Saturday, May 3, 2008

Gharavas (2):Dhamma Untuk Hidup Berkeluarga





Perkara yang dipanggil dhamma ada dua jenis: jenis pertama merupakan “teras” atau perkara pokok yang kita mesti mengamalkannya kerana ia merupakan matlamat yang sebenar. Jenis yang kedua merupakan “alat” yang membantu kita membuat amalan sehingga berjaya. Inilah dua fungsi dhamma.

Walaupun kita tahu cara untuk mengamalkan dhamma, tetapi kita tidak dapat mengawal diri. Kebiasaannya, orang tidak dapat mengawal diri. Oleh itu kita mesti ada dhamma untuk mengawal diri agar pengamalan kita berjaya mencapai matlamat. Secara terus terang, kita sebenarnya tidak mampu mengawal hati sendiri. Misalnya, usaha untuk berhenti merokok, berhenti minum arak merupakan perkara "teras" atau pokok untuk diamalkan. Tetapi masalahnya kita tidak dapat mengawal diri. Oleh itu kita mesti ada dhamma jenis "alat" yang dapat membantu kita mengawal diri, kemudian berhenti merokok dan minum arak.

Secara kasar dhamma dapat dibahagikan kepada 2 jenis utama, dan beberapa jenis lagi yang kecil-kecil. Perkara penting kita mesti tahu ialah apakah dhamma pokok yang akan kita amalkan? Dan apakah dhamma yang menjadi alat untuk membantu kita berjaya dalam pengamalan? Kalau dalam peringkat tinggi, kita mesti ada dhamma yang dapat membantu minda mencapai ketenangan terlebih dahulu, umpamanya samadhi. Kemudian dengan samadhi tersebut, digunakan untuk mengamalkan dhamma tahap tinggi sehingga mencapai magga, phala, nibbana (Thai:mark, phon, nippan).

Kalau kita perhatikan, sebab utama kita gagal mencapai matlamat kerana kita tidak dapat mengawal diri untuk melakukan perkara yang kita mahu. Misalnya, kita tahu sikap malas itu tidak baik, tetapi kita tidak mampu menukar sikap malas kepada sikap rajin. Ini kerana kita tidak ada dhamma jenis kedua yang menjadi seperti alat untuk mengawal diri kita. Golongan gharavas mempunyai begitu banyak godaan dalam kehidupan harian, maka sukar untuk mengawal diri untuk melakukan perkara yang diniatkan. Oleh itu, kita mesti mengambil berat terhadap dhamma jenis yang menjadi alat untuk membantu kita mencapai niat di hati.

Gharavasa-Dhamma

Sekarang kita akan bercakap tentang dhamma teras yang perlu diamalkan dahulu, kemudian bercakap pula tentang dhamma yang menjadi alat. Gharavas merupakan orang yang ada rumah tangga atau keluarga. Ada dhamma khusus untuk gharavas yang dinamakan “gharavasa-dhamma”. Walaupun sekadar gharavasa-dhamma, tetapi ia ada matlamat untuk mencapai dhamma tahap tertinggi. Sebagaimana telah diterangkan dahulu, gharavas merupakan satu daripada empat tahap kehidupan manusia yang mesti dilalui dengan sempurna, iaitu phromacari, gharavas, vanaparat, dan sanyasi.

Sekiranya tidak dapat menjadi gharavas dengan sempurna, bererti gagal dalam peperiksaan menengah. Walaupun kita telah berjaya dalam peringkat phromacari atau sekolah rendah, tetapi gagal dalam sekolah menengah. Peringkat sekolah menengah pun mesti diusahakan dengan baik, barulah berjaya sampai ke peringkat terakhir. Sekiranya kita perhatikan betul-betul, tahulah kita bahawa gharavasa-dhamma itu penting bagi mereka yang hendak pergi nibbana (nirvana).

Kedengaran melucukan kerana bercanggah dengan pendapat umum yang mengatakan gharavas menghala ke satu arah, manakala magga, phala dan nibbana pula menghala ke arah lain, yang bertentangan. Sedangkan saya pula mengatakan kedua-duanya menghala ke arah yang sama. Kalau tidak dapat menjadi gharavas yang baik, maka tak dapat pergi nibbana. Pendidikan peringkat gharavas merupakan alat untuk membantu kita mengetahui jalan ke nibbana.

Kehidupan gharavas penuh dengan dugaan dan cabaran yang boleh dijadikan pengajaran untuk mencari jawapan bahawa kehidupan manusia menyeronokkan atau membosankan. Apakah akan terjadi sekiranya kehidupan dibiarkan berlaku mengikut kelazimannya? Apakah yang harus kita lakukan terhadap kehidupan kita? Kita mesti memulakan kehidupan kita dengan cara yang betul, iaitu dari peringkat A, B, C, D, sehinggalah ke peringkat seterusnya.

Gharavasa-dhamma dapat dibahagikan kepada 3 peringkat, iaitu:

peringkat rendah,
peringkat menengah,
peringkat tinggi.

Dhamma peringkat rendah untuk gharavas ialah yang berkaitan dengan pekerjaan dan kemasyarakatan. Maksudnya agama Buddha juga mementingkan pekerjaan dan kemasyarakatan; iaitu perkara yang harus dilakukan dengan baik dan betul. Tekun mencari rezeki atau mengumpul harta benda, bijak menyimpan harta benda, pandai membelanja harta benda yang dicari secara sederhana dan mempunyai sahabat yang baik amat ditekankan. (Keperinciannya boleh didapati di dalam Buku Teks Dhamma).

Oleh itu, gharavas tidak boleh lalai dalam mencari harta benda atau kekayaan. Apabila ada kekayaan, baru ada kehormatan dan kawan yang baik. Ketiga-tiga perkara ini, iaitu kekayaan, kehormatan dan kawan yang baik merupakan perkara yang penting. Sesiapa yang berjaya mencari ketiga-tiganya, orang itu dikatakan telah lulus peperiksaan dalam tahap ini. Anda jangan menganggap remeh tentang kerjaya dan harta benda; kehormatan dan nama; dan kawan dan komuniti yang baik. Perkara ini amat mempengaruhi kehidupan seseorang. Sebelum agama Buddha lagi perkara ini diajarkan di dalam masyarakat manusia. Malah dalam setiap agama di dunia juga ada mengajarkan perkara ini. Tetapi perkara ini mesti ditangani dengan betul, bukan dengan mementingkan diri kerana ia akan mengundang masalah. Sahabat atau komuniti yang baik akan membawa kebaikan kepada kita.

Sekarang kita lihat pula perkara yang berkaitan dengan masyarakat dan kemasyarakatan. Selain menangani masalah berkaitan diri sendiri dan kekayaan, kita juga mesti menangani masalah berkaitan dengan masyarakat. Masalah yang berkaitan dengan masyarakat, Buddha ada menerangkan asas masyarakat yang dinamakan arah enam (thit hok).

Arah Enam ini tiada kaitan dengan arah utara atau arah selatan, tetapi arah yang ada hubungan dengan orang atau sekumpulan orang di sekeliling kita. Arah Depan - Arah Belakang; Arah Kanan - Arah Kiri; Arah Atas - Arah Bawah. Semuanya ada 6 kelompok manusia dari enam arah yang sedang mengelilingi kita seperti aura (rasi / rasemi). Sekiranya kita bertindak betul terhadap semua arah, bererti kita telah bertindak betul terhadap masalah di sekeliling kita.

Arah Depan - Arah Belakang.
Maksudnya ibu bapa berada di depan, manakala anak isteri berada di belakang; mesti bertindak betul terhadap ibu bapa, bertindak betul terhadap anak isteri. Jangan terhad kepada ibu bapa sahaja, tetapi abang, kakak, adik, bapa saudara, emak saudara, datuk dan nenek mesti diambil kira juga. Fikirkan mereka dahulu. Anak isteri yang berada di belakang jangan diabaikan.

Arah Kanan - Arah Kiri.
Arah kanan dianggap lebih penting daripada arah kiri. Oleh itu, guru atau acariya diletakkan di sebelah kanan. Manakala sahabat, kawan atau teman-teman diletakkan di sebelah kiri. Kenapa guru dan sahabat diletakkan bersebelahan? Kerana kedua-duanya kelihatan sangat mirip. Guru menolong kita dari segi rohani, manakala sahabat menolong kita dari segi jasmani. Fahami betul-betul perkara ini. Sahabat menolong kita dari segi jasmani. Guru menolong kita dari segi rohani; secara mendalam, guru juga merupakan “sahabat” kita dari segi rohani. Sahabat, kawan atau teman-teman biasa, menolong kita dari segi jasmani; kewangan, kebendaan, atau tenaga. Sekiranya sahabat, kawan atau teman membantu kita dari segi rohani, kita kena letakkan dia di sebelah kanan bersama guru atau acariya. Maksudnya, sahabat, kawan atau teman tersebut sekaligus menjadi sahabat, kawan atau teman dari segi rohani dan jasmani. Oleh hal demikian, kawan biasa, kalau dia dapat menasihati kita, mengajar kita berkenaan kebaikan dan kejahatan, dosa dan pahala, bahagia dan sengsara, maka kita mesti meletakkannya sekumpulan dengan guru.

Arah Atas - Arah Bawah.
Arah Atas ialah samana atau mereka yang mempunyai akhlak mulia melebihi orang biasa. Arah Bawah merupakan orang gaji atau hamba dan mereka yang berkedudukan lebih rendah daripada kita. Arah Atas yang dikatakan Samana, Brahmana, atau Phra Song (Sangha) dan sebagainya tidak dikategorikan sebagai guru atau acariya kerana guru atau acariya sudah berada di sebelah kanan. Samana, Brahmana, atau Phra Song dianggap lebih mulia daripada guru atau acariya kerana mereka ini “insan teramat mulia” yang disanjungi dan dihormati umum. Walaupun mereka tidak pernah mengajar kita secara langsung sebagaimana guru, asalkan mereka ada di dunia, kita mesti hormat, sanjung dan mengambil tahu tentang mereka. Misalnya, Buddha atau Phra Arahan walaupun mereka tidak pernah ada kaitan secara langsung dengan kehidupan kita kerana dilahirkan pada zaman berbeza, kita mesti mengamabil tahu, hormat dan sanjung mereka.

*(Phra Song di sini bermaksud para Bhikkhu yang mengamalkan dhamma-vinaya, bukan "pemakai jubah kuning" yang menipu makan di vihara atau wat)

Phra Arahan, dipercayai bahawa dapat berjumpa Phra Arahan sudah dikira perkara yang teramat baik biarpun tidak berbicara apa-apa langsung. Ini kerana Phra Arahan merupakan “insan teramat mulia” yang diletakkan di sebelah atas.

Manakala mereka yang berkedudukan lebih rendah daripada kita diletakkan di bawah, umpamanya orang gaji atau kuli kita, orang yang lebih miskin daripada kita, orang yang moralnya lebih rendah daripada kita dan orang yang serba-serbi kekurangan berbanding dengan kita. Mereka ini merupakan orang yang memerlukan perhatian dan bantuan daripada kita.

Anda mesti memahami perkara berkaitan dengan keenam-enam arah ini dengan betul-betul. Kalau berbuat salah terhadap kelompok manusia dalam Arah Enam ini, perkara lain seperti usaha mencari kekayaan, mencari kehormatan dan mempunyai sahabat yang baik akan ikut terjejas. Pengetahuan tentang Arah Enam amat mustahak agar kita dapat bertindak dengan sesuai dan memadai dengan maksud dan peranan setiap arah. Arah mana patut disanjungi, dihormati, atau dibantu mesti dilakukan dengan sebaik-baiknya. Jangan sekali-kali mengabaikan mana-mana arah kerana semuanya penting kepada kita. Perkara berkenaan arah ini juga dipanggil “masalah kemasyarakatan”. Penjelasan ini sebagai panduan sahaja. Untuk perinciannya, anda carilah sendiri di dalam buku-buku yang berkaitan.

Anda cuba bandingkan masalah sosial sebagaimana anda fahami dengan “masalah kemasyarakatan” yang ada dalam agama Buddha. Ada persamaan atau tidak? Apakah maksud masalah kemasyarakatan yang diajarkan di universiti anda sendiri lebih arif. Tetapi masalah kemasyarakatan yang terdapat di dalam agama Buddha adalah seperti yang telah diterangkan tadi. Masyarakat di depan - masyarakat di belakang; masyarakat di kanan - masyarakat di kiri; masyarakat di atas - masyarakat di bawah. Siapa yang lebih baik daripada kita; moral atau apa saja yang lebih baik daripada kita diletakkan di arah atas. Tuan atau tauke kita mesti diletakkan di atas juga. Individu yang lebih rendah daripada kita diletakkan di arah bawah. Insan yang melahirkan kita dan insan yang berbudi atau berjasa kepada kita yang harus kita balas budi dan jasanya diletakkan di depan. Ibu bapa mesti diutamakan kerana mereka amat berjasa kepada kita. Phra Song yang ada kaitan dengan kita juga mesti diutamakan.

Perkara berkenaan arah ini disusun dan diletakkan sebegitu kerana ada sebab-sebab tertentu. Seandainya, anda fahami dengan betul, masalah kemasyarakatan akan dapat diselesaikan dengan berkesan. Perkara ini dipanggil dhamma peringkat rendah. Sebenarnya masih terdapat banyak lagi dhamma untuk gharavas tetapi yang paling penting ialah dhamma Arah Enam ini; amalkan semua arah ini dengan betul, dhamma lain akan jadi betul dengan sendiri.

Sekarang sampai kepada gharavasa-dhamma peringkat yang lebih tinggi, iaitu peringkat menengah atau peringkat tertinggi. Dalam kedua-dua peringkat ini akan diperjelaskan serentak. Peringkat tertinggi ialah magga, phala, nibbana; lebih rendah dari ini ialah peringkat menengah.

Al-kisah terdapat sekumpulan gharavas pergi menghadap Buddha. Mereka meminta Buddha mengajarkan dhamma yang sesuai dengan orang yang hidup berkeluarga yang tidur berhimpit dengan anak dan isteri. Buddha mengatakan dhamma yang berkaitan dengan sunyata (suññatâ) amat sesuai dengan gharavas. Sunyata berkaitan dengan perkara tidak ada diri, kosong daripada diri. Kumpulan gharavas tersebut memberitahu sunyata terlalu tinggi bagi mereka. Buddha mengatakan kalau begitu, amalkanlah dhamma 4 perkara, iaitu mempunyai kepercayaan teguh kepada Buddha, kepercayaan teguh kepada Dhamma, kepercayaan teguh kepada Sangha, dan mempunyai sila yang baik yang disanjungi Ariya Puggala. Kumpulan gharavas membalas bahawa 4 perkara ini memang sedang diamalkan mereka. Buddha mengatakan kalau begitu memang sudah baik. Apakah maksud sebenar di sebalik kisah yang tertulis di dalam Kitab Tipitaka ini?

Buddha mengatakan sunyata, mereka memberitahu terlalu tinggi. Kalau begitu, kurangkan kepada dhamma 4 perkara yang dipanggil “puñña-pisanda” yang bermaksud paip air yang mengalir keluar pahala (puñña). Kekadang dipanggil “sotapattiyangga” iaitu amalan yang akan menolong seseorang menjadi sotapanna (Thai: sodaban). Dhamma 4 perkara ini ada dua nama iaitu "paip air yang mengalir keluar pahala", dan "amalan yang akan menolong seseorang menjadi sodaban". Pengamalan ini saya letakkan di peringkat menengah, manakala peringkat tertinggi ialah sunyata.

Amalan peringkat menengah untuk gharavas ialah dhamma 4 perkara; kepercayaan yang mantap terhadap Buddha, kepercayaan yang mantap terhadap Dhamma, kepercayaan yang mantap terhadap Sangha dan ariya-kantasila iaitu sila yang dijaga dengan baik yang membanggakan hati Phra Ariya. Inilah tempat mengalir keluar pahala, semakin tinggi sehingga mencapai tahap Phra Sodaban - insan yang mula sampai arus nibban.

Kalau lebih tinggi lagi akan mencapai magga-phala-nibbana. Kita berada di tengah bererti kita kenal Buddha dengan baik, kenal Dhamma dengan baik, kenal Sangha dengan baik, kenal sila dengan jelas. Kita ada kepercayaan jenis tidak berbelah bahagi; oleh itu tidak mungkin kita sanggup berbuat jahat kerana kepercayaan kita kepada Buddha, Dhamma dan Sangha begitu kuat dan tidak akan berubah lagi. Kita membuktikan kepercayaan kita dengan mengamalkan ariya-kantasila - sila suci dan sempurna sehingga tidak dapat dikritik. Kita sendiri pun tak dapat mengkritik diri sendiri. Orang lain tengok pun tak dapat cari kelemahan untuk kritik kita. Inilah yang dikatakan ariya-kantasila.

Apabila kita jadi gharavas, kita kena memeriksa diri sendiri adakah kita ada kepercayaan mantap terhadap Buddha, Dhamma dan Sangha. Sekarang ini nampaknya, kurang yakin dan berbahaya kerana kepercayaan terhadap Buddha, Dhamma dan Sangha masih longgar dan tidak menentu biarpun telah mengaku menjadi penganut agama Buddha. Kita selalu mengaku menjadi penganut agama Buddha; terima sila (Thai: rap sin), terima Buddha, Dhamma dan Sangha sebagai pelindung tetapi terima di mulut semata-mata. Apabila terlihat “sesuatu” yang memuaskan hati, buang pelindung untuk mengambil “sesuatu” tersebut ibarat melakukan kesalahan di hadapan Buddha, Dhamma dan Sangha. Kalau begini ertinya kepercayaan kita belum mantap, tetapi masih terhuyung-hayang.

Kepercayaan yang mantap mesti sanggup mati, tetapi tidak sanggup hilang pengamalan dan dhamma. Kenyataannya, kini kalau ada upah disogok, ada benda rangsang, ada umpan diunjukkan, lalu buang Buddha, Dhamma dan Sangha untuk mengambil benda tersebut. Pada hari kebesaran agama Buddha, Hari Wesak misalnya, ada penganut Buddha yang memilih untuk terus "tamak" dan "bodoh" daripada menyelami kepentingan hari tersebut. Sama ada orang muda, orang dewasa atau orang tua semuanya dalam keadaan begini. Nampaknya, ramai belum mampu mempunyai ariya-kantasila, melainkan sila yang tak sempurna; compang-camping dan berlekuk-lekuk.

Gharavasa-dhamma peringkat menengah bererti ada kepercayaan yang mantap terhadap Buddha, Dhamma dan Sangha serta mempunyai amalan sempurna jenis yang diri sendiri tidak dapat mengkritik, malah berhak menyembah atau menghormati diri sendiri. Kita mesti tekun membuat kebaikan dari masa ke masa sehingga mencapai sodapanna.

Gharavasa-dhamma peringkat tinggi ialah sunyata yang bermaksud kekosongan daripada perasaan “diri kita” atau “milik kita”. Perasaan jenis egoisme merupakan perasaan berkaitan dengan ada diri atau peribadi. Gharavas atau pabbajjit menghadapi kesengsaraan kerana perasaan ada diri, atau milik diri ini. Oleh itu, gharavas harus berusaha mengurangkan perasaan ada diri atau milik diri agar kesengsaraan dapat dikurangkan.

Sekarang kita mesti fahami perkara sunyata dengan betul. Sesetengah orang, termasuk mereka yang duduk di kerusi Jawatan Kuasa Sangha Thai, beranggapan bahawa Sunyata perkara yang terlalu tinggi dan tidak seharusnya diajar kepada gharavas. Saya sendiri pernah dilarang. Bhikkhu tua-tua yang dihormati pernah melarang saya daripada mengajar perkara anatta dan sunyata kepada masyarakat umum kerana ia terlalu tinggi. Sesetengah orang mengejek dan mengatakan saya mengambil perkara yang terlalu tinggi untuk mengajar masyarakat - perkara berkaitan “minda kosong” pernah diperlekeh dan dimaki.

*(Buddhadasa Bhikkhu suatu masa dahulu pernah dilabel oleh pemerintah Thailand sebagai berhaluan kiri; menyebarkan ideologi sosialis-komunis)

Namun saya berusaha melakukannya sebaik mungkin seperti yang diperkenalkan oleh Buddha bahawa gharavas perlu mengetahui perkara berkenaan sunyata atau “minda kosong.” Pengetahuan tentang sunyata dapat membantu gharavas apabila menghadapi kesengsaraan hati. Sebenarnya orang menghadapi kesengsaraan yang teruk kerana berpunca daripada kebaikan; mempunyai pegangan yang kuat terhadap kebaikan. Misalnya, kita gagal dalam peperiksaan, kita kecewa kerana kita ada pegangan yang kuat terhadap peperiksaan, iaitu lulus peperiksaan (kebaikan). Apabila kita tak dapat sesuatu (kebaikan), kita susah hati. Malah ada yang sampai membunuh diri. Oleh demikian, tiada perkara lain yang dapat membantu, kecuali sunyata.

Sunyata akan menolong pelajar yang gagal dalam peperiksaan supaya tidak menangis. Sunyata akan membantu orang dewasa yang putus harapan agar tidak berendam air mata. Buddha nampak ada kebaikannya, lantas memperkenalkan sunyata kepada orang biasa kerana ia berfaedah dan berguna sepanjang masa. Sunyata penting kepada gharavas. (Lain kali kita akan meneliti perkara berkaitan anatta dan sunyata secara lebih terperinci)

Sunyata merupakan perkara berkaitan magga-phala-nibbana (mark-phon-nibban) secara langsung. Sesetengah golongan bijak pandai mengatakan bahawa sunyata bukan dhamma untuk gharavas. Tetapi saya juga ada alasan tersendiri kerana perkara ini ada tercatat di dalam Kitab Tipitaka. Anda cuba renungkan. Saya mengajar perkara yang diperkenalkan oleh Buddha kepada golongan gharavas sebagaimana tercatat di dalam Kitab Tipitaka. Apabila gharavas sedang panas hati bagai menyala, mesti disiramkan air untuk memadamkan api. Tiada dhamma yang lebih baik daripada melepaskan pegangan (upadan / upadana). Oleh itu gharavas mesti ada pengetahuan tentang “melepaskan pegangan” atau “bebas daripada pegangan” yang dipanggil sunyata; serta ada “minda kosong” (minda lapang) sesuai dengan keadaan. Gharavas yang mengamalkan sunyata begini memang patut dihormati dan dimuliakan.

Berfikirlah secara mendalam. Buddha menggalakkan kita berfikir sendiri sebelum percaya kepada sesuatu perkara biarpun perkara itu ada tertulis di dalam kitab. Kitab sesiapa pun boleh tulis. Mungkin ada tokok tambah. Oleh itu, kita sendirilah yang akan membuat keputusan muktamad. Amalkan dan lihatlah hasilnya, baru membuat kesimpulan sama ada baik atau sebaliknya.

Kesimpulannya, gharavasa-dhamma ada 3 peringkat. iaitu rendah, menengah dan tinggi.

Peringkat rendah - mencari rezeki atau kekayaan (termasuklah mencari pangkat, nama dan kehormatan) dan susunan masyarakat (thit hok).

Peringkat menengah - puñña pisanda; saluran datangnya pahala, iaitu kepercayaan mantap kepada Buddha, Dhamma dan Sangha (Tri-Ratana), dan ariya-kantasila).

Peringkat tinggi - sunyata menuju magga-phala-nibbana.

Berusahalah dengan budi pekerti dan kebijaksanaan untuk mencapai kejayaan dalam semua peringkat, dari peringkat mencari rezeki sehinggalah ke peringkat magga-phala-nibbana.


sumber:Buku karya Buddhadasa Bhikkhu, Suan Mokh

0 comments: