Saturday, May 3, 2008

Gharavas (1): Hidup Berkeluarga


Kita mesti memahami maksud gharavas dengan baik. Ramai yang tersalah faham mengatakan gharavas merupakan perkara yang tidak sealiran dengan dhamma atau ajaran agama. Atau menganggap insan yang terlalu jauh daripada dhamma. Kalau kita pernah tersalah faham begini, sekarang cuba memahaminya semula dengan baik.

Lahir Untuk Mengamalkan Dhamma

Kita dilahirkan untuk mengamalkan dhamma (ajaran Buddha). Kita dilahirkan daripada Phra Dhamma (dhamma dalam konteks alam semulajadi), atau Phra Dhamma yang menciptakan kita. Matlamat Phra Dhamma menciptakan kita semata-mata untuk kita mengamalkan nilai-nilai dhamma. Oleh itu kita mesti terima hakikat bahawa kita dilahirkan tiada tujuan lain yang lebih baik, melainkan untuk mengamalkan dhamma. Setelah dilahirkan tiada siapa jadi bhikkhu sejak di dalam kandungan. Ia mesti jadi bayi, dan semakin membesar setiap hari sebagai gharavas. Sesetengah orang jadi gharavas sampai ke kubur kerana dia tidak pernah jadi bhikkhu. Kalau tidak jadi bhikkhu, jadi gharavas pun boleh mengamalkan dhamma dengan sempurna.

Dari waktu dilahirkan sehinggalah meninggal dunia, merupakan waktu untuk mempunyai dhamma, iaitu mempelajari dan mengamalkan dhamma. Oleh hal demikian kita dilahirkan dengan sifat semulajadi untuk memasuki sekolah dhamma atau memasuki sekolah Phra Dhamma. Walaupun kita tidak ada sekolah kebangsaan, kolej atau universiti, kehidupan kita sebenarnya adalah sebuah sekolah secara semulajadi. Kalau tidak, orang primitif zaman batu tidak mungkin dapat menjadi moyang kita. Anda sendiri pun tahu bagaimana keadaan kehidupan orang primitif zaman batu. Mengapa mereka boleh melahirkan anak cucu sampai kepada kita sekarang? Kerana kehidupan mereka merupakan sebuah sekolah, sebuah pengajaran, dan ada peperiksaan di dalamnya. Manusia baru tahu mendirikan sekolah seperti yang ada sekarang tidak berapa lama dulu. Tetapi manusia masih belum tahu perkara yang patut diketahui, misalnya, kita dilahirkan untuk apa? Atau apakah matlamat kelahiran kita?

Jadi Gharavas Bererti Memasuki Sekolah Kehidupan

Sekali lagi ditegaskan bahawa jadi gharavas bererti memasuki sekolah Phra Dhamma. Sekolah ini tidak ada bangunan, guru dan jadual waktu seperti sekolah kebangsaan yang kita belajar dulu. Pelajarannya terdapat di dalam kehidupan manusia itu sendiri. Semua perkara yang terdapat di dalam kehidupan harian kita merupakan pelajaran terbaik dan pengetahuan yang betul dan jelas tidak seperti pelajaran dari buku. Belajar dari buku mesti menghafal, mengingat dan memahami fakta-fakta. Oleh itu kita terpaksa jadi hamba kepada penghafalan, pengingatan dan fakta-fakta sebagaimana yang kita jadi sekarang ini.

Sekiranya kita belajar daripada kehidupan, kita tidak akan jadi hamba. Misalnya, apabila jari luka terkena pisau, kita dapat satu pengajaran; tidak perlu menghafal atau mengingat fakta-fakta. Betapa pedih jari terkena pisau, kita sendiri tahu. Betapa kita harus berhati-hati supaya perkara sebegitu tidak berulang, kita pun tahu. Dan sekiranya terjadi perkara yang lebih teruk dari itu, baik atau buruk kita pun tahu semuanya. Ini semua adalah pelajaran yang sebenar yang dipelajari daripada Phra Dhamma atau alam semulajadi. Pelajaran ini akan berterusan sehingga tubuh berkecai. Menjadi gharavas bererti mempelajari dhamma seumur hidup.

Dhamma adalah Tugas

Dhamma merupakan satu perkara penting yang patut kita tahu. Anda harus mengingat maksud dhamma ini dengan baik-baik. Dhamma secara umum bermaksud tugas. Kalau anda belum mendengarnya sebelum ini, maka sekarang dengarlah baik-baik. Dhamma bermaksud tugas yang mesti dilaksanakan. Cuba anda fikirkan bagaimana istilah dhamma boleh ada di dunia sebagai bahasa percakapan manusia? Manusia zaman batu tak ada istilah ini. Manusia kemudian semakin maju sehingga tahu pakai istilah dhamma. Apakah maksud pemakaiannya? Istilah ini pertama kali meniti bibir manusia membawa maksud tugas yang mesti dibuat. Kalau tidak buat, tidak boleh kerana ia mesti dibuat. Jadi, istilah dhamma diberikan maksud tugas.

Manakala maksud dhamma yang kita fahami sebagai ajaran merupakan perkara kemudian. Ajaran apa? Ajaran tentang tugas. Manakala dhamma dalam konteks magga - phala - nibbana adalah hasil daripada tugas. Setiap manusia ada tugas yang mesti dilaksanakan. Dari tugas yang paling biasa seperti makan, mandi, buang air dan sebagainya merupakan tugas yang mesti dilaksanakan dengan baik.

Oleh itu, kita ada tugas secara semulajadi iaitu mencari makanan untuk meneruskan kehidupan. Tugas ini mesti dilakukan dengan baik. Kalau terpaksa ada pasangan, yang merupakan perkara normal bagi manusia atau haiwan, mesti dilakukan dengan betul. Setelah ada rumah tangga mesti menjaga rumah tangga dengan baik. Semuanya merupakan tugas manusia yang harus dilakukan dengan betul. Begitu juga dengan minda. Manusia mesti membina minda supaya menjadi minda yang baik. Malah mati pun mesti mati dengan betul. Semua ini terkumpul di dalam satu perkataan iaitu tugas. “Tugas” dalam bahasa Pali ialah “dhamma.” Setelah tahu bahawa dhamma adalah tugas, maka senanglah untuk difahami tugas sebenar gharavas.

Empat Peringkat Kehidupan

Sekarang kita cuba melihat sesuatu secara menyeluruh sebagaimana yang dijadikan pegangan sejak dahulu. Budaya India merupakan akar budaya kita. Orang India percaya manusia pertama paling cerdik di dunia ialah Phra Manu. Phra Manu telah mencipta 4 peringkat kehidupan manusia, iaitu Phromacari, Gharavas, Vanaparat, Sanyasi.

Peringkat 1: Phromacari - merupakan zaman kanak-kanak dan remaja lelaki atau perempuan yang belum beristeri atau bersuami dipanggil phromacari.

Peringkat 2: Setelah berumah tangga, ada suami atau isteri dipanggil gharavas.

Peringkat 3: Gharavas yang berasa bosan menjalani kehidupan berumah tangga atau berkeluarga teringin mencari ketenteraman. Maka mereka meninggalkan keluarga untuk menjalani kehidupan tenteram sebagai pabbajjit (banpachit) di hutan. Mereka ini dinamakan vanaparat yang bermaksud tinggal di hutan.

Peringkat 4: Setelah berpuas hati tinggal di hutan, mereka keluar dari hutan untuk kembali ke dalam masyarakat. Tetapi bukan untuk menjalani kehidupan berkeluarga seperti orang sekarang yang keluar dari alam bhikkhu untuk berumah tangga. Mereka keluar meninggalkan hutan untuk mengajar manusia. Mereka ini dinamakan sanyasi yang bermaksud orang yang mengembara di dalam masyarakat manusia untuk mengajar masyarakat.

Kehidupan manusia yang sempurna terbahagi kepada 4 peringkat. Bagi orang yang belum berkahwin dipanggil phromacari. Manakala gharavas bermaksud orang yang hidup berkeluarga iaitu sudah berkahwin atau berumah tangga. Oleh itu para remaja yang masih menjadi phromacari harus sedar kedudukan mereka agar tidak tersasul melakukan perkara yang bukan-bukan. Para remaja harus tahu tugas dan batasan masing-masing. Kebanyakan orang menganggap “phromacari” bermaksud gadis yang belum berkahwin. Sebenarnya “phromacari” bermaksud gadis dan lelaki bermula dari lahir sehinggalah mencapai usia dewasa.

Phromacari bererti menjalani kehidupan seperti Phrom (Brahma) iaitu tidak ada perhubungan dengan jantina yang bertentangan atau tidak ada pasangan. Oleh itu phromacari mesti selalu berhati-hati dalam pergaulan, mesti menjaga maruah diri dan mengamalkan kehidupan Phrom yang tidak bercampur dengan jantina bertentangan. Tumpukan perhatian kepada pelajaran kerana zaman phromacari ialah zaman mendapatkan pendidikan sempurna. Malangnya, remaja sekarang tidak memahami peringkat kehidupan sendiri. Mereka selalu menampilkan diri seperti “gharavas” yang ada hubungan dengan jantina bertentangan. Ini satu kesalahan yang besar. Sebagai manusia kita mesti tahu peringkat kehidupan kita. Peringkat phromacari mesti berkelakuan seperti phromacari dan amalkan dhamma yang sesuai dengan phromacari.

Setelah meningkat ke peringkat lebih tinggi sedikit, setelah berkahwin akan dipanggil gharavas iaitu kehidupan berkeluarga. Maka tugas dan tanggungjawab pun berubah. Pendidikan di sekolah atau universiti berakhir. Sekarang sudah memasuki bidang kerjaya, ada tanggungjawab sebagai ketua keluarga atau suri rumah. Satu tugas yang lebih berat daripada tugas phromacari. Setelah ada anak-anak tugas makin bertambah. Tugas manusia pada peringkat ini paling berat berbanding peringkat-peringkat lain. Anda sendiri lebih arif tentang perkara ini.

Kehidupan terus berjalan, manusia terus mengumpul pengalaman dan pengajaran. Suatu hari manusia akan sedar dan berasa kehidupan berkeluarga begitu menyeksakan. Manusia tidak harus hidup begini sehingga mati. Manusia memerlukan waktu untuk berehat. Oleh itu sesetengah manusia dengan rela hati menukar corak kehidupan. Mereka menjalani kehidupan terpencil untuk mencari ketenangan dan kedamaian jasmani dan rohani. Mereka tidak bergaul dengan keluarga atau masyarakat. Mereka menyisihkan diri, mencari sudut ketenangan, mungkin di hujung pagar rumah, atau di tepi rumpun buluh. Atau langsung pergi ke Gunung Himalaya pun boleh kerana tiada siapa akan menegah. Walau bagaimanapun tugas dan tanggungjawab berubah sama sekali. Dulu sibuk dengan urusan keluarga, tetapi kini menjurus kepada urusan baik dan buruk kehidupan, urusan dosa dan pahala, urusan membersihkan kotoran hati dan membebaskan diri daripada kesengsaraan. Mereka duduk merenung kehidupan mencari kebenaran sehingga mendapat pengetahuan baru. Pengetahuan baru jenis yang tidak pernah terfikirkan sebelum ini.

Sumber yang dijadikan bahan untuk direnungkan datang dari mana? Jawabnya, datang dari pengalaman yang terkumpul sejak dilahirkan, sehingga menjadi remaja, ketua keluarga, suri rumah sampai mendapat anak dan cucu. Semua pengalaman tersebut merupakan sumber terbaik untuk direnungkan; pengalaman itu merupakan kebenaran dan rahsia kehidupan. Apa yang perlu dilakukan manusia? Apa yang manusia perlu dapat? Apa matlamat terakhir manusia? Mereka yang sudah berumur dan penuh berpengalaman tentulah mengetahui selok belok kehidupan dengan baik berbanding phromacari atau gharavas. Demi keselesaan, maka mereka menjadi pabbajit dan meninggalkan rumah untuk menjalani kehidupan terpencil. Jadi pabbajit memudahkan mereka menumpukan perhatian kepada aktiviti minda seperti samana-dhamma, kammatthana, vipassana atau apa sahaja urusan vanaparat.

Sekarang ini kita tidak menjalani kehidupan mengikut kebiasaan orang India zaman dahulu. Kini orang-orang muda terus melompat dari phromacari ke peringkat vanaparat (bhikkhu). Mereka meninggalkan peringkat gharavas. Maka susah untuk mendapatkan pengetahuan atau pemahaman seperti mereka yang menjalani kehidupan dari peringkat ke peringkat, iaitu phromacari, gharavas barulah vanaparat. Namun pengetahuan dan pemahaman itu masih dapat dimiliki sekiranya kebijaksanaan mencukupi. Jadi pabbajit sejak muda pun boleh tetapi tidak sebaik orang yang telah melalui kehidupan mengikut peringkat-peringkat. Sebab itulah bhikkhu muda-muda selalu resah gelisah kerana terdapat sesuatu yang hendak dicuba, hendak dirasa mengacau fikiran, mengganggu kepastian. Maka ramai yang terpaksa meninggalkan alam bhikkhu untuk beristeri dan beranak pinak. Mereka tidak setanding orang yang telah melalui kehidupan dari peringkat ke peringkat mengikut peraturan dhamma.

Setelah menjadi vanaparat sehingga berpuas hati atau telah berjaya mencapai matlamat kehidupan, tetapi usia masih berbaki, belum tiba masa mati, maka hati teringatkan orang lain. Urusan sendiri sudah selesai, lalu terfikirkan urusan orang lain. Hati teringin membuat kebaikan kepada orang lain. Kita gunakan istilah “memberi barang, menyuluh pelita.” “Memberi barang” bermaksud melakukan perkara berfaedah kepada orang lain. “Menyuluh pelita” bermaksud memberi pengetahuan, memberi penerangan (cahaya) kepada orang lain sehinggalah diri sendiri meninggal dunia. Inilah yang dinamakan sanyasi.

Bayangkanlah sempurna atau tidak, betapa berbeza sehingga tidak terbandingkan. Phromacari, gharavas, vanaparat dan sanyasi mempunyai peranan dan tugas masing-masing. Itulah kehidupan yang betul yang terbahagi kepada empat peringkat. Semua orang boleh melaluinya dengan sempurna. Kecuali kalau ada sesuatu halangan mungkin tidak dapat melalui kesemua peringkat. Amat kesian apabila dilahirkan sebagai manusia tetapi gagal mencapai matlamat. Atau tidak dapat sampai kepada tujuan terakhir manusia sebagaimana yang ditetapkan Phra Dhamma.

Sebelum ini kita telah perjelaskan bahawa manusia dilahirkan untuk mempunyai dhamma, mengamalkan dhamma kerana Phra Dhamma yang melahirkan kita. Mempunyai dhamma bermaksud mempunyai dhamma sehingga mencapai matlamat terakhir; dhamma sebagai phromacari, dhamma sebagai gharavas, dhamma sebagai vanaparat, dan dhamma sebagai sanyasi. Dhamma sebagai sanyasi merupakan dhamma tertinggi yang mampu tercapai manusia.

Sekarang anda telah tamat belajar, telah bekerja, ada harta, nama dan keluarga serta lain-lain yang mampu dimiliki. Tetapi anda akan sampai kepada vanaparat atau tidak, berfikirlah sendiri. Atau sama ada anda berfikiran luas, ada belas kasihan untuk “memberi barang, menyuluh pelita” atau tidak, renung-renunglah sendiri.

Sebenarnya perkara ini kita boleh buat. Misalnya, apabila usia telah tua, selepas pencen, ada duit simpanan mencukupi untuk keluarga, kalau kita memerlukan kehidupan jenis vanaparat, kita boleh memencilkan diri di sudut rumah, di tepi rumpun buluh atau rumpun pisang untuk menghayati kehidupan rohani. Tetapi sekarang orang yang sudah pencen masih pergi berhibur di dalam kelab malam bagaikan anak remaja. Mereka tidak menggunakan kesempatan ini untuk menjalani kehidupan vanaparat. Oleh itu, berkenaan sanyasi usahlah dimimpikan. Kalau tidak ada pengetahuan benar jenis yang terang benderang tentang kehidupan, kita nak pergi mengajar apa kepada orang lain. Dari mana kita nak dapatkan “pelita” untuk menyuluh kehidupan orang lain. Cuba anda fikirkan di dalam masyarakat kita, ada tak sesiapa yang berjaya melalui 4 peringkat kehidupan ini? Dan anda bagaimana? Buatlah ramalan sendiri.

Tahap Sekolah Kehidupan Gharavas

Setelah meneliti 4 peringkat kehidupan, kita tahu bahawa peringkat gharavas merupakan peringkat memasuki sekolah Phra Dhamma melebihi peringkat lain. Kanak-kanak dan remaja memasuki sekolah yang dibina manusia. Setelah menjadi dewasa, ada rumah tangga, ada keluarga kena masuk sekolah kehidupan; peringkat kehidupan yang berat, penuh tekanan dan cabaran yang perlu dihadapi. Inilah yang dikatakan sekolah Phra Dhamma. Kebanyakan orang berminat dengan persoalan orang dewasa atau gharavas. Sekiranya semua orang faham bahawa gharavas merupakan mereka yang sedang memasuki sekolah Phra Dhamma (alam semulajadi), maka semua persoalan selesai.

Sekolah Phra Dhamma lebih tinggi daripada sekolah yang anak-anak kita belajar atau universiti yang anda pelajari. Belajar sehingga tamat sekolah atau universiti tetapi tidak tahu manusia dilahirkan untuk apa? Jadi, mana yang lebih sempurna? Sekolah Phra Dhamma atau sekolah manusia? Peringkat phromacari merupakan satu tahap pendidikan, gharavas juga satu tahap pendidikan, vanaparat juga satu tahap pendidikan. Tetapi yang mana paling sempurna? Manakala sanyasi bukan tahap mendapatkan pendidikan, tetapi tahap memberi pendidikan kepada orang lain yang dinamakan “memberi barang, menyuluh pelita.”

Oleh itu kita dapat simpulkan bahawa phromacari merupakan pendidikan rendah, gharavas pendidikan menengah dan vanaparat pendidikan tinggi. Duduk memejam mata seorang diri di sudut rumah atau di tepi rumpun buluh merupakan pendidikan tinggi lagi sempurna. Anda boleh menganggap pendidikan di universiti sebagai pendidikan sempurna tetapi pendidikan sempurna bagi manusia yang tutup mata tutup telinga, bukan pendidikan sempurna Phra Dhamma. Anda harus sedar bahawa sekarang kita sedang memperkatakan perihal kehidupan yang luas. Anda mesti memahami pendidikan sempurna dalam pengertian yang luas. Pendidikan sempurna yang difahami manusia tidak diterima sebagai sempurna oleh Phra Dhamma kerana mengandungi nilai dhamma terlalu sedikit sehingga tidak mengetahui kebenaran dunia. Kita boleh mengambil contoh daripada kehidupan sekitar kita. Ramai lulusan universiti tidak tahu membezakan nilai buruk dan nilai baik dalam kehidupan harian. Jadi, ada antara mereka yang bergelar siswazah berbangga melakukan perkara yang mereka sangka "baik" padahal sebenarnya perkara itu sangat buruk tetapi mereka tidak dapat membezakannya.

Manusia Dilahirkan Untuk apa?

Sekarang ini, kebanyakan orang tidak tahu apa itu kebenaran umpama katak dalam perigi yang tidak tahu dunia luar. Kalau kita pergi tanya budak-budak bahawa kehidupan itu apa? Dilahirkan untuk apa? Kita akan ketawa kerana budak-budak akan menjawab dilahirkan untuk makan, bermain dan berseronok. Para remaja pula akan berkata dilahirkan demi mengecapi kenikmatan “tertinggi” yang berkaitan dengan pasangan, atau perkara seumpamanya. Walaupun malu untuk bercakap tetapi dalam hati tetap berbisik aku dilahirkan untuk menikmati keseronokan perkara tersebut. Kalau pergi tanya ibu bapa yang sedang tertekan oleh kehidupan berkeluarga, pasti akan mengatakan manusia dilahirkan untuk menanggung derita seperti lembu atau kerbau yang terpaksa menarik tenggala. Kalau tanya kepada orang yang lebih tinggi, iaitu vanaparat, mereka akan beritahu dilahirkan untuk mengetahui segala benda mengikut kebenarannya. Memanglah kerana mereka ini hari-hari duduk merenung kebenaran segala benda di tempat yang tenteram. Oleh itu mereka tahu bahawa manusia dilahirkan untuk mempunyai dhamma, mengamalkan dhamma dan menerima hasil dhamma. Dan kalau bertanya kepada sanyasi, dia pasti berkata manusia dilahirkan untuk membuat kebaikan kepada orang lain. Inilah maksud kelahiran manusia. Jawapannya berlainan mengikut peringkat kehidupan. Setiap orang pernah menjadi bodoh, sebelum menjadi bijak. Bodoh dulu barulah bijak dari peringkat ke peringkat sehingga sampai matlamat terakhir.

Oleh itu, sekiranya anda berada di peringkat phromacari, anda tidak usah sombong bahawa anda kenal kehidupan dengan baik, kenal segala benda dengan sempurna. Tiba pada masanya anda akan tahu. Semua yang diterangkan supaya anda berhati-hati dan tidak melalut merasakan diri sudah matang dengan kehidupan manusia. Anda baru memasuki peringkat phromacari, itu pun “sudah masak belum matang” kerana tidak mendapat pengetahuan yang sempurna sebagai phromacari. Sesetengah orang tidak percaya, tidak ambil kisah, lalai dalam tugas dan tanggungjawab serta melanggar kesopanan sebagai phromacari. Kita perhatikan dari masa ke masa, kita akan faham dan tahu kebenarannya. Sekurang-kurangnya apabila tiba peringkat ke-3, setelah melalui peringkat ke-2 dengan sempurna, kita akan tahu kebenaran tentang kehidupan.

Perkara Yang Harus Dilalui Semua Orang

Sekarang kita akan melihat beberapa perkara yang harus diketahui manusia. Perkara yang manusia mesti memberikan perhatian, misalnya, apakah erti kasih sayang, keluarga, kerjaya, harta, pangkat, komuniti, pahala, agama atau dhamma?

Apakah erti berkeluarga? Cuba anda fikirkan betul atau salah jawapan anda. Anda tentu yakin jawapan anda betul seratus peratus kerana anda boleh nampak setiap hari. Anda sendiri ada keluarga; ada ibu bapa. Walaupun anda sebagai anak tetapi anda tahu maksud hidup berkeluarga. Pengetahuan anda sangat cetek. Selagi belum menjadi ibu bapa, anda tidak mungkin matang dengan pengertian keluarga.

Apakah erti cinta? Di sini akan dikemukakan beberapa contoh untuk anda membuat pilihan erti cinta sebenar. Kebanyakan orang mengatakan mereka kenal cinta. Betul ke? Pada zaman Greek terdapat seorang lelaki menjemput para ahli falsafah, termasuk Socretes ahli falsafah terkenal ke majlis kenduri di rumahnya. Setelah selesai makan dan minum, mereka bersembang tentang “Apa Itu Cinta?”

Di kalangan ahli falsafah tersebut, tiada yang muda, semuanya tua-tua belaka dengan janggut sudah putih. Salah seorang memberitahu, “Cinta merupakan keperluan untuk manusia bersatu semula.” Mengikut kepercayaan dahulu, “orang” pada asalnya ialah haiwan berbentuk bulat yang mempunyai 8 tombol. Tuhan (Deva) merasakan manusia dalam bentuk begini terlalu kuat, terlalu berkuasa. Tuhan takut manusia mempermainkannya (menentang) lalu membelah manusia menjadi 2 bahagian, iaitu satu bahagian lelaki dan satu bahagian perempuan. Dari 8 tombol menjadi 4 tombol iaitu 2 tangan dan 2 kaki. Maka manusia menjadi “haiwan” dengan 2 tombol yang bermakna kekuatannya cuma tinggal separuh. Dengan kuasa yang sudah lemah begini, Tuhan percaya manusia tidak mampu menentangnya lagi. Oleh itu manusia lelaki dan manusia perempuan ini mahu bersatu (bercantum) semula seperti duhulu untuk mengembalikan kuasa atau kekuatan asalnya. Jadi, cinta adalah perasaan untuk bersatu semula supaya ada kekuatan yang menggerunkan Tuhan.

Pemahaman mereka amat mendalam. Cinta sekurang-kurangnya bermaksud menyatukan tenaga lelaki dan tenaga wanita menjadi satu tenaga istimewa dan kuat agar dapat menyelesaikan masalah kehidupan. Oleh itu perkara yang dipanggil “cinta” memang harus disanjungi. (Tidak seperti seseorang yang mengatakan cinta adalah “tenaga batin”, itu tenaga orang gila). Setelah ada cinta, manusia ada kekuatan, ada keberanian dan tidak takut mati. Lalu Socretes menyimpulkan bahawa, “Cinta adalah kuasa yang akan membawa manusia kepada Tuhan.” Dia menerangkan tanpa cinta, tiada kuasa yang mencukupi untuk sampai kepada Tuhan. Maka manusia mesti ada perhubungan jenis barulah boleh sampai kepada Tuhan.

Mereka tidak bermaksud mengaitkan cinta dengan perlakuan lucah atau tidak bermoral. Cinta sebenarnya keperluan kepada perhubungan jenis dari kedua-dua pihak untuk melahirkan zuriat agar manusia tidak pupus. Sekiranya kedua-dua jantina tidak sempurna, tidak dapat bersatu, maka manusia tidak dapat sampai kepada Tuhan. Beginilah kesimpulan yang diberikan oleh para ahli falsafah Greek yang bersembang berkenaan “cinta” pada hari tersebut.

Sekiranya terdapat orang bertanya anda, cinta itu apa? Apa yang akan anda jawab? Semua orang ada jawapan sendiri mengikut pengalaman masing-masing. Pemuda-pemudi kenal cinta dalam erti yang membahayakan diri sendiri. Ada yang terpaksa membunuh diri kerana cinta. Ada yang bertukar agama dan membuang ibu bapa kerana cinta. Cinta jenis ini cinta orang gila, cinta orang bodoh. Bodoh jenis buta mata, pekak telinga. Malah yang lebih teruk lagi, cinta yang bermaksud kemahuan terhadap sentuhan tubuh, atau keseronokan nafsu berahi. Cinta bodoh inilah yang sering berakhir dengan perbuatan menggugurkan kandungan atau membuang bayi.

Sekiranya ditanya rumah tangga itu apa? Orang yang belum berumah tangga tentu berimaginasi lagi, berimaginasi ke arah keseronokan. Mereka tidak akan melihat dalam konteks tanggungjawab yang berat dalam kehidupan. Maksudnya orang yang berada di peringkat gharavas terpaksa memikul tanggungjawab yang berat, terpaksa melawan kehidupan dengan tekun dan gigih. Bagi pemuda pemudi yang masih mentah merasakan berumah tangga itu satu keseronokan. Bagi ibu bapa yang telah merasai pahit manis berumah tangga merasakan satu penderitaan. Tetapi kalau mengikut konsep Socretes, ini merupakan jalan menuju kepada Tuhan - ada rumah tangga atau keluarga, ada anak cucu merupakan tanda bahawa mereka semakin dekat dengan Tuhan. Kalau mereka mati, anak mereka akan meneruskan perjalanan kepada Tuhan.

Keluarga merupakan institusi yang dijaga dengan sempurna sebagai pewaris yang membawa manusia kepada Tuhan. Oleh itu orang Greek mengasuh dan mendidik anak cucu mereka agar dapat menemui Tuhan. Mereka tidak menanamkan sikap pentingkan diri, pentingkan keluarga dan pentingkan apa sahaja berkaitan dengan diri, melainkan pentingkan manusia sejagat. Berbeza sekali dengan orang sekarang. Diri sendiri tak tahu cara hendak pergi mencari Tuhan (kebaikan), bagaimana hendak mengajar anak-anak menemui Tuhan (kebaikan). Lantas terjadilah ibu bapa yang mengasuh anak-anak menjadi lebih gila daripada dirinya sendiri.

Anda cuba pejamkan mata dan renungkan seketika. Apakah harapan ibu bapa terhadap anak-anak? Mahu anak-anak jadi orang baik, cantik, berpendidikan dan dapat dijual dengan harga tinggi? Maksudnya anak lelaki jadi baik, anak perempuan cantik agar dapat dijual dengan harga mahal. Itu sahaja. Tiada siapa pernah sebut tentang Tuhan, agar manusia dapat menemui Tuhan sebagaimana orang Greek? Tuhan merupakan puncak segala kebaikan. Pernahkah terlintas di fikiran kita tentang puncak segala kebaikan yang kita ada?

Apakah maksud harta benda? Mungkin ada yang mengatakan harta itu keperluan untuk mencari hiburan dan keseronokan dalam kehidupan. Oleh itulah orang suka mengumpulkan harta sehingga menjadi tamak haloba. Sekarang ramai yang tamak haloba kerana tersalah tafsir erti kekayaan. Sekiranya difahami betul-betul kekayaan sebenarnya keperluan untuk kita melangsungkan kehidupan agar dapat meneruskan perjalanan ke puncak kebaikan. Kalau berpendirian mengikut orang Greek, perjalanan manusia menuju kepada Tuhan. Kalau berpendirian mengikut agama Buddha, perjalanan manusia menuju kepada Phra Dhamma. Kedua-duanya menuju puncak yang sama - segala kebaikan.

Harta kekayaan memberi keselesaan dalam kehidupan agar manusia dapat membangunkan diri dan minda. Bukan membenihkan ketamakan. Dapat RM1,000 tak cukup, mahu RM10,000. Dapat RM10,000 tak memadai, mahu RM100,000, RM500,000, RM1 juta dan entah berapa banyak lagi. Sekiranya orang mengenali harta benda dalam bentuk ketamakan begini, bukan orang namanya tetapi peta (pret) yang lapar sepanjang masa tanpa henti-henti. Orang yang memahami harta kekayaan sebagai alat untuk keselesaan hidup, untuk kita terus hidup agar dapat mengamalkan kebaikan tidak akan tamak. Dia memahami maksud harta kekayaan yang sebenarnya.

Kerjaya itu apa? Jawapannya mudah kerana kita sudah memahami maksud harta kekayaan. Kerjaya merupakan jalan mengumpulkan kekayaan. Jadi, kerjaya berkaitan dengan arah tujuan kita mengumpulkan kekayaan. Oleh itu kerjaya semestinya tidak membenihkan ketamakan sebagaimana orang yang memahami kekayaan dengan betul. Kita jangan meletakkan harapan yang tinggi melampau pada kerjaya kerana akan membawa kesusahan. Pandai-pandailah mencari kerjaya yang baik. Kerjaya mesti berada di dalam lingkungan yang bersesuaian agar manusia mendapat apa yang berhak diperolehi. Jadi, kerjaya juga hanya alat untuk manusia memperolehi perkara yang patut diperolehi.

Kehormatan, pangkat, nama itu apa? Saya berani mengatakan anda semua mahu kehormatan, pangkat dan nama dan akan memujanya kerana ia “baik”. Semua orang memerlukan benda baik-baik, perkara baik-baik dalam pengertian “baik” dan kita menamakannya kehormatan. Perkara ini menyebabkan orang tekun berusaha untuk mendapatkannya. Untuk apa? Untuk kesenangan. Orang menjadikan kehormatan atau pangkat untuk mencari kesenangan, mendapatkan kuasa dan meraih harta kekayaan. Kehormatan dijadikan alat mengumpul kekayaan. Lalu kehormatan yang mulia menjadi perkara yang rendah dan kotor.

Sekiranya kehormatan yang kita ada digunakan untuk kesenangan dan kepuasan hati kerana kita ada benda baik, ini bererti kita belum bebas daripada kegilaan. Malah kerana kehormatan, orang bunuh diri. Orang kaya tetapi tiada kehormatan atau takut hilang kehormatan lalu membunuh diri. Kerana tersilap mentafsir erti kehormatan, maka terdapat mereka yang mencari kehormatan dengan cara yang salah. Atau berusaha mendapatkan darjah kehormatan palsu. Ramai yang terkial-kial mendapatkan kehormatan dengan cara salah.

Perkataan “kehormatan” ada banyak jenis. Kehormatan kerana jasa dan kebaikan. Kehormatan kerana kuasa dan nasib. Kehormatan kerana berjaya menutup mulut orang lain. Kehormatan yang paling baik bagaimana? Walau apa pun kehormatan bukan perkara tertinggi yang patut diterima manusia. Kehormatan akan memberi kesusahan kepada orang yang melekat dengannya. Kalau tidak melekat, akan menjadi perkara baik. Kalau ditanya kehormatan itu apa? Berfikirlah sendiri kerana semua orang sudah ada jawapannya.

Apa erti sahabat dan masyarakat? Saya yakin bahawa ramai yang belum mengerti erti kawan atau sahabat. Walaupun ada yang mengerti dengan betul tetapi tidak kesemuanya. Saya hendak beritahu bahawa “sahabat” merupakan perkara yang akan membawa kita menuju kepada “Tuhan” atau Phra Dhamma. Malangnya, “sahabat” yang kita ada cuma kawan mencari hiburan dan kawan makan minum jenis gelak ketawa bersama, menangis seorang.

Orang selalu berkata kalau tidak merokok, tidak minum akan kehilangan kawan. Betapa bodoh dan buta hati orang yang berkata begitu. Perkataan “sahabat” akan membawa kita ke kemuncak kebaikan. Buddha pernah berkata “kalyana-mitta” merupakan semua kejayaan dalam kehidupan. Phra Ananda menyangka kalyana-mitta cuma separuh daripada kejayaan dalam kehidupan. Tetapi Buddha menegaskan bahawa ia merangkumi kesemua kejayaan dalam kehidupan. Ini bererti kalau kita ada sahabat atau kawan yang baik, betul-betul baik, dia tidak akan mengheret kita ke neraka atau ke dunia syaitan. Sahabat yang mempunyai Ariya-Magga 8: ada pandangan yang betul, hajat yang betul, percakapan yang betul, perilaku yang betul, sara hidup yang betul, cara berusaha yang betul, daya ingatan yang betul dan konsentrasi yang betul inilah yang dikatakan kalyana-mitta. Sahabat yang baik akan membawa kita ke Nibbana.

Tetapi sekarang kita merasakan kalau kita tidak merokok atau minum alkohol, mereka tidak mahu bersahabat dengan kita. Atau sekiranya kita tidak berpeleseran dengan mereka, mereka tidak akan berkawan dengan kita. Semuanya alasan semata-mata. Ramai yang keluar dari bhikkhu, jadi pemabuk kerana takut kehilangan kawan. Walaupun sudah berumur, sudah ada kedudukan dalam masyarakat tetapi terpaksa “merendahkan” diri sebegini. Anda cuba fikirkan baik-baik erti persahabatan dan berusahalah mencari sahabat yang baik jenis “ketawa bersama, menangis pun bersama.”

Akhir sekali sampai kepada “bun-kuson” (puñña-kusala) dan agama itu apa sebenarnya? Jangan memandang perkara ini sebagai sesuatu yang ketinggalan zaman. Para pelajar apabila menjejak kaki ke universiti selalu memandang rendah agama sebagai sesuatu yang remeh dan ketinggalan zaman. Sewaktu kanak-kanak, orang mengajak buat aktiviti keagamaan, dia akan ikut. Dia masih mendengar nasihat ibu bapa. Dia takut dosa, takut kejahatan. Dia berusaha berbuat baik kerana mahu dapat pahala (puñña). Setelah bergelar siswazah, dia menganggap aktiviti keagamaan hal budak-budak. Agama dilihatnya tiada apa-apa melainkan perkara kolot. Mereka terikut-ikut dengan aliran atheism Barat.

*(Atheism satu aliran yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan)

Bagaimana Hendak Jadi Gharavas Yang Terbaik Sekali


Berfikirlah masak-masak bahawa “bun-kuson” itu apa? Agama itu apa? Perkara yang dipanggil “bun kuson,” “agama” dan “Phra Dhamma” tidak akan jadi perkara kolot dan ketinggalan zaman. Ia perkara yang masih diperlukan pada setiap masa dan zaman. “Bun” (punna) merupakan perkara yang membawa kebanggaan dan keselesaan hati. Apabila kita melakukan sesuatu yang baik mengikut tradisi, atau mengikut upacara tertentu yang kita amalkan selama ini, kita akan senang hati, lapang hati. Inilah yang dikatakan dapat “bun” tetapi belum sampai “kuson”. Manakala “kuson” (kusala) merupakan kebijaksanaan, pengetahuan dan pemahaman. Atau sejenis cahaya. “Kuson” sebenarnya “cahaya” yang menyuluh hati agar menjadi “terang hati”. Setelah hati jadi “kuson”, segala kegelapan, kesilapan dan kesesatan akan semakin pudar dan akhirnya hilang. Jadi, untuk menjadi orang dewasa yang baik, fahamilah maksud “bun” dan “kuson” dengan betul. Orang yang menganggap agama atau ajaran agama perkara kolot, sebenarnya dialah yang kolot lagi dungu.


Kepentingan Dhamma Dan Agama

Orang yang jadi bhikkhu kerana dia penganut agama Buddha, atau dilahirkan di dalam keluarga penganut agama Buddha. Tetapi berhati-hati. Jangan sampai menjadi ayam bodoh mendapat permata. Orang yang sudah keluar dari bhikkhu pun kena jaga-jaga. Nanti jadi seperti ayam bodoh mendapat permata juga. Sebutir permata ditukar dengan sebutir beras atau nasi. Anda jangan merasakan agama perkara yang kolot, remeh-temeh, dan tidak setanding benda hijau-hijau, merah-merah yang memabuk dan menghiburkan. Jangan jadi ayam bodoh yang menukar permata dengan sebutir beras. Orang yang sombong, lalai dan bodoh apabila mendengar ajaran Buddha, tidak memberikan sebarang reaksi. Oleh itu, kita yang telah, sedang dan akan jadi bhikkhu berfikirlah secara mendalam agar kehidupan tiada kesengsaraan.

Akhirnya, kita tahu erti sebenar gharavas. Tidak usah melihat perkara yang berkaitan gharavas sebagai lucah atau menjijikkan. Jadi gharavas merupakan satu peringkat kehidupan untuk menuju kemuncak kebaikan. Masalah gharavas terbahagi kepada dua,iaitu kesengsaraan dan cara untuk menghapuskan kesengsaraan. Oleh itu, gharavas atau orang biasa yang hidup berkeluarga mesti tekun mempelajari selok-belok kehidupan agar dapat pengetahuan yang baik; jenis yang mampu memadamkan kesengsaraan!


sumber:Buku karya Buddhadasa Bhikkhu, Suan Mokh.


0 comments: