
Hari Wesak merupakan hari yang penting kepada penganut agama Buddha seluruh dunia kerana pada hari ini berlakunya tiga peristiwa penting, iaitu kelahiran Buddha(Putera Siddharta), Buddha mendapat Pencerahan Sempurna (Samma Sambodhi) dan Buddha meninggal dunia (Parinibbana). Kepentingan Hari Wesak menjadi semakin bermakna apabila Pertubuhan Bangsa Bersatu memberi penghormatan dengan mengiktiraf Hari Wesak sebagai hari penting (kategori keamanan)kepada dunia dan akan diperingati oleh badan dunia itu.
Apakah yang harus dilakukan oleh penganut Buddha pada Hari Wesak? Banyak aktiviti keagamaan yang boleh dilakukan, termasuklah pergi membuat pahala (Thai:tam bun), mendengar ceramah dhamma, menderma duit, menderma darah, menolong aktiviti di wat atau vihara dan sebagainya dengan ikhlas hati.
Pada hari yang mulia itu penganut Buddha mesti memulakan hari baru dengan sembahyang (chanting), menjaga Sila (rukun moraliti)dan membuat sedekah makanan kepada Sangha (Sanghadana).
Pada sebelah malam, penganut Buddha akan melakukan upacara perarakan mengelilingi ubosatha (Thai:vian tian)sebanyak tiga keliling untuk memperingati kebesaran Buddha, dhamma dan Sangha. Di Kuala Lumpur diadakan perarakan kereta berhias, mengelilingi bandar. Perarakan itu akan lebih bermakna sekiranya semua orang yang menyertainya memahami maksud perarakan tersebut. Setakat ikut suka-suka, hoha-hoha, dan jerit-jerit lebih baik tidur di rumah. Jangan menambahkan dosa tidak tentu pasal.
Pada hari yang mulia itu, penganut agama Buddha harus pergi ke wat atau vihara dengan berpakaian bersih (seelok-eloknya pakaian putih). Pakaian compang-camping mesti dielakkan. Pakaian yang seksi dengan pendedahan tubuh yang melampau juga tidak boleh kerana tidak manis dan dianggap tidak menghormati Bhikkhu. Mereka juga mesti menjaga rukun moraliti (Sila 5 atau Sila 8) dengan sempurna. Sopan santun harus diutamakan. Sekiranya mereka melanggar rukun moraliti pada hari mulia ini, bererti mereka memandang rendah pada agama sendiri. Oleh itu, percakapan, perbuatan, dan pemikiran mesti diawasi. Percakapan mesti berlapik, terkawal dan seboleh-bolehnya bercakap perkara yang berfaedah sahaja. Perbuatan juga mesti dijaga agar tidak melakukan perkara terlarang yang menyalahi moral, peraturan, adat serta undang-undang. Fikiran juga harus dikawal dengan baik kerana fikiran akan mempengaruhi percakapan dan perbuatan.
Apabila Pertubuhan Bangsa Bersatu mengiktiraf Hari Wesak sebagai hari penting kepada dunia, kita selaku pengikut Buddha tentulah berasa bangga. Kebanggaan kita mesti dibuktikan dengan perlakuan yang baik. Sekiranya kita melanggar rukun moraliti (Sila) pada hari itu, misalnya membunuh binatang, mencuri, berzina, berbohong dan minum arak, adakah kita tidak berasa malu kepada diri sendiri. Orang lain sanggup mengiktiraf agama kita sebagai pendukung keamanan, sebaliknya kita pula tidak menghargainya. Layakkah kita bergelar penganut agama Buddha?
Pada Hari Wesak, terutama di ibu kota, saya dapati terdapat segelintir penganut agama Buddha yang tidak peka terhadap kemuliaan hari tersebut. Mereka sengaja melanggar rukun moraliti secara terang-terangan di wat atau di vihara. Hari Wesak bukan hak kita seorang, tetapi hak semua penganut agama Buddha di seluruh dunia. Tidak ada sesiapa boleh memaksa kita menghormatinya sekiranya kita tidak rela. Kita ada hak untuk tidak memandang mulia hari kebesaran itu, tetapi kalau kita hendak berpesta, buatlah di rumah, di tempat tertutup. Tidak usah berpesta di pusat keagamaan kerana akan memalukan agama sendiri.
Sekiranya pada Hari Wesak kita pun tidak mampu menjaga rukun moraliti, hari lain usahlah dicerita. Nampaknya matlamat hidup kita tiada lain kecuali neraka jahanam (avici). Atau kita mahu menunggu hari tua ketika sebelah tangan sudah memegang keranda baru kta hendak berbuat baik. Sayang sekali dilahirkan sebagai penganut agama Buddha tetapi, minda sangat teruk, hati tertutup rapat sehingga tidak nampak walaupun setitik cahaya kebenaran (sacca).
Selain melanggar Sila, penganut agama Buddha, terutama wanita suka benar berkumpul pada hari suci ini untuk menjaga tepi kain orang lain. Sambil menolong aktiviti di wat atau vihara, mereka menabur percakapan buruk (vaci kamma) di merata-rata sudut. Kadang-kadang perkara yang tidak patut dicakapkan, diceritakan juga pada hari istimewa ini. Insaflah, Hari wesak bukan hari kebebasan bersuara tetapi hari mengawal mulut.
Ada juga sesetengah orang menjadikan Hari Wesak sebagai hari cari makan. Bukan yang menjual colok, bunga, minuman atau buah-buahan di pintu masuk wat, tetapi yang duduk bersila di dalam wat, vihara atau samnakh. Mereka ini pintar bersembunyi di sebalik agama untuk kepentingan diri. Setiap tahun, mereka dapat mencari ribuan ringgit. Hidup mereka mewah. Rasa-rasa selepas mati, ke mana mereka ini pergi? Mintalah pada kelahiran semula jangan diketemukan lagi serangga perosak ini dengan agama Buddha.
Bagi sesetengah Ahli Jawatan Kuasa Persatuan Agama Buddha, Persatuan Wat atau Persatuan Vihata, inilah hari yang dinanti-nanti untuk melempiaskan ketamakan. Masakan tidaknya kerana penganut agama Buddha begitu bermurah hati. Mereka datang sembahyang di wat sambil menderma duit ke dalam donation box yang disediakan hampir sama banyak dengan jumlah pengunjung. Masa membuka donation box, AJK menjilat bibir melihat duit bertimbun. Ketika inilah perasaan tamak dan sikap jujur berperang di dada. Ketelusan yang terhad sewaktu membuka kotak keramat ini, mengira duit dan bank-in akan mengundang cakap-cakap yang tidak seharusnya berlaku pada institusi agama.
Hari Wesak bukan hari untuk kita berpesta,atau berseronok tetapi hari untuk kita membicarakan(manasikara)kebenaran yang dibawa oleh Buddha. Luangkan sedikit masa untuk bermeditasi, merenung diri, menumpukan hati, menyatukan minda melihat Buddha, Dhamma dan Sangha dalam pengertian yang hakiki. Sekiranya selama ini kita mempunyai pandangan yang salah(micca siddhi), pendirian atau pegangan degil yang sukar dilepaskan (upadana) dan ketamakan (lobha), kemarahan (dosa), kesesatan (moha), maka inilah harinya kita melakukan menghayatan diri untuk membebaskan minda (citta) daripada segala kilesa yang disebutkan tadi.
Maksud Buddha, Dhamma dan Sangha mesti difahami betul-betul. Seandainya kita gagal memahaminya, kita tidak akan dapat menjadi penganut agama Buddha yang baik. Sekurang-kurangnya kita mesti melepaskan sebahagian pegangan (upadana) yang kita ada. Apa-apa sahaja yang kita pegang yang sudah tidak relevan lagi dengan zaman, lepaskan sahaja. Melepaskan pegangan akan membantu kita meringankan bebanan minda. Tamak, marah dan sesat yang merupakan akar kepada segala kejahatan, mesti dilepaskan sedaya yang boleh. Perasaan dendam, dengki, benci dan buruk sangka jangan dibiarkan bersarang di hati. Memberi kemaafan adalah kemuliaan hati yang tiada bandingannya.
Akhir sekali, Hari Wesak ialah hari mulia yang mesti dijaga kemuliaannya agar terus dihormati dan diperingati oleh seantero dunia. Kesucian dan keharmonian Hari Wesak bergantung kepada kita semua selaku pewaris Buddha.
Sadhu! Sadhu! Sadhu!


0 comments:
Post a Comment