustahak untuk meleraikan kekeliruan tentang “mereka yang ada sila” (pu mi sin) yang dimaksudkan Buddha dengan “mereka yang ada sila” sebagaimana yang kita fahami.) - penterjemah.

Walau bagaimanapun biksu dan samanera yang baru buad jangan ambil mudah dengan penghormatan yang diberikan. Penghormatan itu kalau tersilap, ia akan menggigit. Menjadi biksu akan menjahanamkan diri sendiri sekiranya seseorang itu tidak kenal maksud biksu. Kita memberi barang kepada biksu, kita kena sembah. Kita memberi makanan, kita kena sembah. Apabila biksu beri barang kepada kita, kita pun kena sembah. Apabila kita beri kepada biksu, kita pun kena sembah. Kenapa tidak boleh bergilir memberi sembah. Kita kena sembah tak kira memberi atau menerima. Sepatutnya kalau kita beri barang kepada biksu, biksu kena sembah kita. Tetapi ia tak jadi begitu kerana kita dan biksu berada pada tahap berlainan. Memberi atau menerima, kita saja yang kena sembah.

Cuba renungkan maksud tersirat yang dikatakan jadi biksu bererti berada di atas kepala semua orang. Apakah ciri-ciri mulia untuk berada di atas kepala semua orang. Ciri-cirinya mestilah jadi biksu betul-betul, belajar dhamma dengan betul dan mengamalkan dhamma-vinaya yang betul agar mendapat hasil yang betul (Ariya Song). Inilah sifat mulia yang harus ada pada biksu.

Kalau tak ada ciri-ciri mulia ini, biksu akan jadi penipu, perompak, pencuri dan penyamun yang hidup dengan hasil haramnya. Buddha sendiri pernah mengatakan bahawa orang yang tidak membersihkan kotoran mental atau kiles (kilesa) adalah penyamun dan penipu ibarat pemburu yang menyamar untuk mendekati binatang buruan. Biksu pun kalau tidak mempunyai ciri-ciri biksu yang betul, maka biksu tersebut tak tumpah seperti pemburu yang menyamar untuk mengambil 4 keperluan asas yang diberikan oleh masyarakat. (4 keperluan asas ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan ubat-ubatan). Biksu penipu, perompak, pencuri dan penyamun tidak akan dihormati, tidak perlu disembah dan tidak layak berada di atas kepala orang lain.

Tetapi kalau mengamalkan dhamma-vinaya dengan betul, biksu akan dihormati oleh semua penghuni 3 bhava, iaitu kâma-vacara-bhava, rupa-vacara-bhava dan arupa-vacara-bhava. Penghuni 3 bhava akan memberi sembah kepada biksu yang baik.

(7) Ketujuh, pabbajja atau buad merupakan peluang membuat perkara berfaedah kepada orang lain. Selepas selesai membuat perkara berfaedah untuk diri sendiri, biksu mesti membuat perkara berfaedah kepada orang lain sehingga detik terakhir kehidupan. Semua Phra Arahan walaupun sudah mencapai pembebasan minda yang sempurna, tetapi masih melakukan perkara berfaedah kepada orang lain. Biarpun belum jadi Phra Arahan, biksu harus memikirkan faedah orang lain juga. Biksu boleh membantu orang lain mengikut kemampuan yang ada. Biksu tidak boleh berfikir seperti orang yang cetek akal yang selalu berkata, “tunggu jadi Phra Arahan dulu baru boleh menolong orang lain.” Biksu tak perlu tunggu sampai jadi Phra Arahan. Phra biasa pun boleh tolong orang - tolong sekadar yang mampu. Berapa banyak biksu tahu dhamma ajarlah orang lain sebanyak itu. Yang penting biksu kena ada hati hendak menolong orang. Anggaplah menolong orang lain sebagai satu tanggungjawab yang mesti dilaksanakan dengan sepenuh hati.

Buddha ada mengatakan, “Apabila tiba masa yang sesuai untuk membuat faedah kepada diri sendiri, buadlah bersungguh-sungguh dengan tidak lalai. Apabila tiba masa yang sesuai untuk membuat faedah kepada orang lain, buadlah bersungguh-sungguh dengan tidak lalai. Apabila tiba masa yang sesuai untuk membuat faedah kepada kedua-dua pihak secara serentak, buadlah bersungguh-sungguh dengan tidak lalai.” Inilah yang dikatakan membuat faedah kepada orang lain.

Jadi biksu merupakan peluang membuat faedah kepada orang lain secara meluas dan tanpa batasan. Orang biasa sukar untuk membuat faedah kepada orang lain secara meluas kerana terikat dengan tanggungjawab keluarga. Antara faedah yang dapat dilakukan oleh biksu adalah seperti berikut:

(a) Biksu menjadi pemimpin rohani (viññâna/vinyan) kepada makhluk dunia. Makhluk dunia berada di tempat gelap kerana terkurung di dalam kandang kejahilan (avijja). Biksu atau Ariya-Song membantu makhluk dunia untuk keluar dari kandang tersebut. Inilah yang dimaksudkan menjadi pemimpin rohani. Media massa melaporkan penduduk dunia semakin hari semakin ramai jadi gila. Masalah dunia tanpa sempadan semakin kompleks. Manusia gagal mencari jalan keluar. Ramai terpaksa bunuh diri, bunuh ibu bapa, bunuh anak isteri dan bermacam-macam lagi. Keadaan ini berpunca daripada masalah rohani. Kerana tiada pemimpin rohani, maka manusia gagal cari jalan keluar daripada kegelapan dan kandang kejahilan. Oleh itu, biksu mesti menjadi pemimpin rohani kepada masyarakat.

(b) Biksu berupaya melanjutkan usia agama Buddha agar terus kekal di muka bumi. Agama juga terbentuk daripada gabungan elemen (sankhara). Kalau elemen-elemennya tak ada, agama akan lenyap. Oleh itu agama memerlukan elemen untuk melanjutkan usianya. Agama Buddha amat memerlukan biksu (jenis Ariya Song) untuk melanjutkan jangka hayatnya. Sekiranya ada agama dan dhamma, dunia masih dapat dihuni dengan aman dan tenang. Semua agama menjadi keperluan kepada makhluk dunia. Oleh itulah menjadi biksu dikatakan dapat melanjutkan usia agama kerana biksu dapat mengajar agama kepada masyarakat dunia.

(c) Biksu berpeluang menceburi aktiviti kemasyarakatan. Penghuni wat yang diketuai oleh biksu yang berhati mulia, ada keupayaan menggerakkan aktiviti kemasyarakatan. Pada zaman dahulu, kerja-kerja membina jalan kampung, membuat terusan, mengorek parit, menggali perigi dan sebagainya diketuai oleh somphal (ketua wat). Dalam usaha membina wat usahlah diperkatakan; somphal tentu lebih cekap daripada Ketua Kampung dan anak-anak buahnya. Atma (saya) ambil diri sendiri sebagai contoh. Siapa nak tuduh menunjuk-nunjuk pun tak kisah, tak takut. Kalau atma tak jadi biksu, dapatkah Wat Suan Mok wujud seperti sekarang? Atau sekiranya atma buad sementara kemudian keluar, bagaimana Suan Mok boleh ada macam hari ini? Wat Suan Mok merupakan “kemudahan awam” kepada semua orang. Oleh itulah dikatakan jadi biksu boleh membuat faedah kemasyarakatan. Biksu tak ada keluarga, tak ada anak isteri. Maka biksu ada masa, tenaga dan peluang membantu penduduk membina jalan, parit, sungai dan sekolah. Malah apa saja kemudahan orang ramai, boleh dilakukan oleh para biksu. Perkara penting biksu atau wat mesti diketuai oleh somphal yang berhati mulia dan tahu tanggungjawab sebagai pabbajjit.

(d) Jadi biksu merupakan kesempatan mendekatkan ibu bapa dan saudara mara kepada agama (wat). Sesiapa yang jadi biksu atau samanera, dengan sendiri akan menarik ibu bapa atau saudara mara “melekat” dengan wat atau agama. Kalau dulu, ibu bapa jarang menjenguk wat, tetapi setelah anak jadi biksu, mereka sering datang wat. Perkara ini boleh dilihat di mana-mana. Sesiapa yang ada anak di wat, akan selalu datang wat. Malah saudara mara pun ikut datang. Orang yang dulunya takut sangat dengan wat, apabila anak jadi biksu atau samanera, bukan main berani dengan wat. Ada aktiviti agama di wat, pasti mereka datang tolong. Maklumlah anak sendiri salah seorang penghuni wat. Beginilah yang dikatakan buad phra boleh tarik ibu bapa, adik beradik atau saudara mara masuk wat.

Beginilah 4 perkara yang dimaksudkan dengan jadi pabbajjit merupakan peluang membuat faedah kepada orang lain. Biksu boleh melakukan banyak perkara berfaedah kepada masyarakat. Mereka jadi biksu bukan untuk faedah diri sendiri, tetapi untuk faedah orang ramai juga. Kalau hendak disenaraikan semua peranan biksu dalam kemasyarakatan, tak cukup masa kerana amat banyak. Seorang somphal bukan sahaja jadi bapa kepada biksu, malah bapa kepada semua penduduk di bawah naungannya.

(8) Kelapan, jadi biksu bermakna jadi golongan paling tinggi. Golongan paling mulia ialah golongan pabbajja. Buddha tak ada dalam golongan gharavas (orang biasa yang hidup berkeluarga); Phra Pacceka-Buddha tak ada dalam golongan gharavas; Phra Arahan tak ada dalam golongan gharavas, tetapi ada dalam golongan samana atau pabbajja. Oleh sebab itu golongan gharavas bukan golongan tertinggi, malah masih rendah atau terlalu rendah.

Jadi biksu bermakna hidup di dalam golongan tertinggi. Kenapa kita tak nampak kebaikannya atau keistimewaannya sehingga mendorong kita tinggal lebih lama di dalam golongan samana ini. Sekarang ini orang jadi biksu sebulan pun terasa “panas” macam api sehingga tidak tertahan-tahan untuk keluar. Kekadang baru 7 hari, sudah minta keluar. Malah yang masih bertahan pun terasa jivorn panas bagaikan dibuad daripada api. Kenapa? Kerana kita tidak nampak bahawa jadi biksu itu bermakna jadi golongan paling tinggi, iaitu golongan yang didalamnya terdapat Phra Arahan, Phra Pacceka-Buddha dan Phra Samma-Sambuddha (Buddha).

Sekarang sudah diterangkan tujuan jadi pabbajjit atau biksu dan samanera dalam pelbagai sudut. Orang yang hendak pabbajja atau ibu bapa mereka mesti memahaminya dengan betul. Setelah memahaminya dengan betul, maka lakukanlah dengan cara yang betul. Perkara yang berkaitan dengan buad phra atau buad nen mesti dilakukan mengikut peraturan-peraturannya. Perlukah membelanjakan duit berpuluh ribu, sembelih ayam berpuluh ekor, babi, lembu atau kerbau? Sekiranya buad dengan cara yang betul, atma yakin tidak perlu membazirkan duit. Tetapi orang bodoh, mereka tidak suka cara yang betul.

Zaman Buddha, sekiranya sesiapa hendak buad, setelah mendapat keizinan ibu bapa, dia terus pergi tinggal di wat dan “serah” diri kepada Buddha atau Phra Arahan atau mana-mana phra kanan. Apabila sampai masa yang sesuai baru buad. Jivorn boleh dicari di mana-mana yang ada, atau yang terlebih pakai. Jivorn bukan barang jual beli. Tidak ada sesiapa jual atau beli jivorn. Mereka beri secara percuma. Malah kadang-kadang upajjha (upacha) yang akan carikan jivorn. Setelah sanggup menjadi upajjha, maka menjadi tanggungjawab beliau mencarikan jivorn.

Kesimpulannya buad yang betul pada zaman Buddha tidak membazirkan duit sesen pun. Malah, semuanya menjadi tanggungjawab upajjha dan sangha, bukannya ibu bapa.

Sekarang, buad kena habis duit hingga beribu atau berpuluh ribu. Betapa bodohnya manusia. Akibatnya amalan buad menjadi bukan amalan buad lagi. Binatang banyak dijadikan korban; babi, lembu dan kerbau tumbang. Kita nak anak kita jadi orang baik (biksu), tetapi kena bertukar dengan nyawa binatang. Kenduri besar-besaran, mabuk dan meriah. Kadang-kadang melampaui batasan - jenis yang tidak sesuai dengan amalan buad. Ibu bapa atau orang yang hendak buad phra, berfikirlah baik-baik agar dapat buad dengan cara yang betul.

Orang yang memahami maksud buad dengan betul, nescaya kain kuning (jivorn) tidak akan panas. Dia dapat buad sehingga 2 phansa, 3 phansa, 4 phansa, 5 phansa sehingga terlupa untuk keluar. Atma nampak begitu, lalu memperjelaskan maksud buad yang sebenar pada hari ini. Betapa istimewanya buad. Ia tidak memerlukan duit satu sen pun kerana Nibbana itu diperolehi secara percuma.

Sekarang akan diterangkan sedikit tentang buad sementara. Atma tidak kritik, tidak bantah sekiranya kemampuan ada setakat itu. Amalan buad sementara pun baik sekiranya dilakukan mengikut cara yang betul. Kita mesti ada kesungguhan. Kita mesti mengamalkan perkara yang betul agar dapat hasil yang baik. Satu phansa pun boleh tetapi harus mengamalkan dhamma yang betul dengan maksud buad, iaitu:

(1) Mencuba mencari perkara yang lebih baik daripada hidup berkeluarga.

(2) Mencuba mengamalkan kehidupan ala kadar tanpa sebarang harta. Biksu dan samanera yang buad satu phansa anggaplah ia sebagai mencuba kehidupan “miskin” ibarat peminda sedekah tanpa sebarang kekayaan.

(3) Mencuba memaksa diri, fikiran dan perasaan agar berada di dalam “lingkungan kebaikan” - mengawal mata, teliga, hidung, lidah, tubuh, dan hati.

(4) Mencuba mengorbankan harta dan perkara yang dikasihi dan disukai. Cubalah berkorban apa-apa perkara yang boleh dikorbankan. Memberi itu lebih mulia daripada menerima - tetapi sukar dilakukan.

Walaupun dapat buad 3 bulan (1 phansa), tetapi ia merupakan satu kebaikan yang amat besar. Ajahn (guru) dahulu ada memberi perumpamaan berkenaan amalan buad. Beliau mengatakan sekiranya dijadikan langit sebagai kertas, dijadikan gunung Himalaya sebagai pensel, dijadikan tanah dan air laut sebagai dakwat, kebaikan buad tidak mungkin habis dituliskan. Beliau tak tahu hendak menerangkan dengan sempurna lalu membuat perumpamaan sebegitu. Maksudnya, buad kalau diamalkan betul-betul sehingga menjadi Ariya Song, kebaikannya tidak terhitungkan.

Sekarang kita sudah mencapai kebaikan begitu? Maksud buad yang sebenar pun langsung tidak tahu, apatah lagi kebaikannya. Oleh itu, belajarlah sekali lagi agar benar-benar tahu maksud buad seperti yang diajarkan oleh Buddha. Kita mesti tahu hubungan antara upajjha atau ajahn dengan pabbajjit; hubungan pabbajjit dengan pabbajjit; hubungan pabbajjit dengan ibu bapa, saudara mara, sahabat handai dan masyarakat umum. Kita mesti tahu semua perkara ini agar kita mendapat faedah daripada amalan buad dengan sempurna.

Amalan buad 3 bulan sudah jadi satu tradisi. Zaman Buddha dulu tak ada buad 3 bulan. Tradisi buad 3 bulan sememangnya tak ada. Namun, sekarang kelihatannya berfaedah juga walaupun buad 3 bulan tetapi dengan syarat mempelajari dan mengamalkan dhamma-vinaya dengan baik sepanjang 3 bulan tersebut.

Sekarang cuba kita perhatikan pula berkenaan “buad satu hari.” Hari tersebut merupakan hari ubosot (uposatha) - hari mengamalkan uposatha-sila (attha sila). Ini juga sejenis buad, iaitu buad satu hari yang juga menepati maksud latihan moral (sikkhapada) mengikut jejak Phra Arahan. Pada hari mengamalkan uposatha-sila, seseorang mesti mempunyai minda yang bebas, merdeka dan tenang seolah-olah dapat mengecapi Nibbana, iaitu tenteram daripada gangguan kiles (kilesa), hati tidak resah dengan benda luaran, ibarat telah mengorbankan semuanya. Malah kehidupan juga bagaikan tidak dipedulikan lagi, melainkan amalan yang terbaik untuk mengikut jejak Phra Arahan.

Amalan buad, walaupun satu hari dikira buad juga, misalnya mengamalkan uposatha-sila. Oleh itu sesiapa hendak mengamalkan buad jenis mana selama satu hari, 2 hari, 7 hari pun boleh. Sudah menjadi tradisi kita, apabila sampai hari ubosot, kita buad, sampai hari ubosot kita buad satu hari untuk mengikuti jejak Phra Arahan. Pasti akan dapat menerima kebaikan seperti yang telah diterangkan tidak banyak pun sedikit.

Di sini akan diterangkan bahawa uposatha-sila satu hari pun menepati maksud keluar mencari perkara yang lebih baik antara kehidupan gharavas dengan kehidupan pabbajjit. Perkara ini serupa dengan Buddha yang keluar buad kerana hendak mencari apa yang menjadi kebaikan (kusala). Dalam masa mengamalkan uposatha-sila, pada hari tersebut seseorang itu mesti menjalani kehidupan seperti berikut:

- kehidupan jenis ala kadar - tak ada harta kekayaan.

- mengawal 6 deria dengan baik.

- minda lapang daripada perkara yang disayangi dan disukai yang merupakan asas
kesesatan.

- hati tenang dan selesa untuk melangkah ke alam lokuttara.

- tidak mencampuri kâma-vacara.

Orang yang mengamalkan uposatha-sila dengan betul akan dihormati. Anak-anak akan hormat. Sanak saudara akan hormat. Sahabat akan hormat. Untuk melakukan perkara berfaedah kepada orang lain juga boleh, misalnya memberi nasihat dhamma kepada orang terdekat, kawan-kawan dan sebagainya. Hari tersebut juga merupakan hari mengamalkan phroma-chan (brahma-cariya), iaitu bebas daripada perlakuan manusia yang hidup berpasangan. Oleh itu, hayatilah uposatha-sila dengan mendalam supaya dapat mengamalkannya dengan betul agar mendapat hasil yang sempurna.

Semua yang diceritakan tergolong ke dalam amalan buad. Buad yang betul tidak memerlukan duit. Semakin banyak menghabiskan duit, semakin tidak menjadi amalan buad, melainkan amalan ba (gila) semata-mata. Buad dengan ba tak sama. Biksu dan samanera yang membazirkan banyak duit dalam upacara buad, dan setelah jadi phra atau nen masih tamakkan duit atau mengumpulkan duit (kekayaan), bukan amalan buad tetapi amalan ba (gila).

Ibu bapa yang hendak buad anak, berwaspadalah supaya amalan buad tidak menjadi amalan ba (gila).


Perkara Berkaitan Dengan Pabbajja

Sekarang anda berhasrat untuk buad. Anda telah minta untuk dipabbajjakan dengan melafazkan kalimat meminta pabbajja. Anda telah melafazkan janji untuk menjadikan Buddha, Dhamma dan Sangha sebagai pelindung. “Saya minta sampai kepada Buddha, biarpun telah lama parinibbana sebagai pelindung (sarana), termasuk Dhamma dan Sangha,” sebanyak 3 kali, kemudian minta dipabbajjakan. “Tolong ambil kain kasava ini dan lakukan pabbajja untuk saya dengan metta dan karuna!” Semua ini anda lakukan dengan kerelaan hati, tanpa dipaksa atau terpaksa.

Bercakap tentang buad, perkara pertama yang hendak diingatkan ialah amalan buad dilakukan dengan rela hati. Sejak zaman Buddha hinggalah sekarang, kita buad tanpa dipaksa atau terpaksa - amalan buad yang murni dan betul. Oleh itu kita harus sedar terhadap kerelaan hati meminta pabbajja dan upasampada. Kita harus bertanggungjawab dan menjaga kehormatan diri. Kita mesti membuat amalan dan perlakuan yang sesuai dengan permintaan kita untuk pabbajja dan upasampada yang dilakukan secara sukarela. Kalau tidak, semuanya akan jadi pembohongan dan hilang kehormatan diri kerana kita sendiri yang meminta tetapi mengabaikannya!

Perkara lain yang harus direnungi adalah seperti berikut:
Perihal pabbajja dan upasampada dilakukan di tempat suci, iaitu di dalam ubosot di tengah Phra Song (sangha) dan di hadapan Buddha-patima. Oleh itu pabbajja dan upasampada merupakan perkara yang tidak boleh dipandang remeh kerana dilakukan atas nama Ratana-Trai atau Ti-Ratana (Buddha, Dhamma dan Sangha) yang suci; dan disaksikan ibu bapa, saudara mara dan orang ramai (mereka hadir dengan harapan dan keyakinan bahawa buad merupakan amalan mulia). Oleh itu biksu mesti bertanggungjawab terhadap perbuatannya agar selaras dengan kata-kata yang meminta untuk pabbajja dan upasampada dan janji yang telah dilafazkan untuk mengamalkan dhamma-vinaya yang ditetapkan oleh Buddha di dalam ubosot yang suci. Kalau tidak, biksu tersebut dianggap melakukan pembohongan dan penipuan di tempat suci di hadapan insan yang berkumpul atas nama Buddha.

Seperkara lagi yang harus diingat ialah kita buad diiringi harapan suci ibu bapa yang telah melahir dan membesarkan kita. Sekiranya kita mengamalkan dhamma-vinaya dengan sempurna bererti kita berjaya memenuhi harapan orang yang berjasa kepada kita. Pahalanya menggunung. Tetapi kalau berlaku sebaliknya, kita akan memusnahkan harapan ibu bapa dan menghancurkan hati orang yang diibaratkan seperti “Phra Arahan” kepada kita. Dosanya bukan kecil.

Kesimpulannya, orang yang telah jadi biksu mesti memikirkan kata-kata yang dilafazakan untuk meminta pabbajja dan upasampada; perkara mulia yang dilakukan di tempat suci dan dalam suasana yang murni; dan demi memenuhi harapan suci ibu bapa. Seandainya biksu sentiasa mengingati semua perkara ini, ia akan menjadi kuasa pendorong semangat untuk terus tekun dalam pengamalan mulia mengikut dhamma-vinaya.

Istilah buad berasal daripada bahasa Pali, pabbajja yang bermaksud “pergi semua” atau “tinggalkan semua.” Pergi semua bererti pergi daripada kehidupan gharavas atau orang yang berumah tangga (keluarga) kepada kehidupan tanpa keluarga. Kalimat yang lebih mulia ialah pergi daripada “dunia” iaitu meninggalkan semua sifat-sifat keduniaan.

Istilah “pergi semua daripada kehidupan gharavas” bererti pergi dari rumah, atau dari kediaman yang bermaksud:

- Berkorban harta benda yang dimiliki
- Berkorban keluarga dan keturunan
- Meninggalkan pemakaian seperti gharavas
- Meninggalkan pemakanan seperti gharavas
- Meninggalkan penggunaan seperti gharavas
- Meninggalkan perlakuan dan pertuturan seperti gharavas
- Meninggalkan pemikiran atau perasaan seperti gharavas

Inilah yang dikatakan pergi semua daripada kehidupan gharavas atau pergi daripada dunia.

Berkorban harta benda yang dimiliki - Kita mesti terima kenyataan bahawa kita akan menjalani kehidupan tanpa harta benda. Kita akan menjalani kehidupan ala kadar mengikut apa yang ada. Kehidupan kita bergantung pada sara hidup daripada orang ramai. Harta benda merupakan kepunyaan gharavas, bukan kepunyaan biksu kerana biksu sudah ada “hak istimewa” untuk menerima pemberian daripada masyarakat. Oleh itu, harta benda tidak diperlukan sama sekali bagi individu yang sedang mencari kemuliaan tahap tertinggi (Arahan).

Berkorban keluarga dan keturunan - Setelah jadi biksu, kita tiada apa-apa “hubungan” lagi dengan keluarga atau saudara mara kita. Maksudnya kita tidak perlu risau pasal mereka. Kita tidak perlu “mengikat” hati kita kepada kehidupan mereka seperti dahulu. Sesetengah biksu masih “berhubung” dengan keluarga dan saudara mara di rumah terutamanya hal-hal berkaitan “mulut” dan “perut” mereka. Keadaan ini menyebabkan minda biksu tidak bebas dan lapang sebagaimana sepatutnya. Biksu tidak patut memindahkan keperluan sendiri yang diberikan secara ikhlas atas nama song (sangha) kepada keluarga. Dalam Pali (Kitab Tipitaka) amat ditekankan tentang “berkorban keluarga dan keturunan”. Pada zaman Buddha, ramai biksu yang tidak pernah balik menziarahi rumah seumur hidup. Tetapi dalam agama Buddha, memadailah sekadar berkorban “perasaan gharavas” terhadap keluarga.

Meninggalkan pemakaian seperti gharavas - Berkaitan pemakaian ini kita dapat lihat sendiri memang berbeza. Namun, tidak usahlah kita memakai untuk kecantikan atau kerana kelembutan kainnya. Walaupun sudah memakai jivorn tetapi dengan niat untuk kecantikan atau kerana kelembutan kainnya, kita dikira masih memakai seperti gharavas.

Meninggalkan pemakanan seperti gharavas - Perkara ini bukan sekadar makan pada masa yang ditetapkan atau meninggalkan makanan tertentu yang dilarang. Perkara yang penting ialah gharavas makan kerana kelazatan, keseronokan dan sesuka hati pada bila-bila masa. Mereka terlalu mengikut hati dan perasaan. Biksu mesti meninggalkan pemakanan seperti gharavas dengan muktamad. Biksu harus makan dengan ada kesedaran bahawa makanan dimakan sekadar memelihara tubuh agar berada dalam keadaan yang sesuai untuk mengamalkan dhamma-vinaya untuk keluar daripada kesengsaraan (dukkha).

Makanlah sebagaimana yang dikatakan Buddha, “Oh, Biksu semua, makanlah seperti minyak yang digunakan untuk menitis roda kereta lembu, atau seperti ibu bapa yang sesat di padang pasir dan terpaksa makan daging anak sendiri yang mati demi meneruskan kehidupan!”

Meninggalkan penggunaan seperti gharavas - Ini bererti penggunaan tempat tinggal, peralatan dan barang-barang kegunaan harian tidak boleh seperti orang biasa yang menggunakannya untuk keselesaan, keseronokan dan kecantikan. Kadang-kadang orang biasa menggunakannya untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Biksu mesti menjauhi perlakuan seperti itu.

Meninggalkan perlakuan dan pertuturan seperti gharavas - Maksudnya perlakuan dan pertuturan orang biasa mengikut kiles dan tanha (nafsu), mengikut sedap dan tidak terkawal. Biksu mesti mempunyai perlakuan dan pertuturan terkawal sebagaimana yang ditetapkan di dalam vinaya.

“Yang mana jadi perlakuan dan pertuturan biksu, biksu mesti mengamalkan perlakuan dan pertuturan tersebut!”

Biksu selalu terlupa dalam perkara ini. Oleh itu mereka selalu mempunyai perlakuan dan pertuturan seperti gharavas. Misalnya, sewaktu ada sahabat yang menjadi gharavas datang melawat, biksu sering menyambut kedatangan mereka seperti masa sama-sama jadi gharavas dulu. Kadang-kadang sampai berpelukan atau berpeluk leher atau duduk bersila dengan lutut bertindihan. Perlakuan “kebudak-budakan” begini, Buddha tidak terima sebagai perlakuan biksu. Malahan perlakuan dan pertuturan lain yang menjadi kelaziman bagi orang biasa, mesti ditinggalkan oleh biksu sama sekali.

Meninggalkan pemikiran dan perasaan seperti gharavas - Kebiasaannya orang biasa akan berfikir berkenaan hal rumah tangga, berfikir ke arah kama-khun (kâma-guna) - mata, telinga, hidung, lidah, tubuh. dan selalu membiarkan hati hanyut bersama kâmarom (perasaan yang menghairahkan atau memikat hati). Kalaulah perasaan berkaitan kama-khun timbul di hati, biksu mesti berusaha untuk mengawalnya. Sekiranya biksu berpuas hati dengan perasaan sedemikian dan membiarkannya berterusan kerana seronok, biksu itu dikatakan masih berfikiran seperti gharavas. Biksu mesti mengelakkan fikiran begini. Biksu mesti menggunakan kebijaksanaan untuk mengawal hati agar sentiasa menjurus ke arah fikiran dan perasaan pabbajjit sahaja.

Tujuh perkara yang diterangkan di atas menepati maksud “pergi semua” daripada kehidupan gharavas.

Manakala buad yang bermaksud “tinggalkan semua” adalah apabila sudah jadi biksu mesti tinggalkan perkara yang patut ditinggalkan sebagaimana ditetapkan oleh Buddha. Biksu patut menerima pendidikan dhamma-vinaya agar dapat mengetahui apa harus ditinggalkan dan berusaha meninggalkannya. Biksu jangan lupa kepada janji yang dilafazkan di dalam ubosot yang suci; dalam suasana murni; dan di depan ibu bapa yang membawa harapan menggunung - amalan buad merupakan amalan baik lagi mulia. Sebagai biksu, kita mesti memajukan minda dan diri ke tahap tertinggi atau puncak kehidupan manusia. Fikiran yang membina menjadi semangat untuk kita meninggalkan perkara yang patut ditinggalkan dengan sempurna. Inilah yang dikatakan “tinggalkan semua”.

Apabila dicampurkan “pergi semua” dan “tinggalkan semua” maka hasilnya akan menepati maksud buad atau pabbajja yang sempurna.




Perkara Yang Menjadi Tapak Amalan Buad

Amalan buad mesti ada tapak sebagai tempat letaknya. Pokok mesti ada bumi sebagai tapak pertumbuhannya. Manakala tapak bagi buad ialah Tri-Ratana (Buddha, Dhamma dan Sangha). Oleh itu kita harus membuat pemahaman berkenaan Buddha, Dhamma dan Sangha dan bagaimana ketiga-tiganya dikatakan menjadi tapak amalan buad.

Tri-Ratana iaitu Buddha, Dhamma dan Sangha apabila dilihat dari luaran (tersurat) kelihatan seperti perkara yang berbeza.

Buddha merupakan individu yang telah menyelidiki dan menemui Dhamma yang mulia yang dapat mengubati segala kesengsaraan. Beliau telah berjaya mengubati kesengsaraan beliau dengan sempurna, kemudia beliau mengajar orang lain pula untuk mengubati kesengsaraan mereka.

Dhamma pula merupakan perkara yang diselidiki dan ditemui oleh Buddha dan digunakan untuk mengubati kesengsaraan. Dhamma ada dalam bentuk pembelajaran yang dipanggil Pariyat-Dhamma dan dalam bentuk pengamalan melalui perlakuan, pertuturan dan pemikiran yang dinamakan Patibat-Dhamma serta dalam bentuk hasil daripada pengamalan iaitu magga, phala, nibbana (Thai: mark, phon, nippan) yang dinamakan Pativet-Dhamma. Maknanya, semua Pariyat-Dhamma, Patibat-Dhamma, dan Pativet-Dhamma inilah yang dikatakan Dhamma.

Sangha atau Phra Song ialah mereka yang mewarisi Dhamma daripada Buddha untuk dipelajari dan diamalkan sehingga mendapat hasil daripada Dhamma tersebut.

Beginilah Tri-Ratana apabila dilihat dari luaran kelihatan seperti perkara yang berbeza.

Tetapi apabila dilihat secara teliti dan mendalam (tersirat), Tri-Ratana merupakan perkara yang sama. Pengertian terpenting Buddha terletak pada ciri-ciri mulia yang terkandung di dalam fizikal dan mental beliau yang menyebabkan beliau dinamakan “Buddha”. Ciri-ciri mulia tersebut ialah suci, terang dan tenang dengan sempurna. Dhamma mempunyai tiga jenis iaitu Pariyat-Dhamma; mempelajari perkara yang berkaitan dengan suci, terang dan tenang. Patibat-Dhamma; pengamalan untuk mencapai keadaan suci, terang dan tenang dengan sempurna. Pativet-Dhamma; keadaan suci, terang dan tenang yang sempurna yang terhasil daripada pengamalan dhamma. Jadi, Dhamma 3 jenis berkumpul di dalam kesucian yang sempurna, keterangan yang sempurna dan ketenangan yang sempurna sebagaimana yang terdapat di dalam diri Buddha. Manakala Sangha ialah mereka yang menghormati Buddha kerana ciri-ciri mulia Buddha iaitu suci, terang dan tenang. Sangha mengambil Dhamma yang ada ciri-ciri suci, terang dan tenang untuk diamalkan agar mendapat minda yang suci, terang dan tenang seperti minda Buddha.

Oleh itu, kita dapat membuat kesimpulan bahawa keadaan suci, terang dan tenang merupakan ciri-ciri tersirat yang ada pada Buddha, Dhamma dan Sangha (tanpa mengambil kira ciri-ciri luaran).

Setelah kita kenal Tri-Ratana dalam keadaan suci, terang dan tenang sebagai satu entiti, maka menjadi peluang bagi amalan buad kita berada di atas tapak Tri-Ratana dengan mudah. Maksudnya kita masih berpeluang untuk sampai kepada Tri-Ratana dengan membuatkan keadaan suci, terang dan tenang lahir di minda kita. Pada masa yang sama kita dapat menjadikan Tri-Ratana sebagai pelindung kita yang sebenar - sifat suci, terang dan tenang yang lahir di minda kita merupakan alat pemadam api kesengsaraan dan api kilesa yang sebenar. Demikianlah kita sebagai biksu mempunyai matlamat untuk mencapai Tri-Ratana yang sebenar yang berupaya melindungi kita. Oleh itu amalan buad kita mempunyai perkara yang menjadi tapak untuk kita tumbuh subur dalam agama Buddha sebagaimana pokok yang ada bumi sabagai tapak pertumbuhan dan kesuburannya.

Oleh itu, semua biksu dan samanera sentiasa menumpukan hati kepada Tri-Ratana dan melakukan pengamalan sepenuh hati agar dapat mencapai kesucian, keterangan dan ketenangan yang sebenar. Sekiranya amalan buad kita tak ada tapak atau matlamat yang betul, amalan kita akan terhuyung-hayang seperti benda ringan ditiup angin lalu terbang tanpa arah tujuan. Oleh itu kita kena memahami perkara yang menjadi tapak amalan buad kita dengan baik supaya usaha murni kita tidak sia-sia.


Kebaikan daripada amalan buad

Bercakap tentang hasil atau kebaikan (anisong) daripada amalan buad, terdapat 3 kebaikan utama. Sebenarnya kebaikan daripada buad terlalu banyak sehingga tidak terhitungkan, tetapi kita simpulkan ke dalam 3 kebaikan utama sahaja:

(1) Kebaikan yang bakal diterima diri sendiri; (2) kebaikan yang bakal diterima orang lain, terutamanya ibu bapa; dan (3) kebaikan yang bakal diterima oleh agama Buddha.

Kebaikan yang bakal diterima diri sendiri ialah kebebasan mutlak daripada api kilesa dan api dukkha (nibbana). Kalau tak dapat mencapai nibbana, akan dapat mencapai tahap yang lebih rendah iaitu tahap api kilesa dan api dukkha tidak begitu kuat membakar. Semuanya terpulang kepada tahap pengamalan dhamma-vinaya masing-masing. Bagi mereka yang menjadi biksu atau samanera sementara mengikut adat tradisi, mereka dapat pengetahuan berkenaan agama Buddha. Mereka dapat mencuba mengamalkan dhamma. Apabila keluar daripada biksu nanti, mereka akan jadi manusia yang lebih baik daripada sebelumnya. Misalnya, mereka boleh menjadi ketua keluarga, ketua kumpulan atau ketua masyarakat yang baik. Inilah yang dikatakan kebaikan yang bakal diterima diri sendiri. Berusahalah mendapatkannya dengan bersungguh-sungguh.

Kebaikan yang bakal diterima orang lain terutamanya ibu bapa bermakna kita akan membalas jasa semua orang yang berjasa kepada kita. Semua orang apabila lahir sahaja, belum celik mata melihat dunia, sudah berhutang budi kepada orang ramai. Bagi ibu bapa tak usahlah diceritakan kerana jasa mereka kepada anak-anak tidak tersukat. Manakala yang dikatakan berhutang budi kepada orang ramai kerana apabila bayi dilahirkan kena menumpang ilmu atau kepakaran bidan atau doktor, menumpang kepakaran penjahit pakaian, pengeluar ubat-ubatan, tempat tinggal dan sebagainya. Boleh dikatakan setelah dilahirkan saja, kita sudah berhutang budi kepada orang seluruh dunia. Oleh itu menjadi tanggungjawab moral untuk kita membalas budi atau jasa orang lain. Jasa ibu bapa dan pengorbanan mereka mengasuh, membesar dan mendidik kita jangan sesekali diabaikan. Ibu bapa adalah Phra Arahan kepada anak-anak. Berbuad baik kepada ibu bapa sama seperti berbuad baik kepada Phra Arahan. Para cendekiawan, termasuk Buddha ada mengatakan bahawa: “Tiada pembalasan budi yang lebih baik daripada membuatkan orang yang berbudi itu menerima kebaikan terunggul. Tiada kebaikan terunggul dapat menandingi kebebasan mutlak daripada segala kesengsaraan!” Oleh demikianlah anak-anak yang hendak membalas jasa ibu bapa mesti membuatkan ibu bapa bebas daripada kesengsaraan.

Para cendekiawan ada menjelaskan secara perbandingan berkenaan membalas jasa ibu bapa. Kata mereka, seandainya anak memikul kedua-dua ibu bapa di atas bahu dan diberi makan dan minum dengan sempurna tanpa turun ke tanah sepanjang hayat, jasa ibu bapa tidak mungkin dapat dibalas setimpalnya. Namun, kata mereka lagi, sekiranya anak membuatkan ibu bapa yang ada pandangan salah (micca-ditthi) menjadi pandangan betul (samma-ditthi); atau ibu bapa yang telah ada samma-ditthi menjadi samma-ditthi yang lebih tinggi - mengamalkan dhamma sehingga bebas daripada kesengsaraan dengan sempurna - inilah dikatakan cara membalas jasa ibu bapa setimpal dengan jasa mereka.

Kita dapati peluang untuk membalas jasa ibu bapa melalui amalan buad amat banyak. Apabila kita buad, kita dapat menambahkan kepercayaan (saddha) ibu bapa terhadap agama Buddha. Mereka akan lebih dekat dengan agama Buddha, memahami dhamma, dan mengamalkan dhamma yang betul yang dapat membebaskan diri daripada ketamakan (lobha), kemarahan (dosa), kekeliruan atau kesesatan (moha) dan kesengsaraan (dukkha). Atau sekurang-kurangnya mereka akan jadi insan yang berpendirian teguh dan tidak terhuyung-hayang terhadap Tri-Ratana; jenis yang tidak akan terjerumus ke lembah kemunduran *(abai). Orang yang buad memang dapat membalas jasa ibu bapa tetapi mestilah buad betul-betul; belajar betul-betul; beramal betul-betul; mendapat hasil daripada phroma-chan betul-betul; dan menumpukan hati mengajar orang lain betul-betul. Semuanya mesti dilakukan dengan kesungguhan barulah mendapat hasil. Dan hasil itulah yang dikatakan dapat membalas jasa ibu bapa, saudara mara, sahabat handai dan semua orang yang berjasa kepada kita. Kesimpulannya ialah “dhamma” sahaja (pemikiran, percakapan dan perbuadan) dapat membalas jasa ibu bapa dengan setimpal, bukannya “kain kuning” (jivorn) yang dipakai oleh biksu. Dongeng yang mengatakan ibu bapa akan bergayut pada kain kuning untuk naik dari neraka tinggal sebagai dongeng semata-mata.

(*Abai bermaksud makhluk yang tidak dapat mencari kemajuan (mundur) iaitu makhluk neraka, haiwan, peta, asura)- penterjemah

Biksu semua harus menjadikan jasa ibu bapa sebagai pendorong semangat. Ibu bapa mempunyai jasa yang tidak terbilang kepada kita. Kita banyak berhutang jasa kepada mereka. Oleh itu sampailah masa untuk kita sebagai anak yang baik membalas jasa mereka dengan mengamalkan dhamma-vinaya dengan bersungguh-sungguh. Hasil daripada pengamalan dhamma-vinaya dapat membalas jasa ibu bapa. Akhir sekali kita jangan menghampakan harapan ibu bapa untuk melihat anak mereka menjadi biksu yang suci dan mulia.

Kebaikan yang bakal diterima agama Buddha. Agama juga merupakan perkara yang mempunyai elemen pembentukan. Agama mungkin akan lenyap tanpa sokongan elemen-elemen untuk melanjutkan usianya. Oleh itu amalan buad kita dapat melanjutkan usia agama kita. Lagipun kita dapat buad kerana ada agama Buddha. Kalau tak ada agama Buddha, bagaimana kita nak jadi biksu. Jadi, agama Buddha ada jasa kepada kita. Oleh itu kita harus membalas jasa tersebut. Sekiranya dipandang lebih luas, kita mesti mengingati jasa upajjha dan ajahn yang telah melanjutkan usia agama Buddha dari zaman Buddha sehingga kini; sehingga kita dapat buad. Kita mesti mengingati jasa mereka yang setiap orang amat berharap supaya kita yang menjadi murid dapat mewarisi usaha mereka melanjutkan usia agama Buddha agar tidak terputus. Kalau hendak diperkatakan secara lebih luas lagi, kita juga harus mengingati jasa Buddha yang menjadi pengasas agama kita. Buddha berkorban kebahagiaan diri dan keluarga untuk mencari cara-cara menghapuskan kesengsaraan demi kebahagiaan abadi umat manusia. Betapa susah Buddha berusaha mengasas agama dan menyebarkannya untuk menyelamatkan manusia daripada kesengsaraan akibat kelahiran, ketuaan, kesakitan dan kematian. Kalau kita mempelajari sejarah Buddha, kita dapati Buddha amat gigih dan sabar dalam usaha pemantapan dan pengembangan agama. Sekiranya hendak dikatakan dengan bahasa biasa, boleh kita rumuskan bahawa: “Buddha mati di suatu tempat, di dalam perjalanan menyebarkan agama, di atas tanah dan di bawah pokok.” Buddha bukan mati di atas kediaman (kutti) seperti kebanyakan biksu sekarang.

Kesimpulannya, Buddha berusaha dan berharap untuk memantapkan ajaran beliau di dunia demi kebaikan semua makhluk, termasuk kita. Oleh itu kita mesti gigih mengembangkan agama kita sebagaimana kegigihan Buddha supaya setimpal dengan jasa beliau yang maha agung terhadap makhluk dunia. Kita mesti ada kesungguhan dalam pelajaran dan pengamalan dhamma-vinaya.

Begitulah 3 kebaikan daripada amalan buad, iaitu kebaikan yang bakal diterima diri sendiri, kebaikan bakal diterima orang lain, terutama ibu bapa dan kebaikan yang bakal diterima oleh agama Buddha. Oleh itu kita harus berkorban, sabar dan tekun untuk buad dengan betul, belajar dengan bersungguh-sungguh, beramal dengan bersungguh-sungguh, menerima hasil dengan sempurna, kemudian mengajar orang lain dengan ikhlas. Tiada perbuadan lain lebih baik daripada perbuadan di atas. Itulah kebaikan buad yang bakal kita terima.

Apakah Peralatan Pabbajjit?

Pabbajjit mesti ada “peralatan tangan” untuk digunakan demi mencapai kejayaan dalam pengamalan dan mempertahankan diri daripada bahaya amalan buad.

Buddha ada mengingatkan, “Pabbajja yang diamalkan dengan tidak betul akan membahayakan diri umpama lalang yang tajam apabila dicekak dan ditarik dengan cara yang tak betul akan melukakan tangan!” Oleh itu, orang yang hendak jadi pabbajjit mesti ada pengetahuan sebagai “peralatan tangan” agar amalan pabbajja itu tidak membahayakan diri sendiri.

Perkara pertama, pabbajjit mesti sedar dan tahu bahawa kain kuning atau kain “kasava” itu dianggap sebagai bendera kemenangan Phra Arahan. Bahasa Pali “Arahatta-dajho” yang bererti “Bendera Kemenangan Phra Arahan”. Maksudnya kain kuning atau kain dicelup kulit kayu berwarna pekat itu merupakan simbol kemenangan insan suci - insan terhormat bagi devata dan manusia. Malah binatang juga dikatakan tahu bahawa kain kasava itu simbol Phra Arahan - insan suci lagi mulia yang tidak memusuhi sebarang makhluk. Oleh itu, mengambil kain kasava atau bendera kemenangan Phra Arahan ini untuk dipakai, pasti membawa erti yang lebih mendalam daripada sekadar sejenis pakaian. Sekiranya seseorang pabbajjit tidak ada kelayakan untuk memakai kain kasava, bahaya akan menimpa diri. Perkara ini ada dijelaskan oleh Buddha. Oleh demikian, untuk memberikan orang yang hendak buad memakai kain kasava, dia diajarkan Taja-panca-ka-kammatthan untuk membasuh mindanya agar dia berada dalam keadaan yang agak sesuai untuk memakai kain kasava. Kammatthan ini merupakan jenis asubha-kammatthan (tidak cantik) iaitu untuk memperlihatkan kebenaran benda yang orang tersebut pernah suka sebenarnya bukan benda yang cantik. Selain itu, orang tersebut akan ditunjukkan kesan daripada terpengaruh dengan benda yang disangkakan cantik itu. Benda yang dimaksudkan itu ialah kesa, loma, nakha, danta, tajo. Kita pernah jadi bodoh kerana suka dan terpengaruh dengan kecantikan rambut di atas kepala yang dihias begitu rupa untuk memperdaya mata. Orang yang terpedaya pasti percaya bahawa rambut itu cantik. Memang betul juga kerana gharavas merupakan putu-chon (puthujjana) yang bermaksud “orang tebal” dengan kiles. Bagi orang bijak, seseorang itu tidak sepatutnya terpengaruh dengan kecantikan rambut kerana sebenarnya rambut itu kotor, hodoh dan menjelikkan. Begitu jugalah keadaannya dengan loma, nakha, danta dan tajo.

Rambut - (bahasa Pali Kesa). Bentuknya menjelikkan, helaiannya panjang, warna pun tak seragam, ada hitam, merah, putih beruban, dan baunya pun memualkan. Secara semulajadi pertumbuhannya pun menjelikkan. Kulit kepala memeliharanya dengan darah. Fungsinya pun menjelikkan, iaitu berada di atas kepala untuk dilekati abuk dan debu. Boleh kata semuanya menjelikkan. Rupanya menjelikkan, warnanya menjelikkan, baunya menjelikkan, pertumbuhannya menjelikkan, dan fungsinya menjelikkan. Habis, kenapa kita terpengaruh mengatakan ia cantik? Oleh itu, perasaan yang terpengaruh dengan kecantikan rambut mesti dipadamkan agar kita mempunyai minda yang sesuai untuk memakai kain kasava.

Bulu - (bahasa Pali Loma). Penghayatan terhadap bulu sama seperti penghayatan ke atas rambut kerana ia agak sama. Perbezaannya, bulu lebih kecil dan tumbuh di seluruh badan, sedangkan rambut tumbuh di atas kepala. Bulu juga menjelikkan.

Kuku - (bahasa Pali Nakha). Berbicaralah sebagai barang yang kotor. Bentuknya menjelikkan, warnanya menjelikkan, baunya menjelikkan, tempat tumbuhnya menjelikkan, tugasnya untuk menggaru dan mengorek juga menjelikkan. Kerana kebodohan kita melihat kuku cantik. Oleh itu kebodohan tersebut mesti dihapuskan terlebih dahulu sebelum layak memakai kain kasava.

Gigi - (bahasa Pali Danta). Ini mudah dilihat. Rupanya menjelikkan, warnanya kotor, setiap batang menjelikkan, baunya memualkan, tempat tumbuhnya menjelikkan, fungsinya untuk mengunyah makanan menjelikkan. Oleh itu, anda jangan berfikir secara bodoh mengatakan gigi itu cantik. Fikiran bodoh mesti dihapuskan sebelum layak memakai kain kasava.

Kulit - (bahasa Pali Taco). Kulit yang membungkus seluruh tubuh mesti dihayati dengan betul mengikut kebenarannya. Rupanya membencikan, letaknya menjelikkan, warnanya membosankan, baunya memuntahkan, fungsinya pun menjelikkan kerana sentiasa dilekati abuk dan debu - daki. Orang yang melihat kulit itu cantik, lembut atau wangi sebenarnya bodoh. Kebodohan ini mesti dihapuskan dahulu sebelum memakai bendera kemenangan Phra Arahan sebagai pakaian.

Seperkara yang “istimewa” berkenaan kulit ialah ia merupakan tempat menerima “sentuhan” objek luaran - punca percambahan kiles, keberahian dan kenikmatan nafsu melebihi perkara lain; kulit amat berbahaya. Oleh itu, kulit bukan sekadar menjelikkan, malah membahayakan. Kita terkeliru menyangka kulit cantik, wangi dan menarik hati semata-mata kerana bodoh. Buang kesemua kebodohan itu sebelum memakai kain kasava.

Beginilah kammatthan (asas) yang diajarkan upajjha. Bakal pabbajjit mesti meneliti dan memahami kammatthan ini agar amalan buad tidak membahayakan diri sendiri. Orang yang hendak memakai kain kasava mesti memahami maksud suci, terang dan tenang dan berusaha memiliki minda yang suci, terang dan tenang. Dari asubha-kammatthan, pabbajjit akan diajarkan perkara berkenaan menerima dan menggunakan 4 keperluan asas, iaitu pakaian, makanan, tempat tinggal dan ubat-ubatan. Kesemua ini merupakan kelayakan yang dimiliki untuk memakai kain kasava seterusnya.

(Asubha-Kammatthan mesti difahami betul-betul supaya tidak terkeliru sehingga menyangka rambut, bulu, kuku, gigi dan kulit tidak berguna langsung. Sebenarnya kita diminta untuk berbicara dengan kebijaksanaan agar minda kita tidak “dipengaruhi” oleh benda-benda tersebut) - penterjemah




Hak Pabbajjit

Apabila bercakap tentang hak pabbajjit, maka fahamilah bahawa ia berkaitan dengan “hak” untuk menggunakan barang-barang pemberian orang ramai. Lazimnya pabbajjit tidak ada kerjaya, tidak bertanam atau berniaga, bahkan menjalani kehidupan dengan mengorbankan kesemua keduniaan. Perkara yang harus difikirkan ialah “hak” untuk pabbajjit menerima sara hidup daripada orang ramai itu datang daripada mana? Kenapa pabbajjit ada “hak” untuk terima sara hidup daripada orang lain?

“Hak” tersebut hanya ada pada pabbajjit yang menjadikan dirinya sebagai pabbajjit yang sebenar yang memenuhi kriteria pabbajjit sebagaimana diterangkan sebelum ini. “Hak” ini tidak ada pada pabbajjit yang sekadar “pakai kain kuning” tetapi tidak mengamalkan dhamma-vinaya. Ingat, kalau tidak ada “hak” tetapi menerima dan menggunakan pemberian orang ramai, maka akan dikira berhutang kepada orang ramai. Hutang tersebut wajib dibayar balik sebagaimana dijelaskan secara perumpamaan. “Bila mati akan lahir jadi lembu atau kaldai untuk bekerja (jadi hamba) kepada orang ramai - tuan kepada barang pemberian yang diterima dahulu.” Dalam perkara ini kita mesti memahami baik-baik bahawa orang yang buad betul-betul sahaja barulah ada hak untuk menerima barang pemberian orang ramai.

Perkara berkaitan “hak” itu amat penting untuk diteliti sehingga nampak kebenarannya. Hak untuk menerima makanan merupakan perkara penting yang sering diabaikan oleh biksu. Biksu muda, samanera, malah kebanyakan biksu merasakan apabila menjadi biksu, mereka secara “automatik” ada hak untuk makan makanan yang diberikan secara percuma. Buktinya, apabila jadi biksu sahaja, terus ada orang membawa makanan sampai ke wat. Biksu boleh makan dengan selesa. Biksu yang berfikiran begini dianggap bodoh kerana tidak tahu bertanggungjawab dan tidak kenal hak sendiri. Malah pergi mengambil makanan atau bindabart (pindapata) sering dikatakan sebagai “tugas” biksu, padahal ia merupakan “pergi mengambil hasil” mengikut “hak yang betul”, bukannya tugas. Oleh sebab pergi bindabart dikatakan tugas, maka amalan orang ramai memberi makanan kepada biksu dikatakan “prot sat” (selamatkan manusia daripada dosa). Sering kita dengar pada waktu pagi, orang ramai menjerit, “Phra datang prot sat woi! Phra datang prot sat, woi!” Mereka pun bergegas menunggu di depan pintu untuk memberi makanan kepada biksu dan samanera. Di dalam rumah anak-anak menangis kelaparan, phra di depan pintu harus diutamakan demi masa hadapan di syurga. Satu dongeng sejak zaman berzaman yang mengatakan bindabart itu “tugas” dan “prot sat”.

Sebenarnya, bindabart atau mengambil makanan pemberian orang merupakan “hak” yang diperolehi biksu setelah membuat tugas lain, iaitu mengamalkan phroma-chan (brahma-cariya) dengan sempurna. Biksu yang mengabaikan amalan phroma-chan tidak ada hak tersebut. Maknanya mereka tidak boleh terima pemberian orang ramai, atau kalau mereka terima akan berdosa. Manakala alasan sebagai prot sat atau untuk faedah orang ramai; mendapat hasil yang baik, mendapat pahala, mendapat untung nasib kerana memberi biksu makan percuma merupakan perkara yang tidak betul, tidak pasti dan tidak selamat. Jangan berfikir seumpama itu kerana ia merupakan perbuadan menipu atau mengaburi mata orang ramai. Biksu mesti mengamalkan pariyat-dhamma, patibat-dhamma dan pativet-dhamma dengan sempurna barulah “hak” yang betul diperolehi serta prot sat yang sebenar tercapai.

Satu perkara berkaitan dengan pemakanan ialah selepas makan biksu akan memberi “kebaikan” atau yang dipanggil “hai porn”. Istilah “hai porn” bermaksud memberi perkara baik untuk diamalkan. Perkataan “porn” bererti baik atau perkara baik. Oleh itu “hai porn” bermaksud memberi perkara baik untuk diamalkan mengikut cara-cara yang betul agar mendapat hasil yang baik iaitu kebahagiaan dan kemajuan dalam kehidupan. Ramai orang tersilap sangka, minta porn, terima porn, kemudian menunggu bulan jatuh ke riba. Usah tutup mata tutup teliga dalam perkara ini. Biksu sendiri mesti tahu dan sedar kebenaran ini. Gunakan akal fikiran dan daya pemahaman untuk menerima perkara baik, kemudian mengamalkannya agar ia menjadi porn yang sempurna. Kebaikan (porn) datang daripada amalan baik. Oleh itu memahami maksud porn yang dilafazkan oleh biksu itu sangat penting, kalau tidak, bagaimana untuk mengamalkannya. Misalnya, ayu wanno sukkhang palang tahukah maksudnya? Kalau tak tahu bagaimanana hendak mengamalkannya?

Perkara “hai porn” sebenarnya berpasangan dengan “hai sin” (sila). Sila berkaitan dengan peraturan moral atau disiplin asas yang mesti dipatuhi oleh manusia. Sila kadang-kadang dilakukan dengan memaksa diri. Tetapi porn diamalkan secara suka rela, siapa amalkan banyak dia dapat banyak. Sila umpama tapak atau asas kepada kebaikan, manakala porn adalah kebaikan atau kemajuan lebih tinggi. Oleh itu menjadi tanggungjawab biksu supaya sila dan porn diberi dan diterima dengan betul dan sempurna agar hak mendapatkan sara hidup secara percuma daripada orang ramai tidak tergugat.

Perkara seterusnya berkenaan mengucapkan terima kasih kepada Buddha terlebih dahulu sebelum makan. Kedengarannya seperti agama langit kerana kena berterima kasih kepada Dewa terlebih dulu baru makan. Sebenarnya bukan agama langit atau apa, melainkan untuk menunjukkan sikap membalas budi terhadap Buddha. Setakat tenaga dan kebijaksanaan kita, masyarakat tak akan memberi makan atau memberi barangan keperluan lain secara percuma. Kerana jasa Buddha masih melindungi kepala kita, kita boleh makan percuma; tidur sehari suntuk tanpa membuat apa-apa langsung masih boleh makan percuma. Ini menunjukkan jasa Buddha itu terlalu banyak dan tersebar luas. Kesedaran ini mesti ada sebelum kita makan. Kerana parami Buddha, kita dilayan sebegitu istimewa. Oleh itu kita mesti berterima kasih kepada Buddha, bukan dengan ucapan “terima kasih” semata-mata tetapi dengan “mengamalkan perkara yang betul” sebagaimana dikehendaki Buddha.


Dhatu-Kammatthana (Thai: Dhat-Kammatthan)

Dhatu-Kammatthana (Penghayatan ke atas 4 keperluan asas) bukan sekadar untuk biksu baru, tetapi biksu lama juga.


Pakaian - Jivorn yang kita pakai hanya untuk menghilangkan kesejukan, melindungi tubuh daripada kepanasan, daripada gigitan serangga seperti pijat, nyamuk dan binatang merangkak atau menjalar yang lain serta untuk menutupi tubuh agar tidak terdedah. Jivorn bukan untuk kecantikan.

Makanan - Makanan yang kita makan bukan untuk selera, seronok, ketagih atau untuk melahirkan kekuatan fizikal tetapi untuk mengekalkan tubuh badan, menghilangkan kelaparan demi mengamalkan brahma-cariya. Makanan yang memadai dapat menghapuskan kesengsaraan lama (kelaparan); mengelakkan daripada kesengsaraan baru (terlalu kenyang); mendatangkan keselesaan tubuh; dan melenyapkan masalah berkaitan kelaparan.

Kediaman - Kediaman yang kita diami hanya untuk melindungi diri daripada kesejukan, kepanasan, gigitan serangga, pijat, nyamuk, cahaya matahari, hujan, binatang menjalar dan merangkak; mengelakkan bahaya daripada cuaca; dan untuk menjadi insan yang sudi tinggal di tempat terpinggir untuk mengamalkan pembangunan minda (bhavana).

Ubat-ubatan - Ubat yang kita makan hanya untuk menghapuskan derita daripada kesakitan atau penyakit agar menjadi orang yang tidak berpenyakit.

Buad betul-betul, belajar bersungguh-sungguh, beramal dengan tekun, pasti terima hasil yang baik, kemudian mengajar orang lain dengan betul juga, nescaya dapat melanjutkan usia agama Buddha. Keupayaan melanjutkan usia agama Buddha, membuatkan pabbajjit mempunyai hak untuk menerima dan menggunakan barang pemberian. Untuk melanjutkan usia agama Buddha, seseorang pabbajjit atau biksu harus mengamalkan dhamma-vinaya demi mencapai magga-phala. Untuk mencapai magga-phala, seseorang biksu mesti buad betul-betul tanpa mempedulikan perkara keduniaan yang lain. Sebab itulah biksu yang mencurahkan tenaga sepenuh hati dalam pengamalannya tidak perlu memikirkan kerjaya kerana dia ada hak untuk menerima sara hidup daripada orang ramai. Dia tidak perlu membayar balik kerana dia tidak berhutang. Oleh itu, biksu yang tulen ada hak untuk terima barang pemberian, terima hormat, terima sembah daripada penduduk dunia. Malah ada hak untuk menjalani kehidupan suci (phroma-chan) tanpa gangguan demi magga- phala-nibbana.

Biksu semua sentiasalah sedar akan “hak” dan sentiasalah berusaha mengekalkan hak tersebut supaya tidak “jadi lembu atau kaldai” yang bodoh. Kesimpulannya mengamalkan dhamma-vinaya yang betul akan memberikan biksu hak yang betul juga untuk menerima dan menggunakan barang pemberian tanpa perlu membayar balik.

===============================================================
(Penghayatan dhatu-kammatthana merupakan perkara berkaitan anatta-nupassana; perkara berkaitan dengan pembebasan minda; dan perkara berkaitan penglihatan terang (paññâ) tentang vipassana tahap tertinggi. Oleh sebab dianggap remeh, ramai biksu mengabaikan perkara ini) - penterjemah.

Matlamat Amalan Buad

Hakikatnya, apabila bercakap pasal matlamat amalan buad yang sebenar-benarnya, ia tidak ada kaitan dengan adat tradisi atau kebaikan 3 perkara yang diterangkan sebelum ini. Matlamat yang sebenar yang tulen ialah untuk mencapai mark-phon-nippan (magga-phala-nibbana). Memang betul lazimnya manusia mampu mencapai mark-phon-nippan melalui pengamalan dhamma-vinaya, tetapi kalau berada dalam gharavas, pencapaiannya amat perlahan dan lambat atau mungkin gagal sama sekali. Walaupun gharavas tersebut mempunyai kesungguhan dan ketekunan, tetapi halangannya tetap ada. Gharavas mesti bekerja, bertanggungjawab ke atas keluarga dan sebagainya. Semuanya akan melambatkan atau membantutkan usaha gharavas untuk mencapai magga-phala-nibbana. Setelah menjadi pabbajjit, halangan seperti gharavas tidak ada. Oleh itu pabbajjit dapat mengamalkan phroma-chan dengan selesa dan dapat mencapai hasil dengan cepat. Inilah matlamat sebenar pabbajja, iaitu untuk mencapai magga-phala-nibbana dengan cepat.

Perkara yang harus diawasi adalah setelah meninggalkan rumah, pabbajjit menjadi individu tanpa rumah - mesti mempunyai hati seperti individu yang benar-benar tak ada rumah. Mesti tinggalkan semua perlakuan, pertuturan dan pemikiran gharavas.

Buddha ada memberikan nasihat untuk kita semua renungkan bersama: “Oh, Biksu, anda semua jangan lalai dalam usaha melakukan perkara berfaedah!”

Perkara ini dapat difahami dengan mudah bahawa melakukan perkara berfaedah kepada diri sendiri dan orang lain merupakan matlamat Buddha. Sekiranya kita bukan orang yang lalai sebagaimana dikatakan Buddha, kita mesti berusaha melakukan perkara berfaedah kepada diri sendiri dan orang lain dengan tekun tanpa sempadan. Suasana kehidupan pabbajjit amat sesuai untuk melakukan perkara tersebut. Walaupun melakukan perkara berfaedah kepada orang lain tanpa mengira sempadan merupakan perkara yang sukar dan penuh rintangan, tetapi telah dibuktikan pabbajjit berjaya melakukannya. Pabbajjit mengembangkan ajaran Buddha ke seluruh dunia. Kehidupan yang bebas daripada kejahatan dapat membawa seseorang insan ke puncak kehidupan atau matlamat terakhir kehidupan. Insan yang telah berjaya menewaskan perasaan tidak bermoral yang lahir daripada naluri, seharusnya menggunakan peluang ini untuk membuat kebaikan kepada orang lain; tidak rugi dilahirkan sebagai manusia dan berjumpa dengan agama Buddha.

Manusia sememangnya harus melakukan perkara yang lebih mulia daripada sekadar makan, tidur, takut tidak selamat dan keinginan seks yang merupakan 4 perkara yang ada juga pada binatang. 4 perkara ini ada pada manusia dan binatang, tetapi “dhamma” sahaja yang membezakan manusia daripada binatang. Keluarkan “dhamma”, manusia dan binatang tidak ada perbezaan.

Intipati atau roh (viññâna) dalam amalan buad itu terletak pada kepantasan dan keluasan tanpa sempadan usaha melakukan perkara berfaedah kepada diri sendiri dan orang lain oleh individu yang berhati mulia. Individu berhati mulia sanggup berkorban kehidupan berumah tangga (keluarga) untuk menjalani kehidupan tanpa keluarga. Para pabbajjit mesti berusaha memahami intipati yang merupakan roh kepada amalan pabbajja.

Semua orang yang jadi biksu dalam agama Buddha mesti menjaga kehormatan diri sebagai anak Buddha (Sakya Putra) dengan berusaha mencapai matlamat biksu atau pabbajjit!

Dhamma (9) Lokuttara Dhamma

(Terjemahan Karya Buddhadasa Bhikhu - Suan Mokkha Palaram)


Melepaskan Diri dari Dunia.

Vipassana merupakan proses pembangunan minda untuk mengangkat minda ke tahap tertinggi yang tidak tercapai oleh kesengsaraan. Minda bebas daripada kesengsaraan kerana pengetahuan terang (benar) bahawa tiada sebarang benda patut dimiliki. Oleh itu benda di dunia tidak berkuasa mempengaruhi hati kita supaya lahir perasaan “suka” atau “benci.” Keadaan di mana minda berada di atas jangkauan keduniaan, dipanggil lokuttara-bhumi. Untuk memahami lokuttara-bhumi (bukan duniawi), kita kena memahami lokiya-bhumi (duniawi) terlebih dahulu kerana kedua-dua membawa maksud yang bertentangan.

Lokiya-bhumi ialah tahap minda yang masih dikuasai oleh duniawi, atau keduniaan berada di atas minda. Keadaan ini terbahagi kepada 3 jenis, iaitu:

(1) Kâma-vacara-bhumi - tahap minda yang masih memerlukan perasaan yang memikat hati (kâmarom);

(2) Rupa-vacara-bhumi - tahap minda yang bebas daripada perasaan yang memikat hati (kâmarom), tetapi masih terikat dengan kebahagiaan yang lahir daripada jhana samadhi yang menggunakan material (rupa) sebagai objek tumpuan;

(3) Arupa-vacara-bhumi - tahap minda yang lebih tinggi, tetapi masih terpesona dengan kebahagiaan dan ketenangan daripada jhana samadhi yang menggunakan perkara bukan material (arupa) sebagai objek tumpuan.

Bhumi dan bhava boleh disusun mengikut pasangan. Bhumi bermaksud tahap minda. Bhava bermaksud keadaan yang sesuai sebagai “tempat tinggal” minda pada tahap tertentu. Oleh itu, pasangan tahap minda dan keadaan yang sesuai sebagai tempat tinggal minda adalah seperti berikut;

kâma-vacara bhumi berpasangan dengan kâma-vacara-bhava;

rupa-vacara-bhumi berpasangan dengan rupa-vacara-bhava;

arupa-vacara-bhumi berpasangan dengan arupa-vacara-bhava.

Istilah bhumi bermaksud “tahap” minda, manakala bhava bermaksud “keadaan” yang sesuai sebagai tempat tinggal minda. Jadi, terdapat 3 bhumi dan 3 bhava.

Lokiya-bhumi adalah tahap minda bagi makhluk biasa walaupun panggilan berlainan, misalnya manusia, dewa, Phrom (Brahma), binatang, peta atau penghuni neraka, semuanya berada di antara 3 tahap minda duniawi.

(Maklumat Tambahan: Walaupun terdapat 3 tahap minda, tetapi kadar kehalusan dan kesuciannya amat ketara antara satu makhluk dengan makhluk lain. Misalnya, Phrom sudah bebas sepenuhnya daripada minda kâma-vacara-bhumi)
Seseorang di dunia ini mungkin mindanya berada di mana-mana satu tahap pada satu-satu masa. Ini bukan perkara luar biasa. Tetapi kebanyakannya berada di tahap kâma-vacara-bhumi. Maksudnya, minda manusia lazimnya berada di bawah kuasa perasaan yang mempesonakan, menghairahkan, menikmatkan dan memuaskan hati yang datang daripada fikiran atau khayalan atau daripada pancaindera. Tetapi pada sesuatu ketika, manusia mungkin bebas daripada kuasa perasaan tersebut kerana minda tertumpu kepada ketenangan yang lahir daripada samadhi yang menjadikan kebendaan yang positif (rupa) atau bukan kebendaan (arupa) sebagai objek tumpuan. Oleh itu, kadang-kala minda kita berada di tahap rupa-vacara-bhumi atau arupa-vacara-bhumi. Di India pada zaman Buddha, terdapat ramai individu (resi, jogi atau pertapa) yang minda mereka berada di tahap rupa-vacara-bhumi dan arupa-vacara-bhumi. Mereka amat berminat mencari kebahagiaan daripada rupa-vacara dan arupa-vacara. Tetapi sekarang terlalu sedikit. Walau bagaimanapun perkara ini bukan mustahil untuk dicapai oleh orang biasa.

Sekiranya pada sesuatu waktu minda seseorang itu berada di tahap (bhumi) mana, keadaan (bhava) tempat tinggal orang tersebut mempunyai nama yang sama dengan tahap mindanya. Sebagai contoh, sekiranya seseorang individu di dunia ini sedang menikmati kebahagiaan daripada rupa-vacara-bhumi dalam meditasinya, dunia ini menjadi rupa-vacara-bhava bagi individu tersebut kerana dia tidak ada perasaan lain lagi kecuali yang berkaitan dengan rupa-vacara-bhumi. Keadaan dunia ketika ini bagi dia sama nilainya dengan keadaan rupa-vacara-bhava sehinggalah hati dan mindanya berubah (tukar ke tahap lain).

Makhluk yang menghuni di 3 tahap (bhumi) tersebut di atas, walaupun sudah sampai tahap tertinggi sehingga berjaya mendapat kebahagiaan dan ketenangan jenis yang diibaratkan seolah-olah seperti ketul batu, ketul tanah atau potong kayu tetapi mereka masih bersikap pentingkan diri, dan masih ada pelbagai jenis nafsu termasuk nafsu paling halus iaitu benci kepada keadaan (bhava) yang didiaminya. Oleh itu, mereka tidak pernah puas dan terus mencari keadaan (bhava) tempat tinggal yang baru. Kadang-kala mereka ini melakukan perbuatan-perbuatan keduniaan tertentu mengikut hawa nafsu dan kemahuan. Sebab itulah mereka dikatakan belum bebas daripada keduniaan, maka dikategorikan ke dalam lokiya-bhumi.

Manakala lokuttara-bhumi itu merupakan minda yang melepasi duniawi kerana telah memahami hakikat keduniaan yang tiapa apa-apa yang kekal. Hati tidak memerlukan apa-apa yang ada di dunia. Mereka yang tinggal di tahap lokuttara-bhumi ini mengikut agama Buddha terbahagi kepada 4 tingkat, iaitu (1) Sodapanna; (2) Sakadagami; (3) Anagami; (4) Arahat.

Istilah “lokuttara” bermaksud “melepasi keduniaan” atau “bukan duniawi”. Yang dikatakan melepasi keduniaan atau bukan duniawi ialah minda, bukan tubuh badan. Tubuh badan tinggal di mana pun boleh asalkan sesuai dengan minda yang sudah mencapai lokuttara-bhumi. Bagi dunia yang lebih rendah seperti neraka, dunia syaitan (maksiat, judi, mabuk), dunia penghukuman dan pemulihan seperti penjara atau lokap bukan keadaan (bhava) yang sesuai untuk didiami Ariya-Puggala.

Lokuttara-bhumi dibahagikan kepada 4 tingkat dan perkara yang membezakan 4 tingkat ini ialah kilesa yang belum dibersihkan. Kilesa dalam hal ini dibahagikan kepada 10 jenis yang dipanggil samyojana yang bermaksud merantai atau membelenggu. Samyojana 10 jenis inilah yang merantai manusia atau haiwan agar melekat pada duniawi. Untuk melepaskan diri dari duniawi, manusia mesti memutuskan rantaian tersebut berperingkat-peringkat.

Kilesa yang halus yang mengikat kita dengan 10 jenis samyojana tersebut, adalah seperti berikut: (1)Sakkaya-ditthi, (2)Vicikicca, (3)Silabbata-paramasa, (4)Kâma-raga, (5)Patigha, (6)Rupa-raga, (7)Arupa-raga, (8)Mana, (9)Uddhacca, (10)Avijja.

(1) Sakkaya-ditthi - bermaksud mempercayai bahawa tubuh badan ini milik kita. Kesilapan ini atau pegangan salah ini melahirkan tanggapan “diri aku” ada. Kesilapan ini ada di mana-mana kerana kita tidak nampak kebenaran hakiki melainkan mental dan fizikal yang kita nampak dan kita anggap “diri kita” dan “milik kita”. Naluri “ada diri” ini memang kuat sehingga semua orang berfikir bahawa dia “ada diri” dan “memiliki diri”. Dan naluri inilah yang menjadi titik permulaan bagi meneruskan kehidupan. Sebab “ada aku”, maka aku mesti menjaga diriku, mencari makanan, mencari pasangan dan lain-lain. Tetapi yang dipanggil sakkaya-ditthi merupakan tahap “ada diri” yang agak keterlaluan yang menjadi punca lahirnya perasaan pentingkan diri jenis yang kuat. Inilah kilesa pertama yang mesti dibersihkan.

(2) Vicikicca - bermaksud keraguan yang menjadi penyebab kepada perasaan tidak pasti, atau was-was dalam membuat keputusan. Keraguan di sini cuma berkaitan dengan jalan suci (ariya-magga) untuk membebaskan diri daripada kesengsaraan (dukkha) sahaja. Keraguan tersebut meliputi beberapa perkara seperti; Jalan suci itu sebenarnya bagaimana? Jalan suci itu sesuai atau tidak dengan diri kita? Adakah jalan suci itu lebih suci daripada jalan lain? Betul-betul boleh dilakukan? Buddha merupakan orang yang betul-betul suci dan tahu segala benda? Betulkah Buddha sudah melepasi kesengsaraan? Ajaran Buddha dan pengamalan mengikut ajaran tersebut benar-benar boleh memadamkan kesengsaraan? Dan Ariya Sangha memang boleh bebas daripada kesengsaraan? Keraguan-keraguan ini akan melambat dan membantutkan pengamalan suci kita.

Penyebab kepada keraguan atau ketidakpastian ini ialah kejahilan. Umpama ikan yang tinggal di dalam air apabila ada orang memberitahunya tentang keadaan di darat tentu ia tidak percaya. Kalau percaya pun separuh-separuh, itupun dengan was-was. Orang yang tenggelam di dalam hawa nafsu pun sama seperti ikan di dalam air. Apabila diberitahu tentang keadaan yang tiada hawa nafsu atau bebas daripada hawa nafsu tentu dia tidak percaya kerana dia tidak berupaya memahaminya. Fikiran tahap rendah sudah ada dalam kotak fikiran kita sejak dulu, tetapi fikiran tahap tinggi mesti dipupuk dari masa ke masa. Pertentangan antara fikiran tahap tinggi dengan fikiran tahap rendah inilah yang membentuk keraguan. Sekiranya semangat tidak cukup kuat, fikiran tahap rendah akan menang. Keraguan dan ketidaktentuan kita dalam membuat kebaikan merupakan tabiat semulajadi manusia. Manakala mereka yang diasuh dan dididik secara salah, keraguan pasti lebih banyak. Oleh itu kita mesti berfikir secara mendalam tentang keraguan hati berkaitan dengan kehidupan harian, pekerjaan, kebaikan dan kesengsaraan.

(3) Silabbata-paramasa (Silabot-pramas) - bermaksud pegangan terhadap amalan, peraturan, rukun moraliti dan ritual yang salah atau terpesong dari arah tujuannya. Kita selalu tersilap faham terhadap perkara yang diamalkan sejak zaman berzaman, terutama yang berkaitan dengan adat resam. Oleh itulah kebanyakan kita percaya kepada perkara-perkara yang salah yang bukan jalan pembebasan minda yang sebenar. Amalan dan ritual atau upacara tradisi yang diwarisi nenek moyang itu kebanyakannya tergolong ke dalam silabbata-paramasa.

Malah pengamalan murni dalam agama Buddha sendiri, kalau tersalah tanggapan bahawa ia boleh mendatangkan kuasa luar biasa juga termasuk di dalam kilesa jenis ke- 3 ini. Sebagai contoh, amalan menjaga sila (sila-sikkha) dan menjalani Kehidupan Suci (Brahma-cariya) sebenarnya untuk menghapuskan kilesa. Tetapi kalau tersalah faham bahawa pengamalan itu boleh mendapatkan kuasa luar biasa dan menggunakan kuasa tersebut untuk menghapuskan kilesa, sudah dikira menyimpang daripada tujuan sebenar. Setiap pengamalan atau perbuatan dalam keagamaan mesti dengan tujuan yang betul, iaitu tujuan asal sebagaimana diajarkan oleh Buddha.

Malahan, mengambil dan menjaga rukun moraliti (Sila 5, Sila 8, Sila 10, Sila 227 dan lain-lain) atau mengamalkan sikkha dengan niat untuk lahir menjadi devata di syurga, tidak dinafikan lagi bahawa ia perbuatan salah kerana terpesong daripada tujuan asal dan menyebabkan sila atau Brahma-cariya tidak sempurna. Tujuan Sila 227 (vinaya) adalah untuk menghapuskan kilesa yang kasar di badan (perlakuan) dan di mulut (pertuturan) supaya dapat menjadi asas kepada samadhi dan paññâ, bukan untuk lahir di syurga! Keadaan ini membuatkan sila jadi kotor dengan pegangan dan fikiran salah. Perkara berkaitan dengan dana (pemberian), sila, samadhi, dan vipassana kalau dilakukan dengan niat yang terpesong, maka ia dianggap perkara yang terkeluar dari landasan agama Buddha.

Oleh itu, harus difahami betul-betul setiap amalan yang terdapat di dalam agama Buddha kerana kalau diamalkan dengan niat yang terpesong kerana dipengaruhi oleh hawa nafsu akan menjadi silabbata-paramasa. Malahan perkara kecil-kecil yang selalu kita lakukan seperti membaca paritta/katha (Thai:suat mon), buat pahala (Thai:tambun), memberi dana kepada Sangha (Thai:Sanghadan) dan sebagainya mesti dilakukan dengan tujuan yang betul. Kalau tersalah tujuan, atau niat terpesong dari matlamatnya maka termasuklah ke dalam kategori silabbata-paramasa. Mereka yang bergelar bijak pandai di bidang agama Buddha sendiri ramai yang terjerumus. Satu lagi, ritual mempersembahkan set makanan untuk santapan viññâna Buddha merupakan perbuatan yang seratus peratus salah tanpa keraguan lagi.

Perkara berkaitan pengamalan salah atau terpesong daripada tujuan sebenar terdapat di mana-mana di kalangan penganut agama Buddha. Perkara yang dilakukan kerana kedaifan ilmu itu telah merosakkan kaedah pengamalan sedia ada yang begitu kemas dan murni.
Kita dapati kilesa jenis ini berpunca daripada kesesatan (moha) yang menyebabkan kita tersilap faham dan tersalah tindak. Dari kecil kita dididik dan diajarkan benda-benda yang salah menyebabkan kita percaya kepada benda salah. Di sini tidak usah diceritakan secara panjang lebar kerana akan menyentuh hati dan perasaan orang lain. Sebagai penganut agama Buddha, berfikir-fikirlah secara matang dan telitilah diri sendiri mengikut apa yang diterangkan.

Kilesa 3 jenis iaitu sakkaya-ditthi, vicikicca dan silabbata-paramasa, seandainya berjaya kita tinggalkan, maka kita akan memasuki alam lokuttara tingkat pertama, iaitu Sodapanna.

Usaha menghapuskan kilesa 3 jenis ini tidak seharusnya dianggap sukar kerana ketiga-tiganya merupakan perkara yang disifatkan sebagai tidak bertamadun yang dianuti orang “barbarian”. Orang yang bertamadun dan ada ilmu pengetahuan yang baik tidak seharusnya ada kilesa 3 jenis ini. Kalau ada, bermakna minda orang tersebut belum bertamadun. Orang yang dapat meninggalkan kilesa 3 jenis ini baru dapat dipanggil ariya-chon (bertamadun), tetapi kalau belum meninggalkannya masih jadi orang biasa, orang terkeliru atau panggilan terbaik ialah putu-chon. Putu-chon bermaksud “orang yang ada kain tebal menutupi mata.” Putu bermaksud tebal. Putu-chon bermaksud “orang tebal iaitu tebal dengan perkara yang menutup mata akal.”

Individu yang telah meninggalkan kilesa 3 jenis di atas mempunyai minda yang bebas daripada ikatan keduniaan. Kilesa 3 jenis ini merupakan “rantai” yang mengikat minda agar terlekat pada dunia dan penghadang yang menutupi mata akal daripada melihat kebenaran. Setelah berjaya meninggalkan kilesa 3 jenis ini maka individu itu sudah terlepas dan terapung melepasi keduniaan, lalu memasuki alam Ariya-Puggala tingkat pertama, iaitu Phra Sodapanna, yang bermaksud individu yang mula sampai “arus Nibbana” dan pasti akan sampai Nibbana dalam masa akan datang.

Lokuttara-bhumi tingkat kedua dicapai oleh individu yang sudah berjaya meninggalkan kilesa 3 jenis di atas, berjaya mengurangkan ketamakan (lobha), kemarahan (dosa) dan kesesatan (moha), mempunyai minda yang tinggi, dan ada perhubungan atau pergaulan dengan kâma-bhava dengan kadar yang terlalu sedikit. Individu ini dinamakan Phra Sakadagami yang akan dilahirkan ke dunia ini sekali sahaja lagi.

Sebelum itu kita harus memahami maksud Phra Sodapanna terlebih dahulu barulah senang memahami maksud Sakadagami. Sodapanna bermaksud individu yang mula sampai arus. Arus apa? Arus Nibbana. Maksudnya, Phra Sodapanna merupakan individu yang mula sampai arus Nibbana sahaja, belum sampai Nibbana. Arus Nibbana mengalir ke arah Nibbana seperti arus sungai yang mengalir ke laut. Sekiranya minda sudah sampai arus ini, pasti akan sampai Nibbana.

Apabila sudah sampai arus, sudah pasti akan sampai Nibbana dalam masa akan datang walaupun mungkin mengambil masa tertentu, namun tetap akan sampai Nibbana. Manakala Phra Sakadagami lebih hampir dengan Nibbana kerana tinggal sedikit sahaja perasaan terhadap keduniaan. Sekiranya dilahirkan semula sebagai manusia, hanya sekali sahaja lagi kerana loba, dosa dan moha sudah nipis walaupun belum bersih sepenuhnya.

Tingkat ketiga dipanggil Phra Anagami. Ariya-Puggala tingkat ini selain berjaya meninggalkan kilesa sebagaimana Phra Sakadagami, juga telah meninggalkan samyojana ke-4 (kâma-raga) dan samyojana ke-5 (patigha).

Kâma-raga bermaksud benda atau perkara yang memikat perasaan yang ditinggalkan tidak habis (bersih) oleh Phra Sodapanna dan Phra Sakadagami. Walaupun sudah berjaya meninggalkan sakkaya-ditthi, vicikicca dan silabbata-paramasa, tetapi masih ada perasaan tertentu terhadap benda atau perkara yang disukai. Setelah sampai tingkat ke-3, iaitu Phra Anagami, semua kâma-raga berjaya ditinggalkan.

Manakala kilesa yang dipanggil patigha (perasaan marah atau tidak puas hati), telah berjaya dibersihkan Phra Sakadagami, tetapi ada sedikit tertinggal seperti perasaan kurang selesa dan sedikit resah gelisah yang hanya berjaya dibersihkan oleh Phra Anagami. Oleh itu Phra Anagami merupakan insan yang telah berjaya membersihkan kâma-raga dan patigha sepenuhnya.

Yang dinamakan kâma-raga atau keadaan melekat kepada kâma telah diterangkan di dalam kâmupadana. Kilesa jenis ini lazimnya terperap di lubuk hati dan terlalu liat untuk dibersihkan oleh orang biasa. Semua benda yang menjadi kesukaan atau kenikmatan sama ada melalui mata, telinga, hidung, lidah, atau badan dalam bentuk apa, kategori mana dan tahap mana semuanya dinamakan kâma. Apabila hati atau minda masih terpengaruh (ada kemahuan) dengan benda atau perkara yang mendatangkan kesukaan, keseronokan, kenikmatan, kepuasan dan sebagainya, dinamakan kâma-raga.

Manakala patigha merupakan perasaan tidak berpuas hati. Kalau berpuas hati jadi kâma-raga, kalau tidak berpuas hati jadi patigha. Kebanyakan orang berada dalam dua perasaan ini. Patigha boleh terjadi walaupun dengan benda yang tidak bernyawa. Perasaan tidak berpuas hati boleh juga terjadi kepada benda yang kita lakukan sendiri atau yang lahir dari fikiran sendiri. Manakala perasaan marah, benci dan dendam merupakan patigha tahap keterlaluan yang kebanyakannya telah berjaya ditinggalkan oleh Ariya-Puggala tahap sebelumnya. Yang masih tertinggal untuk dibersihkan oleh Phra Anagami adalah gelombang perasaan yang halus, malah terlalu halus sehingga sukar dilihat dari luaran. Atau keadaan keruh di dalam hati yang tidak dapat dibaca melalui reaksi muka. Sebagai contoh, keadaan kurang selesa, resah, atau tidak berpuas hati terhadap benda atau orang tertentu. Semua perasaan ini terpendam di dalam hati dan sukar diketahui orang lain kerana ia terlalu halus dan tidak mempengaruhi perlakuan fizikal. Insan yang telah berjaya membersihkan semua patigha, merupakan insan yang patut dihormati (puja) atau insan yang amat istimewa.

Kilesa 5 jenis pertama masih dianggap kilesa tahap rendah. Sakkaya-ditthi, vicikicca, silabbata-paramasa, kâma-raga dan patigha telah dibersihkan oleh Ariya Puggala tingkat ke-3. Oleh kerana tiada kâma-raga yang tertinggal lagi, maka Phra Ariya jenis ini tidak akan kembali ke kâma-bhava lagi. Oleh sebab itulah Anagami bermaksud insan yang tidak akan kembali lagi melainkan akan terus maju ke depan sehingga menjadi Phra Arahan atau Nibbana, atau bhava lain yang tiada kaitan dengan kâma, misalnya rupa-bhava atau arupa-bhava. Manakala kilesa 5 jenis lagi hanya dapat ditinggalkan kesemuanya oleh Phra Arahan.

Kilesa seterusnya samyojana ke-6 iaitu rupa-raga yang bermaksud perasaan suka, sayang dan berpuas hati dengan kebahagiaan yang lahir daripada rupa-jhana seperti golongan Yogi yang menjadikan material (rupa) sebagai “objek” tumpuan. Phra Ariya 3 tingkat sebelum ini tidak berjaya meninggalkan kebahagiaan yang lahir daripada rupa-jhana. Tetapi akan dapat dibersihkan setelah mencapai Ariya tingkat ke-4 iaitu Phra Arahatta. Ketenangan dan kebahagiaan yang lahir daripada rupa-jhana yang suci memang memikat hati, malah boleh diibaratkan sebagai “Nibbana percubaan”. Nibbana percubaan ini mempunyai “rasa” yang lebih kurang sama dengan Nibbana sebenar, cuma ia dapat “dikecapi” dalam masa yang singkat. Ia dapat “dikecapi” ketika kilesa tenang kerana kuasa jhana, bukan kerana kilesa telah padam atau bersih. Setelah habis kuasa jhana (keluar dari jhana), kilesa datang balik. Sewaktu kilesa tenang kerana kuasa jhana, minda lapang dan bebas, dan mengecapi “rasa” seperti “rasa” Nibbana yang sebenar. Hal inilah yang menjadi punca hati terlekat kepada kuasa jhana. Malah pada satu era dahulu keadaan begini pernah disifatkan sebagai Nibbana.

Kilesa ke-7 yang lebih halus dinamakan arupa-raga yang membawa maksud rasa puas hati dan tertarik hati kepada kebahagiaan yang lahir daripada arupa-jhana sebagaimana kilesa ke-6. Perbezaannya kerana tingkat ini lebih halus dan seni. Jhana yang menjadikan material (rupa) sebagai objek tumpuan akan mendapat kebahagiaan daripada material. Kebahagiaan ini lebih kasar berbanding dengan menjadikan bukan material (arupa) sebagai objek tumpuan (umpamanya, menjadikan kekosongan sebagai objek tumpuan), akan melahirkan keadaan yang sangat tenang atau hening. Jauh lebih tenang dan lebih halus daripada ketenangan yang didapati daripada rupa-jhana. Rasa puas hati dan tertarik dengan kebahagiaan ini dinamakan arupa-raga. Oleh itu individu yang mahu menjadi Phra Arahan tidak boleh melekat kepada apa-apa kebahagiaan (sukha-vedana) tidak kira sama ada kebahagiaan itu lahir daripada luaran atau dalaman (samadhi-vipassana).

Lazimnya, Phra Arahan memahami hakikat anicca, dukkha dan anatta dalam semua jenis perasaan. Oleh itu Phra Arahan tidak tertarik dengan sebarang perasaan, sebab itulah berjaya meninggalkan rupa-raga dan arupa-raga. Yogi atau resi yang mengambil rupa atau arupa sebagai objek tumpuan dalam meditasi di hutan belantara tidak berupaya melihat kompleksiti sukha-vedana. Sebab itulah terus melekat dan ketagih dengan kenikmatan jhana. Begitu juga dengan muda-mudi yang melekat dengan kâma-guna (deria lihat, deria dengar, deria bau, deria rasa dan deria sentuh). Kedua-duanya dinamakan “raga”.

Sekiranya anda betul-betul faham tentang lokuttara, kilesa dan samyojana, anda akan rasa sangat hormat kepada insan yang dipanggil Phra Ariya (Ariya-Puggala).

Kilesa ke-8 yang menambat orang agar melekat dengan dunia ialah mâna. Mâna adalah perasaan yang mementingkan keadaan “jadi itu” atau “jadi ini” dalam bentuk perbandingan dengan orang lain, misalnya, “saya lebih lemah daripada dia”, atau “saya sama dengan dia” atau “saya lebih baik daripada dia”. Sekiranya kita rasa kita lebih lemah, kita akan berasa kecil hati. Sekiranya kita rasa kita lebih baik, kita rasa bangga diri. Dan sekiranya kita rasa kita sama, kita akan berfikir ke arah persaingan untuk jadi lebih baik. Perasaan mâna ini tidak sekuat mâna-ditthi yang bermaksud kesombongan atau keangkuhan. Satu hal yang amat sukar bagi individu biasa untuk tidak ada perasaan membandingkan diri dengan orang lain. Kilesa jenis ini diletakkan di tahap ke-9 kerana ia sukar dibersihkan. Sebab itulah Phra Ariya tahap tertinggi sahaja dapat meninggalkannya. Orang berada di tingkat macam kita jauh panggang dari api!

Berperasaan diri lebih baik, atau sama atau lebih buruk daripada orang lain lahir daripada sejenis pegangan tetapi tidak dipanggil upadana, cuma dinamakan mâna. Namun, kalau minda berada “di atas” kebaikan atau kejahatan perasaan ini tidak akan wujud. Kerana minda kita masih kalah kepada nilai kebaikan dan kejahatan, maka wujud perasaan siapa lebih baik, siapa lebih jahat, atau siapa sama dengan siapa. Perasaan ini menggugat ketenteraman hati.

Samyojana ke-9 dinamakan uddhacca yang bermaksud perasaan beriak dan tidak tenang-lenang. Perasaan ini akan bergetar apabila terdapat sesuatu yang menarik hati terlintas di fikiran. Lazimnya, orang ada sesuatu yang diperlukan di dalam hati, terutama yang berkaitan dengan kemahuan “mahu ambil,” “mahu jadi” atau “tidak mahu ambil” dan “tidak mahu jadi.” Apabila ada sesuatu melintasi mata, telinga, hidung, lidah dan badan kita yang “bersesuaian” dengan mana-mana kemahuan hati kita, pasti ada riak di dada, ada rangsang di jiwa; sama ada baik atau jahat. Kita masih ada perkara yang kita mahu dan ada perkara yang kita takut, risau, ragu dan sebagainya. Hati tentu terasa rangsang terhadap apa yang masuk ke dalam fikiran. Kalau perkara itu sesuai dengan nafsu tentu sukar ditenteramkan. Kalau perkara yang sedih, hati akan berasa lesu dan hilang keriangan. Keadaan beginilah yang dinamakan uddhacca.

Phra Ariya 3 jenis yang pertama, masih ada minat dan menaruh hati terhadap sesuatu perkara. Tetapi Phra Arahan tidak ada sebarang minat dan menaruh hati terhadap apa-apa perkara sebab minda sudah tiada kedahagaan terhadap segala benda; tiada kebencian; tiada kebimbangan; tiada keraguan apa-apa lagi. Phra Arahan ada minda yang bebas. Tiada apa yang dapat merangsang, menggoda dan menarik hati kerana sudah tiada kemahuan dan keraguan lagi. Keraguan timbul daripada kemahuan, termasuk mahu tahu tentang sesuatu.

Setelah tiada kemahuan kerana nampak kebenaran tentang segala benda adalah anicca, dukkha dan anatta; tiada apa yang patut diambil dan dijadi, hati tidak tertarik dengan apa-apa lagi. Malah, kalau panahan petir terkena sasaran berdekatan, hati tidak ada sebarang reaksi kerana perasaan takut mati sudah tiada. Atau berlaku kejadian lebih dahsyat, atau penemuan ilmu baru yang menggemparkan dunia, hati tetap tidak berminat kerana semuanya tidak membawa sebarang makna. Minda bebas dan suci. Itulah Phra Arahan.

Kilesa ke-10 dinamakan avijja merupakan tempat kesemua kilesa (jenis yang tidak diberikan nama) berkumpul. Istilah avijja bermaksud “keadaan yang tiada pengetahuan.” Pengetahuan di sini bermaksud pengetahuan yang benar, pengetahuan yang betul mengikut kebenaran hakiki. Biasanya, orang tidak boleh hidup tanpa sebarang pengetahuan. Mustahil orang tidak ada pengetahuan langsung. Tetapi sekiranya pengetahuan itu pengetahuan salah, nilainya sama seperti tidak ada pengetahuan. Oleh itulah orang yang ada kejahilan (avijja) atau ada pengetahuan salah berada dalam kegelapan. Persoalan terpenting dalam kehidupan manusia ialah persoalan tentang apa yang merupakan kesengsaraan sebenar? Apa yang menjadi punca kesengsaraan? Bagaimana keadaan tiada kesengsaraan? Dan mana jalan sebenar yang membawa kepada tiada kesengsaraan? Siapa yang betul-betul tahu, orang itu dinamakan bebas daripada avijja, sebaliknya jadi orang yang ada vijja (ilmu).

Ilmu pengetahuan yang ada di muka bumi ini terlalu banyak, tetapi Buddha berpendapat ilmu berkenaan sebagai ilmu yang “tidak perlu diketahui”. Pencerahan Sempurna Buddha (sammâ-sambodhi) hanya meliputi ilmu pengetahuan “yang perlu diketahui” sahaja. Dalam ilmu pengetahuan yang perlu diketahui ini, Buddha ketahui semuanya. Perkataan sabbaññu (tahu semua) bermaksud mengetahui semua perkara yang perlu diketahui, bukannya meliputi semua perkara yang tidak perlu diketahui. Ilmu pengetahuan “yang perlu diketahui” ialah ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan cara menghapuskan kesengsaraan dunia!

Avijja membuatkan orang tersalah tanggapan terhadap benda yang bersifat kesengsaraan menjadi “kebahagiaan” dan dengan rela hati meneruskan kehidupan di dalam kitaran kesengsaraan tersebut dengan penuh “bahagia.” Salah tanggapan ini menular kepada punca kesengsaraan lalu berpegang kepada benda yang salah sehingga melahirkan kebodohan jenis tutup mata tutup telinga. Ada yang menuduh hantu atau jin atau devata sebagai punca kesakitan atau kecelakaan. Maka terdapatlah yang pergi mencangkung membuat nazar atau niat dengan hantu, jin atau devata. Rasionalnya apabila sakit mestilah diperiksa dan diubati dengan kaedah perubatan yang sesuai. Perbuatan membelakangkan akal inilah yang dipanggil avijja menjadi punca kesengsaraan.

Manakala avijja yang berkaitan dengan cara menghapuskan kesengsaraan ialah tidak tahu cara memadamkan kilesa dan tanha yang merupakan cara menghapuskan kesengsaran yang betul, seperti pepatah memadam api dari pangkal angin. Namun apa yang berlaku sebaliknya. Ramai yang tersilap sangka bahawa keheningan samadhi (jhana) sebagai cara menghapuskan kesengsaraan. Kesilapan ini berlaku sejak zaman Buddha lagi dan berterusan sehingga sekarang. Kadang-kadang ada yang menjadikan perasaan yang menarik hati (kâmarom) sebagai alat menghapuskan kesengsaraan. Malah ada sesetengah orang berpendapat perasaan menarik hati ini penting kerana ia termasuk dalam keperluan asas. Keperluan asas ada 4 jenis iaitu makanan, pakaian, tempat tinggal dan ubat-ubatan. Sekarang ditambahkan satu lagi “perasaan yang menarik hati” menjadi 5 keperluan asas. Aliran yang menjadikan perasaan menarik hati sebagai alat menghapuskan kesengsaraan, sanggup melakukan pengamalan lucah yang memalukan.

Bagi avijja jenis yang tidak kenal jalan untuk menghapuskan kesengsaraan telah mendorong orang melakukan sesuatu mengikut kedaifan hati, kilesa dan tanha. Maka lahirlah golongan yang percaya kepada kuasa luaran - umpamanya menjadikan hantu, jin atau devata di syurga sebagai pelindung sebagaimana kepercayaan animisme dahulu. Walaupun menjadi penganut agama Buddha sejak lahir, tetapi masih sesat sejauh itu kerana kuasa avijja semata-mata. Kuasa avijja telah membutakan mata akal penganut agama Buddha sehingga tidak nampak Jalan Suci (Ariya Magga 8) untuk menghapuskan kesengsaraan. Sebaliknya, menggunakan cara sendiri dengan memasang colok dan lilin dan duduk membuat janji atau membuat nazar di depan benda yang diyakini ada kuasa keramat atau sakti(Thai: sing saksit). Lazimnya, orang memerlukan ilmu pengetahuan, tetapi kalau ilmu pengetahuan jenis yang salah, semakin banyak ada ilmu pengetahuan semakin banyak melakukan kesalahan. Akhirnya ilmu pengetahuan tersebut menjadi ilmu pengetahuan jenis penutup mata (akal).

Istilah “cahaya” juga mesti dijaga kerana mungkin menjadi “cahaya” avijja atau cahaya yang membuatkan mata tersilau, kabur, dan buta. Orang yang berada dalam keadaan begini tidak akan sedar bahawa matanya sedang ditutupi “cahaya” avijja. Dia terus dilamun kemabukan perasaan yang menarik hati, keseronokan deria, dan kenikmatan batin yang disangkakan satu keperluan bagi manusia; keperluan batin yang harus dinikmati sebelum mati. Harapan untuk dilahirkan di syurga kerana mahu mengecapi “kenikmatan syurga” sebagai asas, menyebabkan orang terus melekat kepada perasaan yang memberikan kepuasan. Ini kerana avijja telah membungkus minda sehingga tidak dapat keluar melihat kebenaran dunia.

Dalam Pali (Kitab Tipitaka) ada diibaratkan avijja seperti lapisan tebal yang membungkus dunia supaya tiada siapa dapat melihat cahaya kebenaran. Sebab itu avijja diletakkan sebagai kilesa terakhir. Phra Arahan berjaya membersihkan kilesa 5 jenis terakhir, iaitu rupa-raga, arupa-raga, mâna, uddhacca dan avijja - memutuskan kesemua 10 jenis samyojana, lalu menjadi Phra Arahan - Ariya-Puggala tertinggi dalam agama Buddha.

Ariya-Puggala 4 jenis, iaitu Phra Sodapanna, Phra Sakadagami, Phra Anagami dan Phra Arahan merupakan insan suci yang berada di alam lokuttara. Dhamma yang membawa kepada kesucian dipanggil lokuttara-dhamma, terbahagi kepada 9 jenis, iaitu; Keadaan Phra Sodapanna ketika sedang membersihkan kilesa dipanggil sodapatti-magga (jalan); setelah membersihkan kilesa dipanggil sodapatti-phala (hasil), dalam keadaan berpasangan;

sodapatti-magga - sodapatti-phala
sakadagami-magga - sakadagami-phala
anagami-magga - anagami-phala
arahatta-magga - arahatta-phala
nibbana

Semuanya dipanggil Lokuttara-Dhamma 9.

Insan suci dalam tahap lokuttara mempunyai kesengsaran yang semakin berkurangan mengikut tahap masing-masing sehingga akhirnya tiada langsung. Sekiranya diamalkan Jalan Suci sehingga mendapat pengetahuan terang tentang kebenaran hakiki segala benda sehingga berjaya memadamkan segala kemahuan duniawi, maka akan mendatangkan hasil sebagai lokuttara (bukan duniawi). Setelah mencapai tahap lokuttara, benda duniawi tidak dapat mempengaruhi minda lagi kerana minda sudah berada tinggi melepasi segala keduniaan. Semua kilesa yang menjadi punca segala kejahatan telah padam.

Perkara yang dipanggil Nibbana dalam konteks lokuttara-dhamma bermaksud suatu keadaan yang tidak ada persamaan dengan apa-apa sekali pun; tiada persamaan dengan segala benda di alam ini. Sifatnya amat berlainan daripada sifat semua benda di dunia. Sebagai perbandingan, sekiranya sifat keduniaan itu “dibuang” kesemuanya, maka yang tinggal itulah Nibbana. Sifat dan keadaan Nibbana bertentangan dengan sifat dan keadaan dunia, dan ia tidak terjangkau oleh akal manusia biasa. Ia merupakan keadaan semulajadi yang tidak memerlukan elemen-elemen pembentukan (sankhara). Oleh sebab Nibbana tidak dibentuk oleh sebarang elemen (sankhara), maka ia tidak ada “lahir”, tidak ada “mati” dan “sifatnya” tidak ada perubahan (kekal abadi).

Manakala Nibbana yang bermaksud keadaan yang bebas daripada rantai tambatan; bebas daripada kepanasan api; bebas daripada keseksaan dipukul atau direjam; dan bebas daripada semua jenis kesengsaraan adalah kerana segala kilesa yang mengotori hati telah dibersihkan.

Nibbana merupakan perkara semulajadi yang tiada sempadan, tidak memerlukan tapak, tidak bergantung kepada masa, tetapi wujud dalam sifat sendiri dan berdiri sendiri. Ia tidak sama dengan apa-apa di dunia kerana cahayanya akan muncul dan memancar terang setelah sifat dunia dipadamkan. Untuk memudahkan pemahaman, Nibbana diumpama satu “tempat” yang elemen-elemen pembentukan padam (tiada); oleh itu ia bebas daripada segala taklukan, seksaan, rejaman, dan kepanasan api. Tiada sebarang kuasa di dunia dan di langit yang dapat menaklukinya kerana ia adalah satu-satunya Penyelamatan Sempurna yang ada. Dan inilah destinasi terakhir pengamalan suci penganut agama Buddha!


Kesimpulan

Seperti yang telah diterangkan Buddhisme merupakan ilmu pengetahuan dan kaedah pengamalan untuk mengenali kebenaran alam yang bersifat tidak kekal, sengsara dan tiada diri. Makhluk melekat kepada tarikan dunia kerana pegangan salah. Agama Buddha ada teknik pengamalan yang dinamakan sila, samadhi dan paññã untuk melepaskan pegangan salah. Pegangan (upadana) terhadap rupa, vedana, saññã, sankhara dan viññâna merupakan punca kesengsaraan.

Setelah memahami panca-khandha, barulah memahami segala benda (mental dan fikikal) kemudian berasa bosan terhadapnya. Kebosanan akan mengikis nafsu kemahuan dan meleraikan ketagihan terhadap dunia. Kehidupan mesti diisi dengan kebanggaan dan kegirangan kerana melakukan kebaikan. Kebanggaan dan kegirangan semakin meningkat sehingga mencapai ketenangan dalam samadhi. Setelah samadhi menjadi kukuh, paññâ akan lahir dan kebenaran hakiki akan menjelma di minda. Kebebasan minda bermaksud kebebasan daripada kesengsaraan.

Sekiranya kita memerlukan hasil yang lebih cepat, kita mesti menggunakan pendekatan vipassana. Bermula dari perbuatan suci, hati suci, pandangan suci dan kebijaksanaan suci sehinggalah penglihatan terang suci yang bakal memutuskan kilesa yang menambat manusia pada duniawi. Akhirnya mencapai magga-phala dengan sempurna.

Semua Buddha yang terdahulu, kini dan akan datang menjadikan Nibbana sebagai matlamat terakhir. Oleh itu kita mesti berusaha ke arah mencapai Nibbana dengan sedaya yang mampu barulah dinamakan penganut agama Buddha yang tulen. Kalau tidak, kita sekadar mengetahui dan memahami ajaran Buddha pada lapisan luar sahaja, bukannya teras ajaran yang hanya dapat diketahui melalui penglihatan terang. Semua orang mesti mengenali kilesa masing-masing dan berusaha membersihkannya.

Pelajarilah agama Buddha dengan betul agar tidak membuang masa dilahirkan sebagai penganut agama Buddha. Kalau tidak mencapai Nibbana pun, sekurang-kurangnya, kita boleh menjadi manusia yang sempurna dalam perlakuan, pertuturan dan pemikiran.

Dhamma (8) Vipassana

(Terjemahan Karya Buddhadasa Bhikhu - Suan Mokkha Palaram)


Mengetahui Kebenaran Melalui Disiplin Ilmu

Sekarang akan diterangkan cara mengetahui kebenaran melalui pendekatan disiplin ilmu. Kaedah ini bukan daripada mulut Buddha kerana ia disusun oleh guru (acariya) agama generasi kemudian. Kaedah ini sesuai dengan individu yang bersifat lemah yang tidak nampak kesengsaraan dengan mata hati sendiri. Walau bagaimanapun pendekatan ini bukanlah pendekatan yang lebih istimewa daripada pendekatan cara semulajadi. Malah, sekiranya disemak di dalam Kitab Tipitaka, cara mendapatkan samadhi yang ada cuma cara semulajadi.

Tetapi sesetengah orang menganggap cara semulajadi hanya boleh diamalkan oleh individu tertentu yang telah banyak membuat kebaikan (puñña-parami). Individu begini mampu melihat kebenaran dengan pengamalan ringan atau ala kadar sahaja. Bagaimana pula dengan mereka yang belum cukup menabung kebaikan? Oleh itu, disusun satu kaedah meditasi yang ketat dan mesti ikut semua langkah dari permulaan hingga pengakhiran dengan penuh disiplin.

Kaedah meditasi untuk melihat kebenaranan hakiki ini diberikan nama pada era attha-khata (teks huraian) sebagai “vipassana-dhura” supaya menjadi pasangan kepada “khanda-dhura” yang bererti mempelajari kitab secara langsung. Vipassana-dhura merupakan pembelajaran dari dalam, iaitu “mendidik minda” secara khusus dan tidak berkaitan dengan kitab. Istilah khanda-dhura dan vipassana-dhura tidak ada dalam Kitab Tipitaka versi Pali. Kalau ada pun cuma dalam buku yang ditulis kemudian, seperti dalam teks huraian Dhammabot. Walau bagaimanapun, kita boleh terima vipassana-dhura sebagai usaha bersungguh-sungguh penganut agama Buddha untuk menghapuskan kesengsaraan dengan kaedah penghayatan dan pemikiran secara mendalam.

Kalimat vipassana itu sendiri ada sedikit kekacauan, iaitu dalam sesetengah keadaan dipisahkan pengamalan minda kepada dua bahagian. Satu bahagian untuk melahirkan samadhi, dan satu bahagian lagi untuk melahirkan paññâ. Kemudian diberikan nama untuk bahagian melahirkan samadhi sebagai samatha-bhavana. Manakala bahagian melahirkan paññâ sebagai vipassana-bhavana. Ini menyebabkan maksud vipassana menjadi sempit iaitu berkaitan dengan paññâ sahaja.

Sebenarnya, vipassana-dhura mesti merangkumi samatha-bhavana dan vipassana-bhavana, iaitu termasuk samadhi dan paññâ. Malah meliputi sila sekali walaupun sila bukan kategori bhavana, tetapi memainkan peranan penting dalam melahirkan samadhi. Untuk mudah difahami berkenaan kaedah vipassana, guru agama dahulu menggunakan teknik pertanyaan, seperti berikut:

Apakah yang menjadi asas atau tapak vipassana?

Apakah ciri-ciri yang digunakan untuk mengenal pasti vipassana?

Apakah amalan yang dipanggil vipassana?

Apakah hasil terakhir vipassana?

Apakah asas atau tapak vipassana? Jawapannya ialah sila dan samadhi adalah asas atau tapak vipassana kerana vipassana bermaksud pengetahuan terang dan benar. Pengetahuan ini akan lahir setelah minda seseorang itu ada piti-pamojja , tidak muram malah sentiasa ceria. Dengan sila yang suci baru ada piti-pamojja. Dalam Pali Macchima-nikaya ada disebutkan bahawa kesucian sesuai untuk pengamalan dari peringkat ke peringkat sehingga cukup 7 peringkat; iaitu mendapat magga-phala (jalan dan hasil).

Dalam peringkat kesucian 7 perkara, Sila merupakan perkara pertama yang dipanggil sila-visuddhi.

Kesucian dalam perlakuan dan pertuturan akan melahirkan citta-visuddhi iaitu kesucian minda.

Kesucian minda akan melahirkan ditthi-visuddhi, iaitu kesucian dalam pandangan.

Kesucian dalam pandangan akan melahirkan kankha-vitarana-visuddhi, iaitu kesucian pengetahuan yang akan melangkahi keraguan (was-was).

Kesucian pengetahuan yang telah melangkahi keraguan, melahirkan maggamagga-ñânadassana-visuddhi, iaitu kesucian pengetahuan terang tentang yang mana jalan benar dan yang mana bukan jalan benar.

Kesucian pengetahuan tentang jalan benar dan bukan jalan benar melahirkan patipada-ñânadassana-visuddhi, iaitu kesucian dalam pengetahuan terang tentang jalan pengamalan yang betul.

Kesucian dalam pengetahuan terang tentang jalan pengamalan yang betul melahirkan ñânadassana-visuddhi, merupakan peringkat akhir, iaitu ariya-magga yang berpasangan dengan ariya-phala; hasil (phala) lahir daripada jalan (magga) adalah satu kepastian. Oleh itu ariya-magga diletakkan sebagai peringkat akhir dalam pengamalan.

Sila bermakna perbuatan baik melalui perlakuan dan pertuturan. Sekiranya perlakuan dan pertuturan masih tidak normal, bererti belum sempurna dalam sila sebagaimana maksud sebenarnya. Setelah ada keadaan normal, iaitu tenang dalam perlakuan dan pertuturan, pasti akan diikuti ketenangan dalam hati. Ketenangan hati sesuai untuk mengamalkan vipassana: Ditthi-Visuddhi; Kankha-vitarana-Visuddhi; Maggamagga-ñânadassana-Visuddhi; Patipata-ñânadassana-Visuddhi; dan Ñânadassana-Visuddhi merupakan bahagian vipassana. Manakala Sila-Visuddhi dan Citta-Visuddhi merupakan jalan masuk ke vipassana.

Vipassana Pertama: Kesucian dalam pandangan (ditthi), bermaksud pandangan atau kepercayaan yang salah sekian lama sebelum ini sudah berakhir. Ini termasuklah kepercayaan terhadap perkara yang tidak masuk akal, tahyul, ritual tertentu sehinggalah tentang kebenaran alam semulajadi. Umpamanya, kepercayaan bahawa mental dan fizikal akan kekal, tidak sengsara (bahagia), ada diri, ada binatang, ada manusia, devata, phrom, hantu, jin dan kuasa luar biasa. Kita tidak berupaya melihat kebenaran bahawa segala benda cuma gabungan empat elemen (tanah, air, api, angin), atau nama-rupa (mental dan fizikal) sahaja. Lalu kita melihat semuanya sebagai peribadi atau diri yang ada roh (viññâna) yang keluar masuk tubuh kita. Kita tidak nampak panca-khanda; iaitu rupa, vedana, saññâ, sankhara dan viññâna. Kita tidak nampak “sentuhan” melalui deria mata, telinga, hidung, lidah, tubuh, dan hati merupakan punca pemikiran dan tanggapan salah, lalu kita cenderung kepada kuasa luar biasa (kuasa langit dan bumi) sehingga melahirkan ketakutan. Daripada ketakutan itulah lahir pelbagai jenis ritual yang penuh kekhilafan. Oleh itu kita mesti meninggalkan kepercayaan salah yang ketara itu terlebih dahulu baru boleh memulakan vipassana pertama iaitu ditthi-visuddhi.

Vipassana Kedua: Kankha-vitarana-visuddhi merupakan pemikiran dan penghayatan kepada punca di peringkat akar umbi. Ditth-visuddhi membantu seseorang mengenali “orang” yang sebenarnya mental dan fizikal sahaja, bukannya diri sesiapa. Kankha-vitarana-visuddhi bertugas memisahkan “orang” dan meneliti secara perinci elemen-elemen yang membentuk mental dan fizikal. Kemudian penelitian semakin mendalam sehingga melihat kepada pengetahuan, kemahuan, pegangan, perbuatan, makanan dan sebagainya bergabung dan membentuk secara halus, sehingga lahir benda yang dipanggil mental dan fizikal. Kankha-vitara-visuddhi adalah kesucian pengetahuan yang akan melangkahi keraguan (was-was), bermaksud pengetahuan terang tentang asas-asas dan elemen-elemen (hetu-paccaya) yang membentuk segala benda.

Dalam vipassana, “keraguan” ada 29-30 jenis, tetapi dapat disimpulkan kepada beberapa jenis utama, iaitu:1) Diri kita sedang ada atau tidak? 2) Diri kita sudah ada atau tidak? 3) Diri kita akan ada lagi atau tidak? Keraguan ini dapat dilangkahi atau tidak, bergantung kepada pengetahuan kita tentang kebenaran konsep tiada diri (anatta). Yang ada cuma elemen-elemen, deria, kejahilan, nafsu, pegangan, perbuatan, makanan dan lain-lain yang bergabung menjadi satu. Bukan diri kita. Diri kita tidak ada. Kekeliruan yang menyebabkan kita percaya bahawa kita ada diri; diri kita sedang ada; diri kita sudah ada; dan diri kita akan ada, mesti dihapuskan.

Setelah keraguan ini terhapus, maka kita telah dianggap memasuki vipassana kedua. Keraguan terhapus kerana kita ada pengetahuan tentang penggabungan dan pembentukan elemen “diri” di tahap kasar sahaja. Tetapi pegangan terhadap konsep “ada diri” belum terhapus sepenuhnya kerana tahap yang lebih halus masih ada.

Vipassana Ketiga: Setelah berjaya melepasi keraguan, maka akan lahir pula maggamagga-ñânadassana-visuddhi yang bermaksud pengetahuan yang jelas tentang jalan benar yang boleh kita meneruskan langkah ke depan, dan bukan jalan benar untuk kita meneruskan langkah. Halangan yang menyebabkan tidak boleh meneruskan langkah ke depan ada pelbagai tetapi yang sering timbul dalam vipassana ialah ketika minda ada samadhi akan lahir “perkara-perkara aneh, dan menakjubkan yang amat memikat hati.” Umpamanya, nampak cahaya luar biasa yang terang benderang wujud di dalam mata yang sedang terpejam. Sekiranya, kita membiarkan minda terpengaruh dengan benda-benda begitu, maka akan bertambah teruk halangan yang datang.

Sekiranya sesiapa tersalah faham bahawa “itulah (perkara aneh) hasil vipassana”atau yakin bahawa “itulah perkara istimewa untuk aku” maka terhalanglah penglihatan terang kita tentang “jalan suci dan hasil suci” (magga-phala). Oleh itu, melekat pada “perkara aneh dan menakjubkan” dianggap jalan yang salah. Satu lagi, kadang-kadang lahir satu “perasaan bangga dan kepuasan hati yang amat tinggi”. Perasaan tersebut amat mempesonakan, datang berulang-kali, semakin kerap dan kerap sehingga menyebabkan minda terhenti daripada meneruskan tumpuan pemikiran dan penghayatan ke arah kebenaran kerana beranggapan sudah mencapai Nibbana. Malah penglihatan terang berkenaan panca-khandha yang timbul sekali sekala juga boleh menyebabkan seseorang tersalah anggap bahawa dia sudah mendapat “keistimewaan semulajadi”. Inilah beberapa contoh halangan dalam vipassana.

Dalam keadaan tertentu, pengamal vipassana, menggunakan kuasa minda memaksa badan menjadi tenteram, jenis diam kaku sehingga fikiran terjejas dan tidak berupaya berfungsi dengan baik. Ini juga merupakan satu halangan untuk meneruskan langkah ke depan kerana telah menganggap keadaan diam kaku itu adalah keistimewaan atau magga-phala. Individu yang “terlekat dan terhenti” pada samadhi tahap tinggi (jhana) begini tidak dapat mencapai tahap paññâ.

Kadang-kadang timbul perasaan gembira dan bahagia yang amat sangat yang tidak pernah dirasai sebelum ini sehingga lahir satu kebanggaan yang sukar diungkapkan. Ketika itu hati dan badan terasa amat “membahagiakan” sehingga perkara lain terus hilang daripada fikiran. Berfikirkan kisah cinta lampau, perasaan cinta tak ada. Berfikirkan kisah yang pernah membencikan, perasaan benci tak ada. Berfikirkan perkara yang menakutkan, perasaan takut tak ada. Berfikirkan benda yang membimbangkan, perasaan bimbang pun tak ada. Semuanya tidak ada, kecuali “kebahagiaan.” Oleh itu individu tersebut tersilap, ingat dirinya sudah bebas daripada kilesa kerana keadaan mindanya kini seperti orang yang betul-betul tiada kilesa lagi. Sewaktu dia berkeadaan begitu, sekiranya dia berpuas hati maka terputuslah jalan untuk dia melangkah lebih lanjut. Keadaan begini sebenarnya sementara sahaja. Ia akan kembali seperti biasa, iaitu perkara yang ditakuti pun akan menjadi ketakutan seperti dulu, perkara yang dicintai akan kembali dicintai dan begitu juga dengan perasaan lain.

Satu lagi, berkaitan dengan kepercayaan. Kepercayaan yang dahulunya agak longgar, tetapi sekarang menjadi kemas dan kuat. Misalnya, kepercayaan kepada Buddha, Dhamma dan Sangha atau apa saja yang dipercayai kini begitu meyakinkan. Kepercayaan kepada Dhamma, ajaran Buddha begitu subur sehingga menjadikan individu berkenaan berasa dia “tidak ada kemahuan terhadap apa-apa lagi.” Sebenarnya perasaan begini berpunca daripada minda yang tersesat menyangka bahawa dia sudah dapat magga-phala-nibbana.


Satu hal yang sukar bagi mereka yang pertama kali mengalami keadaan begini untuk percaya bahawa semuanya merupakan rintangan dan tembok penghalang vipassana; kerana kebanyakannya tersalah anggap bahawa “keadaan aneh” tersebut sebagai kemuncak vipassana. Setelah kita mendapat pengetahuan terang barulah kita sedar bahawa keadaan aneh itu sebenarnya halangan vipassana. Setelah sedar, usaha memadamkan kilesa yang lebih halus akan berjaya. Sekarang sampai kepada vipassana ketiga yang bermaksud kesucian pengetahuan terang tentang yang mana jalan benar dan yang mana jalan salah. Oleh itu, kita mesti terus tekun membimbing diri agar sentiasa berada dalam jalan yang benar dan arah yang betul supaya mendapat hasil vipassana yang tulen.

Vipassana Keempat: Setelah mengetahui yang mana jalan betul dan yang mana jalan salah dengan sempurna, pengetahuan seterusnya akan berjalan lancar. Langkah ke hadapan berjalan mengikut peringkat-peringkatnya dengan baik. Bermula dari nampak kebenaran tentang kewujudan segala benda sehinggalah kepada melepaskan segala pegangan. Dan sekarang minda bersedia untuk menembusi kebenaran Ariya Sacca yang dipanggil patipata-ñânadassana-visuddhi, yang bermaksud kesucian dalam pengetahuan dan penglihatan terang tentang jalan pengamalan. Ini merupakan vipassana keempat atau visuddhi peringkat ke- 6.

Oleh sebab pengetahuan (ñâna) ini tiada huraian yang terperinci dalam Kitab Tipitaka, guru vipassana telah membahagikan tahap pengetahuan dalam pengamalan ini kepada 9 tahap yang dipanggil vipassana-ñâna 9, iaitu;

1- Setelah vipassana berjalan dengan lancar dan penghayatan secara mendalam berkaitan kelahiran, ketuaan, kesakitan dan kematian segala benda (sankhara), kemudian pemikiran menjurus pula kepada kewujudan dan kelupusan segala benda tersebut. Penghayatan ini mestilah sampai kepada hakikat keadaan segala benda yang “wujud” dan “padam” setiap masa bagaikan laut berombak yang penuh dengan buih-buih air yang wujud dan padam setiap detik. Pembentukan buih air akibat ombak itu tidak akan berhenti; wujud dan padam berselang-seli sehingga kelihatan memutih penuh permukaan air. Begitu jugalah dengan segala benda (sankhara) yang wujud dan padam setiap detik. Penghayatan tentang kejadian “wujud” dan “padam” segala benda ini amat penting kerana ia akan melahirkan perasaan “bosan” dan “jemu” terhadap segala benda yang menjadi “ketagihan” kita selama ini. Ini pengetahuan vipassana (vipassana-ñâna) tahap 1.

2- Penghayatan tentang dua perkara iaitu, “wujud” dan “padam” segala benda masih di tahap kasar. Oleh itu, kita mesti membuang satu perkara, iaitu “wujud”. Penghayatan kita kini tertumpu kepada satu perkara sahaja, iaitu “padam” agar penglihatan kita tentang “padam” lebih terperinci, jelas dan mendalam sehingga lahir pengetahuan bahawa di dunia ini tiada apa-apa kecuali keretakan, keruntuhan, kemusnahan dan kelupusan; tiada apa-apa yang tinggal. Pengetahuan ini dipanggil pengetahuan tentang kemusnahan dan kelupusan.


3- Setelah mendapat penglihatan terang tentang kemusnahan dan kelupusan (padam) secukupnya, maka akan lahir pula pengetahuan tahap ke-3. Pengetahuan tahap ini melihat keadaan “ambil” dan “jadi” sebagai perkara yang menakutkan. Perkara yang menakutkan ini memenuhi setiap keadaan, sama ada keadaan yang memikat perasaan (kâma-bhava); keadaan kebendaan (rupa-bhava); atau keadaan bukan kebendaan (arupa-bhava). Semua keadaan menakutkan kerana ada kemusnahan dan kelupusan setiap detik nafas. Ketakutan yang muncul di hati mestilah jenis yang betul-betul takut yang membenih daripada “penglihatan terang” seolah-olah ketiga-tiga keadaan penuh dengan racun berbisa, senjata berbahaya atau perompak kejam yang sedang menunggu mangsa. Pengetahuan ini dinamakan pengetahuan terang tentang keadaan yang dipenuhi dengan perkara yang menakutkan hati.

4- Setelah mengetahui bahawa semua keadaan (bhava) penuh dengan perkara yang menakutkan, bererti sifat segala benda mengandungi kemudaratan dan berbahaya. Sesiapa yang terpengaruh dengannya pasti menerima padah dan tidak selamat. Bagaikan hutan belantara yang dipenuhi binatang buas; tidak selamat bagi mereka yang hendak menikmati keindahan dan ketenteraman daripada hutan belantara. Pengetahuan tentang kemudaratan segala benda (sankhara) merupakan vipassana tahap ke-4

5- Setelah melihat segala benda penuh dengan kemudaratan, maka lahirlah perasaan bosan terhadap segala keadaan (bhava). Umpama rumah yang musnah dijilat api sehingga tinggal kerangka hitam sahaja; kerangka hitam itu pasti tidak memikat hati. Pengetahuan yang membawa kepada kebosanan ini merupakan vipassana tahap ke-5.

6- Apabila ada kebosanan, maka akan diikuti pula oleh perasaan ingin melepaskan diri daripada segala benda. Perasaan ini tidak sama dengan perasaan ingin melepaskan diri yang ada pada orang biasa yang tidak ada kesungguhan kerana tiada samadhi atau penglihatan terang. Perasaan ingin melepaskan diri yang datang daripada vipassana ada kesungguhan; berapa banyak perasaan takut yang ada, begitu banyak jugalah perasaan ingin melepaskan diri dan kesungguhannya. Ibarat seekor katak yang berada di dalam mulut ular, berapa kuat keinginan melepaskan diri yang ada pada katak tersebut? Atau, seekor burung yang terkena jerat, meronta-ronta mahu melepaskan diri, kadang-kadang sehingga kaki tercedera. Orang yang ada pengetahuan tentang segala benda yang amat memudaratkan, pasti ada keinginan melepaskan diri sekuat katak atau burung tersebut. Orang mahu melepaskan diri daripada segala kesengsaraan. Pengetahuan ini dinamakan pengetahuan menjadi punca lahirnya hasrat ingin melepaskan diri daripada kesengsaraan.

7- Setelah ada perasaan ingin melepaskan diri begitu kuat, maka perasaan meronta-ronta mencari cara untuk melepaskan diri pun bertambah kuat. Melalui penelitian dan penghayatan, kita akan nampak punca, iaitu upadana dan kilesa yang menambat minda kita dengan bhava tertentu, begitu ketat dan kuat. Jadi, kita harus mencari jalan untuk melemahkan punca-punca tersebut (upadana dan kilesa), kemudian memusnahkannya.

Untuk melemahkan kilesa, dihikayatkan ibarat seseorang yang pergi menangkap ikan. Dia mendapat ular tetapi dia ingatkan ikan, lalu terus menyimpannya. Sesiapa beritahu dia bahawa itu sebenarnya ular bukan ikan tetapi dia berdegil tidak mahu percaya. Pada suatu hari dia berjumpa dengan seorang guru yang ada akal fikiran tinggi, belas kasihan memberi tunjuk ajar dan menerangkan bahawa itu ular bukan ikan. Baru dia percaya. Maka timbul perasaan takut lalu ingin melepaskan diri dari ular dengan cara membunuh ular berkenaan. Dia mencekik leher ular dan mengangkat tinggi melepasi kepala, lalu menghayun-hayun ular tersebut sehingga lesu, kemudian mencampaknya ke tanah. Ular mati. Kalau belum mati mesti bunuhnya sampai mati. Perumpamaan ini menunjukkan bahawa perkara yang menambat orang dengan segala keadaan ialah kilesa. Sekiranya kita tiada cara untuk melemahkan kilesa sedikit demi sedikit terlebih dahulu, kita tidak mungkin dapat membunuhnya. Ini kerana kuasa kilesa begitu kuat, lebih kuat daripada kuasa kebijaksanaan yang ada pada orang biasa. Oleh itu, kita mesti meningkatkan kuasa kebijaksanaan terlebih dahulu, di samping usaha melemahkan kuasa kilesa.

Penelitian secara mendalam sehingga ternampak segala benda (sankhara) adalah anicca, dukkha dan anatta. Semuanya tidak patut “diambil” dan “dijadi.” Inilah cara memutuskan bekalan makanan kilesa; membuatkan kuasa kilesa lemah setiap hari. Usaha kita itu harus bertambah dan terperinci dari masa ke masa barulah berjaya membunuh kilesa yang sebesar gunung dengan tubuh kita yang kecil. Melawan dengan kilesa, kita mesti ada keberanian yang cukup. Diri kita ibarat seekor tikus tetapi berani membunuh harimau belang. Kalau tidak terdaya melawan secara berdepan, kita mesti menggunakan helah agar harimau tersebut terpedaya dan lemah. Tetapi usaha kita mesti berterusan dan tidak boleh berhenti selagi belum berjaya menumbangkan harimau itu. Helah untuk membunuh kilesa ini merupakan vipassana tahap ke-7

8- Selepas berjaya melemahkan kuasa kilesa, membuatkan kita ada perasaan “tidak kisah” lalu tidak mahu mencampuri segala benda. Perasaan “tidak kisah” di sini bererti kita kawal minda supaya tidak cenderung kepada perasaan suka atau benci, atau tidak suka dan tidak benci. Peringkat seterusnya ialah pengetahuan yang membuatkan kita “tidak kisah” terhadap segala benda. Pengetahuan ini bergantung kepada pemikiran dan penghayatan kita terhadap suññatâ yang ada pada segala benda; kekosongan daripada intipati; kekosongan daripada haiwan atau manusia; kekosongan daripada keabadian; kekosongan daripada kebahagiaan kerana semuanya adalah kesengsaraan; dan kekosongan daripada kecantikan kerana semuanya memualkan. Akhir sekali timbul perasaan “tidak kisah”, tidak mempunyai perasaan suka atau benci. Benda yang pernah kita sayangi dulu, jadi seperti seketul tanah. Kita tidak ada apa-apa perasaan terhadapnya lagi. Kita telah berjaya lepaskannya.

Sebagaimana sepasang kekasih yang pernah dilamun cinta, tetapi sekarang telah bermusuhan, dan saling tidak mempedulikan. Atau sepasang suami isteri yang salah seorangnya curang, maka pasangannya tidak kisahkan dia lagi. Begitu juga dengan keadaan atau suasana yang pernah kita sukai, setelah minda meningkat tinggi sampai tahap ke-8, tahulah kita bahawa semuanya kosong; tiada apa-apa yang harus disukai, digilai, atau dibanggai. Pengetahuan ini juga dipanggil upekkha (tidak kisah).

9- Apabila telah ada ketetapan hati jenis tidak kisah (upekkha), maka hati sudah bersedia untuk mengetahui Ariya-Sacca 4 yang akan membawa kita ke alam bukan duniawi. Pengetahuan ini merupakan pengetahuan yang sempurna untuk mengetahui kebenaran Ariya-Sacca, jenis yang bakal menghapuskan kilesa yang menjadi punca manusia terikat dengan duniawi, kemudian membawa kita menjadi insan suci atau Ariya-Puggala (mana-mana satu daripada empat).

Vipassana 9 tahap ini, bermula dari tahap 1 hingga ke tahap 9 sekiranya berjalan dengan sempurna dipanggil Patipata-Ñânadassana-Visuddhi iaitu vipassana keempat dan Visuddhi ke-6, iaitu kesucian paññâ yang merupakan alat melahirkan pemikiran bernas dan pengetahuan terang tentang cara memusnahkan kilesa.

Vipassana ke-5: Sekarang tiba kepada visuddhi ke-7 yang dipanggil Ñâna-dassana-Visuddhi yang bermaksud kesucian dalam penglihatan yang benar atau Pandangan yang Betul (sammâ-ditthi) yang dipanggil Ariya-Magga. Ini merupakan peringkat terakhir vipassana atau hasil vipassana, iaitu Ariya-Magga-ñâna 4.

Ruang di antara vipassana tahap ke-9 dengan ñâna-dassana-visuddhi, ada tersembunyi satu “pengetahuan” yang memisahkan orang biasa yang ada kilesa dengan orang suci yang nampak kebenaran hakiki. Oleh sebab “pengetahuan” ini muncul dalam sekelip mata dan terus padam, maka ia dikategorikan ke dalam patipata-ñânadassana-visuddhi. Lagipun “pengetahuan” ini masih bersifat pahala-kebaikan (puñña-kusala) yang masih berpaut dengan perkara yang menarik keinginan atau perkara yang menarik hati.

Kesimpulannya, kita dapat lihat bahawa vipassana mesti bertapak di atas sila, samadhi dan paññâ. Bicara tentang apa? Bicara tentang segala benda; sama ada kita panggil makluk, dunia, alam sejagat, bhava, sankhara, atau panca-khandha. Semuanya adalah panca-khandha, tidak lebih dan tidak kurang. Bicara untuk lihat apa? Untuk lihat anicca, dukkha dan anatta yang memenuhi seluruh alam. Lahir, hidup dan mati merupakan proses yang berlaku sepanjang masa, menakutkan dan memualkan. Oleh itu, tiada sebarang benda yang baik untuk diambil dan dijadi.

Apa tugasan vipassana? Tugasan langsung vipassana adalah untuk menghapuskan kegelapan (kebodohan) kerana vipassana bermaksud “penglihatan terang.” Apa hasil daripada vipassana? Hasilnya ialah mendapat pengetahuan yang betul yang menembusi segala hakikat kejadian dan kewujudan. Hasilnya juga dapat menghapuskan kilesa yang menjadi punca orang melekat dengan dunia. Setelah kilesa dibersihkan, manusia pun bebas daripada dunia yang merupakan tempat bagi orang-orang yang ketagih perasaan. Maka Minda pun bebas daripada kesengsaraan kerana tiada nafsu atau kemahuan lagi. Keadaan ini dalam agama Buddha dipanggil sudah selesai tugas yang harus dibuat.

Semua ini dapat disimpulkan bahawa akal fikiran membawa kita melangkah dari peringkat ke peringkat. Peringkat kesucian, terdapat 7 peringkat yang saling berkaitan. Manakala tahap paññâ yang melahirkan pengetahuan terang tentang kebenaran dunia, terdapat 9 tahap. Semuanya dipanggil vipassana yang disusun begitu rapi dan kemas sebagai satu disiplin ilmu meditasi.

Sebagai kesimpulan, kita harus memahami konsep vipassana dengan betul supaya tidak tersilap dalam pengamalan tahap tertinggi dalam agama Buddha. Sekarang masih ramai penganut agama Buddha yang keliru sehingga mengambil perkara bukan vipassana menjadi vipassana. Maka lahirlah vipassana perdagangan untuk mencari duit dan vipassana propaganda untuk membentuk kumpulan sendiri, kemudian melantik sesama mereka menjadi “Ariya-Puggala” bentuk baru. Semua ini merupakan satu keadaan yang memilukan bagi penganut agama Buddha!


Dhamma (7) Samadhi Semulajadi

(Terjemahan Karya Buddhadasa Bhikhu - Suan Mokkha Palaram)

Mengetahui Kebenaran Malalui Pendekatan Semulajadi

Dalam bab ini hendak dijelaskan bahawa samadhi (konsentrasi) boleh didapati melalui 2 cara, iaitu cara semulajadi dan melalui teknik meditasi mengikut disiplin ilmu. Namun hasil yang diperolehi tetap sama, iaitu apabila minda sudah ada konsentrasi, barulah kita boleh menggunakan kuasa akal untuk berfikir secara mendalam atau dipanggil vipassana.

Tetapi ada satu perkara yang harus diperhatikan. Samadhi yang lahir secara semulajadi biasanya sesuai untuk melahirkan paññâ (kebijaksanaan) yang digunakan untuk melihat segala masalah kehidupan. Manakala samadhi yang lahir daripada disiplin ilmu meditasi selalu menjadi “terlalu kuat” sehingga menyebabkan orang salah faham dan berasa berpuas hati setakat samadhi itu sahaja. Ini kerana sewaktu minda mendapat samadhi sepenuhnya, hati berasa amat bahagia, asyik dan santai sehingga “terlekat” lalu menyangka diri sudah berada pada tahap tertinggi. Oleh itu, samadhi yang didapati melalui cara semulajadi itu tidak terkalahkan oleh samadhi yang diperolehi daripada disiplin ilmu. Yang penting mesti dilakukan dengan berhati-hati.

Dalam Kitab Tipitaka ada diterangkan berkenaan samadhi secara semulajadi yang berjaya membawa pengamalnya mencapai tahap Pembebasan Sempurna (Arahatta). Ramai yang mencapai Pembebasan Sempurna di hadapan Buddha ketika Buddha memperdengarkan ajarannya. Mereka ini tidak perlu pergi duduk di hutan, tidak perlu melalui ritual meditasi, dan tidak perlu merenung sebarang objek. Kita boleh ambil Biksu Pancawakkhi, atau seribu resi sebagai contoh. Mereka duduk mendengar Buddha menerangkan ajarannya tanpa sebarang disiplin ilmu meditasi tetapi mereka berjaya melihat kebenaran pada tahap tinggi.

Ini sebagai contoh untuk membuktikan kepada kita bahawa samadhi secara semulajadi itu boleh lahir dengan sendiri. Samadhi ini akan lahir ketika kita berusaha memahami sesuatu perkara secara bersungguh-sungguh. Sebagaimana ketika kita hendak membuat ilmu kira-kita, samadhi akan datang dengan sendiri. Begitu juga ketika kita hendak menembak. Minda secara semulajadi ada samadhi lalu mengarahkan mata kita memandang ke sasaran dengan baik. Inilah keadaan samadhi yang datang dengan sendiri tetapi malangnya kita selalu memandang remeh dan sering mengabaikannya. Sebab apa? Sebab samadhi jenis ini kelihatan terlalu biasa dan “tidak berapa sakti” (saksit) serta tanpa sebarang peristiwa keajaiban. Bagaimana pun kebanyakan kita boleh hidup sampai sekarang kerana kuasa samadhi semulajadi ini. Malah, kebanyakan Phra Arahan mencapai Pembebasan Sempurna dengan kuasa samadhi jenis ini.

Oleh itu anda jangan pandang remeh terhadap samadhi yang diperolehi secara semulajadi. Mungkin ia menjadi perkara yang dapat kita lakukannya lebih cepat, atau mungkin juga sudah dapat kita lakukannya. Perkara yang utama kita mesti berhati-hati dan terus berusaha melakukan amalan yang ditetapkan sehingga minda mendapat samadhi. Atau meningkatkan lagi tahap samadhi yang sedia ada. Sebenarnya, kebanyakan Phra Arahan tidak tahu melakukan meditasi cara moden sebagaimana yang dilakukan kebanyakan orang sekarang.
Sekarang kita sampai kepada “rahsia alam” yang berkaitan dengan tahap perasaan dalaman sehinggalah kepada kelahiran “Penglihatan Terang” tentang hakikat dunia, atau panca-khandha. Perasaan yang didapati ketika meditasi pada peringkat pertama dipanggil piti-pamojja yang bermaksud kebanggaan dan kegirangan hati. Apabila kita membuat kebaikan seperti memberikan derma menyebabkan kita berasa bangga dan girang. Sekiranya kita menjaga perlakuan dan pertuturan (sila) dengan sempurna, kebanggaan dan kegirangan akan bertambah. Dan sekiranya kita membuat samadhi sampai tahap jhana pertama (ketenangan tahap tinggi), kita akan dapati ada juga kebanggaan di situ.

Piti-Pamojja ada kuasa di dalam dirinya sendiri iaitu akan membantu melahirkan ketenteraman minda (passaddhi). Pada kebiasaannya minda kita sukar untuk tenteram kerana selalu berfikir tentang benda luaran yang merangsang saban waktu. Atau sering melekat dengan sesuatu perasaan. Oleh itu, minda selalu dalam kecelaruan, tidak pernah tenang. Tetapi sekiranya ada kebanggaan dan kegirangan hati, ketenteraman dan ketenangan akan menjelma. Berapa tinggi ketenteraman tersebut bergantung kepada kadar kebanggaan dan kegirangan.

Apabila ada ketenteraman, maka lahirlah samadhi iaitu minda diam dan tenang dan begitu selesa untuk digerakkan ke hasrat yang kita kehendaki, iaitu untuk menghapuskan kilesa (kotoran hati). Jangan membiarkan minda yang diam dan tenang itu menjadi kaku bagaikan sepotong kayu, atau sebongkah batu. Fizikal kita mesti sedar seperti biasa setiap masa, tetapi biarkan minda sahaja tenang agar sesuai digunakan untuk memikirkan sesuatu masalah. Setelah ketenangannya cukup baik, ketenteramannya cukup sempurna, dipanggil kammaniyo. Kammaniyo bererti bersedia untuk bekerja (untuk berfikir). Inilah keadaan samadhi yang diperlukan. Bukan dibiarkan di dalam jhana- samapajja dengan tubuh keras kaku macam patung batu.

Berada dalam jhana dengan minda diam kaku tidak mampu digunakan untuk memikirkan sesuatu dengan mendalam. Minda yang terlekat dengan jhana tidak mampu memikirkan kebenaran. Malah akan mendatangkan keburukan. Inilah halangan besar dalam pengamalan pada tahap menggunakan kuasa akal untuk melihat kebenaran (vipassana). Individu yang mahu berfikir secara mendalam dan matang mesti keluar daripada jhana, kemudian berfikirlah dengan kuasa samadhi yang ada.

Untuk mendapat pengetahuan terang, kita tidak perlu masuk jhana jenis yang membuatkan tubuh kita kaku. Kita cuma perlukan ketenangan minda jenis yang bersedia untuk bekerja. Dengan itu baru kita dapat pengetahuan terang tentang hakikat alam sejagat. Kita juga boleh menjadi seperti mereka yang mendapat Pencerahan Sempurna di hadapan Buddha yang tidak perlu melalui apa-apa ritual meditasi atau peristiwa keajaiban.

Walau bagaimana pun ini bukan bererti kita akan mendapat pengetahuan terang yang menebusi kebenaran dunia dengan begitu cepat sehingga terus menjadi Phra Arahan. Dalam situasi tertentu mungkin akan lahir pengetahuan istimewa tetapi pada tahap rendah, bergantung kepada tahap ketenangan minda. Atau langsung mendapat pengetahuan jenis yang tidak berapa tepat dengan kebenaran. Ini berpunca daripada pendidikan yang salah. Atau kita terlalu banyak dipengaruhi oleh pandangan dan pendirian yang salah. Namun, pengetahuan yang diperolehi itu pasti lebih baik daripada pengetahuan biasa; lebih jernih dan mendalam. Seandainya pengetahuan terang itu betul-betul terang mengikut hakikat kewujudan segala benda (sankhara), ia pasti akan maju ke hadapan sehinggalah mencapai tahap tinggi. Kalau pengetahuan terang itu diperolehi dalam kadar yang tidak berapa banyak, kita akan menjadi individu suci peringkat pertama (sotapanna). Atau sekiranya pengetahuan terang kita itu terlalu sedikt, kita akan menjadi orang baik atau sahabat seagama yang mulia (kalayana-mitta).

Sekiranya terdapat pengaruh persekitaran yang sesuai dan ada kebaikan (puñña-parami) yang mencukupi yang pernah kita lakukan sebelum ini, kita mungkin akan terus menjadi Phra Arahan. Semuanya terpulang kepada keadaan. Sewaktu minda mendapat ketenangan secara semulajadi, perkara yang dipanggil penglihatan terang akan lahir kerana penganut agama Buddha sudah biasa mendengar atau mempelajari panca-khandha, sankhara dan sebagainya. Oleh itu ilmu pengetahuan berkaitan perkara di atas dapat membantu melahirkan pengetahuan terang dalam samadhi. Semua pengetahuan atau penglihatan yang diperolehi dalam samadhi tidak memudaratkan, malah menjadi sejenis pengetahuan yang amat membina.

“Pengetahuan terang dan penglihatan terang” di sini bermaksud pengetahuan dan penglihatan tentang kebenaran anicca, dukkha dan anatta; tiada sebarang benda yang dapat diambil dan tiada sebarang benda dapat dijadi. Kita tidak seharusnya menganggap sebarang benda sebagai diri kita dan milik kita; atau merasakan benda itu baik, benda ini tak baik dan sebagainya. Kita tidak boleh “melibatkan diri” dengan sebarang benda. Kalau lahir suatu perasaan terhadap sesuatu perkara; suka atau benci; atau sekadar memikirkannya, kita sudah dikira telah “melibatkan diri” dengan perkara tersebut. Kita dilarang “melibatkan diri” untuk mengelakkan pegangan (upadana) terhadap benda dunia yang sememangnya tiada apa-apa untuk dijadi dan dimiliki. Kita dan benda yang hendak kita miliki atau jadi bersifat tidak kekal, berubah-ubah dan tiada diri; semuanya kosong (suññatâ). Bagaimana mungkin “kosong” hendak mengambil dan menjadi “kosong”.

“Ambil” bermaksud keadaan kita yang memiliki harta benda, binatang kesayangan dan lain-lain yang merupakan kesukaan kita. “Jadi” bermaksud keadaan kita yang menjadi suami, isteri, orang kaya, orang miskin, orang kalah, orang menang, dan termasuklah jadi manusia atau jadi diri sendiri. Kalau dilakukan penghayatan secara mendalam, jadi manusia pun bukannya bahagia kerana ia penuh dengan permasalahan hidup. Sekiranya kita dapat melepaskan pegangan sebagai manusia, kita tiada sengsara. Jadi apa sekali pun (tiada kecuali), akan ada kesengsaraan masing-masing. Jadi orang kaya di dunia juga sengsara. Dia terpaksa berjuang sepanjang masa untuk mengekalkan kekayaannya, kedudukannya, namanya dan banyak lagi. Perjuangan untuk mengekalkan apa yang dimiliki itu merupakan satu kesengsaraan.

Apabila individu ada diri, pasti ada benda luaran yang dimiliki oleh dirinya, iaitu isterinya atau suaminya, anaknya, dan lain-lain kepunyaannya. Semua benda “miliknya” itu ada tanggungjawab yang mesti dipenuhi. Dan menjadi tugas individu tersebut untuk menjaga benda “miliknya” agar dapat meneruskan kehidupanya dengan sempurna. Di sini, sebenarnya hendak diberitahu bahawa tiada keadaan “jadi” yang tidak memerlukan perjuangan, pengorbanan dan kesabaran demi kelangsungannya. Segala kesusahan yang timbul berpunca daripada kesilapan pegangan kita terhadap dunia persekitaran kita.

Kalau kita tidak dibenarkan “ambil” dan “jadi”, bagaimana kita hendak hidup? Pertanyaan ini mungkin menjadi persoalan bagi mereka yang tidak pernah berfikr tentang perkara ini. Maksud “ambil” dan “jadi” di sini adalah perlakuan mengambil dan menjadi dengan kuasa kilesa, tanha dan upadana. Dengan kuasa “kemahuan yang keterlaluan” untuk mengambil dan menjadi sering menjelmakan kesungguhan jenis melampau dalam usaha mengambil dan menjadi tersebut. Kesungguhan jenis melampau inilah yang menimbulkan keresahan, kesusahan dan kedukaan hati; satu bebanan malapetaka yang ditanggung hati nurani sepanjang hayat. Sekiranya kita tahu akan kebenaran tentang keduniaan, kita mesti menggunakan akal fikiran dan kebijaksanaan untuk mengawal hati agar tidak menjadi hamba kepada nafsu kemahuan “mahu ambil” dan “mahu jadi”. Letakkan akal fikiran itu di atas segala-galanya.

Kalaulah kita sudah tahu akan kesengsaraan akibat mengambil dan menjadi, tetapi kita tidak mampu mengelakkannya (sebagai manusia biasa, mustahil tak ambil dan tak jadi apa-apa langsung), kita mestilah selalu menggunakan akal fikiran dan kesedaran akan keadaan tersebut. Maksudnya, kita mesti selalu “sedar” dan tahu setiap kali kita hendak mengambil dan menjadi sesuatu. Kita tidak boleh membiarkan diri sesat, atau terpengaruh oleh perkara atau benda tersebut. Kerana leka dan terpengaruh dengan mengambil dan menjadi, maka ada yang sampai membunuh diri. Satu kebodohan yang lahir daripada kotak fikiran sendiri.

Sekadar satu contoh, apabila kita terpaksa menyara hidup dengan menjual ular yang berbisa kerana tiada kerja lain yang sesuai dengan kita, maka kita mesti ada kemahiran dan pengetahuan yang cukup berkenaan jenis ular tersebut. Kita tidak boleh menangkap ular yang berbisa dengan cara yang kurang bijak. Kalau tersilap, kita akan menempah maut dengan racunnya.

Alam bersifat tidak kekal, sengsara dan bukan diri sesiapa. Alam ada hukum tersendiri yang akan menghukum sesiapa sahaja yang mendampinginya dengan hawa nafsu dan pegangan salah; bermula dari peringkat permulaan lagi. Dari peringkat kemahuan; peringkat sedang mengambil dan menjadi; dan peringkat setelah berjaya diambil dan dijadi; kalau tidak berhati-hati, membuta tuli dan lalai akan menanggung kesengsaraan yang amat teruk. Lihatlah sendiri di sekeliling anda!

Malahan, pahala (puñña) yang dipuja dan disanjung kebanyakan penganut agama Buddha, kalau kita melibatkan diri secara salah dan keterlaluan, ia akan menggigit sebagaimana ular yang berbisa. Kecualilah kita dampinginya dengan pengetahuan yang betul tentang hakikat semulajadi pahala tersebut.

Barangkali ada antara kita terfikir, “Kalau tak ada apa untuk diambil dan dijadi, tentu tak ada orang mahu bekerja atau menjaga harta pusaka yang dimilikinya?” Persoalan ini mesti difahami betul-betul pengertian yang tersirat yang bermaksud bahawa sebelum kita membuat sesuatu perkara kita harus ada pengetahuan dan kefahaman yang mencukupi tentang perkara tersebut. Kita tidak boleh membuat sesuatu perkara dengan perasaan tamak, ego dan bodoh. Kita seharusnya membuat sesuatu perkara dengan akal fikiran, barulah mendapat hasil yang lumayan.

Phra Arahan yang dipimpin oleh Buddha tidak ada kilesa, tanha dan upadana tetapi mereka dapat melakukan banyak perkara yang berfaedah daripada kita. Kalau kita kaji sejarah kehidupan Buddha, kita dapati bahawa dalam masa sehari Buddha tidur 4 jam sahaja. Masa yang lain digunakan untuk bekerja (aktiviti keagamaan). (Kita sembang kosong pun sudah 4 jam). Kuasa apakah yang mendorong Buddha bekerja begitu kuat sedangkan kuasa kilesa yang menjadi punca kemahuan (ambil dan jadi) sudah tiada? Jawabnya, Buddha bekerja kerana kuasa akal fikiran - belas kasihan dan kasih sayang (metta) terhadap makhluk dunia!

Malahan perkara yang melibatkan keperluan asas, seperti pergi mencari makanan (pindapata), Buddha pergi dengan akal fikiran tanpa kilesa dan nafsu untuk terus hidup agar dapat “ambil” dan “jadi” apa-apa. Buddha ada kebijaksanaan membezakan kebaikan, keburukan dan tanggungjawab sebagai dorongan untuk mencari makanan. Kalau dapat, dapatlah. Kalau tidak dapat, pun tidak mengapa.

Dalam aspek kesakitan, Buddha ada kebijaksanaan mengubatinya sebagaimana yang diketahui. Sekiranya kesakitan itu serius, kematian adalah satu kepastian yang tidak dapat dielak kerana beliau ada daya usaha demi kelangsungan hidup amat rendah. Hidup atau mati tidak membawa sebarang makna kepada Buddha kerana kedua-duanya mempunyai nilai yang sama. Ini merupakan pandangan hidup yang betul (sammâ-ditthi) yang tiada kesengsaraan - tiada tubuh badan sebagai milikan dan yang ada cuma akal dan kebijaksanaan yang terus memimpin kehidupan mengikut norma alam.

Ini dapat kita lihat bahawa kuasa kebijaksanaan dan belas kasihan dan kasih sayang yang ikhlas, membuatkan Phra Arahan terus hidup dan membuat jasa kepada masyarakat lebih baik daripada insan yang ada nafsu kemahuan. Orang yang ada nafsu kemahuan sering melakukan kebaikan dengan niat untuk mendapatkan balasan kerana sifat pentingkan diri. Sedangkan Phra Arahan tiada perasaan pentingkan diri, melainkan keikhlasan semata-mata, sebab itulah hasilnya lebih baik

Perasaan ingin ambil dan ingin jadi ini merupakan keinginan yang kurang bijak dan keliru; tidak tahu apa-apa langsung tentang kebenaran alam. Oleh itu kita mesti melakukan sesuatu kerja atau tugas dengan akal fikiran. Kita kena tahu bahawa tiada apa-apa yang sepatutnya diambil atau dijadi. Kalau terpaksa diambil dan dijadi juga, kita mesti sedar dan bijak menanganinya. Gunakan cara dan pendekatan yang betul. Kalau kita mampu berbuat seperti yang diterangkan, nescaya kehidupan kita bersih, ceria, cemerlang dan tenteram. Segala benda yang kita dekati atau dampingi tidak akan menjadi racun kepada kita.
Doktrin berkaitan dengan “tidak patut ambil” dan “tidak patut jadi” kedengaran begitu aneh, kurang difahami dan diminati oleh masyarakat materialisme dunia. Tetapi kalau sesiapa dapat memahaminya dengan betul akan kebenarannya, pasti akan menjadi seorang yang berani, ceria dan riang - kerana mindanya bebas daripada sebarang kongkongan. Dia berani mendekati sebarang benda tanpa rasa takut atau was-was akan menjadi mangsa atau hamba kepada barang berkenaan. Dia berani berhadapan dengan sebarang situasi kerana mindanya telah bebas dan berada di atas segala situasi. Maksudnya, dia tidak mendekatinya dengan nafsu syaitan, tamak haloba atau sesat hati yang boleh menyebabkan dia tertakluk dan terpaksa mengabdikan diri.

Kita sedang ambil dan jadi apa-apa sekali pun, kita sentiasalah beringat bahawa kita sedang ambil dan jadi dalam perkara yang sebenarnya tidak boleh diambil dan dijadi. Tiada apa yang betul-betul boleh diambil dan dijadi kerana semuanya tidak kekal, sengsara dan bukan peribadi atau milik kita. Orang tidak berjaya menjalankan tugas dengan jujur, bersih dan sepenuh hati kerana keinginan untuk “mengambil” dan “menjadi” melebihi batas-batas yang dibenarkan akal fikiran. Dia terlalu mengikut hawa nafsu sehingga kehidupan yang selesa, cemerlang dan adil menjadi angan-angan kosong. Punca kepada kecelakaan dalam kehidupan manusia kerana terlalu mengikut hawa nafsu. Oleh itu, pengetahuan yang betul tentang hakiki kejadian dan kewujudan alam amat penting dalam agama Buddha. Ini merupakan jalan terbaik untuk kita meneruskan kelangsungan hidup dengan selamat dalam dunia kebendaan, atau untuk kehidupan masa depan di syurga, atau untuk pengamalan jalan suci mengecapi Nibbana.

Kehidupan kita akan gemilang kerana kebijaksanaan. Buddha selalu berpesan bahawa insan menjadi suci kerana kebijaksanaan, bukan kerana perkara lain. Jalan keselamatan kita terletak pada kebijaksanaan kita. Penglihatan terang menembusi kebenaran segala benda akan membantu kita memahami konsep “tiada apa patut diambil” dan “tiada apa patut dijadi” yang terpaksa dipertaruhkan dengan jiwa raga kita. Yang telah diambil dan dijadi kini, biarlah ia berterusan mengikut kelaziman dunia. Kehidupan di dunia “mengumpamakan”(sammuti) kita jadi pemimpin, jadi bapa, jadi ibu, jadi sahabat dan jadi seratus lapan jenis yang tidak terhitungkan jumlahnya, maka jadilah semua itu dengan bijak. “Perumpamaan” ini diperlukan dunia untuk memudahkan kehidupan manusia, bukan untuk dibangga dan disombong.

Jangan kita keliru dan sesat dengan “peranan” duniawi yang diberikan kepada kita. Kalau tidak, kita akan jadi seperti sejenis serangga yang mudah diperdaya untuk berlawan sesama sendiri sehingga mati. Manusia lebih senang diperdaya untuk menjadi hilang pertimbangan, kemudian melakukan perkara yang kebiasaannya tidak dilakukan oleh manusia berakal seperti saling membunuh sesama manusia. Kerana perkara kecil hilang keluarga, hilang saudara. Oleh itu kita jangan terpedaya dengan magis dunia. Kita harus sedar kehidupan kita tidak berapa lama, semuanya akan lenyap bersama sifat kefanaannya (anicca, dukkha dan anatta). Minda yang bebas sahaja akan mengangkat kita ke tahap yang mulia.




Berkenaan kebendaan dunia yang perlu dimiliki, kita harus faham bahawa ia satu keperluan di dunia semata-mata, bukan keperluan yang sebenar. Oleh itu kita tidak seharusnya “menambatkan” hati kita terlalu kuat dengan kebendaan berkenaan sehingga ia menjadi tuan kepada kita.

Sekiranya fikiran kita dikuasai tanha dan upadana, kita cenderung menggenggam apa yang kita miliki dengan begitu kuat tanpa mahu melepaskannya. Ini akan menyebabkan ia naik ke atas kepala kita, dan menolak kita turun menjadi hambanya. Kerana keadaan akan menjadi terbalik beginilah menyebabkan kita mesti selalu berhati-hati agar kita terus bebas dan berada di atas semua benda. Kalau tidak, kita akan berada dalam keadaan yang menyedihkan. Kasihanilah diri sendiri agar tidak menjadi hamba kepada sebarang benda. Manusia merupakan makhluk paling sempurna, ada akal dan kebijaksanaan tetapi terpaksa menjadi hamba kepada benda yang tidak bernyawa.

Setelah betul-betul tahu bahawa tiada apa yang patut dimiliki dan dijadi, maka kebosanan yang kuat (nibbida) akan muncul dari peringkat ke peringkat mengikut penglihatan terang kita. Ini bermakna, pegangan kita yang kuat sebelum ini beransur longgar. Atau ibarat orang yang sekian lama menjadi hamba, sekarang mula ada kesedaran dan sedia berusaha ke arah kebebasan. Inilah keadaan nibbida, iaitu kebosanan yang kuat dan kebencian yang mendalam terhadap perhambaan atau pegangan salah kita sebelum ini.

Setelah ada kebosanan dan kebencian, secara semulajadi akan diikuti oleh keleraian atau kelunturan (viraga), umpama ikatan tali yang kejap mula dikendurkan. Atau kotoran pekat pada kain yang mula luntur apabila direndam ke dalam bahan pencuci. Pegangan (upadana) yang kuat terhadap segala benda mula terlerai - itulah yang dipanggil viraga. Peringkat ini amat penting walaupun bukan peringkat akhir tetapi merupakan peringkat penting dalam menghapuskan kesengsaraan. Setelah ada keleraian atau kelunturan pasti akan diikuti oleh kebebasan daripada kesengsaraan (vimutti) tanpa was-was lagi.

Setelah bebas daripada perhambaan dunia, maka akan lahir kemurnian atau kesucian (visuddhi). Kemurnian di sini bermaksud keadaan yang bebas daripada kemuraman kerana menjadi hamba kepada dunia; kemuraman pada perlakuan, pertuturan dan pemikiran telah hilang. Sekarang setelah bebas daripada menjadi hamba, iaitu bebas daripada segala benda di dunia, minda pun menjadi jernih, murni dan suci.

Setelah mendapat kemurnian atau kesucian begini, maka akan lahir pula sejenis ketenangan dan kedamaian hati yang amat halus - begitu tenang dan damai daripada segala masalah yang mengacau fikiran dan perasaan. Keadaan ini dinamakan santi yang bermaksud amat tenang, sejuk dan damai daripada gangguan segala benda, tiada kecuali, jasmani atau rohani. Tahap ini boleh dikatakan tahap tertinggi atau hampir satu tahap dengan Nibbana. Sebenarnya santi dengan Nibbana tidak perlu diasingkan kepada dua keadaan. Tetapi yang diasingkan adalah untuk memperlihatkan bahawa setelah santi akan Nibbana.

Nibbana bermaksud “tiada sebarang benda yang menikam lagi”. Satu lagi bermaksud “padam semua; tanpa meninggalkan sebarang kesan”. Oleh itu Nibbana membawa 2 maksud yang utama. Pertama, padam semua tanpa ada sebarang kesan yang akan kembali menjadi kesengsaraan. Kedua, tiada benda yang menikam lagi; iaitu tiada benda yang membakar dan mengikat; atau keadaan yang bebas sepenuhnya daripada kesengsaraan. Selain dua maksud utama di atas, Nibbana juga membawa beberapa maksud lain bergantung kepada aspek penggunaannya. Ada yang bermaksud kesengsaraan telah padam; atau kilesa telah padam; atau sempadan, keadaan atau suasana di mana segala kesengsaraan, segala kilesa dan segala sankhara telah padam.

Istilah Nibbana yang digunakan di dalam mazhab-mazhab agama Buddha membawa pengertian yang tidak sama. Sebagai contoh, ada satu mazhab mengatakan Nibbana bermaksud keadaan “tenang dan hening” semasa berada di dalam samadhi tahap tinggi atau masuk jhana. Manakala terdapat mazhab lain menerangkan Nibbana bermaksud “keadaan ketagih perasaan deria” (kama-guna). Buddha menafikan kedua-dua pengertian Nibbana di atas.

Buddha menegaskan bahawa “Nibbana merupakan keadaan yang bebas daripada tikaman atau cucukan dan panas kebakaran oleh kilesa, tanha dan kesengsaraan. Keadaan ini tercapai kerana berjaya melihat kebenaran dunia atau hakiki segala benda sehingga dapat meleraikan kemahuan dan pegangan terhadap dunia atau segala benda.”

Sebab itulah kita harus menghargai nilai penglihatan terang tentang kebenaran alam mengikut sifat hakikinya. Kita sepatutnya berusaha agar kebenaran itu lahir di fikiran kita dengan daya usaha kita sendiri melalui samadhi cara semulajadi. Berusahalah supaya minda dapat kebanggaan dan kegirangan, ada kemurnian dalam setiap pernafasan keluar dan masuk, siang dan malam sehingga mencapai tahap tertinggi dalam kebebasan minda. Atau kita boleh mengamalkan kaedah vipassana secara khusus. Bagi sesetengah orang kaedah ini lebih berkesan dan cepat mendapat hasil sekiranya diamalkan dengan cara yang betul.

Tetapi vipassana secara semulajadi boleh dilakukan setiap waktu dan dalam semua keadaan. Perkara yang penting kita mesti menjaga kehidupan harian agar sentiasa tenang dan terkawal. Latih minda untuk mendapat penglihatan dan pengetahuan terang dari peringkat ke peringkat. Setelah mendapat tahu tentang kebenaran alam, akan lahir pula kebosanan dan keleraian terhadap dunia. Segala kemurungan yang membalut minda selama ini pun hilang kerana telah digantikan oleh kedamaian. Akhirnya segala kesengsaraan akan padam. Lakukanlah setiap hari, setiap minggu, bulan dan tahun, nescaya kita akan dapat merasai keadaan tanpa kesengsaraan sedikit demi sedikit. Jadi, setiap hari kita semakin mendekati Nibbana.

Kesimpulannya, samadhi dan vipassana secara semulajadi yang membuatkan individu mencapai matlamat bergantung kepada penghayatan tentang kebenaran, “Tiada apa yang patut diambil, tiada apa yang patut dijadi”. Individu yang berhasrat hendak mendapat hasil yang cepat, harus menjaga perlakuan agar sentiasa baik dan terpuji sampai sanggup mengangkat tangan memberi tabik kepada diri sendiri. Sentiasa ada piti-pamojja sewaktu bertugas atau berehat kerana ia akan melahirkan kesegaran, keceriaan dan ketenteraman; dalam keadaan begini minda ada kekuatan untuk bertindak terhadap kebenaran alam “tiada apa yang patut diambil dan dijadi.” Kekuatan minda akan bertambah dari masa ke masa sehingga lahir kebosanan dan kebencian terhadap kemahuan dan ketagihan kepada dunia. Akhirnya, segala kesengsaran pun padam. “Inilah yang dikatakan cenderahati daripada alam untuk semua orang”!

Dhamma (6) Panca-Khandha

(Terjemahan Karya Buddhadasa Bhikhu - Suan Mokkha Palaram)
Panca-Khandha - Orang ketagih apa?

Apakah benda yang menjadi tempat pegangan (upadana)? Jawabnya adalah dunia itu sendiri. Istilah dunia (loka) dalam agama Buddha mempunyai makna yang luas daripada makna yang biasa. Dunia bermaksud segala benda meliputi dunia manusia, haiwan, devata, phrom (syurga), neraka, hantu, peta, asura, dan apa saja yang ada. Semuanya dipanggil dunia.

Pengetahuan tentang dunia adalah pengetahuan yang rumit dan berlapis-lapis. Kita kenal dunia pada lapisan luar sahaja, iaitu lapisan kelaziman yang dipanggil sammuti (perumpamaan). Agama Buddha mengajar kita melihat dunia dari pelbagai lapisan. Buddha ada cara tersendiri dengan membahagikan dunia kepada 2 bahagian. Bahagian fizikal dipanggil rupa-dhamma, manakala bahagian mental dipanggil nama-dhamma. Bahagian mental ada 4 kelompok. Jadi, 4 kelompok mental campur 1 kelompok fizikal menjadi 5 kelompok yang dipanggil panca-khandha. 5 kelompok inilah yang membentuk manusia atau binatang. Oleh itu, manusia sebenarnya panca-khandha semata-mata bukan diri sesiapa.

Melihat dunia bererti melihat makhluk di dunia, terutamanya manusia kerana kebanyakan masalah ada kaitan dengan manusia. Bahagian fizikal dinamakan rupa atau rupa-khandha (kelompok fizikal). Manakala bahagian mental ada 4 kelompok, seperti berikut:

Kelompok 1: Dipanggil vedana bermaksud perasaan, iaitu perasaan bahagia (sukha-vedana), perasaan sengsara (dukkha-vedana) dan perasaan neutral, atau bukan bahagia, bukan sengsara (adukkha-m-asukha). Perasaan ini merupakan perkara normal kepada semua orang. Setiap hari manusia dipenuhi dengan perasaan; berapa banyak perasaan yang ada, semuanya dikategorikan ke dalam 3 jenis ini.

Kelompok 2: Dipanggil saññâ bermaksud sedar, iaitu dalam keadaan sedar, tidak tidur, tidak pengsan, atau tidak mati. Kadang-kadang diberikan maksudnya sebagai daya ingatan atau daya pengertian. Itu pun betul juga. Kerana orang masih sedar, belum pengsan apabila “tersentuh” sesuatu melalui pancaindera - terus mengerti benda tersebut; jenisnya, warnanya dan saiznya. Inilah yang dimaksudkan sedar diri, ada daya ingatan dan daya pengertian.

Kelompok 3: Dipanggil sankhara, satu istilah yang membawa pelbagai maksud sehingga mengelirukan. Kita lihat maksudnya dalam konteks mental ini dulu. Dalam konteks ini sankhara bermaksud membentuk atau mencipta. Perlakuan mental seseorang seperti berfikir; berfikir hendak berbuat sesuatu, berfikir hendak bercakap, berfikir ke arah kebaikan, berfikir ke arah kejahatan dan sebagainya dipengaruhi oleh cetusan hati. Cetusan hati yang “membentuk” pelbagai jenis fikiran itulah dinamakan sankhara. Istilah dalam konteks lain ada yang bermaksud kebaikan atau pahala yang membentuk kelahiran manusia. Ada yang bermaksud tubuh badan. Walaupun ada banyak maksud, tetapi semua sankhara ada persamaan pada fungsinya yang “membentuk” atau “mencipta” sesuatu benda.

Kelompok 4: Dipanggil viññâna bermaksud bahagian mental yang bertugas untuk mengetahui deria - mata (visual), telinga (bunyi), hidung (bau), lidah (rasa), tubuh (objek) dan hati (perasaan). Viññâna di sini bukan bermaksud roh atau spirit sebagaimana dianggap kebanyakan orang.

Panca-khandha inilah yang menjadi tempat berpaut oleh empat jenis pegangan (upadana) yang diterangkan dahulu. Orang yang berpegang (upadana) pada mana-mana kelompok khandha sebagai “diri” adalah kerana kejahilan tentang perkara sebenar. Umpama seorang kanak-kanak yang terlanggar pintu lalu menangis kesakitan. Ibu kanak-kanak itu terpaksa memukul pintu beberapa kali barulah kanak-kanak itu berhenti menangis. Ini kerana kanak-kanak tersebut telah “menganggap” pintu (fizikal) sebagai “diri”. Kerana “diri kau” (pintu) yang membuatkan “diriku” sakit, apabila “diri kau” dipukul, barulah “diriku” berasa puas. Ini merupakan contoh pegangan pada peringkat rendah, iaitu menganggap fizikal sebagai “diri”.

Malah orang dewasa, kekadang menjadi marah sampai menumbuk diri sendiri, atau menghentak kepala ke dinding. Ini juga kerana ada pegangan seperti kanak-kanak tadi, iaitu menganggap tubuh (fizikal) sebagai “diri”. Bagi orang yang lebih bijak sedikit, akan menganggap mana-mana bahagian mental (vedana, saññâ, sankhara, viññâna) sebagai “diri”. Sekiranya dia tidak tahu mengasingkannya, dia mengambil kesemua panca-khandha sebagai “diri”.

Vedana (perasaan bahagia, sengsara dan tidak bahagia atau tidak sengsara) paling banyak boleh dipegang sebagai diri. Kita boleh melihat kebenaran ini dalam ketagihan manusia terhadap benda yang membawa keseronokan melalui deria seperti gambar, suara, bau, rasa dan sentuh. Sukha-vedana di sini adalah perasaan bahagia (puas hati) apabila dapat menikmati keseronokan kâmarom dan melekat kepada kebahagiaan tersebut. Boleh dikatakan semua orang suka kepada kebahagiaan, terutamanya kebahagiaan berbentuk kenikmatan melalui sentuhan. Ini berpunca daripada kejahilan tentang hakikat keduniaan yang kita tidak nampak lalu menganggapnya sebagai satu kenikmatan semata-mata. Jadi, semuanya kita anggap milik kita dan menjadi sebahagian daripada diri kita.

Perasaan puas hati (sukha-vedana) atau tidak puas hati (dukkha-vedana), boleh menjadi punca kepada kesengsaraan. Malah, kedua-dua perasaan ini dalam ajaran Buddha dianggap sebagai kesengsaraan kerana kedua-duanya membawa penyeksaan kepada individu. Perasaan puas hati membikin hati kita mengembang (gembira), manakala perasaan tidak puas hati membikin hati kita mengecut (duka). Kegembiraan dan kedukaan, kedua-duanya menyebabkan hati kita menjadi keletihan - denyutan jantung bertambah berlipat ganda kerana kegembiraan atau kedukaan tersebut. Semua ini berlaku akibat pegangan kuat dan tidak mahu lepas terhadap vedana kerana telah menjadikannya sebahagian daripada kewujudan “diri kita”.

Cuba kita berfikir secara mendalam betapa silapnya tanggapan kita terhadap vedana yang kita anggap “ada diri” dan “milik kita” ini. Tanggapan yang betul akan membebaskan kita daripada menjadi hamba kepada perasaan sendiri. Kekadang perasaan hati itu ada kuasa melebihi kuasa akal fikiran, kalau tersilap boleh mengheret kita ke kancah penyesalan kemudiaan hari. Dalam pengamalan ke arah pembebasan minda tahap tertinggi (Arahat), kita dinasihatkan berfikir secara mendalam dan berulang kali tentang vedana. Malahan terdapat Phra Arahan yang mencapai pembebasan tahap tertinggi dengan memfokus kepada vedana sahaja.

Vedana merupakan perkara yang paling mudah menyesatkan kita kerana ia merupakan puncak segala kehendak yang kita usahakan. Kita belajar rajin-rajin untuk mendapatkan kerjaya yang baik. Setelah berjaya mendapat kerjaya kita mencari pula kepuasan lain seperti memiliki kenderaan mewah, pakaian berjenama, makanan termasyhur dan hiburan tersohor; semuanya untuk kepuasan diri (kebahagiaan melalui deria 6). Kita membanting tulang, mengerah otak dan menghabiskan duit, demi kepuasan hati semata-mata. Semua orang tahu kalau bukan kerana kepuasan hati ini, tiada siapa yang akan belajar dan bekerja. Oleh itu kepuasan hati merupakan satu perkara yang tidak boleh dipandang remeh. Seandainya ada pengetahuan dan pemahaman yang betul, kita boleh mengawalnya dengan membina kekuatan minda agar berada lebih tinggi daripada segala perasaan dan kemahuan tersebut. Pepatah ada mengatakan, “Ikut hati mati, ikut rasa binasa.” Kita ada akal, kenapa dipersia-siakan?

Kecamukan yang melanda dunia hari ini, yang terbahagi kepada blok-blok kalau diselusuri puncanya, kita dapati ia datang daripada kemahuan terhadap “perasaan puas hati” semata-mata. Semua pihak menginginkan kepuasan jasmani dan rohani masing-masing (kepentingan diri). Bukannya kerana factor kepercayaan atau ideologi. Semua pihak mementingkan diri, tamak dan mengusahakan kemenangan mutlak kepada pihak sendiri. Faktor kepercayaan atau ideologi sebenarnya topeng untuk mengaburi mata dunia. Atau cuma sebagai faktor sampingan sahaja. Punca paling utama adalah kerana manusia telah menjadi hamba kepada perasaan dan nafsu sendiri. Oleh itu, kenal perasaan sendiri amat penting kerana kita boleh kenal punca kepada segala masalah dan berusaha mengawalnya.

Bukan sahaja manusia, dewa juga menjadi hamba kepada perasaan - inginkan kepuasan diri dan kebahagiaan hidup. Perbezaan antara kebahagiaan manusia dan kebahagiaan dewa adalah pada tahap dan jenisnya. Kebahagiaan dewa dikatakan lebih halus dan dapat dikecapi mengikut kehendak hati. Namun kedua-duanya masih terikat dan terkongkong oleh nafsu serta ketagihan terhadap kâmarom.

Pada tahap yang lebih tinggi, alam Phrom (Brahma) misalnya, kenikmatan luaran (kâmarom) memang tidak ada, tetapi masih terikat dengan kenikmatan dalaman yang datang daripada jhana (meditasi). Kenikmatan dalaman ini juga akan melahirkan kepuasan dan kebahagiaan yang menandakan bahawa Phrom juga belum bebas sepenuhnya daripada perasaan (vedana).

Manakala makhluk yang berkedudukan lebih rendah daripada manusia pasti lebih teruk menjadi hamba kepada perasaan.

Oleh itu pengetahuan yang betul tentang vedana dapat membantu kita tahu hakikat kewujudannya agar kita tidak berterusan terpengaruh dengannya.

Saññâ juga merupakan satu perkara yang selalu kita anggap sebagai “milik kita” atau “diri kita”. Orang ramai selalu mengatakan bahawa ketika kita tidur ada sesuatu yang dipanggil roh atau semangat akan keluar dari tubuh kita. Ketika itu kita menjadi tidak sedar (tiada saññâ), terbaring bagaikan sepotong kayu, tidak ada sebarang perasaan daripada mata, telinga, hidung, lidah, badan dan hati. Setelah roh atau semangat masuk semula ke dalam tubuh, barulah kita menjadi sedar (ada saññâ) seperti biasa. Kekhilafan tentang perkara inilah yang menjadi punca utama orang beranggapan saññâ sebagai “diri kita “ dan “milik kita”. Sekiranya kita bercakap mengikut konsep agama Buddha, saññâ bukan “diri kita”, ia cuma satu keadaan sedar atau daya ingatan atau daya pengecaman terhadap sesuatu simbol sahaja. Apabila kita melihat warna putih kita tahu itu putih; melihat warna merah kita tahu itu merah; begitulah dengan pendengaran dan sebagainya. Dalam keadaan yang tidak teratur dalam pembentukan simbol menyebabkan saññâ tidak dapat berfungsi dengan baik. Agama Buddha tidak terima saññâ sebagai “diri” kerana hal ini. Tetapi kebanyakan orang suka mentafsir hakikat saññâ sebagai “diri” mereka; padahal hakikatnya ia bukan diri sesiapa, ia wujud berdasarkan elemen pembentukannya.

Sankhara di sini bermaksud pembentukan fikiran. Berfikir hendak berbuat baik dan berbuat jahat semuanya dibentuk oleh sankhara. Perasaan “ada diri” timbul kerana fikiran juga. Oleh itu fikiran itu sendiri merupakan “diri” paling gah dalam diri manusia.

Seorang ahli falsafah moden pernah berkata,”Kerana saya dapat berfikir, saya masih wujud!” Ini menunjukkan bahawa seorang ahli falsafah moden juga masih berpegang pada benda yang sama dengan ahli falsafah dua tiga ribu tahun dahulu, iaitu berpegang pada “fikiran” sebagai “diri sendiri”.

Buddha telah menafikan bahawa vedana dan saññâ merupakan diri sesiapa. Malah turut menafikan fikiran dan sankhara yang membentuk fikiran tersebut juga bukan diri sesiapa. Keadaan yang “boleh berfikir” itu adalah sifat semulajadi segala kewujudan, hasil daripada pembentukan dan penggabungan elemen-elemennya. Walaupun gabungan elemen-elemen ini membentuk tubuh badan manusia tetapi konsep “diri aku” tidak wujud di dalamnya. Oleh itu sankhara tidak dianggap ada diri kerana sifatnya juga anatta.

Dalam agama Buddha ada disebutkan bahawa sankhara bersifat “membentuk” (membentuk fikiran dan sebagainya) terdiri daripada pelbagai jenis elemen yang bergabung, oleh itu tentulah tidak ada diri sendiri yang sebenar. Kerumitan untuk memahami perkara ini kerana kita kurang arif tentang mental. Kita lebih mengenali antara satu sama lain pada bahagian fizikal. Bahagian mental kita hampir tidak tahu langsung. Oleh sebab itu kita sukar untuk memahami konsep pembentukan mental.

Mengikut agama Buddha, proses penggabungan pelbagai elemen, fizikal dan mental, kemudian membentuk fikiran di dalam diri kita. Selepas itu, kita tersalah faham lalu percaya bahawa ada “sesuatu yang berfikir” di dalam diri kita. “Sesuatu yang berfikir” itulah yang kita selalu sebut sebagai viññâna (roh atau semangat). Kita percaya bahawa viññâna inilah pemilik tubuh badan kita - satu kesilapan yang harus diperbetulkan. Agama Buddha telah membuktikan bahawa apabila tubuh badan kita dicerai-ceraikan menjadi bahagian-bahagian; menjadi ketul-ketul; menjadi cebisan-cebisan; menjadi molekul-molekul; akhirnya tiada apa yang tinggal yang boleh dikatakan “diri” termasuklah bahagian mental atau minda.

Viññâna bertugas untuk mengetahui secara terang apa yang datang melalui enam deria. Ia bukan diri kita. Setiap deria berupaya mengetahui visual, suara, bau, rasa, dan sentuhan setiap masa. Apabila mata lihat visual maka lahirlah viññâna. Apabila 3 perkara ini ada, iaitu mata-visual-viññâna maka penglihatan dapat menentukan dengan tepat benda yang dilihat itu sama ada orang atau binatang, saiznya, warnanya, bentuknya dan sebagainya.

Keupayaan mengetahui dengan terang (tepat) ini merupakan keupayaan semulajadi. Tetapi ada sesetengah orang menganggap itulah roh yang selalu berlari keluar masuk antara hati manusia dengan derianya. Dalam agama Buddha, apabila objek dan deria mata bertemu akan melahirkan penglihatan yang dinamakan caksu-viññâna (viññâna mata). Nama ini diambil mengikut nama jenis deria yang terlibat. Oleh itulah pengertian viññâna dalam agama Buddha berbeza daripada pengertian viññâna dalam agama lain (roh).

Setelah kita ketahui kelompok yang membentuk manusia (rupa, vedana, saññâ, sankhara, viññâna), kita dapati tiada mana-mana jenis yang boleh kita jadikan diri kita atau milik kita. Oleh itu kita seharusnya dapat memperbetulkan kekhilafan pemikiran kita berkaitan “diri kita” dan “milik kita” kerana realitinya ia “bukan diri sesiapa” dan “bukan milik sesiapa”. Sekiranya tidak ada nafsu kemahuan, tidak akan ada perasaan suka atau benci kepada apa-apa benda. Setelah tiadanya perasaan suka dan benci, kita sebenarnya sudah faham hakikat kewujudan segala benda. Berbicara secara logik barangkali dapat membantu kita memahami konsep “bukan diri” segala benda juga, tetapi bukan pemahaman yang tepat yang membolehkan kita melepaskan pegangan terhadap keduniaan. Sebab itulah kita mesti menumpukan fikiran secara mendalam berdasarkan konsep sila-sikkha, samadhi-sikkha dan paññâ-sikkha.

Perkara penting dalam panca-khandha ini ialah usaha memperolehi pengetahuan yang tepat (pengetahuan terang) tentang hakikatnya, barulah dapat kita melepaskan pegangan terhadapnya; sebenarnya tiada mana-mana bahagian yang boleh kita pegang sebagai diri kita. Jadi, kita kena mempelajari khandha dengan terperinci kerana ia menjadi punca kesesatan dan kesilapan kita terhadap sifat semulajadinya yang tidak kekal, sengsara dan bukan diri (kita). Buddha mengajar perkara berkaitan khandha lebih banyak daripada perkara lain. Dan apabila dirumuskan maka hakikatnya panca-khandha adalah anatta!” Inilah ajaran yang dikatakan teras kepada segala ajaran dalam agama Buddha, sama ada kita melihatnya dari sudut falsafah, sains, atau agama. Sekiranya kita memahami dengan betul, segala tanha akan terpadam, upadana akan terlepas dan dukkha akan terhapus!
Kenapa kita tidak berjaya melihat hakikat kejadian dan kewujudan fizikal dan mental? Sewaktu kita dilahirkan daripada kandungan ibu, kita tidak ada kebijaksanaan sendiri. Kita menerima pengetahuan daripada ajaran orang lain. Orang lain mengajar kita mengikut pemahaman mereka yang silap; bahawa semua benda ada dirinya sendiri. Akibat daripada pemahaman ini, naluri kita yang percayakan konsep ada diri sejak dilahirkan pun bertambah subur. Dalam percakapan harian kita menggunakan ganti nama “saya”, “aku”, “kamu”, “dia”, “mereka” dan sebagainya yang kesemuanya membawa pengertian ada diri. Sistem rujukan komuniti yang menjadi kelaziman seperti “orang itu anak kepada orang ini,” “dia isteri kepada orang di situ” dan “saudara kepada orang di sana,” semuanya menyuburkan lagi konsep ada diri.

Setelah percaya kepada konsep ada diri, maka lahirlah pula perasaan pentingkan diri. Akibatnya, dalam kehidupan harian kita, dalam pergaulan dan pekerjaan, kita cenderung kepada kepentingan diri, keluarga dan saudara mara. Bayangkanlah apa akan terjadi sekiranya semua urusan kehidupan mengutamakan “lingkungan sendiri” sahaja. Sekiranya kita cerdik sedikit, dapat memahami bahawa semua ini satu bentuk “penipuan mental” semata-mata, kita akan lepaskan pegangan tentang Encik A atau Encik B, Tuan Panglima, YB Menteri, Biksu, Raja, manusia, binatang dan lain-lain. Semuanya adalah perumpamaan (sammuti) yang diciptakan manusia dalam proses interaksi semata-mata. Kalau kita dapat memahami perumpamaan di atas, boleh dikatakan kita telah berjaya menarik diri keluar daripada satu lapis “penipuan” dalam masyarakat.

Setelah kita meneliti seluruh tubuh Encik A, kita akan dapati bahawa Encik A itu sebenarnya rupa, vedana, saññâ, sankhara, dan viññâna. Berbezakah dengan tubuh Encik B? Jawabnya, sama. Itulah yang dikatakan kita sudah cerdik sedikit. Kita tidak akan terpengaruh dengan perumpamaan dunia atau kebenaran biasa (vohara-sacca).

Kalau hendak dihuraikan lebih terperinci pun boleh. Rupa-khandha atau tubuh badan boleh diceraikan menjadi elemen-elemen; tanah, air, angin dan api. Atau boleh juga diceraikan mengikut kaedah sains; karbon, oksigen, hidrogen dan lain-lain. Pendekatan begini menambahkan pemahaman kita lebih mendalam; tahap penipuannya terhadap kita berkurangan. Sebenarnya, orang atau manusia tidak ada. Yang ada cuma elemen-elemen. Fizikal pun elemen. Mental pun elemen. Bahagian mental boleh juga dipecah-pecahkan mengikut fungsi masing-masing. Oleh hal yang demikian, tanggapan kita bahawa wujud Encik A, Encik B, Tuan Panglima, YB Menteri, Biksu dan Raja pun lenyap. Kepercayaan tentang konsep “anak kita,” “isteri kita atau suami kita” pun ikut hilang. Semuanya tidak ada dan tidak wujud dalam pengertian kebenaran hakiki (paramattha-sacca) melainkan panca-khandha semata-mata.

Kalau kita lihat dari sudut hakiki, unsur tanah, air, angin, api, oksigen, hidrogen dan lain-lain, termasuk rupa, vedana, saññâ, sankhara dan viññâna mempunyai satu sifat yang sama iaitu “kosong” daripada benda yang dipanggil “diri sendiri”. Elemen utama iaitu tanah, air, angin dan api juga tidak ada diri, semuanya kosong. Dalam agama Buddha keadaan kosong ini dinamakan suññatâ.

(Maklumat Tambahan: Kebenaran biasa (vohara-sacca) ialah kebenaran mengikut tafsiran manusia yang belum tentu benar. Kebenaran hakiki (paramattha-sacca) ialah kebenaran yang sebenarnya, mengikut sifat semulajadi alam).

Sesiapa yang melihat dunia dengan mata akal dalam keadaan “kosong” (suññatâ) maka yakinlah bahawa orang itu tidak akan ada pegangan salah, kalau ada pun semuanya terlepas bebas. Segala pegangan salah, dan tanggapan silap terhapus dengan sendiri; tiada orang, tiada binatang, tiada mental, tiada fizikal, tiada elemen, tiada khandha, malahan tiada apa-apa langsung; semuanya “kosong” daripada pengertian dirinya sendiri. Sekiranya kita tiada pegangan terhadap segala benda, maka semua kesengsaraan tidak akan muncul. Siapa hendak panggil kita orang baik, orang jahat, orang terhormat, orang hina, orang bahagia, atau orang derita, pastinya tidak memberikan sebarang kesan kepada kita kerana kita sudah melepaskan kesemua empat pegangan salah (4 upadana). Minda kita sudah bebas.

Kesimpulannya, segala benda di dunia ini berkumpul di dalam satu istilah, panca-khandha: rupa, vedana, saññâ, sankhara, dan viññâna yang setiap satunya merupakan kepalsuan tanpa diri. Tetapi kuasa vedana sering memperdayakan manusia sehingga lahir pegangan salah, kemudian diikuti dengan kemahuan untuk “ambil” atau “jadi” atau “tak mahu jadi” yang kesemuanya membawa kepada kesengsaraan, sama ada dalam bentuk tersembunyi atau terdedah. Orang yang bijak sangat pandai sembunyikan kesengsaraannya di sebalik senyuman manisnya. Orang yang bodoh suka mendedahkan kesengsaraan kepada tatapan umum melalui wajah murungnya. Oleh itu semua orang mesti mengamalkan Tri-Sikkha (sila, samadhi dan paññâ) agar dapat melepaskan pegangan salah terhadap panca-khandha. Dunia pasti akan berada dalam keadaan yang membahagiakan semua orang sekiranya orang tersebut mempunyai minda yang bebas daripada segala kongkongan keduniaan. Begitulah hasil daripada pengetahuan terang tentang panca-khandha mengikut ajaran Buddha!


Dhamma (5) Tri-Sikkha

(Terjemahan Karya Buddhadasa Bhikhu - Suan Mokkha Palaram)
Tri-Sikkha - Susahkah hendak diamalkan?

Dalam bab ini akan diceritakan cara-cara memutuskan upadana. Dalam agama Buddha terdapat 3 perkara pokok yang boleh memutuskan upadana, iaitu; Sila, Samadhi dan Paññâ atau dipanggil Tri-Sikkha (tiga latihan).

Sikkha Pertama dipanggil sila (rukun moral) bermaksud perbuatan baik, perbuatan yang betul yang tidak akan menyusahkan diri sendiri dan orang lain. Ada Sila 5, Sila 8, Sila 10, Sila 227 dan lain-lain. Kesemua sila ini diamalkan untuk mencapai ketenangan, ketertiban dan kesopanan dalam perbuatan dan pertuturan dalam pergaulan harian dengan komuniti.

Sikkha Kedua dipanggil samadhi (konsentrasi) bermaksud perihal mengawal minda agar berada dalam keadaan yang dapat membuat kerja yang berfaedah sebagaimana yang kita kehendaki. Kita mesti faham betul-betul maksud samadhi. Kebanyakan kita selalu mendengar bahawa samadhi adalah keadaan minda yang tenang jenis “diam kaku” bagaikan sepotong kayu, atau minda yang tenang dan suci. Keadaan tenang dan suci sahaja belum mencukupi untuk mendukung makna sebenar perkataan samadhi. Buddha menerangkan ciri-ciri minda ada samadhi dengan satu lagi perkataan yang dianggap mustahak, iaitu perkataan kammaniyo yang bermaksud bersedia untuk bekerja. Kammaniyo ini merupakan perkataan terakhir yang menggambarkan keadaan minda yang ada samadhi. Kesimpulannya, samadhi bermaksud konsentrasi jenis yang tenang, suci dan bersedia untuk bekerja.

Sikkha Ketiga dipanggil paññâ (kebijaksanaan) bermaksud pengamalan atau pembangunan minda untuk mendapatkan pengetahuan dan pemahaman yang sempurna tentang hakiki segala benda. Orang pada kebiasaannya tidak akan tahu kebenaran tentang segala benda mengikut sifat hakiki kewujudannya. Kita hanya akan tahu kebenaran mengikut tafsiran kita sendiri, atau mengikut kelaziman dunia. Oleh itu ia bukan hakikat sebenar. Oleh sebab itulah agama Buddha ada kaedah pengamalan tersendiri yang dinamakan paññâ-sikkha untuk mendapatkan pengetahuan sempurna tentang hakiki segala benda.

Istilah “memahami” dengan istilah “melihat dengan terang” dalam ilmu dhamma dianggap membawa dua maksud yang berlainan. “Memahami” bergantung kepada pemikiran, logik, atau kadang-kadang terpaksa menggunakan ramalan berdasarkan fakta tertentu. Manakala “melihat dengan terang” mendukung maksud yang lebih mendalam yang melibatkan penglibatan diri sendiri, atau melalui pengalaman sendiri. Kita mesti menumpukan minda kepada setiap benda hingga benar-benar tahu hakikatnya, kemudian perlahan-lahan berasa jemu dengannya - satu perasaan yang datang dari lubuk hati, bukan berdasarkan fakta luaran. Oleh hal demikian, kebijaksanaan dalam agama Buddha sama sekali berbeza daripada kebijaksanaan yang digunakan dalam disiplin ilmu dunia yang berdasarkan fakta-fakta.


Paññâ (kebijaksanaan) dalam agama Buddha melibatkan “penglihatan terang” dan “pengetahuan terang” yang kedua-duanya lahir di minda hasil daripada pengalaman sendiri (pengamalan) yang pastinya tidak dapat dilupakan. Oleh itu, cara untuk memperolehi kebijaksanaan mestilah melalui semua benda yang menjelma dalam kehidupan kita; menjadikan benda tersebut sebagai objek penghayatan. Semua benda tersebut seharusnya yang penting, yang setelah dibicarakan oleh minda kita, akan menimbulkan perasaan bosan dan jemu terhadap benda itu kerana semuanya tidak kekal, sengsara dan tiada diri.

Seandainya kita berbicara mengikut fakta, atau melalui kajian saintifik tentang sifat segala benda yang tidak kekal, berubah-ubah, dan tiada diri sendiri seberapa banyak pun, hasilnya kita cuma dapat memahami maksud luarannya sahaja. Kita tidak akan mendapat “pengetahuan terang” yang menyedarkan kita berkenaan kebenaran segala benda sehingga kita berasa bosan terhadapnya. Kita harus faham bahawa perlakuan minda yang mula berasa bosan dan perlahan-lahan melepaskan kemahuan terhadap benda yang pernah disukai sekian lama itulah yang dinamakan “penglihatan terang”. Dhamma ada menyebutkan bahawa sekiranya kita benar-benar mendapat “penglihatan terang” kita juga akan “benar-benar bosan” terhadap semua benda dunia. “Penglihatan terang” dan perasaan “benar-benar bosan” terhadap semua benda dunia muncul serentak dan tidak boleh dipisahkan ibarat sekeping syiling yang ada dua permukaan.

Sila-sikkha merupakan pengetahuan dan pengamalan pada peringkat permulaan dalam kehidupan yang normal agar dapat membantu minda berada dalam keadaan santai. Kebaikan sila ada banyak, tetapi yang penting supaya dapat melahirkan samadhi. Kebaikan yang lain seperti untuk kebahagiaan hidup, atau untuk dilahirkan menjadi devata di syurga, bukan matlamat langsung agama Buddha. Matlamat langsung agama Buddha adalah untuk melahirkan dan menyuburkan samadhi. Dengan sila, minda mudah mendapatkan samadhi. Sekiranya kehidupan kita penuh dengan kacau bilau (tiada sila) minda sukar untuk menjadi samadhi.

Samadhi-sikkha membawa maksud keadaan di mana kita berupaya mengawal minda supaya ia dapat menjalankan tugasnya dengan berkesan. Dengan sila, kita berbuat baik melalui perbuatan dan pertuturan, manakala dengan samadhi kita berbuat baik melalui minda supaya minda tidak bercelaru atau murung tetapi berada dalam keadaan yang kuat dan sesuai untuk menjalankan tugasnya.

Malah dalam pekerjaan harian, samadhi amat penting. Tidak kira pekerjaan dalam bidang apa sekalipun, tanpa konsentrasi minda, tidak mungkin mendapat hasil yang memuaskan. Oleh itu, orang yang ada samadhi dianggap orang yang mulia sama ada dalam aspek sekular atau agama. Jadi, samadhi merupakan harta yang amat bernilai kepada semua orang. Budak-budak sekolah, kalau tidak ada samadhi bagaimana hendak mencapai kejayaan dalam pelajaran. Tetapi samadhi ini merupakan samadhi yang ada secara semulajadi yang berada pada tahap rendah. Manakala samadhi yang sedang kita bincangkan ini adalah yang dipraktikkan dari tahap ke tahap sehingga melepasi tahap semulajadi. Setelah berjaya mempraktikkan samadhi tahap tinggi, barulah minda kita ada kekuatan, keupayaan dan kemampuan istimewa yang lain. Keupayaan manusia mengambil faedah daripada samadhi boleh dikatakan satu kejayaan besar; mengetahui satu lagi rahsia alam. Kemampuan kita mengawal minda, merupakan kelebihan yang tiada pada manusia biasa.

Pada peringkat sila, belum dianggap peringkat yang ada kebolehan luar biasa manusia (uttari-manussadhamma), tetapi pada peringkat samadhi (masuk jhana), sudah dianggap peringkat ada kebolehan luar biasa manusia. Oleh itu biksu yang mengamalkan peringkat ini tidak boleh menunjuk-nunjuk kebolehan luar biasanya kerana dianggap bukan biksu yang baik, atau terputus dari alam biksu.

Untuk mendapat samadhi, kita mesti berusaha, tekun dan tabah mengamalkan langkah-langkah yang ditetapkan sehingga berjaya. Sekiranya minda kita sudah ada samadhi, hasil kerja kita akan lebih baik daripada orang lain. Oleh sebab itu janganlah menganggap membuat meditasi merupakan perbuatan ketinggalan zaman atau perbuatan orang dungu. Apatah lagi dalam dunia sekarang yang begitu kacau, samadhi amat diperlukan lebih daripada zaman Buddha dulu. Dan jangan juga kita berfikir bahawa ia adalah hal peribadi orang-orang yang selalu pergi wat sahaja atau hal orang-orang yang ketinggalan zaman. “Membuat meditasi agar minda mencapai samadhi adalah hal orang bijak!”

Sekarang mari kita lihat hubung kait antara samadhi-sikkha dengan paññâ-sikkha. Buddha ada mengatakan bahawa apabila minda mendapat samadhi, kita akan melihat dengan terang segala benda mengikut sifat hakikinya. Satu perkara yang agak pelik. Semua perkara yang hendak kita tahu, atau masalah yang hendak kita selesaikan, lazimnya “bersembunyi” di dalam lubuk hati kita. Namun, kita tidak sedar kerana ia bersembunyi di dalam minda bawah sedar kita. Walaupun kita berusaha supaya ia “keluar” tetapi gagal kerana minda kita belum bersedia untuk selesaikan masalah tersebut. Sekiranya kita mendapat samadhi yang betul, jenis ada kamaniyo, masalah yang bersembunyi di dalam minda bawah sedar dapat dikeluarkan dengan cepat.

Tetapi, sekiranya ia tidak keluar, kita masih ada kaedah lain, iaitu mengarahkan minda yang ada samadhi menumpu kepada masalah yang kita hadapi, kemudian memikirkannya dengan mendalam (manasikara). Kaedah ini dinamakan paññâ-sikkha. Pada malam Buddha memperolehi pengetahuan sempurna atau Pencerahan Sempurna (sammâ-sambodhi) tentang Paticcasamuppada iaitu, pengetahuan tentang kebenaran segala benda dari peringkat ke peringkat kerana minda Buddha ada samadhi seperti yang diterangkan di atas. Buddha ada menjelaskan perkara ini secara perinci. Kesimpulannya, apabila minda benar-benar ada samadhi, barulah minda ada kuasa berfikir secara mendalam segala persoalan dengan berkesan. Semua ini menunjukkan bahawa paññâ dan samadhi selalu ada kaitan. Tetapi keadaan di mana paññâ bergantung kepada samadhi barang kali kita tidak sedar. Sebagai contoh, ketika suasana lapang dan sunyi tanpa sebarang gangguan, minda begitu tenang (samadhi), membolehkan kita berjaya merungkai persoalan yang tertangguh dengan berkesan (paññâ).

Dalam agama Buddha diterangkan bahawa perkaitan antara samadhi dengan paññâ amat mendalam; mesti ada samadhi baru ada paññâ; dan mesti ada paññâ baru ada samadhi. Perkaitan ini dapat diperjelaskan seperti berikut. Dalam usaha kita untuk mendapatkan samadhi melebihi ketenangan biasa, kita bergantung pada keadaan minda; bagaimana hendak mengawal minda, barulah kita dapat samadhi. Oleh itu, orang yang ada paññâ tahu mengawal minda untuk mendapatkan samadhi dari tahap ke tahap. Setelah samadhi mencapai tahap tinggi, paññâ pun mencapai tahap tinggi. Kedua-duanya saling membantu dan saling bergantungan.

Sekiranya ada paññâ, pasti ada penglihatan terang dan kesannya tentulah timbul perasaan bosan dan benci dan perlahan-lahan berundur daripada segala benda yang kita sayangi dan kita kasihi selama ini. Sekiranya kita masih berdegil menyayangi dan mengasihi benda tersebut, bukan kebijaksanaan namanya bagi penganut agama Buddha. Yang dimaksudkan dengan berundur bukannya berundur langkah, tetapi berundur minda. Lepaskan pegangan minda kita terhadap segala benda agar tidak menjadi hamba kepada sebarang benda di dunia dan di langit.

Kebosanan terhadap segala benda merupakan jalan membebaskan minda yang betul. Bukannya membunuh diri, atau melarikan diri ke hutan untuk menjadi pertapa, atau mengambil api bakar semua benda yang mengacau minda. Biarkan benda luaran terus dengan kelaziman dan fungsinya, tetapi minda kita mesti bebas. Minda tidak boleh menjadi hamba kepada sebarang benda. Inilah kebaikan daripada kebijaksanaan. Dalam bahasa Pali dipanggil vimutti yang bermaksud pembebasan minda daripada menjadi hamba kepada segala benda, terutama benda yang kita sayang.

Malahan, benda yang kita tak sayang pun, boleh menyebabkan kita menjadi hamba kepadanya. Kita menjadi hamba kepada perasaan benci kita kepadanya. Kita membencinya, dan resah gelisah kerananya. Ia mengawal perasaan kita. Jadi, kita menjadi hamba bukan kepada benda yang kita sayang, tetapi benda yang kita benci juga. Oleh itu kita harus berusaha membebaskan diri daripada menjadi hamba kepada segala perasaan, benci atau sayang dengan akal dan kebijaksanaan yang ada pada kita.

Buddha ada menyebutkan bahawa, “Orang akan jadi suci dengan paññâ (kebijaksanaan).” Buddha tidak pernah menyebut bahawa orang boleh jadi suci dengan sila dan samadhi. Suci dengan paññâ kerana paññâ yang membebaskan minda daripada taklukan segala benda. Keadaan minda yang belum bebas tentu belum suci - kotor, kabur, resah gelisah kerana kilesa. Manakala minda bebas pasti suci - bersih, terang benderang dan tenang; keadaan yang menunjukkan paññâ menjalankan fungsinya dengan sempurna. Oleh hal demikian, kita kena memberikan perhatian kepada paññâ-sikkha kerana ia merupakan perkara yang paling utama.

Paññâ dalam agama Buddha ialah kebijaksanaan melepaskan diri daripada segala keduniaan dengan cara menghapuskan 4 jenis pegangan (upadana). Berdegil dengan 4 jenis pegangan itu ibarat seutas tali yang mengikat kita. Kebijaksanaan ibarat pisau yang akan memotong ikatan tersebut sehingga tiada apa-apa lagi yang mengikat kita.

Ketiga-tiga sikkha di atas merupakan ilmu yang tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas. Sama ada sesuai untuk dijadikan amalan atau tidak, terpulang kepada pemikiran dan keputusan masing-masing. Apabila diteliti dengan mata akal, kita akan dapati 3 sikkha itu tidak bercanggah dengan mana-mana agama di dunia sekiranya agama tersebut juga bermatlamat untuk menghapuskan kesengsaraan manusia. Agama Buddha tidak menjadi seteru dengan mana-mana agama, tetapi ada apa-apa yang lebih banyak daripada agama lain. Ini dapat dilihat pada paññâ-sikkha yang membantu manusia melepaskan pegangan salah; membebaskan minda daripada keduniaan; daripada segala kuasa yang ada seperti kuasa di langit, kuasa dewa di syurga, atau kuasa jin jembalang. Kebebasan minda daripada segala-galanya. Inilah yang tiada dalam agama lain.

Kesimpulannya, agama Buddha ada semua perkara yang agama lain ada. Malah ada perkara tertentu yang agama lain tidak ada. Oleh itu, agama Buddha adalah agama universal untuk semua orang, semua golongan dan semua zaman. Ini kerana semua orang, tiada kecuali, ada masalah kesengsaraan akibat kelahiran, ketuaan, kesakitan dan kematian; kesengsaraan akibat nafsu atau kemahuan. Devata, manusia dan haiwan semuanya ada kesengsaraan masing-masing; ada naluri kemahuan masing-masing; ada tugasan masing-masing; dan ada nafsu yang harus dipadamkan demi kebebasan diri yang mutlak. Itulah yang dikatakan agama universal untuk semua orang sepanjang zaman.

Dhamma (4) Upadana

(Terjemahan Karya Buddhadasa Bhikhu - Suan Mokkha Palaram)


Upadana - Pegangan yang sukar dilepaskan.


Bagaimana kita hendak menarik diri keluar daripada segala benda yang menjadi anicca, dukkha dan anatta? Kita mesti mengenal pasti punca yang membuatkan kita ada kemahuan yang keras sehingga menyebabkan kita “terlekat” pada benda-benda tersebut? Setelah mengenal pasti, barangkali kita dapat memutuskan punca itu. Sifat negatif yang menyebabkan kita terlekat kepada segala benda dinamakan upadana yang bermaksud “pegangan” yang kuat. Upadana terbahagi kepada 4 jenis, iaitu:

1. Kâmupadana – (pegangan pada perkara atau perasaan yang menarik, mempesonakan, atau menikmatkan hati). Kâmupadana ini dapat kita lihat di mana-mana saja, kerana menjadi kelaziman bagi kebanyakan orang begitu tertarik dan terpesona dengan perasaan yang datang dari pancaindera: mata melihat gambar, telinga mendengar suara, hidung menghidu bau, lidah mengecap rasa dan tubuh menyentuh objek; semuanya akan melahirkan sejenis perasaan yang dinamakan “perasaan deria” (kâmarom). Perasaan ini akan mempengaruhi minda kita. Memang menjadi lumrah naluri kita akan terpesona dengan perkara, atau benda yang menarik hati. Umpama kita menikmati makanan yang lazat (deria lidah), kita begitu selera sekali, hati kita terus tertambat dengan kelazatannya. Begitulah juga dengan deria yang lain. Dalam agama Buddha terdapat satu lagi deria iaitu deria hati yang melahirkan perasaan hati. Deria hati ini merupakan deria keenam. Semua perasaan yang timbul di hati, sama ada perasaan masa lampau, masa kini atau masa hadapan, atau sekadar berfikir, atau melamun, semuanya akan mempengaruhi kita.

Sejak dilahirkan kita telah biasa dengan kâmarom dari keenam-enam deria- mata, telinga, hidung, lidah, tubuh dan hati. Semakin lama kita semakin selesa dan seronok dengan perasaan tersebut. Akhirnya kita menjadi ketagihan. Minda kita terkongkong dan dikuasai oleh kâmarom. Perkara ini sukar untuk difahami orang biasa kerana ia telah menjadi kelaziman sejak kecil. Oleh itu, untuk membebaskan minda, kita kena tahu hakikat kâmarom dan berusaha mengamalkan cara kehidupan yang sesuai dengannya. Kalau tidak, keadaan “terlekat” dengan perasaan memikat hati itu akan membawa bencana dan malapetaka kepada kehidupan kita. Cuba kita renungkan seketika, betapa ramai orang yang binasa kerana melayan kemahuan untuk memperolehi perasaan yang menikmatkan, mempesonakan, menghiburkan dan menyeronokkan. Semuanya kerana kita melekat kepada perkara yang akan memuaskan hati. Setiap perkara yang dilakukan oleh manusia saban hari, semuanya berpunca daripada perasaan deria. Manusia saling mencintai, membenci, berdendam, dengki, atau membunuh diri, semuanya berakar umbi daripada kâmarom. Betapa manusia bekerja keras setiap hari, sekiranya kita selidiki kita akan tahu punca sebenarnya. Kita akan dapati bahawa mereka mempunyai satu kemahuan (cita-cita) untuk mendapatkan sesuatu. Mereka tekun belajar tinggi-tinggi, berusaha mendapatkan kerjaya yang baik kerana ingin mendapatkan hasil yang baik; kemudian mereka pergi mencari hiburan - mencari kenikmatan dan kepuasan melalui mata, telinga, hidung, lidah, tubuh dan hati.

Malahan, dalam berbuat baik, mengumpul pahala dan berdoa supaya dapat ke syurga juga berpunca daripada kâmarom. Keadaan kucar-kacir, kacau-bilau dan ketidaktenteraman dunia hari ini juga datangnya daripada perasaan tersebut. Jadi, perasaan yang datang dari deria itu membawa kebaikan dan keburukan.

Kâmarom mempunyai kuasa sehebat ini kerana kuasa kâmupadana. Buddha meletakkan kâmupadana ini sebagai upadana yang pertama kerana ia berkaitan dengan masalah dunia secara langsung. Dunia akan aman, atau musnah bergantung kepada kâmupadana. Mari kita cuba berbicara tentang diri kita sendiri. Berapa kuat kita “melekat” dengan perasaan deria? Bersediakah kita melepaskannya dan mampukah kita berbuat begitu?

Sekiranya kita bercakap berdasarkan realiti dunia sekarang, “melekat” dengan perasaan deria merupakan satu perkara yang baik kerana ia akan melahirkan kasih sayang kita kepada keluarga, rajin berusaha, dan tekun mencipta nama dalam komuniti. Tetapi kalau kita pandang dari sudut dhamma, ia merupakan saluran datangnya sengsara dan segala masalah yang kompleks. Oleh itu dalam dhamma, perihal diri kita yang “melekat” perasaan deria ini mesti dilepaskan barulah segala sengsara dapat dipadamkan.

2. Ditthupadana - (pegangan pada pandangan sendiri yang mendasari kehidupan sejak sekian lama). Ini merupakan satu perkara yang tidak begitu sukar untuk difahami. Sejak kita dilahirkan ke dunia, kita telah diasuh, dididik dan diberikan pelajaran sehingga kita ada pandangan sendiri terhadap sesuatu. Pandangan sendiri jenis yang “kuat dan tak mengalah kepada pandangan orang lain” inilah dipanggil ditthi. Kita tidak dilarang berpegang kepada pandangan atau prinsip sendiri kerana memang menjadi kebiasaan manusia harus ada prinsip sendiri. Namun, kalau silap digunakan ditthupadana ini ada kesan buruknya sebagaimana dengan kâmupadana. Oleh itu, kita semestinya berusaha mengubah, atau membaiki pandangan dan prinsip kita agar menjadi pandangan dan prinsip yang lebih baik. Sebagai contoh, kalau pandangan kita salah, kita mesti perbetulkannya, bukannya terus berdegil dengan pandangan salah itu. Pandangan yang betul adalah pandangan yang dapat melihat kebenaran Ariya Sacca.

Ditthi jenis degil dan keras kepala berpunca daripada pelbagai sumber, tetapi yang paling menonjol adalah datang dari adat resam, adat tradisi, kepercayaan dan agama. Pandangan atau pegangan peribadi yang tulen itu sedikit sahaja. Tetapi yang dipengaruhi oleh adat resam dan tradisi yang disemai dan ditanam di dalam jiwa dari masa ke masa itulah yang paling banyak.

Pelbagai ditthi timbul akibat daripada kejahilan (avijja). Kerana jahil, kita sering mentafsir dan membuat keputusan terhadap sesuatu perkara mengikut kejahilan kita. Sebagai contoh, kita sering menganggap sesuatu benda itu amat cantik, kekal abadi, dan kalau dapat memilikinya pasti membahagiakan. Kita harus sedar bahawa segala benda (mental dan fizikal) adalah gambaran kepalsuan semata-mata. Semuanya tidak kekal, sengsara dan tiada sifat kemandirian (tidak ada diri).

Berkeras dengan pandangan dan pegangan salah merupakan halangan utama manusia. Kita tidak mungkin dapat menjadi manusia yang baik. Kita juga tidak dapat menukar kepercayaan yang mendasari kehidupan kita walaupun kepercayaan itu terpesong atau salah. Persoalan ini berlaku kepada mereka yang berpegang kepada sesuatu kepercayaan, (atau agama) yang mereka sendiri tahu bahawa kepercayaan itu tidak benar, tetapi masih tidak mahu melepaskannya. Ini kerana mereka menganggap pegangan mereka itu datang sejak turun temurun lagi. Ibu bapa, datuk nenek mereka juga berpegang begitu. Dan satu lagi alasan yang sering digunakan ialah “sudah biasa dengan pegangan ini.” Sudah menjadi darah daging. Oleh hal yang demikian, agama Buddha berpendapat ditthi itu suatu perkara yang amat membahayakan. Tiada siapa dapat mengubah kita melainkan diri kita sendiri.

3. Silabbatupadana – (pegangan pada amalan, peraturan dan ritual yang salah atau terpesong arah tujuannya). Bermaksud pegangan, pengamalan dan ritual yang “bukan jalan pembebasan minda” atau “bukan jalan untuk menghapuskan kesengsaraan”. Pegangan ini merupakan tunjang kepercayaan yang diwarisi dari generasi dahulu kala, termasuk unsur-unsur animisme.

Ada antara kita tergolong ke dalam golongan yang mempercayai benda-benda yang tahyul, ajaib, benda sakti, atau mengamalkan pantang larang tertentu. Ada yang percaya bahawa setiap pagi menjampi air cuci muka akan menambahkan seri wajah; membuang air mesti berpaling ke arah tertentu sahaja; mahu makan dan tidur juga mesti ikut petua-petuanya; percaya kepada hantu, dewa-dewa, pokok besar, kubur keramat dan sebagainya. Semua yang disebutkan ini tergolong di dalam silabbatupadana.

Mereka yang menggelarkan diri sebagai penganut agama Buddha yang tulen pun masih berpegang kepada benda-benda tahyul dan kuasa ajaib, tak banyak pun sedikit. Malahan yang menjadi biksu sendiri ada yang percaya perkara seumpama itu dengan kuat dan tidak mahu lepas-lepas. Penganut agama Buddha sepatutnya tidak percaya kepada “kuasa luar biasa” kerana agama kita bukan agama yang berasaskan kepercayaan kepada kuasa Devata, atau kuasa Phrom. Kita percaya kepada Buddha, Dhamma dan Sangha sebagai pelindung dan penyelamat (melalui amalan) daripada kesengsaraan!

Amalan salah ini datang daripada ketidaktelitian manusia sendiri. Penganut agama Buddha sendiri (bijak, kononnya?) tidak selidiki apakah tujuan amalan, atau upacara itu dilakukan, bersebab atau tidak? Tetapi menganggap semuanya betul dan akan membawa kebaikan. Kebanyakan peraturan, rukun (sila), dan upacara keagamaan dipatuhi secara membuta tuli sehingga menjadi satu kelaziman. Mereka mengikut apa sahaja yang diamalkan orang sebelumnya, dari generasi ke generasi, tanpa mempedulikan betul atau salah. Walaupun salah, mereka tidak sedar dan terus mengamalkannya sehingga menjadi satu tembok tebal yang menghalang mereka daripada melihat kebenaran. Malah pada zaman moden ini, zaman pendidikan untuk semua orang, ramai penganut agama Buddha masih belum mencelik mata dalam hal ini.

Malahan amalan meditasi (Samatha-Vipassana) yang diamalkan secara meluas sekarang ini, kalau dilakukan dengan tidak tahu sebab dan tujuan sebenarnya, maka akan jadi satu pengamalan yang salah dan bodoh. Begitu juga dengan mempraktikkan rukun moraliti agama Buddha, misalnya, Sila 5, Sila 8, Sila 10) atau rukun berapa banyak sekali pun, sekiranya diamalkan dengan niat untuk menjadi insan berkuasa luar biasa, insan berkuasa sakti (Thai: saksit) dan sebagainya, maka amalan itu adalah salah. Ia termasuk di dalam silabbatupadana. Oleh itu, kita harus berhati-hati dalam aspek amalan ini kerana “orang yang sesat” itu mungkin orang kuat beragama itu sendiri. Jangan sampai kita terpedaya.

Konsep pengamalan dalam agama Buddha mesti betul dari peringkat permulaan lagi, iaitu peringkat pemikiran dan perbuatan agar hasilnya dapat membersihkan kotoran minda. Jenis pengamalan yang terpesong, tidak diterima akal, daif, dan jahil akan membuang masa.

4. Attavadupadana – (pegangan pada konsep ada diri, ada peribadi). Pegangan berkaitan konsep ada diri, ada peribadi ini sangat penting dan rumit sekali. Semua makhluk berasa mereka ada diri dan peribadi. Ini merupakan naluri asas bagi semua makhluk yang merupakan induk kepada naluri lain, umpamanya naluri mencari makanan, melawan musuh, mengelak bahaya, mengawan dan sebagainya. Semuanya bertolak dari perasaan ada diri. Apabila kita percaya bahawa “diri kita ada,” barulah kita takut mati. “Aku tak mahu mati. Aku mesti mencari makan, mesti menentang musuh, atau mengelakkannya demi meneruskan kelangsungan hidupku!”

Perasaan ada diri tentu ada pada semua makhluk, kalau tidak, ia tidak akan meneruskan kehidupannya. Namun perasaan ini juga menjadi punca kepada kesengsaraan. Mencari makanan sengsara, melawan musuh sengsara, mengawan sengsara, semua perbuatan sengsara. Oleh itulah dikatakan bahawa “ada diri” itu akar kepada kesengsaraan. “Segala benda yang menjadi pegangan yang kuat dan tak mahu lepas itulah kesengsaraan atau punca kesengsaraan.”

Attavadupadana adalah titik permulaan kehidupan dan titik permulaan kesengsaraan. “Kehidupan adalah kesengsaraan dan kesengsaraan adalah kehidupan” merujuk kepada attavadupadana. Pengetahuan tentang titik permulaan kehidupan dan kesengsaraan merupakan pengetahuan tentang perkara yang amat rumit dan kompleks yang harus diketahui. Pengetahuan ini membolehkan kita menjalani kehidupan tanpa kesengsaraan. Dan merupakan ilmu pengetahuan yang ada dalam agama Buddha sahaja.

Berkaitan dengan pegangan (upadana) ini, cara pengamalan yang paling sesuai untuk mendapatkan hasil yang baik, ialah kita mesti kenal “benda yang kita pegang” iaitu “kepercayaan ada diri” dengan jelas. Sebab kepercayaan ada diri merupakan asas kepada kehidupan - ia wujud dengan sendiri; jadi dengan sendiri tanpa diberitahu atau diajarkan oleh sesiapa. Seorang kanak-kanak, atau seekor anak haiwan apabila dilahirkan terus ada naluri “ada diri”. Dia akan menunjukkan reaksi apabila didekati atau dikacau kerana ia sayangkan dirinya. Oleh sebab itulah pegangan pada konsep ada diri ini tidak dapat dielakkan kerana ia wujud secara semulajadi. Yang penting, sebagai manusia kita mesti mengawal pegangan ada diri ini sebaik yang boleh. Setelah kita ada pengetahuan tentang dhamma barulah kita dapat memutuskan pegangan ini sekaligus menewaskan naluri ada diri.

Selagi bergelar manusia biasa, kita tidak mampu menewaskan naluri ini. Phra Arahan sahaja yang mampu menewaskannya. Oleh itu perkara ini bukan perkara kecil yang boleh dipandang remeh. Ia merupakan persoalan besar dalam kehidupan. Sekiranya kita mahu jadi penganut agama Buddha sepenuh jiwa dan untuk mendapat faedah sepenuhnya daripada agama Buddha, kita mesti tekun memahami “naluri ada diri” dan membetulkan pegangan kita terhadapnya.

Pengetahuan tentang realiti benda yang ada hubung kait dengan kita setiap hari, merupakan pengetahuan yang amat bernilai yang ada pada orang bijak. Kita mesti memberikan perhatian kepada 4 jenis upadana yang diterangkan sebelum ini. Walaupun segala benda secara semulajadinya tidak kekal, tidak patut dimiliki, tidak harus diambil, tetapi kita masih terpengaruh dan sanggup menjadi hamba kepadanya. Kenapa? Kerana kuasa 4 jenis upadana itu sendiri. Oleh itu kita mesti menghayati upadana yang amat berbahaya ini dengan betul-betul. Dikatakan amat berbahaya kerana bahayanya sukar dikesan kerana ia bukan seperti api yang menyala atau senjata canggih yang boleh nampak, tetapi ia begitu halus dan bersembunyi di sebalik kecantikan, kemerduan, keharuman, kelazatan dan kenikmatan. Oleh sebab ia datang dalam bentuk yang memikat hati, maka amat payah untuk kita menyedari kedatangannya, apatah lagi untuk mengawalnya. Dengan demikian kita harus menggunakan kebijaksanaan kita dan ilmu yang diajarkan oleh Buddha serta pengamalannya. Kawal pegangan salah supaya berada di bawah kebijaksanaan kita, pasti kita dapat melangsungkan kehidupan tanpa sengsara, atau sengsara paling minima. Kita pasti dapat menjalankan tugas harian dengan lebih baik dan sempurna.

Kesimpulannya, 4 jenis upadana ini merupakan perkara penting yang mesti diketahui oleh penganut agama Buddha atau mereka yang berminat mendalami dhamma Buddha. Amalan pada tahap tinggi sebenarnya untuk membebaskan minda daripada segala pegangan yang salah. Dalam kebanyakan ajaran Buddha, kita selalu jumpa ajaran yang berakhir dengan ayat “minda bebas daripada upadana”. Setelah minda bebas daripada upadana, tiada apa lagi yang mengotori minda. Kitaran hidup (vatta-samsara) dapat diputuskan. Semuanya selesai. Lokiya (duniawi) telah menjadi lokuttara (bukan duniawi).

Dhamma (3) Tiga Sifat Alam

(Terjemahan Karya Buddhadasa Bhikhu - Suan Mokkha Palaram)


Tilakkhana - Kebenaran Hakiki

Sabbe Sankhara Anicca, (Segala benda (sankhara) tidak kekal)
Sabbe Sankhara Dukkha,(Segala benda (sankhara) sengsara)
Sabbe Dhamma Anatta. (Segala benda (dhamma) tiada diri)

(Maklumat Tambahan: Istilah Dhamma, selain bermaksud ajaran Buddha, ia membawa beberapa maksud lain bergantung kepada konteks pemakaiannya. Dhamma dalam konteks Tilakkhana mempunyai maksud yang paling luas iaitu merangkumi segala benda (alam semulajadi), tanpa kecuali, yang wujud, yang boleh wujud dan tidak boleh wujud, termasuk keadaan yang tiada yang berlawanan dengan keadaan yang ada, semua perkara yang diketahui, diperkatakan dan terjangkau akal fikiran sesiapa saja, sama ada mental, fizikal, baik, jahat, biasa atau luar biasa, termasuk hukum alam, dan balasan daripada melanggar hukum alam, semuanya terangkum di dalam istilah dhamma dan secara kasar dapat dibahagikan kepada 2 kategori iaitu Sankhata-dhamma: Alam semulajadi yang terbentuk daripada elemen-elemen dan Asankhata-dhamma: Alam semulajadi tanpa elemen atau Nibbana)

Pengetahuan tentang Tilakkhana ini amat mustahak kerana dapat membantu kita mengetahui agama Buddha secara mendalam.

Segala benda, tiada kecuali terbentuk dalam satu sistem yang dipanggil Tilakkhana atau Trilaksana yang terdiri daripada 3 sifat utama iaitu anicca, dukkha dan anatta.

Anicca bermaksud tidak kekal abadi, tidak menentu dan ada lahir, ada lenyap.

Dukkha bermaksud keadaan tidak sempurna; ada himpitan akibat kelahiran dan kelenyapan; dan ada tekanan dan pertentangan di dalam dirinya. Keadaan ini terjadi kerana unsur atau elemen pembentukannya berubah, bertukar ciri dan bentuk setiap detik. Maka benda yang terbentuk daripada elemen akan ikut berubah-ubah. Oleh itu sesiapa yang terpengaruh dengan benda tersebut (dengan tanha dan upadana) akan sengsara.

Anatta bermaksud bukan diri, atau tidak ada diri sendiri yang sebenarnya.

Segala benda kalau hendak dikatakan wujud tentulah wujud dalam bentuk arus yang bergabungan antara elemen-elemen, saling bergantungan dan sentiasa berubah-ubah; lahir dan lenyap tanpa putus-putus.

Secara perinci kita dapat merumuskan bahawa segala benda (seluruh alam) tidak akan kekal (anicca) kerana sifatnya yang sengsara, sentiasa berubah-ubah dan adakalanya berlawanan kerana terbentuk oleh gabungan pelbagai elemen (dukkha). Kerana sifat pembentukannya daripada gabungan elemen-elemen itulah maka kita tidak dapat cari “diri” dalam segala benda kerana “diri” itu sememangnya tidak ada (anatta). Kalau “diri” ada ia tidak akan berubah, malah terus kekal abadi. Oleh sebab yang ada cuma elemen, bukan diri, maka ia bersifat tidak kemandirian (tidak berupaya berdiri sendiri).

Oleh itu, untuk memahami konsep “tidak ada diri” ini kita mesti memperbetulkan tanggapan kita terhadap kewujudan di sekeliling kita mengikut realiti kewujudannya barulah kita dapat melihat “tidak ada diri” dalam kewujudan tersebut. Yang kita sangka “ada diri” sebenarnya kerana kesilapan tanggapan kita.

Harus diketahui bahawa konsep 3 sifat semulajadi alam ini banyak terdapat dalam ajaran Buddha berbanding perkara lain. Boleh dikatakan hampir kesemua perkara yang diajarkan oleh Buddha akan menjurus kepada anicca, dukkha dan anatta. Kekadang diajarkan secara langsung. Adakala diajarkan secara bandingan tetapi pokoknya adalah tentang perkara yang sama; sifat semulajadi alam.

Konsep anicca pernah diajarkan sebelum zaman Buddha lagi tetapi tidak begitu mendalam seperti yang diajarkan oleh Buddha. Begitu juga dengan konsep dukkha pernah diajarkan sejak dahulu kala, tetapi terlalu dangkal dan tidak ada jalan keluar secara mutlak. Ini kerana manusia sebelum Buddha belum mengetahui jalan suci yang mampu menghapuskan kesengsaraan sebagaimana yang diperolehi oleh Buddha melalui Pencerahan Sempurna (samma-sambodhi). Manakala konsep anatta “tidak ada diri” atau “bukan diri” hanya diajarkan oleh Buddha sahaja. Ini menunjukkan bahawa manusia yang “mengetahui segala benda” sahaja yang akan tahu bahawa segala benda yang wujud tidak ada diri atau bukan diri. Oleh itu konsep ini hanya diajarkan di dalam agama Buddha sahaja.

Dalam ajaran tentang konsep Tilakkhana, Buddha ada kemukakan berbagai-bagai cara untuk diamalkan agar kita dapat melihat dan menghayati dengan mata hati apa sebenarnya realiti kewujudan segala benda. Sekiranya kita benar-benar faham, kita akan dapati bahawa tiada satu benda pun di permukaan bumi ini yang kita perlukan, yang kita boleh jadikan hak milik kita. Semuanya membosankan. Tidak ada apa-apa yang menarik untuk kita ambil dan tiada apa-apa yang baik untuk kita jadi. Semuanya adalah kepalsuan dan permainan duniawi yang penuh pembohongan. Setelah kita berjaya melihat kebenaran dengan mata hati kita, bererti kita sudah memahami konsep anicca, dukkha dan anatta dengan betul.

Manakala bagi mereka yang menghafal dan melafazkan “anicca, dukkha dan anatta” setiap pagi dan petang, beratus atau beribu kali tidak mungkin dapat memahami konsep Tilakkhana kerana konsep ini tidak dapat difahami dengan cara “menghafal”, “melafaz” atau “mendengar”. Konsep ini hanya dapat difahami melalui pengalaman sendiri (amalan).

Seperkara yang kita kena berhati-hati ialah cara pemikiran kita. Berfikir dengan berdasarkan fakta-fakta bukan cara yang betul untuk melihat dengan terang atau yang dipanggil “nampak dhamma” kerana dhamma hanya boleh “nampak” melalui proses dalaman yang melibatkan minda. Sebagai contoh, apabila hati kita sedang berbicara tentang sesuatu yang menyebabkan kesengsaraan kita, kita mesti merasai dan menghalusi emosi yang timbul setiap kali deria bertindak balas dengan perkara tersebut. Dari situ barulah minda kita dapat menilai apa sebenarnya sedang terjadi. Setelah kita tahu maka kita akan segera merasa bosan dan melepaskannya kerana tiada apa yang harus disimpan di dalam diri kita, kalau tidak kesengsaraan kita tidak akan terhapus. Beginilah yang dikatakan melihat dengan terang atau “nampak dhamma”(nampak kebenaran).

Dalam agama Buddha ada satu perkataan iaitu suññatâ yang bermaksud “kosong” iaitu kosong daripada pengertian “diri”; kosong daripada sebarang benda yang boleh kita jadikan “diri kita” dan “milik kita”. Dengan menumpukan perhatian kepada alam sejagat, kita dapati tiada apa-apa yang dapat kita “miliki” kerana semuanya kosong.

Konsep “kosong daripada pengertian diri” itu sebenarnya merangkumi konsep anicca, dukkha dan anatta. Oleh sebab ia tidak kekal, tidak menentu sifatnya, sentiasa berubah-ubah dan tiada sifat diri maka ia juga boleh dikatakan kosong. Sesiapa yang nampak kekosongan dalam segala benda, orang itu pasti berasa jemu dan tidak akan menjadikan benda berkenaan miliknya. Perasaan tidak mahu ambil dan tidak mahu jadi merupakan kuasa yang akan melindungi seseorang daripada menjadi hamba kilesa, tanha dan segala emosi. Dan orang itu tidak mungkin terjerumus ke kancah kejahatan. Kekuatan mindanya semakin meningkat dan akhirnya dia bebas daripada segala kesengsaraan. Kebebasan mutlak adalah nilai paling mulia setiap manusia.

Frasa “tidak mahu ambil dan tidak mahu jadi” terlalu umum. Istilah “ambil” dan “jadi” di sini bermaksud mengambil dan menjadi dengan hati yang tamak dan sesat. Pada hakikatnya manusia tidak dapat menjalani kehidupan tanpa mengambil dan menjadi apa-apa langsung. Kita mesti “mengambil” dan memiliki harta benda, isteri, anak dan keluarga. Kita mesti “menjadi” ibu bapa yang baik, guru yang bertanggungjawab, atau kekadang terpaksa menjadi pemenang atau pengalah. Pokoknya orang tidak dapat mengelak daripada mengambil apa-apa dan menjadi apa-apa. Tetapi mengapa agama Buddha melarang kita mengambil dan menjadi?

Larangan tersebut, sebenarnya Buddha ingin menunjuk kepada kita bahawa “ambil” dan “jadi” itu merupakan konsep yang diciptakan untuk kegunaan dunia, bukan perkara yang sebenarnya. Kalau kita berbicara pada tahap tinggi, tahap yang hakiki (paramattha) mustahil kita dapat mengambil dan menjadi apa-apa. Kenapa? Kerana orang yang hendak mengambil dan benda yang hendak diambil, kedua-duanya tidak kekal abadi, berubah-ubah dan tiada diri. Namun, menjadi kelaziman bagi orang yang kurang arif, pasti ada perasaan “aku ambil”, “aku ada” dan “aku jadi”.

Perbuatan “aku ambil” dan “aku jadi” akan mengundang sengsara kerana ia akan mencambahkan perasaan lain iaitu perasaan takut akan kehilangan apa yang aku miliki dan apa yang aku jadi. Orang kaya takut kehilangan harta. Pegawai tinggi takut kehilangan jawatan. Secara kesimpulan dapat dikatakan bahawa kesengsaraan berpunca daripada kemahuan, iaitu mahu mengambil dan mahu menjadi (termasuk mahu mengekalkan hak milik kita ke atas sesuatu). Kemahuan ini datang daripada nafsu dan kejahilan kita tentang kebenaran. Sejak dari zaman kanak-kanak kita sudah ada kemahuan dan cara untuk memenuhi kemahuan tersebut. Setiap kali datang kemahuan, kita akan cuba penuhi kemahuan itu. Kalau kena dengan caranya kita akan berasa puas hati. Kalau tidak, kita akan berusaha cara lain pula. Proses memenuhi kemahuan ini tidak akan berhenti, malah sentiasa berkitar: kemahuan – perbuatan untuk memenuhi kemahuan – hasil daripada perbuatan tersebut. Kitaran hidup ini dinamakan vatta.

Vatta-samsara bukan bermaksud kitaran “kelahiran semula manusia” semata-mata, tetapi ia merangkumi kitaran 3 perkara iaitu nafsu atau kemahuan – perbuatan untuk memenuhi kemahuan – hasil (kepuasan) daripada perbuatan tersebut. Namun hasilnya (kepuasan) tidak mampu menghentikan kemahuan kerana kemahuan lain pula akan muncul dan begitulah seterusnya. Proses ini dipanggil vatta kerana ia membentuk kitaran tanpa putus-putus.

Manusia terpaksa menanggung kesengsaraan dan penderitaan hidup kerana terperangkap di dalam vatta-samsara. Sekiranya sesiapa dapat membebaskan diri daripada kitaran ini, orang itu akan bebas daripada segala kesengsaraan (Nibbana).

Orang miskin, jutawan, raja, devata, phrom atau sesiapa sahaja, semuanya terperangkap di dalam vatta-samsara di mana mereka menanggung kesengsaraan sendiri mengikut hawa nafsu masing-masing. Oleh itu, kitaran hidup ini dipenuhi dengan penderitaan yang amat besar. Moral tidak mampu merungkai masalah ini, atau dalam erti kata yang lain pendidikan moral tidak berkuasa menyelamatkan mereka yang terperangkap di dalam kitaran hidup. Hanya ajaran agama Buddha pada tahap tinggi sahaja mampu memutuskan kitaran ini. Daripada keterangan di atas kita dapati kemahuan adalah punca kesengsaraan. Dan selayaklah apabila Buddha meletakkan tanha atau kemahuan di kedudukan kedua dalam Empat Kebenaran Suci.

Tanha (nafsu) ada 3 jenis, iaitu Kâma-tanha, Bhava-tanha dan Vibhava-tanha. Kâma-tanha bermaksud kemahuan terhadap perkara yang menarik hati sama ada yang dilihat, didengar, dihidu, dirasa, disentuh atau difikirkan. Bhava-tanha adalah kemahuan untuk menjadi sesuatu sebagaimana dihajatkan. Vibhava-tanha bermaksud tidak mahu jadi sesuatu. Semua kemahuan yang ada pada manusia digolongkan ke dalam 3 jenis ini.

Di mana ada kemahuan, di situ ada kesengsaraan. Apabila kita cuba memenuhi kemahuan tertentu, kesengsaraan pasti datang. Setelah kemahuan dipenuhi, kita berasa puas, tetapi kepuasan itu untuk sementara waktu sahaja kerana kemahuan lain akan datang lagi. Kita akan keresahan lagi. Selagi minda kita belum bebas daripada kemahuan, selagi itulah kita akan sengsara. Orang jahat berbuat jahat kerana kemahuannya untuk berbuat jahat. Orang baik berbuat baik kerana kemahuannya untuk berbuat baik.

Namun begitu, kita jangan tersalah faham bahawa agama Buddha melarang kita daripada berbuat baik. Ia sekadar untuk memberitahu kita bahawa kesengsaraan itu ada berbagai-bagai jenis dan tahap; ada yang terlalu kompleks sehingga orang biasa sukar memahaminya. Oleh itu, terpaksa bergantung kepada akal dan kebijaksanaan orang lain, iaitu Buddha. Buddha menjelaskan kepada kita bahawa untuk melepaskan diri daripada kesengsaraan, tidak mencukupi kalau kita sekadar berbuat baik sahaja. Kita mesti membebaskan minda daripada dijajahi nafsu. Ini merupakan perkara penting dalam agama Buddha yang tiada bandingannya dengan agama lain di dunia. Tidak ada mana-mana agama dapat menyaingi agama Buddha dalam hal ini.

Setelah kita dapat menewaskan ketiga-tiga nafsu di atas, barulah kita dikatakan bebas sepenuhnya daripada kesengsaraan.

Bagaimana kita hendak memotong akar tunjang nafsu kita? Jawabnya, kita mesti memahami hakikat anicca, dukkha dan anatta dengan betul. Setelah memahaminya, barulah kita dapat melihat dengan mata hati bahawa tiada sebarang benda yang menarik yang perlu diambil dan tiada apa-apa yang istimewa untuk kita jadi. Semuanya membebankan hati.

Cuba kita bayangkan apabila kita berkahwin dan mendapat anak, adakah ia meringankan hati, atau menambahkan beban kita? Begitu juga apabila kita diberikan satu jawatan tinggi, adakah ia akan membawa ketenangan atau menambahkan kesesakan nafas kita? Semuanya menambahkan beban dan tanggungan kita. Kenapa? Sebab segala benda merupakan bebanan akibat daripada sifatnya yang tidak abadi, berubah-ubah dan tiada diri.

Apabila kita mendapat “sesuatu” yang kita suka, kita akan “berusaha” menjaga sesuatu itu agar berada dalam keadaan sebagaimana yang kita kehendaki dan dapat terus kekal bersama kita. Padahal realitinya “sesuatu” itu sifatnya tidak kekal, berubah-ubah dan tiada dirinya sendiri. Oleh itu ia tidak mungkin akan terjadi seperti kita usahakan, malah ia juga tidak tahu apa-apa pun yang kita kehendaki daripadanya. Ia akan berubah mengikut sifatnya, bukan mengikut kehendak kita. Jadi, usaha kita itu sebenarnya menongkah arus sifat semulajadi segala benda. Kita pasti gagal dan kecewa.

Cara untuk berhadapan dengan situasi di atas masih ada. Kita mesti memahami satu keadaan iaitu, sekiranya perbuatan “mengambil” dan “menjadi” didorong oleh nafsu, ia menimbulkan satu perasaan yang berbeza daripada perbuatan mengambil dan menjadi yang didorong oleh akal dan kebijaksanaan. Di sini, kita dapat lihat bahawa akal dan kebijaksanaan itu amat penting!

Sebagai contoh, cuba kita bayangkan orang yang makan dengan nafsu serakah dengan orang yang makan dengan kebijaksanaan. Tentu sekali ada perbezaan, sama ada cara menyuapkan makanan (gelojoh atau tertib), kuantiti makanan yang dimakan, atau emosi yang terpancar di kedua-dua wajah orang itu. Malahan hasil daripada pemakanan itu juga berlainan.

Walaupun tanpa nafsu, kita masih boleh makan. Phra Arahan (Arahat) yang sudah berjaya menghapuskan nafsu, masih dapat menjalankan tugas dengan baik, malahan lebih baik daripada kita yang ada nafsu kemahuan. Apakah yang mendorong beliau menjalankan tugas dengan baik? Jawabnya, beliau menjalankan tugas dengan akal fikiran. Orang biasa bekerja kerana nafsu, kerana kemahuan terhadap sesuatu dan inginkan balasan sebab itulah hasilnya berbaur kesengsaraan. Sedangkan Phra Arahan tidak memerlukan apa-apa, melainkan perasaan bertanggungjawab untuk menyelamatkan makhluk dunia dan menyebarkan kebenaran kepada masyarakat. Oleh sebab perasaan bertanggungjawab itulah maka agama Buddha tersebar meluas sehingga sekarang.

Sekiranya minda telah bebas daripada hawa nafsu, maka kita menjamu selera dengan kebijaksanaan. Oleh sebab kita berhasrat menjejaki langkah Buddha, atau Phra Arahan, kita mesti membiasakan diri membuat kerja dengan kebijaksanaan bukan dengan hawa nafsu. Sekiranya kita seorang penuntut, kita mesti belajar dengan kesedaran bahawa menjadi tanggungjawab kita sebagai penuntut untuk belajar dengan cemerlang. Begitu juga sekiranya kita seorang pegawai syarikat, kita mesti bekerja dengan penuh bertanggungjawab dan amanah terhadap tugas yang diberikan kepada kita. Apabila kita bekerja dengan kebijaksanaan, kita akan berasa selesa dengan kerja tersebut.

Seandainya kita bekerja dengan hawa nafsu, kita akan berasa resah gelisah sewaktu dan selepas bekerja. Tetapi sekiranya kita bekerja dengan kebijaksanaan, perasaan resah gelisah itu tidak akan timbul. Oleh demikian kita mesti sedar setiap detik nafas bahawa segala benda adalah tidak kekal, sengsara dan tiada diri. Semuanya membosankan. Tiada apa yang baik untuk kita ambil, tiada apa yang elok untuk kita jadi. Kalau kita terpaksa ambil dan jadi, biarlah kita ambil dan jadi dengan akal fikiran, dengan kebijaksanaan dan kematangan, bukannya dengan hawa nafsu, tamak haloba dan kejahilan.

Membuat sesuatu dengan akal fikiran pasti tidak mendatangkan masalah. Minda kita bijak bertindak mengikut realiti kehidupan. Sebagai misalan, kalau kita ada sebidang tanah kosong di tengah kawasan perumahan, jangan kita “mengikat” fikiran kita pada tanah tersebut. Ini kerana akan menyebabkan hati kita sentiasa risau atau takut tanah kita dicerobohi atau diambil orang. Kita biarkan minda dan perasaan kita bebas daripada tanah tersebut. Biarkan undang-undang yang menjaga tanah kita.

Seandainya ada orang hendak merampas tanah tersebut, kita mesti mempertahankannya dengan akal, bukan dengan emosi yang mungkin akan membiakkan api amarah yang membakar diri sendiri. Yang dikatakan mempertahankan dengan akal bermaksud menanganinya dengan undang-undang negara. Dan seandainya, kita kalah dan terpaksa kehilangan tanah tersebut, fikiran kita harus kembali kepada konsep Tilakkhana - anicca, dukkha, anatta. Segala benda tiada kekal abadi, sentiasa berubah dan tiada diri. Konsep Tilakkhana ini dapat meredakan keresahan hati, dan membantu kita menerima kenyataan.

Begitu juga dengan “jadi”. Jangan kita terlalu “terikat” dengan apa yang kita jadi. Kerana kenyataannya tiada apa-apa yang seronok untuk kita jadi. Semuanya mengundang sengsara. Cuba kita renungkan seketika kepada apa yang kita jadi sekarang, adakah ia menyeronokkan, atau lebih banyak susah daripada senangnya. Jadi anak, jadi bapa, ibu, isteri, ketua, tauke, kuli seronok tak? Jadi manusia seronok tak? Jadi devata, phrom dan segala penghuni syurga seronok tak?

Kalaulah kita betul-betul memahami kebenaran sifat alam, jadi apa pun tak seronok. Kita terpaksa (dipaksa?) buat. Kita terpaksa (dipaksa?) jadi. Semuanya berlaku di bawah kekuasaan dan kesedaran kita. Kita membiarkan minda dibelenggu dan dikuasai nafsu diri. Kenapa? Kerana kejahilan kita tentang hakikat alam. Oleh hal demikian, kita tidak boleh jadi apa-apa? Tentulah boleh. Mustahil orang dilahirkan ke dunia tanpa jadi apa-apa langsung. Kita boleh pilih untuk jadi apa sahaja asalkan pilihan itu berlandaskan akal dan kebijaksanaan kita supaya kesengsaraannya sedikit.

Seperkara lagi, kita harus membuat persefahaman dengan orang yang ada hubungan dengan kita, terutama ahli keluarga kita. Kita mesti memahamkan mereka tentang hakikat segala benda yang kita temui setiap hari. Fahaman mereka harus diselaraskan dengan fahaman kita supaya tidak berlaku pertentangan pendapat dan perbuatan. Dan sekiranya semua orang sedar dan betul-betul memahami hakikat alam, nescaya dunia akan aman. Tiada apa yang akan menjadi rebutan kerana semuanya “diambil” dan “dijadi” dengan kebijaksanaan, bukan dengan hawa nafsu.

Jangan terpengaruh dan terpedaya dengan kepalsuan duniawi kerana semuanya anicca, dukkha dan anatta. Penglihatan kita mesti melalui mata akal. Pengetahuan kita mesti dengan kebijaksanaan. Semuanya kita lakukan dengan kematangan seperti yang dituntut oleh agama Buddha barulah kita dipanggil penganut agama Buddha yang baik.

Walaupun tidak pernah menjadi biksu, tidak pernah “mengambil” rukun moraliti, tetapi kita berjaya mendekati, memahami dan menghayati Tiratana atau Tiga Permata (Buddha, Dhamma dan Sangha), maka kita diibaratkan mempunyai minda yang sama dengan minda Buddha, Dhamma dan Sangha, iaitu suci, terang dan hening. Minda kita bebas daripada kesengsaraan kerana kita tidak ada lagi kemahuan untuk “ambil” dan “jadi” terhadap segala benda. Dengan demikian, kita telah berjaya menjadi penganut agama Buddha yang sempurna.

Kejahatan yang paling melampau ialah kejahatan yang datang daripada nafsu yang keras (nafsu syaitan) untuk “ambil” dan “jadi” sesuatu. Kejahatan yang ringan datang daripada nafsu yang ringan. Berbuat baik juga datang daripada nafsu tetapi nafsu yang baik. Malah kebaikan pada tahap tinggi pun dilakukan dengan nafsu, tetapi nafsu yang lembut dan halus. Selagi ada nafsu dalam perbuatan, selagi itulah ada kesengsaraan dalam hasilnya. Oleh demikian, Phra Arahan sahaja yang melakukan sesuatu tanpa nafsu, sebab itulah beliau tidak akan berbuat jahat dan tidak akan berbuat baik. Perbuatan Phra Arahan melepasi semua tahap perbuatan baik atau jahat, oleh itu tidak dapat dinilai dengan ciri-ciri kebaikan atau kejahatan.

Begitulah ajaran agama Buddha. Kita boleh melakukannya atau tidak, kita berhasrat mengamalkannya atau tidak terpulang kepada kita, tetapi jalan ke arah pembebasan atau penyelamatan sudah ada. Sekiranya hari ini belum tergerak hati untuk meninggalkan kejahatan dan membuat kebaikan, hari esok mudah-mudahan ada kesedaran untuk berbuat begitu. Kemudian bersihkan minda daripada ikatan nafsu sehingga benar-benar murni dan suci. Padamkan segala kemahuan barulah bebas daripada segala kesengsaraan (Nibbana).

Kesimpulannya, konsep anicca, dukkha dan anatta mesti difahami betul-betul. Kalau tidak, kemahuan untuk “ambil” dan “jadi” tidak boleh diperbetulkan atau dihapuskan. Selagi kemahuan ada, selagi itulah sengsara akan terus wujud. Akal fikiran dan kebijaksanaan amat penting apabila kita berhadapan dengan situasi yang tiada pilihan untuk kita “ambil” dan kita “jadi”. Melakukan sesuatu dengan bijak nescaya tiada sengsara!


Dhamma (2) Empat Kebenaran Suci

(Terjemahan Karya Buddhadasa Bhikhu - Suan Mokkha Palaram)

Agama Buddha mengajar tentang apa?

Istilah sasana mempunyai maksud yang lebih luas dan mendalam daripada pengertian moral. Moral berkaitan dengan perbuatan dan amalan baik pada peringkat asas dalam kehidupan manusia. Nilai moral mempunyai persamaan dalam kebanyakan agama. Tetapi sasana mengandungi kaedah pengamalan pada peringkat tinggi yang berbeza antara satu agama dengan agama lain. Manusia bermoral adalah manusia yang mulia; tidak dengki, tidak suka memfitnah orang lain, suka membantu dan sebagainya, tetapi mereka masih dibelenggu kesengsaraan hidup. Kuasa moral juga tidak mampu membebaskan manusia daripada tiga tunjang kejahatan, iaitu tamak (lobha), marah (dosa) dan sesat (moha). Oleh itu manusia memerlukan agama sebagai pedoman agar dapat mencapai satu tahap kemuliaan tertinggi dalam kehidupan.

Agama Buddha (Buddhasasana) merangkumi bidang yang amat luas yang menumpu kepada cara-cara menghapuskan kesengsaraan yang berpunca daripada kelahiran, ketuaan, kesakitan dan kematian. Agama Buddha berbeza sekali dengan nilai moral kerana moral meliputi perkara asas dalam kehidupan manusia sedangkan agama Buddha menerjah ke peringkat tertinggi kehidupan manusia yang bebas daripada segala kesengsaraan -semua masalah yang berkaitan dengan manusia dan persekitarannya.

Agama Buddha adalah himpunan ilmu, disiplin dan kaedah pengamalan yang membolehkan kita mengetahui realiti kehidupan manusia dan rahsia alam semesta. Sebenarnya kebanyakan daripada kita kurang arif tentang kehidupan kita sendiri. Cuba kita bertanya kepada diri sendiri adakah kita tahu siapa kita? Apakah sebenarnya matlamat hidup kita? Apakah tugas dan tanggungjawab kita? Apakah maksud pekerjaan, kewangan, pangkat dan kemewahan mengikut fahaman kita? Sekiranya kita betul-betul faham, kita tidak akan melakukan kesalahan dalam kehidupan harian kita. Kehidupan kita tidak akan sengsara. Persoalan pokoknya, sekarang ini kita tidak tahu arah tujuan kehidupan sendiri yang sebenar-benarnya. Oleh sebab itu kita selalu melakukan kesilapan dan kesalahan sehingga mengundang kesengsaraan demi kesengsaraan tanpa putus-putus. Kaedah pengamalan dalam agama Buddha akan memberitahu kita segala kebenaran agar kita dapat menjalani kehidupan harian yang betul.

Sekiranya kita tahu kebenaran hakiki segala benda (tiada kecuali) yang kita lihat, dengar, hidu, sentuh, rasa dan fikir pasti kita akan berasa bosan terhadap segala benda itu. Segala-galanya tidak kekal, sentiasa berubah-ubah dan tiada sifat kemandirian. Perkara yang kita suka tidak akan kekal. Perkara yang kita benci juga tidak akan kekal. Semuanya tidak akan kekal. Oleh itu kita tidak harus membiarkan diri kita terikat oleh benda yang tidak kekal. Selagi kita terikat oleh benda tersebut, selagi itulah minda kita tidak akan bebas daripada kesengsaraan.

Pokok ajaran dalam agama Buddha yang tertulis dalam Kitab Tipitaka adalah berkaitan dengan pengetahuan tentang maksud hakiki segala benda. Apakah maksud hakiki segala benda itu? Konsep Ariya Sacca (Empat Kebenaran Suci) akan membantu kita mencari dan memahami maksud segala benda.

Kebenaran Pertama- Dukkha: Segala benda yang wujud itu (termasuk diri kita) penuh dengan kesengsaraan (mental dan fizikal). Kesengsaraan daripada kelahiran, ketuaan, kesakitan dan kematian. Kebahagiaan itu juga satu kesengsaraan kerana di dalamnya tersembunyi benih kesengsaraan yang seni dan halus. Malah kesengsaraan terdapat di mana-mana. Tetapi manusia begitu daif sehingga tidak nampak kesengsaraan. Sekiranya kita tahu bahawa segala benda merupakan kesengsaraan, kita tidak akan ada kemahuan terhadapnya dan berusaha mengelakkannya.

Kebenaran Kedua- Samudaya: Nafsu atau kemahuan yang didasari oleh kejahilan (avijja) adalah punca kepada kesengsaraan. Minda kita begitu jahil tentang nafsu kita sehingga terpaksa mengalah kepada kemahuan yang tidak terbatas banyaknya. Setiap hari diri kita dipenuhi dengan kemahuan. Semuanya kerana kita tidak kenal sifat kemahuan yang didasari kejahilan.

Kebenaran Ketiga-Nirodha: Di sini diterangkan bahawa nirodha atau nibbana (nirvana) adalah keadaan di mana segala kesengsaraan telah dipadamkan ( bebas daripada kesengsaraan). Kebanyakan orang tidak mengerti, malah terlalu asing bagi mereka keadaan yang bebas daripada kesengsaraan walaupun “keadaan tersebut boleh dicapai pada bila-bila dan di mana-mana sahaja” iaitu ketika segala kemahuan dipadamkan. Kerana kita jahil tentang kemahuan menyebabkan kita tidak berhasrat memadamkan kemahuan untuk mencapai nibbana. Kita berasa terlalu asing dan sukar untuk mencapai nibbana kerana sifat kurang arif kita tentang nibbana.

Kebenaran Keempat- Ariya Magga 8: Cara untuk menghapuskan kesengsaraan adalah dengan menjadikan Ariya Magga 8 (Lapan Jalan Suci) sebagai jalan kehidupan. Nafsu yang menjadi punca kesengsaraan dapat dihapuskan dengan mengamalkan Ariya Magga 8. Namun kebanyakan daripada kita begitu jahil tentang Ariya Magga 8. Kita langsung tidak ambil tahu kaedah yang mampu menyelamatkan kita daripada kesengsaraan. Kita mengabaikan perkara penting dalam agama Buddha. Ariya Magga 8 yang diajarkan oleh Buddha merupakan ilmu pengetahuan agung yang tiada bandingannya di dunia ini. Tidak tahu Ariya Magga 8 merupakan satu kejahilan dan kebodohan yang amat menakutkan.

Ariya Magga 8: 1. Sammâ-Ditthi (Pandangan yang Betul).
2. Sammâ-Sankappa (Hajat yang Betul).
3. Sammâ-Vaca (Percakapan yang Betul).
4. Sammâ -Kammanta (Perilaku yang Betul).
5. Sammâ-Ajiva (Sara Hidup yang Betul).
6. Sammâ-Vayama (Cara Berusaha yang Betul).
7. Sammâ-Sati (Daya Ingatan yang Betul).
8. Sammâ-Samadhi (Konsentrasi yang Betul).

Pandangan yang Betul: Memahami kebenaran Ariya Sacca 4, iaitu dukkha, samudaya, nirodha, dan ariya magga 8.

Hajat yang Betul: Berhajat untuk keluar daripada kâma (perasaan yang memikat hati), tidak berdendam dan tidak menyusahkan orang (diri sendiri).

Percakapan yang Betul: Elakkan daripada berbohong, bercakap fitnah, bercakap kasar, dan bercakap tak masuk akal.

Perilaku yang Betul: Tidak membunuh, mencuri, dan berzina (seks bebas).

Sara Hidup yang Betul: Sara hidup yang tidak menyalahi undang-undang, tatasusila, dan moral.

Cara Berusaha yang Betul: Berusaha tidak membuat kejahatan, berusaha meninggalkan kejahatan sedia ada, berusaha membuat kebaikan, dan berusaha mengekalkan kebaikan yang ada.

Daya Ingatan yang Betul: Selalu mengingati Satipatthana 4: Kayanupassana, Vedananupassana, Cittanupassana, dan Dhammanupassana.

Konsentrasi yang Betul: Mengekalkan minda dalam Jhana 4 (meditasi tahap tinggi).

Ariya Sacca (Empat Kebenaran Suci) merupakan ilmu pengetahuan yang memberi penjelasan kepada kita tentang realiti kesengsaraan dengan lengkap. Kemahuan kalau semakin dilayan semakin menjadi-jadi, kalau terus diikuti, membawa mati. Kerana kebodohan manusia melakukan bermacam-macam kesalahan. Kalau ada yang betul pun terlalu sedikit, itupun betul dalam pengertian nafsu nafsi semata-mata. Ramai beranggapan bahawa apabila kita berusaha melakukan sesuatu sehingga tercapai hasrat di hati, perbuatan itu dikatakan betul. Tetapi dalam pengertian agama Buddha, perbuatan begitu belum tentu betul.

Cuba kita lihat apa yang dikatakan intipati agama Buddha sebagaimana terkandung dalam perbualan antara Phra Assachi dengan Phra Sariputra. Sewaktu Phra Assachi datang berjumpa Phra Sariputa, Phra Sariputra bertanya kepada Phra Assachi tentang intipati ajaran Buddha secara ringkas. Phra Assachi menjawab begini:

“Segala benda (sabbe sankhara) wujud kerana ada elemen-elemen yang membentuk kewujudannya. Buddha ada mengajarkan tentang elemen-elemen tersebut. Dan segala benda lenyap kerana elemen-elemen yang membentuknya lenyap!”

Pernyataan di atas memberitahu kita bahawa segala benda, tidak terkecuali tercipta daripada gabungan elemen-elemen. Sebarang benda tidak akan lenyap selagi elemen-elemennya tidak lenyap. Ini menunjukkan kepada kita bahawa tiada sebarang benda bersifat ada diri sendiri dan kekal abadi. Semuanya bergantung kepada sifat elemennya; tercipta daripada gabungan elemen, subur mengikut elemennya dan akan
lenyap (hilang) setelah elemennya lenyap. Oleh itu kesemua kewujudan di alam ini adalah hasil daripada proses penggabungan elemen-elemen - satu proses semulajadi yang akan berterusan tanpa henti-henti.

Buddha mengajar kita bahawa segala benda yang wujud bersifat bukan diri atau tiada diri (anatta) kerana ia hasil daripada gabungan pelbagai elemen. Oleh itu ia sentiasa berubah-ubah dan tidak dapat mengekalkan bentuk asalnya. Perubahan itu akan berhenti apabila proses gabungan elemen berhenti. Proses gabungan elemen itu akan berhenti apabila elemen-elemen itu sendiri sudah lenyap. Namun, pengakhiran sesuatu kejadian adalah permulaan kepada kejadian lain. Oleh itu, proses ini akan berterusan. Dalam bahasa dhamma, proses ini dipanggil “lahir” dan “lenyap”- satu proses yang berkesinambungan. Doktrin ini menjelaskan kepada kita bahawa segala yang wujud cuma satu bayangan kepalsuan semata-mata, oleh itu kita tidak harus terpengaruh dengannya sehingga lahir perasaan suka atau benci kepada sesuatu benda. Kita mesti membuatkan minda kita bebas. Kita mesti berusaha menghapuskan perkara yang menyebabkan hidup kita sengsara.

Buddha meninggalkan keluarga untuk menjalani Kehidupan Suci (brahma cariya) demi mencari kebenaran tentang perkara yang menjadi kebaikan. Kebaikan di sini bermaksud kebijaksanaan mencari ilmu pengetahuan tentang kesengsaraan, punca kepada kesengsaraan dan cara-cara menghapuskan kesengsaraan. Ilmu pengetahuan begini dianggap amat bernilai oleh golongan ilmuwan kerana dapat merungkai segala bentuk kesengsaraan makhluk dunia.

Pengetahuan berkenaan kesengsaraan makhluk dunia akan lebih jelas selepas kita memahami konsep Tilakkhana (atau Trilaksana) yang merupakan asas penting ajaran Buddha. Tilakkhana adalah 3 sifat hakiki alam yang harus kita tahu. Kalau kita tidak tahu tiga sifat alam ini bererti kita tidak kenal agama Buddha. 3 sifat alam yang dimaksudkan adalah anicca, dukkha dan anatta..

Anicca bermaksud segala benda yang tercipta daripada gabungan elemen-elemen tidak akan kekal abadi. Semuanya akan lenyap mengikut sifat elemennya dari masa ke masa.

Dukkha bermaksud segala benda yang tercipta daripada gabungan elemen-elemen dipenuhi kesengsaraan kerana sifatnya yang bertentangan, berhimpitan dan tekanan yang ada di dalamnya.

Anatta bermaksud tiada diri atau bukan diri sesiapa. Di sini diterangkan bahawa dalam segala benda tidak ada apa-apa yang boleh kita anggap sebagai “milik kita” atau “diri kita”. Kalau kita berusaha menjadikannya “milik kita” dan “diri kita”, kita pasti sengsara. Segala benda itu lebih berbahaya daripada api kerana api boleh dilihat, pasti kita akan menjauhinya. Sedangkan segala benda itu merupakan api yang tidak dapat dilihat yang selalu kita biarkan diri kita terbakar di dalamnya secara sukarela.

Maklumat tambahan: (Dalam Kitab Tipitaka- Istilah dukkha digunakan di beberapa tempat dengan maksud yang berlainan;(1) dukkha dalam Tilakkhana; (2) dukkha dalam Arica Sacca; (3) dukkha dalam vedana)

Daripada konsep Tilakkhana, kita sekali lagi diperjelaskan bahawa dalam agama Buddha terdapat ilmu pengetahuan, disiplin dan amalan-amalan untuk kita mengenali segala benda (alam mental dan fizikal). Setelah kita mengenali segala benda, maka kita mesti mencari pula kaedah-kaedah untuk diamalkan supaya perbuatan kita tidak bertentangan dengan hukum dan sifat semulajadinya, kalau tidak akan mengundang petaka.

Ajaran dalam Patimokkha merupakan pengerusi kepada segala ajaran; terdapat 3 perkara penting iaitu, tidak melakukan segala kejahatan, membuat semua kebaikan sepenuh hati, dan membersihkan minda daripada segala kekotoran. Inilah tiga perkara penting untuk diamalkan di dalam agama Buddha.

Setelah mengetahui maksud anicca, dukkha, dan anatta maka kita tidak harus lagi terpengaruh dengan segala keduniaan. Kita mesti melayan keduniaan dengan betul mengikut sifat kejadiannya dengan berhati-hati. Buddha menyuruh kita meninggalkan semua bentuk kejahatan yang berakar umbi daripada kilesa seperti tamak haloba, marah, dendam, melanggar tatasusila kehidupan dan sebagainya. Yang kedua kita diminta membuat kebaikan kerana membuat kebaikan itu amat disanjung oleh para intelek. Namun kedua-dua perkara ini masih berada pada tahap moral. Perkara ketiga, iaitu membersihkan atau menyucikan minda daripada segala kekotoran barulah dianggap berada pada tahap sasana (agama) kerana ia akan menjadikan minda bebas daripada sengsara. Sekiranya minda belum bebas, masih terikat dan terpengaruh dengan keduniaan, maka minda tidak mungkin akan bersih atau suci. Minda kita akan bebas sepenuhnya setelah kita tahu kebenaran tentang segala benda. Tetapi kerana kejahilan, minda kita terpengaruh, lalu memberikan tindak balas, sama ada dengan perasaan suka atau perasaan benci. Dua perasaan ini ada pada semua orang dan akan terpancar keluar setiap kali pancaindera bertembung dengan benda luaran. Jarang sekali kita ada perasaan “neutral” apabila ternampak sesuatu benda. Sebagai contoh, apakah perasaan yang timbul di hati kita apabila terjumpa barang kemas di tepi jalan? Apakah pula perasaan kita apabila terserempak dengan musuh ketat? Semuanya akan melahirkan satu perasaan, sama ada suka atau benci.

Kita selalu menjadi hamba kepada perasaan sendiri. Minda kita terikat kerana sifat kedaifan tentang sesuatu. Perasaan “suka” akan mendorong kita menarik sesuatu ke arah kita (memiliki). Manakala perasaan “benci” akan memaksa kita menolak sesuatu dari diri kita (menjauhi). Dua perasaan ini menjadi penghalang kepada kebebasan minda. Oleh itu Dhamma peringkat tinggi menolak kedua-dua perasaan tersebut. Malah pada peringkat yang lebih tinggi lagi kita dinasihatkan menolak semua kejahatan dan kebaikan. Selagi kita masih melekat pada kebaikan dan kejahatan, selagi itulah minda kita tidak bebas. Minda yang bebas akan berada di atas segala perasaan. Dengan perkataan lain, minda yang bebas dapat menakluki semua perasaan.

Kebanyakan agama mengajar kita mencintai Tuhan dan menyuruh kita membuat kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Tetapi agama Buddha melangkah lebih jauh dengan melarang kita daripada terikat dengan sebarang benda sama ada baik atau tak baik. Membuat kebaikan merupakan amalan pada peringkat permulaan, atau pertengahan sahaja. Begitu juga dengan amalan tidak melakukan kejahatan. Apabila masuk ke peringkat tinggi, minda kita mesti melepaskan segala kebaikan dan kejahatan. Sekiranya minda masih berpegang kepada kebaikan atau kejahatan, minda kita sebenarnya belum bebas daripada kesengsaraan. Orang jahat atau orang baik ada kesengsaraan masing-masing. Manusia yang baik ada kesengsaraan mengikut sifat kebaikannya. Para devata (dewa) ada kesengsaraan mengikut sifat kedewaannya. Phrom (Brahma) ada kesengsaraan mengikut sifat phromnya. Kesengsaraan akan hilang lenyap setelah minda kita meningkat ke tahap tinggi yang bebas daripada sifat baik dan jahat, iaitu tahap lokuttara (bukan duniawi). Minda dalam tahap lokuttara akan mencapai peringkat tertingginya yang dipanggil Arahatta (Pembebasan Sempurna).

Sekarang mari kita balik kepada maksud yang tersirat di dalam istilah Buddhasasana (agama Buddha). Apa itu Buddhasasana? “Buddha” bermaksud Yang Maha Mengetahui. Buddhasasana bermaksud agama Yang Maha Mengetahui. Penganut agama Buddha bermaksud mereka yang menjalankan amalan-amalan suci mengikut agama Yang Maha Mengetahui. Yang dimaksudkan dengan maha mengetahui itu tahu apa? Tahu tentang kebenaran hakiki segala benda; semua yang ada di langit dan di bumi mengikut sifat kejadiannya. Jadi agama Buddha adalah agama yang mengajar kita ilmu kebenaran. Kita mesti belajar dan mengamalkan ajaran tersebut sehingga kita mengetahui sendiri tentang kebenaran. Setelah kita tahu tentang kebenaran, kita tidak perlu takut kepada nafsu lagi. Dengan ilmu kebenaran yang ada, kita mampu mengawal nafsu. Dan dalam masa yang sama kejahilan kita juga akan padam dan digantikan oleh ilmu pengetahuan yang betul. Jadi kaedah-kaedah dalam sistem pengamalan agama Buddha sebenarnya untuk memberikan ilmu pengetahuan yang betul kepada pengamalnya. Oleh itu penganut agama Buddha mesti menggunakan akal dan kebijaksanaan (paññâ) dalam segala urusan keagamaan supaya tidak terus keliru dan sesat.

Kita mesti menumpukan sepenuh perhatian dan yakin dengan pengamalan kita sekiranya kita ingin mendekati dan menghayati agama Buddha. Keindahan agama Buddha akan terserlah melalui amalan dan hasil daripada amalan tersebut. Seandainya kita melakukan amalan sekadar melepaskan batuk di tangga, nescaya kita tidak akan berjaya memasuki teras agama Buddha. Pengetahuan yang betul dan matang amat penting. Pengetahuan salah dan separuh masak akan menjerumuskan kita kepada emosi suka dan benci seperti yang diterangkan sebelum ini. Pengetahuan yang betul tentang agama Buddha bererti pengetahuan yang benar tentang segala benda - dunia, neraka dan syurga. Sekali lagi ditegaskan bahawa kebenaran agama Buddha itu dapat diketahui melalui pengamalan sendiri (dalaman), bukan daripada mulut orang atau buku agama (luaran).

Kita mesti tahu betul-betul tentang sesuatu perkara. Kalau perkara itu baik kita kena tahu ia baik, bukan sebaliknya. Ramai antara kita bermata songsang, iaitu nampak perkara baik jadi buruk, nampak perkara buruk jadi baik. Oleh itu kita mesti gunakan akal fikiran dan tumpukan penghayatan minda setiap kali kita hendak menilai sesuatu perkara. Amalkan penghayatan minda dari peringkat ke peringkat sehinggalah kita benar-benar faham.

Sekiranya kita mempelajari agama Buddha dengan cara yang tersebut di atas, pasti seorang pemotong kayu yang buka huruf pun dapat memahami agama Buddha. Sedangkan seorang penuntut jurusan agama Buddha yang menghafal Kitab Tipitaka setiap hari belum tentu dapat memahami agama Buddha kalau teknik pembelajarannya salah. Kita ada akal. Dengan akal kita dapat meneliti dan memahami semua benda di sekeliling kita. Sekiranya kita ditimpa sengsara, kita mesti cuba untuk meneliti dan memahami apa sebenarnya sengsara itu. Dari mana datangnya? Apakah puncanya? Bagaimana hendak menghapuskannya? Teknik mengatasi sengsara dengan mengemukakan soalan begini dapat membantu kita menghapuskan sengsara tersebut. Cara begini juga membolehkan kita betul-betul memahami ajaran Buddha. Lebih baik daripada menghafal kitab-kitab agama. Menghafal kitab agama tanpa memahami isi kandungannya tak tumpah seperti seekor burung kakaktua. Kedengaran aneh sekali burung kakaktua membaca Kitab Tipitaka!

Orang yang tidak pernah mempelajari Kitab Tipitaka, tetapi setiap kali ditimpa kesengsaraan, dia akan meneliti, menyelidiki dan menghayati dengan bersungguh-sungguh tentang kesengsaraan itu, maka orang itu sebenarnya sedang mempelajari Kitab Tipitaka dengan cara yang betul. Orang yang setiap hari membelek dan membaca Kitab Tipitaka, tetapi tidak kenal zat dhamma yang terkandung dalam kitab itu, ibarat orang yang dilahirkan sempurna anggota tubuh dan akalnya, tetapi tidak berupaya mengatasi masalah yang berkaitan dengan diri sendiri. Malahan setiap hari nafsu kemahuan yang menjadi punca kesengsaraan semakin bertambah. Ini kerana dia tidak kenal diri sendiri.

Kalau diri sendiri pun belum kenal, bagaimana pula hendak kenal kebenaran yang terkandung di dalam Kitab Tipitaka yang begitu rumit. Oleh itu cara yang mudah mempelajari dan mengenali kebenaran agama Buddha adalah dengan mempelajari dan mengenali diri sendiri. Diri dan jiwa kita sebenarnya sedang berkitar mengikut kuasa nafsu (tanha). Kita melakukan sesuatu untuk melayan hawa nafsu dan mengecapi hasil demi memuaskan hawa nafsu semata-mata. Saban waktu, beginilah kehidupan kita berkitar. Semuanya berpusat pada hawa nafsu. Keadaan ini berterusan kerana kejahilan kita tentang diri sendiri. Kalau diri sendiri pun kita tidak kenal, bagaimana kita hendak kenal alam semesta?

Tuesday, February 26, 2008

Dhamma (1) Asas Kepercayaan (Buddhadasa Bhikhu)


(Terjemahan Karya Buddhadasa Bhikhu - Suan Mokkha Palaram)


Anda minat agama Buddha dari sudut mana?

Agama lahir ke dunia kerana ketakutan. Orang primitif takut kepada fenomena alam semulajadi, seperti guruh, petir, ribut, kegelapan dan sebagainya. Ini kerana fenomena alam tersebut berada di luar jangkauan akal fikiran mereka. Kerana takut akan bahaya yang akan menimpa, mereka terpaksa mengalah dengan menunjukkan perlakuan hormat mereka kepada fenomena alam tersebut, seperti pemujaan, pemujukan dan sebagainya. Dari sinilah animisme membenih dan menyubur. Manakala di kalangan mereka yang lebih cerdik, mereka melakukan ritual yang lebih baik yang dirasakan sesuai dengan kehendak alam semulajadi. Inilah yang dikatakan agama lahir ke dunia kerana ketakutan dan cara pengamalannya mengikut ketakutan tersebut.

Ketakutan generasi selepas itu meningkat lebih tinggi. Mereka takut kepada kesengsaraan yang berpunca daripada kelahiran, ketuaan, kesakitan dan kematian. Mereka juga takut kepada kesengsaraan akibat ketamakan, kemarahan dan kejahilan. Walaupun ada harta bertimbun, kesengsaraan tersebut tidak dapat dihapuskan. India merupakan sebuah negara yang ramai cendekiawan, sasterawan dan ahli fikir. Maka mereka ini meninggalkan pemujaan konvensional untuk mencari jawapan lain kepada masalah yang berpunca daripada kelahiran, ketuaan, kesakitan dan kematian. Selain itu, mereka juga cuba selesaikan masalah yang berpunca daripada nafsu, seperti tamak haloba, marah dan sesat. Ini merupakan titik mula kelahiran agama yang berpusat kepada akal fikiran. Akhirnya jalan kemenangan ke atas masalah kelahiran, ketuaan, kesakitan, kematian dan hawa nafsu pun ditemui.

Agama Buddha lahir ke dunia kerana ketakutan jenis kedua di atas. Buddha menemui jalan mengatasi ketakutan dengan sempurna beserta cara-cara pengamalan yang berkesan untuk menghapuskan kesengsaraan yang dipanggil “sasana”(agama). Agama Buddha bererti agama orang (suci) yang tahu kerana “Buddha” bermaksud Yang Maha Mengetahui; mengetahui kebenaran segala benda (sabbe dhamma) mengikut sifat hakikinya. Jadi, agama Buddha adalah agama yang bergantung pada akal fikiran dan kebijaksanaan atau agama yang berasaskan ilmu kebenaran untuk menghapuskan kesengsaraan makhluk dunia.

Segala bentuk ritual atau upacara pemujaan atau pujuk rayu kepada kuasa luar biasa atau kuasa sakti bukan agama Buddha. Buddha tidak terima masuk ke dalam agama beliau kerana perkara itu melucukan, berawang-awangan dan tidak dapat dijadikan perlindungan yang sebenar.

Ada komentar dalam agama Buddha, “Ilmu pengetahuan, kebijaksanaan dan keupayaan yang membantu pencapaian matlamat itulah jejak mula yang baik, bukannya bulan bintang di langit. Kebaikan yang patut diperolehi terlepas daripada orang bodoh yang asyik mengira bintang di langit untuk mencari jejak mula yang baik.” Dan, “Sekiranya air sungai Ganges itu suci dan dapat membantu mensucikan dosa dan menghapuskan sengsara; kura-kura, ketam, ikan atau siput di dalamnya akan suci daripada dosa dan tiada sengsara.” Atau, “Sekiranya, orang boleh bebas daripada kesengsaraan dengan ritual dan pujuk rayu, dunia ini tentu tak ada orang yang kesengsaraan kerana semua orang pun tahu melakukan ritual pemujaan dan pujuk rayu!”

Oleh itulah masih ada orang kesengsaraan walaupun telah melakukan bermacam-macam ritual pemujaan. Ini kerana ia bukan cara yang betul untuk menghapuskan kesengsaraan. Cara yang betul kita mesti berfikir dengan matang dan mendalam agar dapat mengetahui kebenaran tentang kesengsaraan dan punca-puncanya. Kemudian kita melakukan pengamalan yang bijak dan betul untuk menghapuskannya.

Penghayatan terhadap agama Buddha haruslah menembus ke teras ajarannya agar dapat melihat kebenaran. Agama Buddha tidak menggalakkan penganutnya membuat pengamalan yang teragak-agak, atau yang berdasarkan kemungkinan atau ramalan. Agama Buddha menuntut kita membuat pengamalan berdasarkan kebenaran yang kita perolehi daripada akal budi melalui penghayatan sendiri. Kita tidak boleh percaya kepada kata-kata orang lain. Walaupun ada orang memberitahu kita tentang kebenaran, kita jangan terus percaya. Kita mesti memikirkannya secara mendalam, sama ada boleh dipercayai atau tidak. Kemudian buktikan kebenaran tersebut melalui pengamalan. Hasil daripada pengamalan akan memberikan jawapan muktamad.

Agama bagaikan benda yang mempunyai banyak sudut. Pandang dari satu sudut, nampak satu macam. Pandang dari sudut lain, nampak macam lain pula. Orang pasti percaya kepada fikiran sendiri. Oleh itu kebenaran (sacca) sesuatu perkara berbeza antara satu orang dengan orang lain, bergantung kepada berapa banyak pemahaman dan penghayatan mereka terhadap perkara itu. Orang memahami sesuatu persoalan dalam kadar yang berbeza kerana akal dan kebijaksanaan berbeza. Perkara yang berada di luar jangkauan akal seseorang tidak boleh dianggap “kebenaran” bagi orang tersebut. Sekiranya dia terima juga perkara tersebut sebagai kebenaran ikut pandangan orang lain, dalam hati dia tetap mengatakan itu bukan kebenaran dirinya sendiri.

Kadar kebenaran bagi seseorang akan meningkat mengikut kadar kebijaksanaan, pengetahuan dan pemahamannya yang bertambah setiap hari. Orang ada latar pendidikan dan teknik pemikiran yang berbeza. Oleh itu, kalau mereka menghayati agama Buddha pasti akan melahirkan tanggapan yang berbeza mengikut latar pendidikan dan teknik pemikiran masing-masing. Ini kerana agama Buddha cukup sempurna dan ada semua perkara berkaitan kehidupan manusia untuk dihayati.

Seperti yang telah dijelaskan bahawa agama Buddha merupakan ilmu pengetahuan untuk kehidupan sempurna dan cara-cara pengamalan untuk membebaskan diri daripada kesengsaraan sebagaimana diamalkan oleh Buddha dahulu. Namun, dari masa ke masa banyak perkara “luaran” yang meresap masuk ke dalam ajaran agama Buddha. Perkara ini berlaku ada kemungkinan disengajakan mengikut kesesuaian masa dan keadaan demi memelihara keyakinan penganutnya. Atau kerana perasaan kemaruk pahala, maka diserapkan perkara-perkara atau pengamalan-pengamalan yang dirasakan boleh menambahkan pahala (kebaikan). Tetapi kalau sudah melebihi had yang sesuai, pasti menyusahkan. Penganut agama Buddha akan menjadi mual dan muntah kerana mabuk pahala.

Banyak ritual atau upacara yang baru muncul yang mulanya ada sedikit kaitan dengan agama Buddha, itupun secara luaran. Tetapi kini telah “diterima” masuk sebagai sebahagian ajaran agama Buddha. Amat sedih sekali. Sebagai contoh, upacara mempersiapkan set hidangan untuk santapan viññâna (roh) Buddha. Ini merupakan perkara yang tidak seharusnya ada dalam agama Buddha. Tetapi sesetengah penganut percaya ini merupakan sebahagian daripada agama Buddha. Pada masa sekarang perkara ini diajarkan dan digalakkan di kebanyakan wat.

Banyak lagi ritual lain yang muncul kemudian sehingga menutupi matlamat asal ajaran Buddha. Dalam upacara jadi biksu (Thai:“buat” phra) terdapat banyak kekhilafan, misalnya ritual memuja semangat calon biksu (Thai:chau nakh). Upacara jadi biksu diadakan di rumah dan di wat. Diadakan secara besar-besara, ribuan tetamu dijemput dan dijamu selera; mabuk dan penuh meriah. Namun, jadi biksu beberapa hari, kemudian keluar; tidak berbaloi dengan upacara besar-besaran. Selepas keluar, bertukar jadi orang yang takut kepada wat. Ini semua diceritakan supaya kita dapat tahu bahawa perkara yang tidak pernah berlaku pada zaman Buddha, kini sudah berlaku.

Cara memasuki alam biksu pada zaman Buddha berlainan sekali. Individu yang hendak jadi biksu mesti minta kebenaran daripada ibu bapa terlebih dahulu. Kemudian individu itu meninggalkan rumah, pergi tinggal bersama Buddha atau Sangha (Persaudaraan Buddha) untuk mempelajari dhamma (ajaran Buddha). Setelah tiba pada masa yang sesuai barulah dilakukan upacara menjadi biksu tanpa kehadiran ibu bapa atau saudara mara dan tanpa kenduri kendara. Malah ada yang sudah jadi biksu, tidak pernah berjumpa dengan ibu bapa sepanjang hayat. Kalau hendak pulang menziarahi ibu bapa mesti pada masa dan ketika yang sesuai. Itupun setelah betul-betul memahami agama Buddha. Dalam agama Buddha ada peraturan yang melarang biksu pulang ke rumah kecuali ada hal penting tertentu. Lagi pun para biksu tidak berhasrat hendak pulang ke rumah setelah tinggal bersama Sangha. Mereka menjalani disiplin (vinaya) yang ketat demi mencapai matlamat.

Banyak upacara baru yang muncul dan dianggap sebagai agama Buddha. Kebenaran dalam agama Buddha yang diajarkan oleh Buddha seakan-akan tertutup oleh kemunculan upacara bodoh yang bertambah dari masa ke masa. Dalam upacara menjadi biksu, sekarang dilakukan kononnya untuk “mematangkan” golongan pemuda yang dikatakan masih mentah untuk beristeri. Sesetengah tempat dijadikan peluang untuk mengaut keuntungan daripada orang yang datang menderma; mencari kekayaan secara senang. Perkara begini pun dikatakan agama Buddha. Dan peliknya, siapa menegur akan dituduh sebagai tak tahu agama, atau perosak agama.

Satu perkara lagi, Kathina. Buddha berhasrat untuk semua biksu membuat kain civara (Thai:jivorn) sendiri, secara bekerjasama dalam jangka masa yang singkat. Sekiranya kain civara yang dibuat bersama itu dapat dihasilkan sehelai sahaja, maka akan diserahkan kepada mana-mana biksu yang layak. Biksu yang dikira layak oleh sangha itu tidak semestinya ketua wat. Perkara ini bertujuan untuk mengikis kesombongan biksu dari semua peringkat. Tanpa mengira kedudukan; sangha biasa, ketua wat, ketua sangha, semuanya sama taraf pada hari tersebut. Semuanya jadi kuli untuk memilih, memotong, menjahit dan mewarna kain agar kain civara dapat disiapkan pada hari itu juga. Buddha berhasrat perkara yang dipanggil Kathina itu mencapai tujuannya tanpa melibatkan penduduk kampung. Tetapi sekarang Kathina dibuat besar-besaran untuk mencari duit, mendatangkan kemeriahan dan hiburan tanpa mempedulikan tujuan asalnya. Jadi, satu perkara yang mulia bertukar jadi satu kesempatan untuk mengumpul duit, seronok dan mabuk.

Agama Buddha “ketumbuhan”(kanser?) ini muncul begitu banyak sehingga tidak terbilang jumlahnya. Agama “ketumbuhan” ini merupakan sejenis “ketumbuhan” berbahaya yang semakin membesar sehingga menutupi isi dan teras agama Buddha yang sebenar. Keadaan inilah yang menyebabkan ajaran agama Buddha sekarang menjadi sedikit kacau dan rumit berbanding dengan yang asal. Kemudian berpecah pula menjadi beberapa mazhab dan berpuluh-puluh aliran. Ada yang terbias jauh menjadi aliran yang bergerak seiringan dengan nafsu kemahuan. Oleh itu kita mesti bijak membezakan “agama ketumbuhan” ini daripada agama Buddha yang asal agar tidak menjadi penganut yang dungu dan sesat.

Kita harus menjadikan perlakuan dan pertuturan yang baik sebagai pengamalan harian agar dapat melahirkan minda yang suci yang merupakan asas kepada kebijaksanaan. Kita mesti kenal hakikat diri, persekitaran dan alam sejagat, kemudian berusaha mengamalkan perkara yang baik. Jangan mudah percayakan orang. Belajar sendiri sehingga betul-betul tahu membezakan ajaran dan amalan tulen daripada ajaran dan amalan “agama ketumbuhan”.

“Ketumbuhan” ini pertama kali muncul selepas Buddha parinibbana (mati). Ia semakin mudarat dan tersebar meluas. Kita tidak boleh menganggap atau mengambil “agama ketumbuhan” tersebut menjadi agama Buddha. Penganut agama lain akan mengambil kesempatan menuding bahagian “ketumbuhan” yang memalukan itu untuk memperlekehkan agama Buddha. Ini tentulah tidak adil kerana “ketumbuhan” itu bukan ajaran Buddha. Oleh itu, kita sebagai penganut agama Buddha mestilah memelihara kesucian dan ketulenan agama kita supaya terus menjadi agama universal untuk semua orang. Dan kita sendiri yang sempurna akal harus mengelakkan diri daripada “ketumbuhan” tersebut agar tidak menjadi sebahagian daripada pengamalan kita.

Malah agama Buddha yang tulen yang tertulis dalam Kitab Tipitaka pun ada berbagai-bagai aspek dan tujuan. Kalau tidak berhati-hati, kita barangkali mengamalkannya dengan tujuan yang salah daripada tujuan asal.

(Maklumat Tambahan: Kitab Tipitaka, ada 45 jilid; dibahagikan kepada 3 bahagian utama, (1)Vinaya Pitaka; (2) Sutta Pitaka; (3) Abhidhamma Pitaka.)


Kalau dilihat dari sudut moral, agama Buddha boleh menjadi ilmu moral. Kerana dalam ajarannya ada perkara berkaitan pahala, dosa, jujur, amanah, berbuat baik, berbuat jahat, membalas budi, bergotong-royong dan lain-lain. Semuanya ada tertulis dalam Kitab Tipitaka. Dan ramai orang asing berminat dengan agama Buddha dalam aspek moral ini.

Pada tahap yang lebih tinggi, agama Buddha mengajar tentang kebenaran alam; realiti yang tersembunyi yang sukar dilihat oleh orang biasa. Ini termasuklah pengetahuan berkaitan “kekosongan”(suññatâ) segala benda (alam mental dan fizikal), keadaan tidak kekal abadi (anicca), keadaan kesengsaraan (dukkha) dan keadaan bukan diri (anatta). Dalam aspek ini juga diterangkan tentang masalah kehidupan manusia, maksud kesengsaraan, dari mana punca kepada kesengsaraan, bagaimana keadaan setelah kesengsaraan dilenyapkan dan cara-cara melenyapkan kesengsaraan. Semua ini adalah kebenaran mutlak (Ariya Sacca).

Agama Buddha yang menjadi aspek agama (sasana) adalah bahagian yang menjadi peraturan dan pengamalan seperti rukun moraliti (sila), konsentrasi (samadhi) dan kebijaksanaan (paññâ). Ketiga-tiga amalan ini akan membawa pengamalnya ke tahap pembebasan sempurna daripada kesengsaraan.

Agama Buddha yang menjadi aspek psikologi pula adalah yang terkandung dalam Kitab Tipitaka bahagian akhir. Bahagian ini menceritakan tentang perkembangan mental secara mendalam dan terperinci sehingga mengagumkan pakar psikologi. Ramai pakar psikologi moden berminat dengan aspek ini. Malah boleh dikatakan ilmu psikologi dalam agama Buddha lebih sempurna daripada ilmu psikologi moden.

Agama Buddha masih ada aspek yang dipanggil aspek falsafah. Aspek ini tidak dapat dibuktikan kebenarannya kerana ia bergantung kepada ramalan, atau kebarangkalian. Faktanya tidak berapa kuat. Tetapi kalau ia dapat dibuktikan kebenaran berdasarkan fakta konkrit, atau melalui penglihatan terang dari mata hati, ia dipanggil sains. Sebagai contoh, konsep suññatâ menjadi falsafah bagi individu yang belum mengetahui hakikat segala benda, tetapi ia akan menjadi sains apabila individu tersebut mendapat pengetahuan sempurna, misalnya Phra Arahan (Arahatta). Ini kerana beliau telah mengetahui kebenaran dengan minda sendiri, bukan dengan mengagak-agak, atau dengan ramalan.

Dalam doktrin tertentu, agama Buddha menjadi sains tanpa diragu-ragukan lagi. Dalam konsep Ariya Sacca, kita boleh melihat kebenaran melalui pengamalan dan disiplin diri yang ketat. Kebenaran itu boleh dibuktikan dengan mata dan hati kita sendiri.

Bagi mereka yang berminat dengan aspek budaya, mereka akan dapati dalam agama Buddha terdapat banyak perkara yang berkaitan dengan budaya universal. Malah ada sesetengah aspek budaya dalam ajaran Buddha lebih tinggi nilainya daripada budaya dunia.


Dan terdapat ajaran agama Buddha yang tergolong ke dalam ilmu logik. Ilmu logik ini boleh kita lihat dalam Kitab Abhidhamma Pitaka.

Bagaimana pun, hendak ditegaskan bahawa agama Buddha yang menjadi aspek agama itulah harus diambil berat oleh penganutnya. Ia meliputi peraturan dan kaedah pengamalan yang mulia. Ia dapat membantu kita melihat hakikat dunia sehingga kita mampu melepaskan pegangan salah kita. Tentu sekali ia lebih baik daripada aspek moral. Lebih berguna daripada aspek kebenaran tentang sifat alam yang sekadar pengetahuan tanpa pengamalan. Dan lebih istimewa daripada aspek falsafah yang lebih banyak digunakan untuk berfikir, bermadah dan berpolimik tetapi tidak mampu menghapuskan keburukan diri, seperti tamak, dengki dan jahil. Dan juga lebih elok daripada aspek budaya yang dipertahankan demi kebaikan masyarakat dunia dan untuk perkara keduniaan semata-mata.

Atau, sekurang-kurangnya, kita berpeganglah pada aspek yang menjadi seni. Yang dimaksudkan di sini ialah seni kehidupan. Seni yang mengajar individu menjadi manusia yang baik, disayangi, dihormati dan diteladani oleh masyarakat. Masyarakat sudi ikut perlakuan kita tanpa dipaksa. Kita ada kecantikan dalam perlakuan dan pertuturan. Kita ada kecantikan dalam ketenangan dan kesabaran. Kita ada kecantikan dalam kebijaksanaan. Kerana kecantikan yang ada, kita bebas daripada segala permasalahan (kesengsaraan). Barang siapa mempunyai ketiga-tiga kecantikan di atas, bermakna dia ada seni kehidupan yang paling tinggi. Masyarakat Barat berminat pada aspek seni kehidupan ini lebih daripada aspek lain.

Sekiranya kita dapat mengambil teras ajaran agama Buddha untuk diterapkan ke dalam kehidupan harian, nescaya menghasilkan keseronokan jiwa. Jiwa tidak kebosanan dan kekeringan sebagaimana yang sering dikatakan orang, “Kalau dah buang semua nafsu, kehidupan tak bermakna, suram dan tawar tanpa sebarang perasaan. Atau tanpa kemahuan kita tak akan berbuat apa-apa lagi, atau tak akan berfikir tentang apa-apa pun.” Orang yang menjalani kehidupan yang betul, yang mengamalkan seni kehidupan seperti seni kehidupan Buddha ialah orang yang berdiri megah dengan kemenangan di atas segala benda yang mengelilinginya. Semua dugaan dan godaan yang masuk melalui mata, telinga, hidung, lidah, badan dan hati akan tertewas dengan sendiri. Ia tak mampu mempengaruhi , mengaburi dan mengotori individu tersebut. Perlakuan individu yang menewaskan segala dugaan dan godaan pasti seronok dan riang gembira. Inilah yang dikatakan sebagai seni dalam agama Buddha.

Dhamma (ajaran Buddha) dalam agama Buddha akan memberikan hiburan kepada individu yang dahagakan ilmu dhamma; ia merupakan sejenis makanan asas. Bagi orang yang berada di bawah kuasa nafsu, menjadi kelaziman bahawa dia memerlukan makanan untuk mata, telinga, hidung, lidah dan badan. Namun, masih ada satu perkara lagi yang berada jauh ke dalam hati tetapi memerlukan makanan lebih kompleksiti. Perkara tersebut adalah viññâna yang bebas dan suci; ia memerlukan “hiburan dan kepuasan” sebagai makanan (makanan rohani).

Sebenarnya, kejayaan kita bermula daripada perasaan bangga kerana dapat melakukan sesuatu yang baik; ada ketenangan dan kesabaran yang sukar digoyah; tahu hakikat segala kewujudan; tiada kemahuan terhadap sebarang benda; boleh duduk diam, tidak mengejar ke sana ke mari seperti orang yang diibaratkan, “Malam menyedut asap, siang menjadi api”.

“Malam menyedut asap” membawa maksud orang yang tidur tidak lena, resah gelisah dengan lengan melintang di atas dahi. Fikiran berserabut hendak mendapat benda itu, hendak mengambil benda ini. Kepala penuh dengan kemahuan untuk mencari duit, menanti tuah. Semunya ibarat asap yang menyelubungi hati. Kerana masih malam, hendak ke mana pun tidak boleh, maka terpaksa tidur menyedut asap.

Apabila menjelang siang, dia berlari keluar mengikut kemahuan “asap” yang disedut semalaman. Yang dikatakan “Siang menjadi api” merupakan perlakuan minda yang tidak tenang, tidak menerima makanan jiwa dan sentiasa kedahagaan kerana nafsu dan ketamakan. “Malam menyedut asap” panas sepanjang malam, “Siang menjadi api” panas dan terbakar sepanjang hari. Orang begini, bagaimana hendak mencari ketenangan hidup!
Orang, kalau terpaksa menjadi “malam menyedut asap, siang menjadi api” seumur hidup, apabila mati apa akan terjadi? Fikirlah sendiri. Dia dilahirkan untuk menanggung penderitaan seumur hidup. Dari hari pertama dilahirkan sehinggalah mati dan reput di dalam keranda, dia langsung tidak menggunakan akal fikiran untuk menghalau asap, memadam api! Orang jenis ini mesti menumpang akal budi Buddha agar dapat meringankan sedikit bebanannya. Apabila dia dapat memahami hakikat sebenar, barulah asap dan api itu dapat dikurangkan.

Kesimpulannya, kita dapat katakan bahawa agama Buddha ada pelbagai sudut dan aspek. Ibarat sebuah gunung apabila dilihat dari sudut berlainan, akan nampak pandangan yang berlainan. Dan terpulang kepada siapa hendak pandang dari sudut mana. Walaupun agama Buddha lahir daripada ketakutan tetapi bukan ketakutan jenis yang bodoh orang primitif, sebaliknya ketakutan jenis masuk akal. Ketakutan jenis masuk akal ialah ketakutan yang dapat dibuktikan kebenarannya. Siapa tidak takut kepada kesengsaraan kerana kelahiran, kesengsaraan kerana ketuaan, kesengsaraan kerana kesakitan dan kesengsaraan kerana kematian?

Agama Buddha yang tulen bukan buku, bukan kitab, bukan ceramah berdasarkan Kitab Tipitaka, dan bukan ritual agama. Agama Buddha yang tulen ialah amalan mulia melalui perlakuan, pertuturan dan pemikiran yang mampu menghapuskan kilesa (kotoran di lubuk hati) yang menjadi punca segala kejahatan. Tidak perlu bergantung pada buku atau kitab, atau ritual agama, atau kuasa luar seperti jin dan devata (dewa). Sebaliknya, kita bertindak melalui perlakuan dan pertuturan yang baik, dan hati yang suci sehingga mendapat pengetahuan yang jelas yang dapat membantu kita memadamkan api kesengsaraan. Inilah agama Buddha yang tulen.

Jangan jadikan agama “ketumbuhan” sebagai agama Buddha!




(Maklumat Tambahan: Kilesa merupakan kotoran mental yang menjadi punca kepada segala kejahatan. Contoh: Kilesa-kâma; kilesa-mara; kilesa 10 jenis, iaitu (1) tamak (lobha) (2) marah (moha) (3) sesat (dosa) (4) sombong (mana) (5) Pandangan (ditthi) (6) keraguan (vicikiccha) (7) lesu (thina) (8) tidak tenteram (uddhacca) (9) tidak malu (ahirika) (10) tidak takut (anottappa); kilesa samyojana 10; dan lain-lain)