Wednesday, July 23, 2008

Arahant Pergi Mana Selepas Nibbana?

Soalan: Orang biasa, selepas mati akan lahir ke alam tertentu bergantung kepada karma. Bagaimana dengan Arahant yang sudah kehabisan karma, selepas mati akan pergi ke mana?

Buddha: Dengar sini, Vajjha. Ungkapan "akan lahir" atau "tidak lahir" atau "lahir pun ada, tak lahir pun ada" atau "lahir pun bukan, tak lahir pun bukan" tidak patut digunakan kepada Arahant.

Perkara ini terlalu mendalam dan sukar difahami kerana ia terlalu halus dan rumit. Pemikiran logik biasa tidak mungkin dapat memahami kebenarannya. Mereka yang mempunyai pandangan yang lain, kepercayaan yang lain, daya usaha yang lain dan berada dalam jagaan guru yang lain (selain Buddha), sukar untuk mengetahui kebenarannya.

Vajjha: Begitulah!

Buddha: Oh, Vajjha! Sekiranya terdapat api menyala di depan anda, adakah anda sedar bahawa api sedang menyala di depan anda?

Vajjha: Saya sedar, saya sedar bahawa api sedang menyala di depan saya!

Buddha: Api yang menyala di depan anda bergantung kepada apa untuk menyala? Sekiranya anda ditanya begini, apakah jawapan anda?

Vajjha: Sekiranya saya ditanya begini, saya akan mengatakan api menyala bergantung kepada umpan api iaitu rumput atau kayu kering.

Buddha:Sekiranya api itu padam di depan anda, adakah anda sedar api telah padam di depan anda?

Vajjha: Saya sedar bahawa api telah padam di depan saya.

Buddha: Api yang padam di depan anda pergi ke arah mana? Sekiranya anda ditanya begini, apakah jawapan anda?

Vajjha: Pertanyaan ini tidak patut, tidak sesuai ditanya. Api menyala kerana ada umpan api iaitu rumput atau kayu kering. Sekarang rumput dan kayu kering sudah habis, maka api pun padam. Umpan yang lain tiada lagi, sebab itu api padam habis!

Buddha: Begitulah Vajjha. Manusia dipanggil (dikenali) sebagai manusia berasaskan panca-khanda iaitu rupa, vedana, sanna, sankhara, vinnana. Tathagata telah meninggalkan semuanya, dan tiada kewujudan lagi. Tathagata telah bebas daripada panggilan berasaskan panca-khanda iaitu rupa, vedana, sanna, sakhara, vinnana.

Perkara ini (Arahant) sangat mendalam umpama dasar lautan yang sukar diduga dan rumit untuk difahami minda biasa. Oleh itu, ia tidak patut dikatakan bahawa ia "akan lahir", "tidak lahir", "lahir pun ada, tak lahir pun ada" atau "lahir pun bukan, tak lahir pun bukan".



0 comments: