Sunday, June 1, 2008

Jangan Lupa 5 Perkara

Dalam satu hari sekiranya kita tiada masa untuk melakukan sembahyang pagi (morning chanting) atau sembahyang malam (evening chanting) atau duduk meditasi, kita seharusnya melakukan 5 perkara berikut.

1. Membaca "Namo Tassa Pagavato Arahato Samma Sambuddhasa" tiga kali, sambil menghayati maksudnya: Saya memberi penghormatan kepada Buddha, yang suci dan yang telah mendapat Pencerahan Sempurna dengan berkat usahanya sendiri.

2. Membaca "Buddhang Saranang Gaccami, Dhammang Saranang Gaccami, Sanghang Saranang Gaccami. Maksudnya, saya menjadikan Buddha sebagai pelindung (melalui amalan), saya menjadikan Dhamma sebagai pelindung (melalui amalan), saya menjadikan Sangha sebagai pelindung (melalui amalan).

3. Melafazkan Panca-Sila dan berusaha mengamalkannya supaya tidak putus: (1) Tidak membunuh; (2) Tidak mencuri; (3) Tidak berzina; (4) Tidak berbohong; (5) Tidak minum arak. Lima rukun moraliti ini membuktikan bahawa kita adalah penganut agama Buddha yang tulen (ubasaka/ubasika)

4. Merenungi konsep "Metta" atau kasih sayang sesama makhluk. Kita mesti mempunyai perasaan kasih sayang terhadap semua makhluk dunia, syurga dan neraka. Doakan kebahagiaan semua makhluk (termasuk haiwan), saling bermaafan dan tidak berdendam. Semua makhluk adalah "sahabat kita" yang sama-sama menanggung kesengsaraan akibat kelahiran, ketuaan, kesakitan dan kematian. Manakala "Metta Ceto-Vimutti" merupakan konsep kasih sayang tanpa sempadan tahap tinggi yang bebas sepenuhnya daripada kebencian atau dendam. Metta dapat memelihara dunia daripada kemusnahan.

5. Kebenaran "Anicca" yang bermaksud tidak kekal abadi. Berbicara di dalam hati setiap hari tentang tubuh kita yang tidak kekal abadi. Apabila kita betul-betul memahami kebenaran "anicca" perasaan pentingkan diri akan berkurangan. "Anicca" adalah motivasi untuk kita segera melakukan kebaikan kerana entah esok, lusa kita akan mati. Berbuat baik selagi usia dikandung badan kerana selepas mati kita tidak dapat berbuat apa-apa kebaikan lagi melainkan menerima balasan daripada perbuatan masa hidup kita. (Kalau ada masa bicara juga tentang Dukkha dan Anatta).

Kesemua 5 perkara ini mesti diambil berat oleh penganut agama Buddha. Walaupun banyak lagi perkara yang mesti dilakukan tetapi sekiranya kita terlalu sibuk dan betul-betul tiada masa, mengingati dan menghayati 5 perkara ini pun sudah memadai. Selamat mencuba.

0 comments: