Bagi mengamalkan Sila dalam kehidupan harian, Hiri dan Ottapa amat diperlukan kerana ia dapat membantu seseorang mengamalkan Sila dengan mantap. Dalam maksud lain, Hiri dan Ottapa menjadi "pengawas" moral atau akhlak seseorang.
Hiri bermaksud perasaan malu yang ada pada seseorang apabila melakukan kesalahan atau kejahatan (termasuk malu kepada diri sendiri).
Ottapa bermaksud perasaan takut yang ada pada seseorang apabila melakukan kesalahan atau kejahatan (termasuk takut kepada diri sendiri).
Kesalahan dan kesalahan tersebut merangkumi pemikiran, pertuturan dan perbuatan.
Buddha ada menerangkan bahawa terdapat dua perkara yang pasti dapat melindungi dunia iaitu Hiri dan Ottappa. Apabila kedua-dua perkara ini tidak menjadi pelindung dunia, maka seseorang tidak mungkin menghargai ibunya, tidak mungkin menghargai anaknya, tidak mungkin menghargai kakak iparnya, dan tidak mungkin menghargai isteri gurunya. Keruntuhan moral yang melampau dan kejahatan pasti berleluasa. (Anguttara Nikaya)
Oleh itu, Hiri dan Ottappa dikatakan sebagai Dhamma Pelindung Dunia (Lokapala). Hiri dan Ottappa tergolong ke dalam Tujuh Kekayaan Ariya dan Tujuh Kekuatan Dhamma.
Tujuh Kekayaan Ariya
1. Saddha = memiliki keyakinan atau kepercayaan
2. Sila = mengelakkan ucapan dan perbuatan salah
3. Hiri = perasaan malu hendak melakukan kejahatan
4. Ottappa = perasaan takut hendak melakukan kejahatan
5. Bahusacca = mempelajari Dhamma dan memahami kegunaannya
6. Caga = melepaskan, meninggalkan atau menderma barang kepada orang yang memerlukannya
7. Panna = bijaksana (dapat membezakan kebaikan daripada kejahatan)
Tujuh Kekuatan Dhamma (Bala Tujuh)
1. Saddha-Bala = kekuatan daripada keyakinan dan kepercayaan
2. Viriya-Bala = kekuatan daripada ketekunan
3. Hiri-Bala = kekuatan daripada perasaan malu (malu berbuat jahat)
4. Ottappa-Bala = kekuatan daripada perasaan takut (takut berbuat jahat)
5. Sati-Bala = kekuatan daripada kesedaran
6. Samadhi-Bala = kekuatan daripada konsentrasi
7. Panna-Bala = kekuatan daripada kebijaksanaan.
Tujuh Kekuatan Dhamma di atas bersifat rohaniah yang akan mendorong ucapan dan perbuatan baik (atau akan mencegah ucapan dan perbuatan jahat)
Contoh memiliki Hiri dan Ottappa dalam memperkukuhkan pelaksanaan Sila.
Memiliki Hiri:
1) Kerana malu akan digelar sebagai seorang yang kejam, kita menghindari pembunuhan dan penganiayaan.
2) Kerana malu akan dijauhi oleh kawan-kawan dalam pergaulan, kita menghindari pencurian.
3) Kerana malu akan diperkatakan orang, kita menghindari perbuatan salah laku seks.
4) Kerana malu akan dituduh pembohong, kita menghindari ucapan dusta.
5) Kerana malu akan dikategorikan sebagai pemabuk, kita menghindari minuman keras.
Memiliki Ottappa:
1) Kerana takut akan masuk neraka, kita menghindari pembunuhan. Dari segi duniawi, karana takut ditangkap, dipenjara atau digantung, kita menghindari pembunuhan dan penganiayaan.
2) Kerana takut masuk penjara, kita menghindari pencurian.
3) Kerana takut mendapat musuh, kita menghindari perbuatan salah laku seks.
4) Kerana takut dicontoh anak-anak, kita menghindari kata-kata dusta.
5) Kerana takut dicela orang, kita menghindari minuman keras.
Ini sekadar beberapa contoh bagaimana Hiri dan Ottapa membantu kita menghindari kejahatan.
Hiri bersumber dari dalam diri sendiri, sedangkan ottappa lebih dipengaruhi hal-hal yang di luar diri kita.Hiri bersifat dalaman yang timbul sendiri (attadhipati) , sedangkan Ottappa bersifat luaran; lebih dipengaruhi oleh persekitaran dan masyarakat (lokadhipati).
Hiri terbentuk oleh rasa malu, sedangkan Ottappa terbentuk oleh rasa takut. Hiri ditandai dengan adanya sifat yang konsisten, sedangkan Ottappa ditandai dengan adanya kemampuan mengenal bahaya dan takut melakukan kesalahan.
Cetusan daripada Hiri adalah pandangan dan idea-idea yang berhubungan dengan kelahiran, usia, kedudukan, sosial atau kehormatan diri, dan tingkat pendidikan. Maka seseorang yang memiliki Hiri akan berfikir, "Hanya orang-orang lemah, kanak-kanak dan orang-orang tidak berpendidikan yang akan berpandangan dan berbuat demikian." Oleh sebab itu, dia akan menghindari pandangan yang sempit dan perbuatan yang salah.
Cetusan daripada Ottappa adalah pandangan dan idea-idea bahawa sesuatu yang berkuasa (karma, raja, pemimpin, polis, orang tua, guru, pihak atasan dan sebagainya) akan mempersalahkannya. Oleh sebab itu, dia menghindari perbuatan-perbuatan yang salah.
Dengan Hiri, seseorang bercermin kepada kehormatan dirinya, kelahirannya, keluarganya, gurunya, kedudukannya, sosialnya, pendidikannya, atau masyarakat di mana dia berada.
Sedangkan dengan Ottappa, seseorang takut pada dirinya sendiri, takut dipersalahkan orang atau masyarakat, takut pada balasan hukum karma, dan takut menerima akibatnya pada kehidupan mendatang.
Apabila seseorang memiliki Hiri, maka dirinya sendirilah yang paling tepat menjadi guru dan pengawasnya yang terbaik.
Apabila seseorang lebih cenderung kepada Ottappa, maka dia sebaiknya mengikuti bimbingan dan peraturan daripada seseorang ataupun daripada suatu ajaran yang baik dan diyakininya.
(diubahsuai drp Kalyanadhammo)
Thursday, August 28, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


0 comments:
Post a Comment